Isu yang dibangkitkan oleh beberapa tokoh intelektual mengenai cadangan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) direform kembali adalah memalukan umat Islam kerana pandangan ini datang dari golongan atau tokoh Islam sendiri yang sangat dihormati. Cara tutur kata mereka ketika mengkritik JAKIM tidak sedikit pun mencerminkan sebagai seorang agamawan yang dihormati. Mereka menuduh JAKIM dari segi pengurusannya yang tidak efisien dan tidak efektif

Dalam masa yang sama tidak pula terjerumus kedalam “play hero” konon golongan tertentulah yang menjadi wira didalam mendedahkan kes GISBH, lalu kononnya hanya golongan ini sahaja yang layak menerajui JAKIM.

Jarum halus orientalis yang menusuk masuk ke dalam pemikiran golongan ini semakin ketara sehingga mereka sanggup untuk meruntuhkan institusi agama dalam negara walaupun pada asasnya, institusi tersebut merupakan badan operasi yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Malaysia.

Golongan ini sengaja menempah kontroversi dan mahukan dirinya dianggap pejuang berasaskan landasan yang salah, jijik dan jelek. Mereka sudah menunjukkan bentuk-bentuk kemungkaran yang akhirnya boleh menjatuhkan martabat manusia sendiri, termasuklah pengagumnya walaupun merasakan diri amat berpengalaman dan berpendidikan.

Mereka sebenarnya sudah jauh tersasar, kadangkala ingin berlagak bijak sedangkan tindakan tersebut masih terlalu jauh daripada makna kebijaksanaan. Kiblat pemikiran mereka telah jauh terpesong sehingga melihat segala usaha menbentras ajaran sesat oleh JAKIM telah gagal.

Mereka yang mempersoalkan kedudukan JAKIM  adalah kumpulan yang mempersendakan prinsip Islam. Tindakan yang wajar wajib dilakukan keatas mereka yang mempersendakan Islam berdasarkan prinsip Perlembagaan. Perlembagaan Malaysia meletakkan “Islam sebagai agama rasmi Persekutuan” sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 (1) manakala penubuhan JAKIM adalah selaras dengan 3(5) iaitu “Parlimen melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.”

Berdasarkan peruntukan tersebut, JAKIM yang merupakan sebuah jabatan yang berfungsi : (1) merancang pembangunan hal ehwal kemajuan Islam, (2) merangka dasar pembangunan hal ehwal Islam dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam, (3) membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan yang diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran sedia ada dari masa ke semasa dalam usaha menyelesaikan masalah umat Islam, (4) melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam dalam pengurusan negara, (5) menyelaras mekanisme penguatkuasaan undang-undang serta peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh negara; (6) membuat penilaian program hal ehwal Islam yang dilaksanakan di negara ini, (7) bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam, dan (8) melaksanakan usaha pembangunan ummah melalui kerjasama peringkat serantau dan antarabangsa.

Fungsi JAKIM itu adalah selaras dengan budi bicara Majlis Raja-Raja Melayu (Perkara 389(6)(d) Perlembagaan Persekutuan: “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.” Atas kepentingan itulah JAKIM ditubuhkan di peringkat pusat walaupun Perlembagaan menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa tindakan mengenai agama Islam. Semua perkara yang bersangkutan dengan Islam adalah hak eksklusif bidang kuasa negeri (Jadual Kesembilan Senarai II, Butiran I), kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dibawah Yang di Pertuan Agong.

Ketua agama bagi negeri-negeri ialah Sultan atau Raja, manakala bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan atau Raja, Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Agama bagi negeri-negeri tersebut. Ini bermakna, proses penubuhan JAKIM bukanlah sesuatu yang boleh dianggap tidak berperlembagaan, kerana sejarahnya telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada tahun 1986.

JAKIM bermula sebagai urusetia kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (1968) yang kemudiannya dikembangkan sebagai Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri (1974). Selaras dengan perkembangan dan keperluan masyarakat Islam semasa, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) ini telah disusun semula.

Cadangan penyusunan semula kemudiannya dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober 1996, dengan perakuan supaya BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri dinaikkan taraf menjadi sebuah Jabatan berkuatkuasa 1 Januari 1997 dengan nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dan, tentunya penambahbaikan itu telahpun dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Walaupun masih kedengaran kritik bahawa penubuhan JAKIM bagaikan bertindih dengan fungsi negeri, ia hanyalah suatu perspektif dari segi pelaksanaan peraturan-peraturan tetapi bukan daripada penekanan asasnya.  JAKIM berusaha untuk mengharmonikan setiap peraturan yang berkuatkuasa ke atas negeri-negeri, tetapi dalam beberapa perkara, negeri tidak mempunyai kuasa untuk menyelaraskan beberapa peraturan yang berkaitan pengamalan Islam yang diluluskan oleh Parlimen. Antaranya, Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775),  Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),  Akta Bank Islam 1983 (Akta 276), Akta Percetakan Teks Al-Qur’an 1986 (Akta 326), dan penyelarasan isu pelbagai Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, JAwatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak/Sivil, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, dan sebagainya.

Hakikatnya, JAKIM adalah sebuah jabatan kerajaan yang absah dan amat diperlukan untuk menjaga, mengembang dan menyelaras aktiviti berkaitan umat Islam di Malaysia. Usaha menpersenda JAKIM boleh dianggap sebagai tindakan keterlaluan jika ia lahir dalam kalangan umat Islam sendiri. Seharusnya, setiap umat Islam berusaha mempertahankan kewujudan JAKIM, dan jika ada kelemahan dari aspek pelaksanaan aktivitinya, ia perlu ditegur dan diperbaiki, bukannya mendesak agar institusi tersebut dihapuskan.

Umat Islam di Malaysia tidak perlu bertindak membakar kelambu sekiranya nyamuk terus menggigit, sebaliknya, berusahalah membaiki kelambu itu agar ia tidak berjaya ditembusi oleh nyamuk-nyamuk yang dari bentuk fizikalnya kecil tapi mudaratnya adalah besar, boleh membunuh. Menghapuskan JAKIM boleh ‘membunuh Islam’ secara institusi dan ia bakal menjadi kacau sebagaimana masyarakat barat, agama adalah persoalan peribadi dan bukan masalah masyarakat negara. Islam adalah agama Jemaah.

Namun demikian, bukan bermakna dengan peruntukan istimewa ini pihak autoriti agama boleh bertindak sewenang-wenang dalam menguatkuasakan undang-undang Islam tanpa mengambil kira perasaan dan maruah pesalah. Mungkin terdapat kelemahan atau berlaku kesalahan secara teknikal dalam menguatkuasakan undang-undang. Namun perkara ini tidak boleh dijadikan alasan oleh mereka mengesa JAKIM agar direform kembali.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »