Jasadnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Lusail, di utara ibu negara Qatar, Doha selepas solat Jumaat pada 2 Ogos 2024. Ismail Haniyeh terbunuh di rumah tetamu yang disediakan oleh kerajaan Iran beberapa jam selepas hadir menunjukkan sokongan di majlis angat sumpah Presiden Republik Islam Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian

Haniyeh terbunuh sekitar jam 2 pagi (waktu tempatan) bersama pengawal keselamatannya. Iran berkabung selama 3 tiga hari di atas kematian ‘sahabat baik’ dan marah di atas pembunuhan kejam itu,  kerana berlaku di negaranya, ketika masih berstatus tetamu negara.

Masoud adalah bekas Menteri Kesihatan dan Pendidikan Perubatan semasa kabinet Mohamed Khatami antara tahun 2001-2005. Masoud telah memenangi pilihan raya Iran yang diadakan sebanyak dua pusingan (pusingan pertama 28 Jun 2024 dan kedua 5 Julai 2024). Masoud adalah kelompok demokrat, dan merupakan seorang pakar perubatan (kardiologi).

Pilihan raya diadakan bagi mengisi kekosongan jawatan presiden setelah terbunuhnya, Ebrahim  Raisi pada 19 Mei 2024 akibat nahas helikopter di sempadan Iran- Azerbaijan, ketika mahu mendarat di wilayah Varzaqan. Ketika itu, cuaca dilaporkan dalam keadaan buruk.

Awalnya, Ismail Haniyeh dan pembantu peribadinnya terbunuh oleh serangan peluru berpandu oleh agen perisikan Israel, Mossad. Dua hari selepas itu, Iran mengeluarkan kenyataan bahawa kediaman Ismail Haniyeh itu telah ditanam dua butir bom dua bulan sebelumnya oleh pihak tertentu yang tidak dapat dikenal pasti dengan jelas setakat ini.

Dalam kenyataan terbaharu, bom itu dikatakan ditanam oleh IRGC –Kor Pengawal Revolusi Iran, atau Islamic Revolutionary Guard Corps – yang telah diupah oleh Mossad  dan ia dipasang di dua buah bilik utama, bilik yang menempatkan Ismail dan juga bilik bersebelahannya, yang dihuni oleh pegawai keselamatannya.

Pemasangan itu dikatakan dirancang sejak Ebrahim Raisi dilaporkan terbunuh. (“Mossad hired IRGC security agents to plant explosives that killed Haniyeh” dan “Iran arrests dozen suspected of involvement ini Hanuyeh assassination”,  The Times of Israel, 3 dan 4 Ogos 2024).

Ekoran kejadian tersebut, Iran telah menyoal siasat puluhan anggota keselamatan termasuk pegawai IRGC untuk mencari siapakah yang bertanggungjawab, yakni membantu memasang ‘perangkap maut’ itu.

Menurut laporan New York Times berdasarkan maklumat tujuh orang pegawai Asia Barat termasuk dua warga Iran dan seorang pegawai Amerika Syarikat, bom itu telah disembunyikan sejak dua bulan lalu. (Sinar Harian, 2 Ogos 2024; dan Berita Harian, 2 Ogos 2024).

Jika maklumat itu didapati benar dan sahih, kita akan memperoleh rumusan bahawa Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang mengawal keseluruhan kawasan yang menempatkan rumah tamu itu bersubahat dengan agen-agen Mossad yang berkeliaran di mana-mana, termasuk di Teheran.

Menerusi hubungan rahsia itu, dua butir bom telah diletupkan secara remote control benar-benar merupakan perancangan rapi agen perisikan Israel, Mossad, yang terkenal cekap melakukan pembunuhan dan membabitkan ramai pakar nuklear dan pegawai kanan IRGC sejak Iran dianggap bermusuh dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Ramalan itu kerana Ismail Haniyeh sudah beberapa kali menginap di situ apabila mengunjungi Iran. Bagi Mossad, Ismail Haniyeh perlu segera dibunuh kerana pengaruhnya cukup melebar dan dikenali sebagai orang yang sangat cenderung ‘memaksa’ Israel ke kancah ‘gencatan senjata’. Gencatan senjata dilihat sebagai ‘kekalahan moral tentera Israel’; dan juga matlamat besar Perdana Menteri Israel, Benjamin Neetanyahu untuk menghapuskan Hamas sepenuhnya terpaksa ditangguhkan. Israel pernah mengeluarkan kenyataan, perang di Gaza tidak akan berhenti selagi Hamas tidak dapat dihapuskan.

Israel juga bimbang, bila gencatan senjata berlaku, Hamas akan berusaha membangunkan semula kekuatannya. Ini sudah pun dilakukan oleh Hamas selepas berlakunya gencatan senjata di akhir konflik di Gaza (2008), ekoran serangan Israel dan disokong oleh Amerika Syarikat atas alasan tidak boleh menerima kemenangan Hamas dalam Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006, yang memberikan mereka kuasa bagi mentadbir Gaza.

Setelah gencatan berlaku (2008), Hamas didakwa menyusun semula gerakan dan merekrut lebih ramai anggota sehinggalah berupaya untuk menyerang Israel pada 7 Oktober 2023. Kebimbangan Isreal, jika gencatan senjata dapat dilaksanakan,  Hamas akan membuat perancangan baharu untuk menyerang Israel dalam tempoh beberapa tahun lagi dengan teknilogi persenjataan yang lebih baik dan mengumpul lebih banyak peluru berpandu serta kelengkapan alat sokongan daripada pelbagai pihak, yang mungkin melalui pihak ketiga, yakni Iran.

Iran memperolehnya dengan kerjasama dan hubungan diplomatik dengan Rusia. Selain itu, China juga mungkin akan terus menyalurkan bantuan apabila berjaya menjadi orang tengah menyelesaikan konflik antara Hamas dan Fatah. China berjaya mengumpulkan kesemua 14 pertubuhan perjuangan kemerdekaan Palestin yang saling bermusuh sekian lama, termasuk Jihadi Islam, Fatah dan Hamas.

Israel terus menyentak kerak tanah di Gaza, dan telah membunuh lebih 40,000 warga Palestin (7 Oktober 2023 hingga 3 Ogos 2024) tanpa hiraukan kecaman masyarakat antarabangsa dan juga keputusan-keputusan yang dibuat oleh ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa) dan ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), dua badan perundangan di bawah PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Setelah mengenal pasti tetamu adalah sasaran yang dikehendaki, agen Mossad dikatakan menekan tombol dari jarak jauh. Letupan itu telah menggegarkan bangunan, memecahkan beberapa tingkap dan sebahagian dinding luar runtuh, (Berita Harian (Singapura), 2 Ogos 2024).  Dua bilik di rumah tamu itu menjadi sasaran kerana Ismail dan pengawal keselamatan menginap di situ. Ismail sudah beberapa bermalam, apabila melawat Teheran. Ertinya, rumah tamu itu adalah penginapan lazim Ismail Haniyeh tatkala berada di Teheran.

Pihak berkuasa Iran sedang melakukan penyiasatan rapi mengenainya kerana rumah tetamu itu seringkali dijadikan lokasi penting beberapa majlis keraian kerajaan, selain menjadi rumah penginapan utama para tetamu. Persekitaran rumah tetamu itu dilaporkan sentiasa dikawal ketat oleh pihak berkuasa Iran (IRGC).

Dalam laporan terbaharu yang dipetik oleh Sputnik, agensi berita Rusia dan disunting kembali Bernama, badan penyiasat Iran percaya bahawa Ismail Haniyeh dibunuh dengan menggunakan peluru berpandu jarak dekat dengan kepala peledak seberat kira-kira tujuh kilogram, yang ditembak dari luar.

Ekoran terbunuhnya Ismail Haniyeh dan pengawal keselamatannya, Hamas menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat melakukan pembunuhan tersebut dan berjanji akan membalas dendam dengan “hukuman yang berat” dan ‘pada masa dan tempat yang sesuai.” (“Peluru berpandu dengan kepala peledak 7kg bunuh Haniyeh”, Malaysiakini, 3 Ogos 2024)

Dengan perkembangan tesebut, konflik di Timur Tengah tidak akan mudah diselesaikan dan bakal mengheret ke tempoh yang lebih panjang. Ekoran Taufan al-Aqsa yang tercetus sejak 7 Oktober, Israel berjaya meratakan bumi Gaza dan kini sedang berusaha pula untuk meratakan Lubnan yang menjadi sekutu kuat gerakan menentang negara haram Israel, yang saling menyokong Hamas dan dibantu oleh Iran.

Hizbullah yang mendapat sokongan Iran juga bertekad untuk mempertahankan bumi Lubnan dan membalas dendam di atas kematian salah seorang komandan kanannya yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada malam sebelum Ismail Haniyeh dibunuh. Komandan itu ialah Fuad Shukr. Israel mengaku bertanggungjawab dan menjelaskan tidak ada serangan berlaku di seluruh Timur Tengah, kecuali di bahagian selatan Beirut. (Berita Harian, 2 Ogos 2024).

Sehingga kini, setelah hampir memasuki bulan ke-11, sejumlah 40,000 warga Palestin terbunuh akibat amukan tentera haram Israel manakala sejumlah 1,200 orang rakyat Israel terbunuh. Kematian lebih besar warga Palestin adalah kerana tindakan agresif tentera Israel menyerang tanpa mematuhi undang-undang antarabangsa, dengan kawasan petempatan awam, kem-kem pelarian, hospital, sekolah dan membedil orang awam yang diarahkan berpindah ke ‘kawasan selamat’. Alasannya, kerana aktivis Hamas bersembunyi di premis dan kawasan terbabit.

Israel sebenarnya seperti ‘anjing gila’, mengamuk tanpa pedulikan amaran masyarakat antarabangsa dan juga keputusan-keputusan yang dibuat oleh organisasi antarabangsa, termasuk PBB sendiri. PBB sebelumnya, melalui keputusan ICJ telah ‘mengarahkan’ Israel menghentikan segera ‘genosid’ dan tidak menyekat sebarang bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Israel juga tidak menghiraukan keputusan yang dibuat oleh ICC yang dengan jelas mengatakan ‘tanah yang diduduki, occupied territories’ diduduki secara haram, dan perlu segera meninggalkannya. Ekoran kemusnahan yang berlaku, Israel diarahkan membayar ganti rugi membumi hanguskan Gaza, Namun keputusan itu tidak menjejaskan apa tindakan selanjutnya akan dilakukan, sebaliknya, Israel terus merasakan dirinya kebal dengan sebarang hukuman serta terus mengganas tanpa rasa bersalah.

Setelah diputuskan agar segera menghentikan perang (baca: menyerang) penduduk Gaza pada pertengahan Mei lalu, Israel tidak pernah berhenti membumiratakan Gaza sehingga tergamak membunuh Ismail Haniyeh di negara lain, iaitu Iran. Sesetengah pihak melihat tindakan tersebut sebagai provokasi untuk mengheret Iran ke kancah perang yang berskala besar, yang tentunya tidak akan mengurangkan bantuan daripada Amerika Syarikat. Juga sebagai ‘sabotaj’ Israel untuk menggagalkan sebarang percubaan rundingan damai dan gencatan senjata.

Amerika Syarikat tentunya lebih gembira apabila Iran terbabit dengan perang, yang akan memungkinkan ‘dendam’ lama dapat dibalas secara tidak langsung dengan menggunakan Israel. Antara dendam lamanya ialah keruntuhan kerajaan boneka selain tersedak aib dengan dakwaan Iran membangunkan senjata nuklear.

Amerika Syarikat turut berdendam dengan Iran kerana secara senyap-senyap negara itu membina kekuatan dalamannya dan sedia bersaing dengan banyak negara dalam banyak perkara, termasuk tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara Barat yang menjadi kuda tunggangan Amerika Syarikat.

Walaupun Amerika Syarikat menggunakan NATO untuk ‘mengawal’ Iran, Amerika Syarikat masih mengawal perjalanan politik dan ketenteraman rakyat Irak dengan alasan demi menjaga keselamatan. Washington bimbang bahawa peranannya sebagai ‘polis dunia’ akan terhapus bila China dan Rusia semakin berpengaruh di TImur Tengah. Rusia bersedia membantu Iran jika negara itu terbabit dengan perang melawan Israel.

China juga tidak akan berdiam diri dalam konflik tersebut kerana Timur Tengah menjadi pasaran produknya yang kian berkembang dan produk keluaran Amerika Syarikat semakin terkucil. Beberapa negara di Timur Tengah juga turut menunjukkan sokongan kepada BRICS, yang sedang berusaha untuk bergerak penyisihan dolar Amerika sepenuhnya dalam setiap urusan perdagangan antara negara yang menyokong dan menjadi ahli.

Begitu juga dengan projek-projek mega di Arab Saudi, sedikit sebanyak telah mengetepikan kebolehan syarikat-syarikat milik rakyat Barat, yang sebelum ini sangat cemburu dengan peningkatan kecekapan konglomerat milik Osama Benladin, Benladin Group. Osama Benladin diburu dan didakwa sebagai ketua pengganas al-Qaeda kerana Amerika Syarikat merasakan kedudukannya sebagai ‘perunding antarabangsa’ sudah tercabar, yang selama ini mereka merupakan gerombolan economic hit man di Timur Tengah. Istilah dan peranan economic hit man dibincang dengan mendalam teknik dan strateginya oleh John Perkins dalam Confessions of Economic Hit Man (2004).

Ismail Haniyeh, yang terkorban dalam usia 62 tahun merupakan orang ke-61 dalam keluarga Haniyeh yang berjaya dibunuh oleh Israel sejak meletusnya Taufan al-Aqsa. Ismail Haniyeh telah mengalami beberapa percubaan bunuh dan menjadi sasaran Israel, termasuk ketika bersama-sama Sheikh Ahmad Yassin pada tahun 2003. Ketika itu, Israel menyerang bangunan di mana Ismail (di Gaza City) dan Sheikh Ahmad Yassin berada, namun, kedua-duanya terselamat apabila berjaya berlindung di bahagian tangga bangunan yang diserang.

Tidak lama kemudian (22 Mac 2004), pengasas Hamas, Sheikh Ahmad Yassin berjaya dibunuh selepas sholat subuh oleh tentera Israel di sebuah masjid di Gaza City. Hamas kemudiannya dipimpin oleh salah seorang pengasas bersama, Dr Sheikh Abdel Aziz al-Rantisi. Abdel Aziz kemudiannya berjaya dibunuh kurang sebulan (17 April 2004) oleh tentera Israel. Serangan udara yang dilakukan itu menyebabkan Abdel Aziz al-Rantisi bersama dua orang pengawal keselamatannya terbunuh apabila tentera udara Israel berjaya menembak sebuah kereta yang mereka tumpangi.

Apabila Hamas memenangi Gaza dalam pilihan raya (2006) yang dirancang oleh Amerika Syarikat dan Israel untuk membentuk ‘kuasa tunggal’ Palestin, yakni memenangkan Fatah (sayap politik PLO), nama Ismail Haniyeh menjadi semakin popular bahkan mengatasi populariti Mahmoud Abas yang menggantikan Yasser Arafat (1929-2004). Yasser kemudianya meninggal dunia pada 11 November 2004 di Clamart, Perancis, yang dikatakan diracuni oleh agen Mossad.

Hamas dan beberapa pertubuhan pembebasan Palestin kemudiannya menjadi saingan kepada PLO setelah rakyat Palestin merasakan mereka telah dikhianati apabila Yasser Arafat menandatangani Perjanjian Oslo (1993), yang dirancang oleh Amerika Syarikat. Hamas melihat perjanjian tersebut sangat merugikan Palestin, dan mendakwa Yasser Arafat telah ‘dibeli’ oleh Israel. Hamas melihat perjanjian itu telah menyebabkan rakyat Palestin hidup dengan simpati Israel dalam pelbagai aspek.

Ilan Pappe, seorang sejarawan baru Israel memberikan analogi menarik perihal ini: Pemilik rumah, rumahnya telah dirampas oleh penjajah (Israel). Penjajah kemudiannya membenarkan pemilik rumah yang asal kembali ke rumah hanya untuk mengambil barang-barang yang ada di dalamnya (milik mereka), tetapi mereka tidak dibenarkan (dihalau) kembali tinggal di rumah milik mereka. Mereka dibenarkan mengambil barang-barang kepunyaan mereka, dengan simpati penjajah. (Noam Chomsky dan Ilan Pappe, Perihal Palestin, terjemahan On Palestin, P.Jaya: Biblio Press-Hashim Sani Centre for Palestin, 2024)

Sebahagian rakyat Palestin melihat kesan Perjanjian Oslo seumpama langkah untuk ‘mengawal’ Palestin dan melegitimasikan ‘kuasa Tel Aviv’ seperti pernah Jerman alami selepas diadakan Perjanjian Versailles (28 Jun 1919), setelah Jerman kalah dalam Perang Dunia I. Jerman dibebankan dengan hutang (membiayai perang yang dirancang oleh Zionis) dan dalam masa yang sama, beberapa orang pemodal Yahudi menawarkan bantuan untuk membangun semula Jerman.

Akibatnya, Hitler melihat ia sesuatu yang sangat menindas, lantas berusaha membangunkan kembali kekuatan dari dalam untuk ‘terus hidup’ dan bersaing. (Sabaruddin Hussein, Konspirasi Yahudi: Peperangan dan Penaklukan, Batu Caves, Selangor: PTS Islamika, 2011). Akhirnya, Hitler menanamkan ‘kekuatan jiwa’ dengan tujuan menaikkan semangat bangsa Aryan, dan bersedia melawan sesiapa sahaja. Namun, yang lebih disasarkan ialah ‘membenci orang Yahudi’ yang suatu pengalaman yang cukup oportunis. Semangat itu terkandung dalam ideologi politik Parti Nazi. Kesannya, cukup parah buat keturunan Yahudi di Eropah.

Palestin tidak menggunakan semangat sebagai ‘bangsa pilihan’ sebagai ideologi politiknya. Sebaliknya mempertajamkan semangat jihad dalam setiap jiwa putera-puterinya. Setelah PLO kurang berjuang dan “dicucuk hidung oleh Israel”, Hamas muncul sebagai kekuatan baharu di Gaza. Gaza telah dijadikan sebagai ‘penjara mega’ binaan Israel sejak mereka memenangi Perang Enam Hari 1967. (Ilan Pappe, The Biggest Prison on Earth, London: A Oneworld Publications, 2017).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »