Donald Trump akhirnya berjaya membuktikan “kehandalan”nya apabila dapat menewaskan calon wanita kedua dari Parti Demokrat dalam pemilihan Presiden ke-47 Amerika Syarikat pada 4 November 2024. Kamala Harris kalah walaupun pada peringkat awal kempen diramalkan mempunyai peluang lebih baik berbanding bekas presiden yang dicalonkan semula itu. Parti Republikan juga memenangi Dewan Perwakilan, menjadikan Donald Trump lebih mudah ‘memerintah’ berbanding era pertama pentadbirannya di Rumah Putih (2017-2020)
Pertembungan kali pertama (2016), Donald Trump berhadapan dengan bekas wanita pertama Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton yang mewakili Parti Demokrat. Tahun 2020, Donald Trump kalah kepada calon Parti Demokrat yang lebih tua, iaitu Joe Biden. Namun, kekalahan tersebut tidak mematahkan semangat, sebalik terus bertegas untuk kembali bertanding dan berazam kembali ke Rumah Putih.
Trump sedang menunggu kepastian itu dan tarikh 20 Januari 2025 akan dikenang sebagai saat bersejarah yang lebih besar daripada angkat sumpah pertamanya 8 tahun lalu (2017) sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45. Kali ini, sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47. Impian tersebut sudah menjadi kenyataan, kemenangan sudah berlaku, hanya upacara mengangkat sumpah jawatan belum lagi.
Pertandingan kali ketiga (4 November 2024) membuahkan hasil apabila berjaya mengalahkan calon kedua wanita Parti Demokrat, Kamala Harris. Kamala Harris merupakan Naib Presiden di bawah pentadbiran Joe Biden. Joe Biden menyerahkan tanggungjawab itu kepada Kamala Harris setelah menyedari dirinya tidak lagi berupaya, disebabkan oleh faktor usia (81 tahun) dan kadangkala tersasul bila membuat kenyataan secara terbuka dan spontan.
Ketika ini, umur Joe Biden dan Donald Trump tidak banyak beza, sekitar 3 tahun sahaja. Trump kini berusia 78 tahun (lahir 14 Jun 1946). Sudah dua kali bercerai (Marla Maples, seorang artis. Berkahwin 1993 dan bercerai 1999) dan Ivana Trump (seorang model Czech-Amerika. Nama asal Ivana Marie Zeinickova. Berkahwin 1977 dan bercerai 1990. Ivana meninggal 14 Julai 2022). Kini, pendamping Trump ialah Melania Trump (Melanija Knavs), bekas model Slovania-Amerika yang dikahwininya pada tahun 2005.
Misalnya, pada Sidang Kemuncak NATO (12 Julai 2024), Joe Biden menyebut Vladimir Putin, Presiden Rusia sedangkan orang yang dirujuknya ialah Volodymyr Zelensky, Presiden Ukraine. Sebelumnya, Joe Biden pernah beberapa kali tersasul. Akibat itu akhirnya Joe Biden terasa malu walaupun berjaya diperbetulkan. Rakyat Amerika Syarikat melihat Joe Biden yang sudah berusia 81 tahun ‘tidak wajar’ untuk meneruskan pusingan kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Tidak setakat itu, anggota Senat daripada Parti Demokrat pernah merayu secara terbuka agar Joe Biden menarik diri dari mempertahankan penggal kedua di Rumah Putih. Atas apa yang berlaku itulah Joe Biden akhirnya sedar, ia mungkin akan menyebabkan lebih ramai orang menyuarakan ‘rasa terkilan’ jika beliau meneruskan pertandingan bagi penggal kedua.
Joe Biden secara rasminya (hampir dua minggu selepas berucap di Sidang Kemuncak NATO) menulis di platform X: “Hari ini (semalam), saya ingin menawarkan sokongan penuh kepada Kamala sebagai calon parti kita pada tahun ini. Demokrat, sudah tiba masanya untuk kita bersatu dan menewaskan Trump.” (Kosmo, 22 Julai 2024).
Jika mengambil kira peluang dan sejarah penyertaan politik, Trump yang mewakili Parti Republikan telah gagal melanjutkan ‘kuasa’, ditewaskan oleh calon Parti Demokrat, Joe Biden pada pemilihan 8 November 2020, walaupun beliau adalah penyandang (Presiden Ke-45). Trump tidak mengambil sikap seperti George Herbert Bush, setelah kalah di pusingan kedua, tidak lagi menyertai pertandingan untuk kali ketiga. Trump turut berjanji, jika kali ini dirinya tewas, tidak akan bertanding sekali lagi untuk pemilihan 2028. Beliau sedar, ketika itu usianya sudah melangkaui 82 tahun.
Kekalahan Trump itu (2020) ada kaitannya dengan sikap keras kepala dan kurang berdiplomasi bila menentukan sesuatu pendirian, termasuk berhubung dengan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menjelang akhir tahun 2019. COVId-19 awalnya dianggap oleh Trump sebagai gimmick dan bukan wabak sebenar yang tidak mungkin melanda Amerika Syarikat yang mempunyai fasiliti kesihatan terbaik, akhirnya mengakuinya apabila dia dijangkiti wabak itu (Oktober 2020).
Ertinya, dalam tiga kali pilihan raya presiden, Donald Trump ‘hilang’ di tengah-tengahnya (2020). Tetapi muncul semula di gelanggang ketiga dengan keputusan yang lebih baik daripada pencapaian pertamanya pada pemilihan 2016. Dalam pertembungan kali ini, Donald Trump meraih keputusan yang cukup besar, baik dalam penguasaan undi elektoral dan juga undi popular.
Ketika pemilihan 2016, Trump menguasai 304 undi elektoral dan meraih 46.1 peratus undi popular. Pada pertandingan untuk penggal kedua, Trump tewas kepada Joe Biden apabila hanya mampu meraih 232 undi elektoral, tetapi meraih 46.8 peratus undi popular, lebih baik daripada pencapaian kali pertama. Oleh kerana sistem pertandingan mengambil kira jumlah undi elektoral sebagai penentu, Trump secara terpaksa menerima kekalahannya, biarpun beberapa insiden muncul daripada kekalahan itu.
Sebelum meninggalkan Rumah Putih, Trump bertekad untuk menyertai semula pemilihan dan impian itu tertunai pada pemilihan 4 November lalu. Beberapa percubaannya mencabar kemenangan Joe Biden tidak berjaya walaupun menganjurkan tunjuk perasaan pada 6 Januari 2020 di Chapel Hill, ketika Dewan Perwakilan mengesahkan kemenangan Joe Biden sebelum diperbolehkan mengangkat sumpah dua minggu kemudian.
Berdasarkan laporan pada 8 November 2024, Donald Trump berjaya menguasai 312 undi elektoral dan lebih 50 peratus undi popular. Kemenangan tersebut menjadikan apa yang diraih oleh Donald Trump cukup bermakna buat Parti Republikan, dan mengulangi apa yang pernah dicapai oleh George Herbert Bush (Bush Sr, Presiden Amerika Syarikat ke-41) pada tahun 1988 dengan 426 undi elektoral dan 53.4 peratus undi popular.
Bagaimanapun, persaingan untuk penggal kedua (1992), Bush Sr kalah melawan calon Parti Demokrat, Bill Clinton. Bill Clinton menguasai 370 undi elektoral, tetapi meraih sekitar 43 peratus undi popular. Bush Sr terperangkap dalam beberapa pendedahan skandal yang membabitkan dirinya semasa bertanggungjawab sebagai Naib Presiden era kepimpinan Ronald Reagan, termasuk kejayaannya membebaskan tahanan Tentera Revolusi Iran ke atas petugas Kedutaan Amerika Syarikat di Teheran yang gagal diselesaikan oleh Jimmy Carter (Presiden Amerika Syarikat ke-39 antara 1977-1981).
Ketika mula melibatkan diri dalam pemilihan presiden pada tahun 2016, Donald Trump memecahkan tradisi politik Amerika Syarikat kerana beliau bukanlah seorang yang cukup berpengalaman dengan hal ehwal politik dan diplomasi. Beliau tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sama ada sebagai perwakilan negeri (gabenor) mahupun dilantik dalam jawatan politik.
Beliau terkenal sebagai seorang pemaju hartanah dan juga seorang pengendali program realiti televisyen (The Apprentice) yang berkaitan dengan dunia keusahawanan dan pengurusan korporat. Dalam program tersebut, Donald Trump menjadi anchor dan sentiasa berteriak “You’re Fired”. Di awal penyertaan, Donald Trump dikatakan sukar untuk mendapatkan dana kempen, yang akhirnya menawarkan secara ‘back to back’, yakni jika dana sumbangan diraih USD $100 juta, beliau akan menambahkan sebanyak itu daripada dananya sendiri.
Ertinya, bagi Donald Trump, perbelanjaan kempen tidak menjadi masalah. Walaupun tidak mencukupi, kempen akan diteruskan dan beliau akan menanggungnya. Trump juga dikatakan tidak mendapat pelaporan yang positif daripada media, bahkan beberapa platform media sosial yang menjadi faktor kemenangan Obama sebelum itu tidak mampu digunakan dengan baik sebagai salah satu saluran kempen. Trump pernah menegaskan, beliau akan cuba membina platform medianya sendiri. Trump didakwa mendapat sokongan kuat daripada Rusia, termasuk platform media sosial dan dokongan Vladimir Putin serta rencana menyusun kaedah propaganda politik dengan memburuk-burukkan Hillary Clinton.
Trump akan berkorban apa sahaja untuk membolehkan dirinya dipilih biarpun kemenangannya memberikan makna kepada Parti Republikan setelah calon terakhirnya, George Walker Bush (Presiden ke-43) menamatkan kuasa selama dua penggal (2000-2004 dan 2004-2008), tempoh maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang Amerika Syarikat di Rumah Putih. Calon Republikan ketika itu ialah gandingan James McCain dan Sarah Palin akhirnya tewas kepada calon keturunan Afrika-Amerika, Barrack H Obama dari Parti Demokrat. Obama bergandingan dengan Hillary Clinton, bekas wanita pertama dan isteri Presiden Amerika Syarikat ke-42, Bill Clinton yang diingati kerana skandalnya dengan Monica Lewinsky.
Kemenangan Trump pada pemilihan 2016 telah mencetuskan fenomena besar dalam budaya kempen politik, yang dikenali sebagai post-truh, di mana pelbagai bentuk berita bohong, palsu dan sengaja dibentuk (diubahsuai) sehingga tahun selepasnya (2017) diisytiharkan sebagai Post-Truth Year. Trump juga dikatakan cukup mencalar imej Hillary Clinton dengan mendakwa menggunakan emel rasmi untuk beberapa aktiviti peribadi. Juga ada khabar, kemenangan Trump banyak dibantu oleh propagandis Rusia, yang disimpulkan sebagai strategi “Firehose of Falsehood”, semburan dusta.
Semburan dusta adalah suatu teknik propaganda yang menyiarkan mesej secara bertalu-talu dan bersambungan dalam jumlah yang besar, dengan cepat dan berulang-ulang sehingga tidak memberi peluang kepada sasaran membalas atau manfikannya dengan cepat. Ia seumpama menggunakan paip bomba dengan air yang mempunyai tekanan yang kuat ketika memadam kebakaran. Rusia berjaya menerapkan teknik ini ketika Perang Kriminea pada tahun 2014.
Kemenangan Trump ketika itu menunjukkan bahawa rakyat Amerika Syarikat sebenarnya belum bersedia menerima presiden dalam kalangan wanita, walaupun Hillary Clinton dilihat cukup berpengalaman dalam bidang politik dan diplomasi. Hillary Clinton adalah bekas wanita pertama Amerika Syarikat semasa suaminya, Bill Clinton adalah Presiden Amerika Syarikat ke- 42 (dua penggal, 1993-2001).
Hillary Clinton kemudiannya bergandingan dengan Barrack H Obama dalam pemilihan Presiden ke-44, dan memenanginya. Hillary kemudian dilantik sebagai Setiausaha Negara (2009-2013) dan pada penggal kedua (2014-2018), digantikan oleh John Kerry. Hillary kemudiannya menyiapkan diri untuk mewakili Parti Demokrat dalam pemilihan tahun 2016.
Ketika pertandingan itu, ramai pihak melihat pertembungan dua tokoh itu sebagai ‘calon terburuk” yang pernah dilahirkan dalam sistem politik demokrasi Amerika Syarikat. Namun, Donald Trump yang dianggap lebih ‘buruk dan tidak berpengalaman’ memenanginya atas faktor kenyataan-kenyataan retorik dan kadangkala sarkastik.
Donald Trump gagal dalam pertandingan melawan Joe Biden pada tahun 2020. Namun kekalahannya itu menimbulkan tindakan yang dilihat tidak selari dengan nilai-nilai demokrasi Amerika Syarikat. Trump dan penyokong-penyokongnya bukan sahaja membantah (mencabar beberapa negeri, membuat cabaran undang-undang) dengan dakwaan ‘undi palsu’ dan ‘rasuah’ sehingga membolehkan calon Demokrat menang.
Ia tidak berakhir di situ, bahkan beberapa hari sebelum Joe Biden mengangkat sumpah, Trump dan penyokong-penyokongnya memberontak di Chapel Hill, sehingga menyebabkan beberapa orang anggota polis cedera dan meninggal dunia. Kemenangan Trump kali ini, dengan menguasai 312 undi elektoral membolehkan dirinya bakal dinobatkan semula. Ia menjadi sedikit kelegaan kepada mereka yang ditahan kerana terbabit dengan tunjuk perasaan (6 Januari 2020). Trump berjanji akan ‘membebaskan’ mereka kerana ada sebahagiannya ditahan dengan cara yang salah.
Namun ada dua petunjuk yang menarik berhubung kemenangan Donald Trump kali ini: (1) kemenangan itu mungkin dikaitkan dengan sentimen pengundi Amerika Syarikat tidak mahu presidennya adalah seorang wanita (masih terdapat diskriminasi gender secara halus); (2) Trump merupakan seorang presiden yang terputus kuasa (sepenggal) dalam misi dua penggal di Rumah Putih, menyamai nasib yang dialami oleh Bush Sr pada satu aspek, tetapi berjaya untuk kali ketiga; (3) Trump membawa kejayaan besar kepada Parti Republikan kerana berjaya menguasai undi popular, mengembalikan semula imej parti; dan (4) harapan besar yang akan menyebabkan Israel menjadi semakin bongkak, sombong dan keras kepala, berdasarkan kecondongan mutlak Trump terhadap ‘pendudukan haram’ imigran Yahudi di Palestin atas rasisme Yahudi dan ideologi Zionis.
Trump yang menang kali pertama (2016) setelah menewaskan Hillary Clinton dan kali ini, berjaya mengalahkan Kamala Haris. Kedua-dua wanita ini merupakan orang yang kedua penting di Rumah Putih pada suatu ketika dan cukup berpengalaman dengan kaedah pembuatan dasar pentadbiran Washington, selok belok politik dan diplomasi. Pada era Joe Biden, peranan Kamala Harris sebagai orang kanan Rumah Putih tidak begitu terserlah sebagaimana pernah dibuktikan oleh Hillary Clinton.
Hillary Clinton adalah bekas Setiausaha Negara (penggal pertama Barrack Obama) manakala Kamala Haris ialah Naib Presiden di bawah pentadbiran Joe Biden. Joe Biden memberikan peluang kepada Kamala Haris setelah keupayaannya dipersoalkan atas faktor usia dan kecerdasan minda. Melihat kepada perspektif ini, ramai yang memberikan pandangan bahawa Donald Trump sebenarnya pemenang jika calon lawannya adalah wanita.
Walaupun sebahagian besar pengundi adalah wanita, ia tidak bermakna calon wanita akan mendominasinya. Rakyat Amerika sebenarnya belum bersedia menerima seorang presiden wanita, atas beberapa sebab. Ia cukup berbeza dengan beberapa buah negara Eropah, seperti Britain, Jerman dan Iceland. Bahkan lebih prejudis daripada negara-negara majoriti penududuk Islam yang mengamalkan sistem pilihan raya seperti Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.
Bersandarkan kepada kekalahannya di tangan Joe Biden, Trump yang ketika itu turut mempersoalkan kemampuan pencabarnya mentadbir sebuah negara yang besar atas faktor usia. Di usia 78 tahun penyokong-penyokong Trump mengatakan ‘sudah terlalu tua’ dan ‘kemampuan berfikir’ juga berkurangan. Bahkan, semasa kempen berlangsung, Joe Biden dan pasukan kempennya terpaksa mengeluarkan rekomendasi daripada pakar perubatan (juga psikiatari) mengenai kemampuan fizikal dan mental.
Dalam situasi yang mencabar itu, Joe Biden boleh menang dengan menguasai 306 undi elekoral dan Trump hanya mampu ‘berputih mata’ dengan meraih 232 undi elektoral. Sebelumnya (2016), Trump menang 304 berbanding Hillary Clinton yang meraih 227 undi elektoral.
Kemenangan Trump kali ini juga sangat menarik kerana Parti Republikan berjaya menguasai undi popular berbanding pilihan raya sebelumnya. Kemenangan Trump kali pertama, menunjukkan undi popular berpihak kepada calon Parti Demokrat, Hillary Clinton. Hillary meraih 65.85 juta (48.2 peratus) ketimbang Donald Trump sekadar hampir 63 juta undi (46.1 peratus). Walaupun kalah undi popular, Trump diisytiharkan menang dari segi undi perwakilan (electoral vote).
Namun, dalam persaingan kali ini, tidak muncul gugatan berkaitan usia seseorang calon. Trump yang mencecah usia 78 tahun tidak pula dikatakan sedang menuju ‘situasi nyanyuk’ dan kali ini, Kamala Harris yang berusia 60 tahun ditolak oleh lebih separuh pengundi Amerika Syarikat. Apakah kekalahan Kamala Harris ada kaitannya dengan ‘identiti’ seseorang pemimpin, sebagaimana Obama pernah dipersoalkan ketika kempen kali pertama?
Persoalan identiti (yakni kaum) tidak menjadi isu yang besar dalam kempen kali ini. Pengundi Amerika Syarikat sedar bahawa susur galur keturunan keluarga Kamala Harris (Kamala Devi) berasal dari India (ibunya, Shyamala Gopalan tiba di Amerika pada tahun 1958untuk melanjutkan pelajaran di University of California, Berkeley dan bertemu dengan Donald J Harris, Afrika-Amerika yang tiba di Amerika Syarikat pada tahun 1961 untuk melanjutkan pelajaran di University of California, Berkeley.
Shyamala dan Donald J Harris kemudiannya berkahwin pada tahun 1963 dan Shaymala kekal beragama Hindu. Sebelum menceburi politik, Kamala adalah seorang pengamal undang-undang. Kamala lahir di Oakland, California pada tahun 1964 dan berkahwin dengan seorang duda (keturunan Yahudi Khazar) Doug Craig Emhoff, juga sebagai seorang pengamal undang-undang pada tahun 2014.
Bahkan, susur galur keluarga isteri calon gandingan Donald Trump, yang bakal dinobatkan sebagai Naib Presiden, JD Vance, iaitu Usha Vance (Usha Bala Chilukuri) adalah keturunan India (Andhra Pradesh) dan beragama Hindu. Bapanya seorang jurutera mekanikal di Indian Institute of Technology (IIT) Madras. Keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1980. Usha lahir di San Diego pada tahun 1985 dan berkerjaya sebagai seorang pengamal undang-undang.
Dalam keputusan (sehingga 8 November 2024), Trump meraih hampir 71 juta (51 peratus) berbanding Kamala Haris, sejumlah 66.04 juta undi (47.5 peratus). Kemenangan Trump ini turut mengulangi ‘kelemahan’ dan ketidakupayaan pakar-pakar serta firma tinjauan pendapat awam membuat ramalan, yang tepat atau hampir tepat. Mulai saat sudah melepasi 270 undi elektoral, Trump dihujani dengan ucapan tahniah daripada pemimpin asing, rakan sekutu dan bukan sekutu, termasuk daripada PMX.
Dalam tempoh seminggu sebelum pengundian berlangsung, beberapa firma penyelidikan, pakar kajian gelagat pengundi, pendapat awam dan ahli akademik membuat andaian bahawa persaingan antara Kamala Haris dan Donald Trump cukup hangat sehingga sukar ditentukan dengan bergaya siapakah yang akan menang. Terdapat beberapa firma penyelidikan yang membuat andaian bahawa Trump akan menang, tetapi kemenangan diraih dalam margin yang sangat kecil.
Kebanyakannya menggunakan data rawak (responden) dalam persampelan dan meramalkan bahawa Kamala Haris mampu menang, dalam selisihan (julat) yang kecil, yakni kurang 5 peratus. Ada yang yakin bahawa Kamala Haris akan menang dengan margin 1 peratus, tetapi gagal menguasai undi popular melebihi 50 peratus.
Namun, apa yang ditunjukkan daripada data awal kemenangan Trump (yang belum disahkan, dan pengesahannya dijangka dibuat pada bulan Januari 2025, sebelum mengangkat sumpah jawatan, kini adalah ‘masa bertenang’), Parti Demokrat mengalami kekalahan yang besar. yakni perbezaan undi popular lebih 5 juta dan undi elektoral sejumlah 53.
Sekali lagi organisasi ramalan tidak tepat dan hal seperti inilah pernah berbangkit ketika Trump menang kali pertama. Kalau dalam tinjaun pendapat pada tahun 2016 dikatakan ‘ramalan terburuk’ yang menyebabkan asas tinjauan dipinda kepada hipotesis atau angkubah yang digunakan dipersoalkan, maka kali ini, persoalan menggunakan tinjauan rawak bagi membentuk pola (pattern) dipersoalkan.
Profesor Michael Bailey, dari University of Georgetown berkata, keputusan itu sebagai sesuatu yang melampaui apa yang diharapkan, maka ia adalah “a sign of some blind spots”. Oleh kerana itu, kaedah dan metodologi membuat ramalan seperti itu (kaedah lazim) perlu diubah: “…random samples and get comfortable with modelling, while doing a better job testing and explaining their assumptions.” (https://www.bbc.com/news/articles/cj4ve004llxo.amp)
Ertinya, sekali lagi metodologi kajian pendapat awam perlu berubah, dan kebanggaan terhadap teori sebelumnya sudah ‘hilang keupayaan’. Sekali lagi kebanggaan kaedah dan teori pungutan pendapat yang dimulakan oleh pakar sains politik George Gallup pada tahun 1935 (kemudian dikenali sebagai Gallup Poll) dipersoalkan. Kaedah tinjauan pendapat awam itu kemudiannya berkembang luas sehingga muncul pelbagai agensi “political analytic”.
Antaranya, The Harris Poll (tiada kaitan dengan Kamala Haris). Ia adalah sebuah organisasi penyelidikan pendapat awam yang diasaskan oleh Louis Harris 1956, yang kemudian dinamakan Harris Interactive, dan mendapat kerjasama meluas daripada ahli akademik termasuk dari University of Harvard).
Pew Research Center (subsidiari The Pew Charitable Trusts). Pew Research ditubuhkan pada 2013, berpengkalan di Washington DC, yang dibiayai oleh pelbagai pihak, termasuk Templeton Foundation, diasaskan oleh John Tempelton tahun 1987.
Kini, terdapat ribuan penyelidikan pendapat awam, yang kadangkala dikenali sebagai tinjauan persepsi berkembang hampir di seluruh dunia, sama ada dibiayai oleh kerajaan sebagai ‘pasukan pemikir’, badan penyelidikan dan pusat kajian strategik dan dikembangkan oleh organisasi kemasyarakatan (NGO) mahupun kumpulan perunding yang berasaskan keuntungan. Kehadirannya cukup penting bagi membantuk pemasaran politik dan pengurusan strategi kempen sehingga menyebabkan salah satu nilai demokrasi dilihat cukup hidup. dengan perbezaan pendapat, rumusan dan membuat ramalan.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments