Awal pagi Rabu (31 Julai 2024) ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Pahlawan, seorang pejuang pembebasan kemerdekaan Palestin, khususnya Hamas telah dibunuh oleh agen-agen Israel dengan serangan peluru berpandu menggunakan drone, di sebuah rumah tetamu di Tehran, Iran. Dalam serangan brutal itu, dilaporkan dua orang terkorban, dan paling mengundang simpati antarabangsa ialah kematian Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas bersama seorang pengawal peribadinya.

Setakat ini, Israel belum mengakui bertanggungjawab mengenai serangan tersebut walaupun Iran sudah mengenal pasti ia dilakukan oleh agen-agen Mossad. Rakyat Israel seolah-olah membayangkan bahawa mereka telah mencapai kejayaan besar dalam misinya melumpuhkan pejuang Hamas, dengan terbunuhnya Ismail Haniyeh. Hal itu dilihat oleh pejuang Hamas sebagai ‘kemenangan singkat’ kerana kemunculan Hamas bukan atas keperluan peribadi seseorang, ia muncul sebagai gerakan perlawanan melawan penjarah dan penjajah yang merampas hak rakyat Palestin.

Keluarga Ismail Haniyeh merupakan penduduk Palestin yang terpaksa hidup di kem pelarian sejak negara haram Israel ditubuhkan pada tahun 1948. Keluarganya berasal daripada Ashkelon. Ismail dilahirkan pada 29 Januari 1962 di kem pelarian al-Shati, Semenanjung Gaza, yang dikawal oleh Mesir, selama dua tahun (1962-1963).

Ismail merupakan graduan Universiti Islam, Gaza. Mulai terbabit dengan Hamas setelah munculnya intifada pada tahun 1987, yakni selepas tamat belajar. Intifada pertama berakhir sebaik sahaja Yasser Arafat menandatangani Perjanjian Oslo (1993). Pada tahun ini juga Ismail dilantik sebagai dekan Universiti Islam Gaza.

September 2000, muncul intifada kedua, yang juga dikenali sebagai intifada al-Aqsa. Sehingga tahun 2005, intifada kedua dilaporkan telah menyebabkan 5,000 penduduk Palestin dan 1,400 rakyat Israel terkorban. Sejak tahun 2003, Ismail meraih populariti yang cukup melonjak dalam kalangan aktivis Hamas. Popularitinya cukup memberikan harapan oleh pengamal media kerana peribadinya yang mudah mesra dan penampilannya setiap kali bertemu dengan mereka.

Selepas kemenangan Hamas di Gaza, Ismail dilantik sebagai PM di bawah pentadbiran Palestinian National Authority PNA. Atas populariti dan karisma kepimpinannya, Ismail akhirnya dikemukakan oleh Hamas sebagai Perdana Menteri dalam kabinet PNA.

Kesan daripada kemenangan Hamas, Israel dan Amerika Syarikat mengisytiharkan Hamas sebagai ‘kumpulan pengganas’ manakala beberapa negara yang sekutu yang menyokong dan membantu untuk Fatah meraih kemenangan merasa kesal dengan apa yang berlaku. Akhirnya, mereka mula berusaha agar Fatah dan Hamas berseteru, kerana dengan perseteruan itu akan membolehkan Israel terus melancarkan provokasi dan penjarahan ke atas rakyat Palestin.

Pada tahun 2017, Ismail Haniyeh dilantik sebagai Ketua Biro Politik Hamas menggantikan Khaled Meshal. Namun setelah menerima jawatan itu, Ismail Haniyeh terpaksa tinggal di luar Gaza bagi mengurangkan tekanan dan buruan serangan tentera Israel, kerana sebelumnya, mereka sudah beberapa kali cuba melakukannya. Beliau memilih Qatar sebagai tempat tinggalnya, manakala anak-anak dan saudaranya kekal tinggal di Gaza.

Zionis Israel mendakwa mereka pemilik asal tanah tersebut, dan mereka telah menggunakan naratif ini untuk melegitimasi penindasan dan genosid yang dilakukan mereka. Namun penipuan ini telah dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Maaidah ayat 78 yang bermaksud:

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibnu Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.”

Mereka merampas Palestin dengan melobi kuasa besar dunia ketika itu melalui pelbagai cara dan perjanjian. Mereka memanipulasi sejarah untuk memperdayakan generasi baharu. Mereka juga sering berselindung di sebalik laungan hak asasi manusia namun sebenarnya merekalah yang bertindak ganas seperti haiwan terhadap rakyat Palestin.

Kekuatan pengaruh ekonomi politik puak Zionis ke atas penguasa khususnya di Barat untuk terus menyokong keganasan mereka. Rakyat Palestin terus diratah tanpa belas kasihan. Selagimana Zionis Israel menguasai Palestin, selagi itulah umat Islam di sana akan hidup merana dan sengsara.

Sejak serangan balas Israel ke atas Gaza, sejumlah 60 orang ahli keluarga Ismail Haniyeh berjaya dibunuh. Paling menyayat hati ialah pembunuhan ke atas tiga orang anak lelakinya, bersama empat orang cucunya sempena sambutan Aidilfitri pada 10 April 2024, di Kem Pelarian al-Shati.

Walaupun tiga orang anak lelaki dan empat orang cucu Ismail terkorban, Ismail Haniyeh tidak berganjak dengan perjuangannya untuk membebaskan Palestin.

Biarpun sedih dan berduka di atas kematian ahli keluarga terdekat dengannya, Ismail Haniyeh berkata: “Ini tidak akan melemahkan kedudukan Hamas di meja rundingan mahupun menggugat perang kita melawan Israel. Musuh sedang berkhayal jika mereka fikir dengan membunuh anak-anak saya, kami akan menukar kedudukan kami. Kami tidak akan mengalah, tidak kira berapa ramai yang terkorban. Semua anggota keluarga besar rakyat Palestin terutama penduduk Gaza, melakukan pengorbanan. Perjuangan mendapatkan kebebasan kami dibayar dengan darah dan nyawa anak-anak kami.”

Kali ini, perang akan menjadi lebih besar, jika tidak dapat dikawal oleh mana-mana pihak, kerana Iran juga sedang bersiap sedia untuk menyerang balas dan menuntut bela di atas kematian ‘sahabat yang baik dan paling dekat’, manakala Hizbullah tidak akan berdiam diri setelah komander kanannya berjaya dibunuh.

Dan tentunya, Palestin akan muncul dengan semangat yang lebih kuat untuk memastikan Israel diberikan pengajaran yang teruk. Usaha damai akan menjadi lebih sukar, namun Israel akan menjadi lebih terkucil di peringkat antarabangsa.

Ismail Haniyeh akan terus dikenang sebagai seorang ahli politik yang pragmatik, berfikiran terbuka dan secara peribadinya seorang yang mesra, perwatakan menarik dan cukup bekerjasama dengan media. Semangat syuhada Ismail Haniyeh akan terus mekar dan mengalir dalam setiap pembuluh darah anak-anak Palestin untuk bangkit dan berjuang melawan penjarah, penjajah dan pelaku genosid yang paling kejam pada Abad ke-21 ini.

“Dan jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. [Ali Imran:169]

Mereka menyangka dengan terhapusnya Ismail Haniyeh maka tamatlah riwayat perjuangan Palestin. Mereka silap sama sekali kerana Ismail Haniyeh hidup dalam hati perjuangan Palestin seperti hidupnya al Shahid Syeikh Ahmad Yassin, al Shahid Abdul Aziz Rantisi dan al Syahid Izzuddin Qassam, serta para syuhada rakyat Palestin yang gugur mempertahankan kemuliaan umat.

“Di   antara   orang-orang   yang   beriman   itu,   ada   yang   bersikap   benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (al Ahzab: 23)”

Catatan: Ibnu Majid

Translate »