Jalinan kerjasama yang bersinergi perlu diusahakan secara bebas dan tidak diikat walaupun oleh sehelai benang.

“Apabila diikat oleh sehelai benang atau sempadan, persahabatan yang kerjasama sering berhadapan dengan pelbagai masalah dan ketidaktentuan”, berita Sahibus Sahamah Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim bin Tawil ketika mengalu-alukan kehadiran Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) semalam.

Rombongan Ahli Jawatankuasa OMIW seramai 10 orang yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dr Aziz Jamaludian Muhd Tahir serta Timbalannya Tan Sri Dr Iberahim Lembut disambut mesra oleh kakitangan Pejabat Mufti Melaka sebelum dibawa berbincang dan bertukar-tukar fikiran mengenai pelbagai bentuk kerjasama yang dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

OMIW merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan tujuan meningkatkan jalinan kerjasama bagi pembinaan intelektual Islam serta memantapkan asas-asas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah setakat ini telah berjaya menganjurkan beberapa percambahan fikiran di peringkat serantau dan dalam negara.Dan yang terbesar kita adakan tiga tahun lepas di Trengganu ialah kolokium Ahli Sunah Waljamaah

Menurut Dr Aziz Jamaludin yang sebelumya adalah Yang di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, apa yang ingin dilaksanakan oleh OMIW ialah merapatkan ‘jurang akidah’ dalam kalangan umat Islam seluas-luasnya setelah mengalami pelbagai rempuhan budaya dan asakan pelbagai aliran falsafah.

‘Dalam hubungan itu, OMIW mengambil pendekatan lebih berhemah, iaitu tidak perlu melanggar arus atau menentang kelaziman. Sebaliknya, OMIW berusaha merapatkan jurang yang ada secara perbincangan intelektual dan membina hubungan dengan mana-mana pertubuhan serta organisasi atau individu.

“Kami di OMIW, sebuah pertubuhan yang kecil berusaha menyumbang ke arah itu dengan cara komunikatif dan bersahabat,” tambah Dr Aziz dalam perbincangan awal tersebut sebelum kedua pihak bersetuju untuk saling melengkapi dan menjalin kerajasama bersinergi.

Mufti Melaka menyambut baik hasrat OMIW dan bersedia bekerjasama dengan harapan ia ‘bebas daripada nilai-nilai politik tertentu.

Tambah Mufti lagi, “ ibarat mengangkat piring dengan satu jari. Piring tidak akan terangkat dan jatuh, Bila menggunakan dua atau kesemua lima jari, piring akan dapat diangkat dengan sempurna dan boleh berada dalam keadaan yang stabil.

“Untuk melaksanakan aktiviti, OMIW perlu mengemukakan kertas cadangan terlebih dahulu untuk diteliti dan dibincangkan bersama objektifnya. Ia penting kerana sesuatu aktiviti akan dilihat berkesan sekiranya apa yang dimatlamatkan itu difahami dan dapat diterjemahkan dalam tindakan,” tegas Datuk Wira Abdul Halim ketika mengakhiri perbincangan lebih setengah jam itu.

Sebelum itu, Datuk Dr Aziz turut memperkenalkan AJK OMIW yang hadir dalam perjumpaan tersebut. Antaranya, Timbalan Pengerusi, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut (mantan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah), Naib-Naib Pengerusi OMIW (Dr Mukhtar dan Datuk Samsi Iberahim), Setiausaha Kerja OMIW (Mohd Shauki Abdul Majid) dan AJK yang hadir.

Pada kesempatan itu, Pengerusi OMIW mengucapkan terima kasih di atas kesudian Shahibus Sahamah Datuk Mufti walaupun terpaksa bekejar balik ke pejabat daripada aktiviti sebelumnya di luar pejabat.

OMIW dan Pejabat Mufti Melaka mengharapkan pertemuan pertama ini akan menghasilkan satu bentuk kerjasama yang baik tanpa ‘diikat walaupun dengan sehelai benang’, yakni tidak terikat dengan tujuan lain kecuali saling melengkapi untuk merapatkan ‘jurang akidah’.

Oleh : Kamarun KH

Translate »