Ismail Haniyeh dilahirkan pada 29 Januari 1962 di kem pelarian al-Shati, Gaza, Ayahnya berasal dari al-Jura (dalam wilayah Ashkelon atau Ashkalan) dan menjadi pelarian apabila negara haram Israel ditubuhkan pada tahun 1948. Pengalaman membesar, bersekolah di kem pelarian itulah yang menyebabkan jiwanya cukup kental untuk ikut memperjuangkan pembebasan Palestin. Ismail lulus dalam bidang Sastera Arab dari University Islam Gaza pada tahun 1987. Semasa masih mahasiswa, Ismail sudah bergiat aktif dalam persatuan pelajar dan pernah dilantik sebagai pemimpin muda, yang kemudiannya bersekutu dengan Hamas (nama penuhnya: Harakatul Muqawwamatul Islamiah), yang ditubuhkan pada tahun 1987 oleh bekas aktivis Ikhawanul Muslimin di Gaza.

Tahun 1980-an, iaitu setelah memasuki tempoh 60 tahun penubuhannya (ditubuhkan 1928 oleh Hasan al-Banna (1906-1949) sebagai gerakan sosial, dan kemudiannya bertukar menjadi gerakan politik di Ismailiyah, sebuah bandar berhampiran Terusan Suez), pelbagai tekanan telah dikenakan, termasuk kemenangan dalam pilihan raya dibatalkan, diharamkan oleh kerajaan Mesir dan membunuh Hasan al-Bana, Ikhwanul Muslimin semakin berkembang di dunia Arab biarpun di Mesir memberikan tekanan yang hebat, termasuk memenjarakan aktivis-aktivisnya.

Semangat itu muncul kembali selepas munculnya ‘teori negara Islam’ dan gerakan kebangkitan semula Islam sebaik sahaja kelompok agamawan berjaya menumbangkan sistem monarki yang didalangi oleh Amerika Syarikat di Iran. Dengan tersungkurnya Dinasti Pahlavi, semangat kebangkitan Islam berkembang di seluruh dunia yang dikuasai oleh umat Islam, dan ini menambahkan ‘kepahitan’ kepada peradaban barat, yang menurut Muhammad Asad, telah hilang jiwa dan rohani (Muhammad Asad, Road to Mecca, edisi baharu, New Delhi: Islamic Book Service, 1954).

Sejak berkenalan dengan Syeikh Ahmad Yassin dan aktiviti Hamas, Ismail Haniyeh terus menyumbang kepada perjuangan tersebut sehinggalah bakat kepimpinannya dilihat cukup terserlah. Ismail menjadi salah seorang pembantu yang berpengaruh dalam meniupkan semangat intifadha yang sangat menggerunkan Israel pada tahun 1988. Akibatnya, Ismail ditahan oleh Israel dan dihantar ke penjara selama enam bulan.

Selepas dibebaskan beliau sekali lagi ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1989. Kali ini, Ismail dipenjarakan selama tiga tahun di Lubnan. Pada tahun 1997, Ismail semakin mendapat kepercayaan Sheikh Ahmad Yassin sehingga dilantik sebagai pembantunya.

Apabila Hamas memenangi Pilihan Raya Palestin (2006), Ismail dilantik sebagai Perdana Menteri dalam kabinet gabungan yang dikenali sebagai Pihak Berkuasa Palestin (Palestine Authority) di mana Mahmoud Abas adalah presiden. Pada tahun 2007, jawatan yang disandang oleh Ismail Hainyeh dipertikaikan oleh Israel dan Amerika Syarikat dengan alasan Pilihan Raya Palestin yang dirancang itu ‘telah gagal’, kerana Fatah tidak dapat menguasai Gaza sebagaimana diharapkan.

Ertinya, Israel dan Amerika Syarikat yang awalnya memimpikan kemenangan Hamas, terpaksa menerima aib yang besar sebabnya, penduduk Gaza menolak Fatah yang ditaja oleh dua negara tersebut. Ekoran ‘kemenangan tidak sah itu’, Israel yang berang akhirnya melakukan kawalan dan serangan bertubi-tubi ke Gaza sehingga penduduk Gaza berada dalam situasi kehidupan yang semakin kelam, bumi mereka disentakkerakkan tanah, tanah-tanah pertanian dan petempatan diratakan. Israel terus membina pusat kawalan tentera Israel.

Perang tersebut semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, sehingga muncul seorang wirawati dari Amerika Syarikat, Rachel Corrie (1979-2003) meniupkan jiwa kemanusiaan yang mendalam. Beliau kemudiannya dibunuh (16 Mac 2003) dengan menggunakan jentolak oleh tentera Israel setelah memasuki Gaza untuk misi kemanusiaannya. Semangat Rachel Corrie itu tidak mati, malah telah menghidupkan Flotila to Gaza. Pada tahun 2010 ia sampai ke kemuncaknya apabila beberapa negara bergabung untuk menyampaikan misi kemanusiaan menggunakan jalan laut.

Walaupun misi itu gagal memasuki Gaza kerana tentera marin Israel menyadap kapal Mavi Marwara yang didaftarkan di Turki (kini, Turkiye) di perairan antarabangsa dan ditunda memasuki pelabuhan Israel, Ashdood, kekejaman tentera Isreal terus tersebar luas dan menjadi bukti yang cukup membakar emosi simpati terhadap Palestin.

Walaupun Ismail Haniyeh dilucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri di bawah kabinet PA, akibat perselisihan antara Hamas dan Fatah, masyarakat Gaza tetap menerima Ismail Haniyeh sebagai pemimpin utama mereka. Perselisihan itu menjadi lebih parah pada tahun 2014, sehingga mengakibat berlakunya perang antara mereka, dan ini dianggap oleh Israel sebagai sesuatu yang menggalakkan, seumpama ‘orang mengantuk disorong bantal’.

Ismail dan Hamas tidak sehaluan dengan Fatah dalam tindakan PLO menerima Israel, yakni mengiktiraf kemunculan negara haram itu. Israel sangat memerlukan perngiktirafan daripada penduduk Palestin kewujudannya, dan ini menggambarkan di mata dunia, Palestin menerima kehadiran Israel.

Hamas tidak sanggup berbuat demikian. Bagi Hamas, Israel adalah sebuah negara haram yang hadir sebagai penjajah menerusi pelbagai tindakan diskriminatif dan berdasarkan perangai settler colonialism. (Ilan Pappe, The Ethnic Cleansing of Palestine, London: A Oneworld Publications, 2006; Rashid Khalidi, The Hundreds Years’ War on Palestine, New York: Henry Holt-Metropolitan Books, 2021; dan Nur Masalha, Palestine: A Four Thousand Year History; dan Noam Chomsky and Ilan Pappe, Perihal Palestin, edisi terjemahan On Palestine, P.Jaya: Biblio Press, 2024). Bahkan, tindakan Israel melampaui apa yang dilakukan oleh rejim kulit putih di Afrika Selatan (Aparthied)

Namun, disebabkan antara Fatah dan Hamas mempunyai agenda yang sama, dalam situasi bermusuh kededuanya tetap bersama ketika warganegara Palestin dihentak oleh Israel, termasuk pembantaian yang berlaku di Baitul Maqdis timur dan beberapa wilayah di Tebing Barat dalam usaha Israel untuk memaksa penduduk asalnya melarikan diri, bagi memudahkan rencana membina petempatan haram agar lebih ramai keturunan Yahudi dapat dibawa masuk.

Ketika Israel membalas serangan tentera Hamas memasuki sebelas bulan, tiba giliran Ismail Haniyeh dibunuh. Tetapi, kali ini muncul persoalan kenapa ianya berlaku di Teheran dan tidak di negara-negara Arab yang lain, termasuk negara-negara yang mendokong mazhab sunni? Ada yang mendakwa, pembunuhan itu turut ‘disokong’ oleh Iran, yang kemudiannya, dilihat sebagai propaganda yang sengaja dilakukan untuk merencat semula hubungan diplomatik Iran dan Arab Saudi, yang baharu berusia lebih setahun.

Apakah kali ini, Amerika Syarikat terbabit sama merancang pembunuhan itu sebagai ‘mencabar’ kejayaan China mengaturkan pemulihan diplomasi antara Iran dan Arab Saudi, selepas berjaya dimuktamadkan di Beijing pada 7 April 2023? Apakah juga ia ada kaitannya dengan kejayaan China menyatukan Hamas, Fatah dan 12 pertubuhan lain yang bergerak dengan matlamat yang sama, membebaskan penjajahan Israel di Palestin yang ditanda tangani pada 25 Julai 2024, iaitu lebih sebulan lalu?

Ismail Haniyeh merupakan seorang politikus moderat, yang menjadi orang yang penting dalam peristiwa tersebut, dan juga tokoh utama dalam mencari solusi damai antara Israel-Palestin dalam episod perang kali ini. Jadi, dengan membunuh Ismail Haniyeh, Israel berkhayal bahawa perjuangan Hamas akan lumpuh. Lainnya, secara jelasnya, Israel sangat menghendaki Ismail Haniyeh terbunuh kerana dengan kematian pemimpin Hamas yang paling kanan itu, Israel boleh melayan kehendaknya yang kejam dan tanpa perikemanusiaan, dengan mengheret perang yang lebih panjang, membunuh lebih ramai lagi warga Palestin.setelah rakyat Palestin ‘pupus’, Israel akan merasa tenang kerana tidak ada lagi tentangan dari dalam, dan dapat menjarah setiap inci tanah yang asalnya adalah kepunyaan warga Palestin.

Menurut pandangan banyak pihak, Israel melakukan tindakan membunuh Ismail Haniyeh dengan dua tujuan: melumpuhkan Hamas dan menggagalkan rundingan damai yang diusahakan oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat. Oleh kerana itu, setelah Ismail Haniyeh terbunuh, Joe Biden dengan jelas menyatakan ‘rundinga damai tidak mungkin’. Ertinya, ia sebagai blessing daripada Washington untuk beliau (Joe Biden) tinggalkan legasi besar sebelum berundur diri sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46. Serangan ke atas Ismail Haniyeh, rumus Joe Biden “tidak membantu gencatan senjata di Palestin”. (Berita Harian, 2 Ogos 2024).

Kematian Ismail Haniyeh, tidak akan melemahkan Hamas sebaliknya, semangat melawan Israel dijangka akan terus meningkat kerana rakyat Palestin lebih rela mati daripada menerima Israel. Semangat setiap rakyat Palestin, walaupun mereka berada di luar Palestin akan tetap kuat dan kental selagi Israel masih bertapak di tanah leluhur mereka, walaupun Israel mendakwa, bumi Palestin itu adalah ‘tanah yang dijanjikan’. Zionis mencipta mitos tersebut dengan menggunakan petikan Bible dan Talmud. Tanah yang dijanjikan hanyalah untuk penganut Yahudi yang diseksa oleh Ramses II, dan diarahkan supaya berperang.

Namun, kaum Yahudi enggan berperang, sebaliknya bertahun-tahun merayau di padang pasir sehinggalah sekumpulan mereka berjaya membentuk sebuah kerajaan purba di Jerusalem, yang kemudiannya mencapai kemuncak pada zaman Nabi Daud AS (King David) dan Nabi Sulaiman AS (King Solomon). Kerajaan Israel purba itu berjaya dihancurkan, dan sebahagian besar penganut Yahudi melarikan meninggalkan Palestin (bumi Kana’an).

Setelah 3,000 tahun berlangsung, baharulah pada akhir Abad ke-19 muncul hasrat untuk kembali ke ‘tanah yang dijanjikan’ tetapi bukan sebagai kepulangan penganut Yahudi. Ia merupakan gerakan yang berideologikan fahaman zionis yang muncul beberapa tahun sebelum munculnya idea penubuhannya Der Judenstaat yang dikerangkakan oleh Dr Theodore Herzyl, seorang Yahudi yang liberal dan kadangkala dinilai ateis.

Catatan diarinya jelas membuktikan, persoalan asal zionisme bukanlah persoalan agama, tetapi persoalan untuk menyelesaikan diaspora Yahudi di Eropah, dengan alasan, Yahudi memerlukan sebuah negara, sebagai penyelesain akhir. Mitos itu terus berkembang dan akhirnya memaksa zionisme dibungkus dengan agama Yahudi, kerana tidak mendapat dokongan daripada pengamal Yahudi sebenar (termasuk Yahudi otordok dan penguasa sinagog).

Mengenai mitos yang dibangunkan untuk mewajarkan kepulangan ke tanah yang dijanjikan, boleh dibaca dalam beberapa kajian ilmiah yang pernah diterbitkan. Antaranya, Roger Garaudy, Mitos Dalam Penubuhan Israel Moden, edisi terjemahan, K. Lumpur: ITBM, 2023; Ilan Pappe, Ten Myths About Israel, London: Verso Books, 2017; dan Fawzy al-Ghadiry, Sejarah Palestina: Asal-muasal Konflik Palestina-Israel, edisi terjemahan, Bantul, Yogyakarta: CV Indoliterasi Publishing House, 2023).

Kenapa Israel tidak perlukan ‘gencatan senjata’ atau tidak bersedia menandatangai perjanjian damai? Sejarahnya cukup banyak yang dapat kita telusuri kerana sebagai settler colonialism ‘gencatan senjata’ atau ‘perjanjian damai’ akan membawa makna Israel mengaku kalah. Ia mungkin memahami bahawa jika mengadakan ‘gencatan senjata’ kekal, Israel terpaksa mengakui kewujudan negara Palestin yang merdeka, dan mempunyai hak yang sama dengan mana-mana negara yang berdaulat dan diterima sebagai ahli PBB.

Kedua, dengan melakukan gencatan senjata, Israel wajib mematuhi syarat-syarat yang dtetapkan, yang pada pandangan Israel, ia akan merugikan. Ini kerana tiga syarat yang diletakkan oleh PLO sebelumnya, dan kini menjadi matlamat Hamas, ialah:

(1) Israel wajib mematuhinya, yakni membenarkan semua keturunan Arab Palestin yang tinggal sebagai pelarian kembali ke Palestin tanpa syarat, sebagaimana Israel memberikan kerakyatan mudah kepada penganut Yahudi yang bersedia tinggal di Israel’;

(2) Israel wajib mematuhi resolusi pembahagian kawasan (pemilikan tanah) sebagaimana ditetapkan oleh PBB menjelang pembentukan negara haram Israel (1948). Palestin 40 peratus dan Israel 60 peratus. Syarat ini akan menyebabkan Israel terpaksa menyerahkan semua ‘tanah yang diduduki’ secara haram kepada Palestin, dan menempatkan semula rakyatnya di kawasan-kawasan yang menjadi milik Israel secara sah berdasarkan pembahagian kawasan tahun 1948; dan,

(3) Israel wajib menanggung semua kos pembinaan semula Palestin akibat serangan ganasnya dan mengembalikan hak-hak Palestin untuk memiliki keperluan asas, seperti elektrik, bekalan air bersih dan kemudahan kesihatan (dan ubat-ubatan).

Namun, yang paling dibimbangi ialah semangat rakyat Palestin yang tidak pernah pudar, menuntut haknya cukup jelas ke atas Baitul Maqdis, dan Israel tidak berhak untuk mengawal ibadat umat Islam di Masjidil Aqsa. Israel wajib melupakan tuntutannya bahawa di bawah tapak Masjidil Aqsa tersimpan harta karun King Solomon. King Solomon Temple sebenarnya telah lama diruntuhkan oleh penjajah Parsi, As-Syria dan bukannya empayar Islam.

Semua kawalan, pemenjaraan rakyat Palestin dibebaskan tanpa syarat. Hamas atau Fatah bersedia berbuat demikian namun Israel enggan melakukannya, kerana bilangan tahanan di penjara Israel adalah berlipat ganda. Tahanan-tahanan ini akan membina naratif kejam yang dialami mereka dan mungkin kesannya akan menjadi lebih dahsyat daripada naratif holocaust Yahudi oleh Parti Nazi pada zaman pemerintahan Hitler.

Tekanan terhadap Israel akan menjadi fenomena trauma yang sangat mendalam, di mana setiap rakyat Palestin akan menceritakan bagaimana seksa dan kejamnya rejim yang mempelopori aksi ganas dan brutal dalam peradaban moden. Misalnya, dalam serangan balas yang berlaku antara 7 Oktober 2023 sehingga 30 Disember 20024, Atef Abu Saif telah menceritakan segala-galanya apa yang dialami dan dirasai dalam bukunya, Don’t Look Left: A Diary of Genoside (Manchester, England: Comma Press, 2023).

Ateif ialah Menteri Kebudayaan PNA yang tiba di Gaza tiga hari sebelum berlakunya serangan balas tentera Israel dalam rangka tugas rasminya, merasmikan Hari Warisan Nasional, berhampiran Khan Younis. Dengan adunan dan naratif yang digambarkan, Israel akan terus dikecam sebagai kuasa penjajah yang lebih dahsyat daripada rejim apartheid di Afrika Selatan. Israel akan menjadi bangsa kembar yang kejam seperti kisah pembantaian penjajah ke atas penduduk asal benua Amerika Utara, yang melahirkan Amerika Syarikat dan yang lebih menakutkan dilihat sedang mengulangi gaya pemerintahan Fir’aun pada zaman Mesir kuno.

Namun, yang menjadi sedikit perbezaan ialah keturunan Arab Palestin masih ada dan mempunyai haknya yang tidak boleh dinafikan dan wajib dikembalikan oleh Israel. Amerika Syarikat tidak pernah mengembalikan hak dan apa sahaja milik Red Indian yang dibantai, dan diusir ke kawasan pendalaman sejak mereka mula menjajah benua itu. Hal yang sama turut berlaku di Australia dan New Zealand, kulit putih (penjajah) menjadi tuan yang sangat kejam di atas pengilhakan milik orang lain pada asalnya, yang dirampas secara kejam.

Kematian Ismail Haniyeh tidak menyebabkan PBB menghentikan sebarang dakwaan terhadap Israel sebagaimana dilakukan oleh Afrika Selatan, dengan dakwaan melakukan genosid. Kematian Ismail Haniyeh akan kekal sebagai satu daripada ciri-ciri genosid yang dilakukan oleh Israel bersama-sama tindakannya yang lain, termasuk membunuh kanak-kanak dan janin yang masih berada dalam kandungan.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »