IMAM Malik Ibnu Anas, pengasas suatu aliran dalam perundangan Islam yang terkenal dengan nama Mazhab Maliki. Nama penuhnya Abu Abdullah Malik bin Anas bin Abi Amr bin Haris bin Gaiman bin Kutail bin Amr bin Haris al-Asbahi.
Berasal dari Negeri Yaman. Salah seorang datuknya berpindah ke Madinah. Beliau seorang tokoh ilmu fiqah yang terkemuka di Hijaz. Banyak ulama besar yang mempelajari hadis daripada beliau. Mereka datang dari segenap wilayah Islam pada waktu itu.
Imam Malik, dilahirkan di Madinah pada 94 Hijrah/716 Masihi dan tidak pernah meninggalkan kota itu hingga beliau meninggal dunia pada 179 Hijrah/795 Masihi, ketika berusia sekitar 85 tahun.
Ketinggian ilmu beliau dalam urusan fiqah dan hadis telah diakui oleh semua ulama. Keimanannya sangat kuat. Tidak gentar kepada pemerintah. Sentiasa mengeluarkan pendapat bagi kepentingan ilmu dan agama, walaupun menyebabkan orang marah.
Kitab al-Muwattak karangannya adalah yang terbaik dalam bidang fiqah dan hadis. Kitab inilah yang pertama mengumpulkan hadis-hadis ulama Hijaz, pendapat-pendapat sahabat dan tabiin.
Beliau menyusunnya secara susunan kitab fiqah. Dinamakan al-Muwattak, mungkin kerana para ulama masa itu telah sepakat tentang kebenaran isinya.
Khalifah Harun ar-Rasyid, pernah meminta Imam Malik supaya pergi ke Iraq agar beliau dapat memerintahkan rakyat mengikut isi al-Muwattak seperti Khalifah Uthman memerintahkan seluruh rakyat memakai mashaf yang dibukunya.
Perintah ini ditolak oleh Imam Malik dengan alasan: “Menyuruh seluruh rakyat mengikut isi al-Muwattak adalah perkara yang tidak wajar, kerana para sahabat sesudah Rasulullah SAW wafat berselerak ke serata pelosok. Mereka telahpun meriwayatkan hadis di tempat mereka berada.”
Oleh itu, berkemungkinan di tempat mereka itu ada ilmu yang tidak ada dalam al-Muwattak. Pergi mengikut perintah khalifah pun tidak mungkin dilakukan, kerana Nabi SAW pernah berkata: “Ada orang kelak yang meninggalkan Madinah kerana kepentingan dunia, sedangkan Madinah lebih baik bagi mereka jika mereka mengetahui”.
Catatan: Ibu Hayyan
Recent Comments