HAKIM Tirmizi bukan hanya dikenali sebagai ulama fiqh dan ahli hadis pada abad kedua serta ketiga Hijrah, bahkan beliau lebih terkenal sebagai antara pengarang agung awal dalam bidang tasawuf.

Dalam penyelidikan ilmiah mutakhir, kajian bibliografi paling lengkap daripada sejarah hidup hingga pemikiran dan penulisan Hakim Tirmizi dihasilkan oleh ulama serta pakar manuskrip Maghribi, Sheikh Dr Khalid Zahri.

Sheikh Khalid menghasilkan magnum opusnya, Hakim Khurasan wa Anis al-Zaman selepas mengambil masa lebih 12 tahun untuk membaca, menganalisis dan mengkaji setiap penulisan berkaitan tokoh itu yang turut diterbitkan Persatuan Ulama Maghribi pada 2013.

Ketokohan figura hebat dalam tradisi ilmu dalam peradaban Islam itu, dikongsi dalam satu wacana khas oleh Pensyarah Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhammad Ayman Al-Akiti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ketokohan Imam Hakim Tirmizi
Ulama dan pakar manuskrip Maghribi, Sheikh Dr Khalid Zahri. – Foto NSTP

Ayman berkata, kajian Sheikh Khalid menemukan ketokohan Imam Hakim Tirmizi dan karya pentingnya termasuk yang tidak lagi dicetak dan tiada di pasaran.

“Selepas membaca begitu banyak kitab Hakim Tirmizi, beliau mendapat biasiswa untuk berada di institusi manuskrip dan akademik terbesar Jerman selama setahun untuk menyiapkan karya yang menceritakan tokoh dikagumi itu secara menyeluruh.

“Apa sahaja dinisbahkan kepada Hakim Tirmizi yang mungkin bukan daripada dirinya sendiri dan terbukti bukan daripadanya serta sesiapa sahaja menyebutkannya dicatatkan dalam naskhah ini,” katanya pada wacana anjuran Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI).

Beliau berkata, kajian itu turut mendedahkan Hakim Tirmizi termasuk ulama terawal yang merumuskan prinsip maqasid syariah (tujuan hukum syariat) seperti kitab al-Solat wa Maqasiduha.

“Jika kita berani berbicara mengenai maqasid, lebih baik sekiranya turut memahami pemikiran beliau yang sufi,” katanya.

Dalam konteks pengalaman keilmuan Sheikh Khalid, Ayman berkata, tokoh itu bertugas sebagai kurator manuskrip di Perpustakaan Diraja Maghribi, iaitu Perpustakaan Hasaniyyah yang berada di dalam Istana Rabat.

“Perpustakaan ini tidak boleh dimasuki secara sembarangan kerana di sini tersimpan manuskrip yang sangat bernilai dan sukar dijumpai di dunia.

Karya berharga
Karya magnum opus dihasillan Dr Khalid Zahri bertajuk, Hakim Khurasan wa Anis al-Zaman yang memuatkan kajian biblografi terlengkap mengenai tokoh sufi, al-Hakim al-Tirmizi.

“Ketika dilantik sebagai kurator, beliau berpeluang melihat pelbagai manuskrip termasuk kitab yang tidak terdapat di mana-mana perpustakaan dunia seperti karangan ulama besar, Ibnu Khaldun,” katanya.

Menariknya kata Ayman, kerja penyusunan katalog dilakukan Sheikh Khalid berbeza dengan pengkaji lain, sebaliknya beliau memasukkan elemen penting berasaskan keilmuan yang ditemukan dalam manuskrip.

“Beliau tidak hanya meletakkan judul, saiz dan siapa yang mentashihkan (membuat pengesahan) manuskrip itu, sebaliknya memunculkan pemikiran baharu yang lebih terperinci.

“Ia termasuk bilangan cetakan dan tarikh dikarang, selain turut menjelaskan kepentingan manuskrip ini,” katanya.

Antara lain, Sheikh Khalid turut menguasai pemikiran Imam Sanusi dan turut mentahkik (menyunting dengan membuat pengesahan dengan bukti) tiga karya akidah karangannya, termasuk Sughra al-Sughra, Sughra Sughra al-Sughra dan al-Mufidah.

Kurang diberi perhatian

Dalam perkembangan lain, Muhammad Ayman melihat tradisi ilmu Islam di tanah air masih kurang diberikan perhatian.

Pendakwah muda ini mencatat sejarah sebagai anak Melayu pertama lulus kelas pertama Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi, iaitu antara universiti Islam berprestij dan tertua di dunia.

Justeru, beliau melihat perlu ada anjakan paradigma dalam perkembangan dan penyebaran ilmu dalam masyarakat Islam di negara ini antaranya dengan mengambil contoh kesungguhan rakyat Maghribi dalam menguasai kitab ilmuwan Islam silam.

“Saya lihat perkembangan ilmu di sini tidak sebaik sambutan di Maghribi mungkin kerana minat membaca sangat rendah, selain kegagalan menguasai bahasa Arab dengan baik.

“Di Maghribi, jumlah orang membaca kitab lebih ramai daripada yang tidak membaca. Justeru, ia penyakit perlu dilihat secara serius terutama minat orang muda terhadap membaca,” katanya.

Beliau berkata, sukar menguasai kitab Arab merentas pelbagai disiplin ilmu sekiranya masyarakat yang berlatar belakangkan pendidikan agama tidak lancar dan memahami bahasa al-Quran itu sepenuhnya.

“Realitinya, tahap penguasaan ramai ustaz yang mengajar bahasa Arab termasuk di sekolah, tidak begitu baik, bahkan dikesan melakukan banyak kesalahan.

“Sepatutnya mereka sudah boleh membaca kitab Arab sejak di sekolah menengah tetapi malangnya masih ramai yang melanjutkan pengajian hingga ke universiti di rantau Arab masih gagal menguasai bahasa itu.

“Sistem penilaian yang dilaksanakan termasuk pada peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) perlu dilihat kembali sejauh mana ia mampu melahirkan pelajar yang mantap penguasaan bahasanya,” katanya.

Oleh Latifah Arifin

Sumber : Berita Harian Online

Translate »