BANGI, 5 April 2020: Ramadhan yang bakal tiba dalam beberapa hari lagi mungkin tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya.

Meskipun sebelum Ramadhan seluruh dunia terancam oleh satu wabak yang begitu dahsyat, harapan setiap umat Islam untuk menyambut Ramadhan dan seterusnya Aidilfitri tidak pernah padam.

Bagi menghadapi suasana sukar itu, Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) dan Yayasan Kasih Tauhid (YKT) bekerjasama menubuhkan Tabung Rayuan Kasih Ramadhan dan COVID-19.

Fatini_Yaacob_2_CM

Menurut Pengerusi Eksekutif Pemegang Amanah YKT, Puan Sri Fatini Yaacob tujuan tabung tersebut diadakan ialah membantu “golongan asnaf B40 yang hilang sumber pendapatan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang virus COVID-19 daripada terus menular di negara kita’.

PKP peringkat pertama telah dilaksanakan selama dua minggu (18 hingga 31 Mac 2020) manakala peringkat kedua dikuatkuasakan sehingga 14 April 2020.

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir Pengerusi OMIW

Menurut Pengerusi OMIW, Datuk Dr Aziz Jamaludin Muhd Tahir, kesan daripada itu, ‘semakin ramai golongan asnaf dan B40 berhadapan dengan masalah kewangan kerana terpaksa berhenti kerja ataupun duduk di rumah. Sebahagian besar daripada mereka merupakan pekerja bergaji harian, berniaga kecil-kecilan yang diibaratkan ‘kais pagi makan pagi’.

Dalam masa menjalani PKP, menurut Datuk Dr Aziz Jamaludin “pendapatan untuk menyara keluarga terhenti dan sebahagiannya pula hidup dalam suasana perit akibat kekurangan bekalan makanan sepanjang tempoh berkenaan.”

Keadaan sedemikian akan memberi kesan kepada golongan asnaf dan B40 untuk menjalani ibadat di bulan Ramadhan dan seterusnya membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang dijangka tiba sebelum akhir Mei 2020.

Jelas Puan Sri Fatini, YKT merasa terpanggil untuk membantu golongan tersebut dan bagi menjayakan hasrat berkenaan “saya merayu orang ramai untuk menyumbang kepada tabung itu”.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun atas nama Pemegang Amanah Yayasan Kasih Tauhid (MAYBAN 562106650878) sama ada dalam bentuk cek ataupun pemindahan wang secara elektronik.

Para penyumbang kemudiannya perlu menghantar slip sumbangan tersebut menerusi WhatsApp di talian 017 3625454 (Kalsom).

OMIW dan KYT adalah merupakan dua pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dan kedua-duanya berusaha bergiat cergas dalam membendung penyelewengan akidah umat Islam daripada rempuhan pelbagai fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di peringkat nasional mahupun serantau.

Sumbangan yang dihulurkan itu dapat membantu keluarga asnaf dan B40 untuk menghadapi situasi sukar itu dan setakat ini tabung tersebut menyasarkan sejumlah 1000 keluarga di sekitar Shah Alam dapat diringankan beban mereka sebelum tiba sambutan Aidilfitri.

Sumber : Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)

Translate »