Al Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali r.a. (meninggal dunia pada tahun 505 Hijrah) menjawab sepucuk surat dari seorang muridnya. Muridnya itu memohon supaya Imam Al Ghazali memberinya nasihat untuk panduan hidupnya. Jawapan Imam Al Ghazali termuat dalam kitab Al Risalah Al Waladiah, dalam bahasa Parsi, yang kemudiannya dialihkan ke bahasa Arab dengan judul Ayyuhal Walad.

Kitab Ayyuhal Walad – Wahai Anakku Yang Tercinta – siri bimbingan remaja Islam 1, diusahakan terjemahannya oleh Abu Ali Al-Banjari An Nadwi diterbitkan 1417 Hijrah/ 1996 Masihi. Kitab kecil ini memuatkan 25 nasihat mantap dan jitu tentang matlamat hidup yang seringkali dipesongkan oleh objektif kehidupan yang palsu lagi mengelirukan. Beberapa nasihat Imam Al Ghazali mengingatkan kita tentang penipuan dunia dan keabadian alam akhirat.

Nasihat kelima dalam kitab ini berbunyi:

“Berapa banyakkah daripada malam-malam yang telah engkau penuhkan dengan berjaga untuk mengulangkaji dan mentelaahkan kitab, dan berapa lama engkau telah menahan tidur ke atas dirimu…Saya tidak pasti apakah niat yang mendorong engkau berbuat demikian, apakah hanya semata-mata mencari keuntungan dunia, menghimpunkan segala mata bendanya dan mencapai kedudukan yang tinggi serta berbangga dengan kebolehanmu di hadapan kawan-kawan…engkau akan rugi serugi-ruginya…jika niatmu…untuk menghidupkan syariat Nabi Muhammad SAW, dan memperbaiki akhlakmu, serta memecahkan kinginan nafsumu…untunglah engkau seribu untung…” (hlm 25).

Membaca nasihat ini saya beristighfar panjang. Betapa saya telah rugi serugi-ruginya selama ini. Sejak kecil saya rajin belajar, membaca kuat-kuat, bangun tengah malam membaca, bangun awal subuh untuk membaca. Untuk apa? Untuk pandai, untuk lulus peperiksaan, untuk naik darjah, untuk dapat hadiah, untuk dapat pujian.

Apabila di maktab, subjek yang saya lemah ialah matematik dan sejarah. Maka apabila peperiksaan menghampiri, saya bangun tengah malam menghafal formula, menghafal tarikh, menghafal insiden sejarah. Sanggup menahan tidur supaya dapat menghafal apa yang saya mesti dihafal. Kesemuanya itu hanya untuk memastikan saya mendapat keputusan peperiksaan yang memuaskan.

Mengapa harus kejayaan saya berlandaskan keputusan peperiksaan yang memuaskan? Dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjaminkan kerjaya yang baik yang bakal membawa pulangan gaji lumayan, dapat membeli rumah, dapat membeli makanan berkhasiat, dapat membeli pakaian, dapat membeli kereta.

Apakah hidup ini hanya untuk mendapat gaji besar, rumah agam, pakaian cantik, kereta mewah? Kesemua matlamat itu adalah matlamat kebendaan yang mengaburi matlamat hidup suci yang sebenar.

Matlamat hidup ialah beribadat kepada Allah SWT, menjadi hamba Allah yang taat dan redha. Tidakkah Allah SWT berfirman dalam surah Az-Zariyaat ayat 56: Dan “Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah akan Daku”. Inilah yang sewajarnya menjadi matlamat hidup kita manusia iaitu menyembah Allah. Apabila terjaga pada waktu malam, ingatan harus kepada-Nya; apabila berseorangan, pikiran wajar kepada-Nya; apabila dikelilingi kawan-kawan, fokus hati tertumpu kepada-Nya. Seharusnya tidak wujud satu saat pun yang kita lupa kepada-Nya. Subhanallah.

Alangkah cantiknya matlamat hidup jika objektif merangkul kejayaan (kerjaya dan akhlak) itu dilakukan kerana Allah dan hanya Allah semata-mata. Bahawa dengan kejayaan itu kita dapat berbakti kepada Allah SWT dengan membantu mereka yang memerlukan, dengan mewakafkan harta dan wang ringgit untuk mengukuhkan syariat Islam: memberi makan orang miskin, menyantuni anak yatim, menghulur bantuan kepada mereka yang terputus perbelanjaan perjalanan, memberi pertolongan kepada mereka yang ditimpa musibah.

Mari kita perbetulkan tujuan dan matlamat hidup supaya mendapat keredhaan Allah di dunia dan juga di akhirat. Nasihat Imam Al-Ghazali ini wajar diambil peduli. Pintu taubat masih terbuka dan Allah Maha Pengampun Maha Mengasihani.

Oleh Amida Abdul hamid

Translate »