Rachel Chrastil, seorang professor sejarah yang menulis buku How to be Childless: History and Philospohy of Life Without Children (2019) menyelusur fenomena pasangan tanpa anak sejak awal kurun ke-16 lagi.

Pada masa itu, pasangan yang tidak mahukan anak adalah wanita sama ada sudah berkahwin atau belum (fenomena di barat hidup bersama tanpa ikatan perkahwinan – cohibitation: living togheter and having a sexual relationship without being married atau fact of living or existing at the same time or in the same place) yang tidak mahu membesarkan anak.

Mereka hidup dalam fenomena pemenuhan keperluan seks dan emosi semata-mata, tanpa ada kecenderungan membentuk keluarga yang lengkap.

Ia merupakan fenomena yang lazim di Eropah, meliputi hampir keseluruhan lokasi. Kehidupan bersama tanpa ikatan perkahwinan adalah atas dasar sukarela dan kebebasan. Pasangan semu itu boleh berpisah bila-bila masa, dan tidak perlu kepada proses penceraian dan penentuan undang-undang – boleh pergi dan datang pada bila-bila masa, apabila antara mereka bersetuju secara sukarela.

Ketika itu, usia perkahwinan rata-rata cukup muda dalam kalangan wanita, tetapi apabila berkembangnya industri, mereka mula menumpukan kepada kerjaya masing-masing sehingga berusaha menjalani pekerjaan di lokasi yang berjauhan.

Ia kemudiannya menyebabkan usia perkahwinan menjadi semakin meningkat, bahkan membawa pula kepada fenomena bersekedudukan lebih baik daripada hidup sebagai pasangan yang sah (berkahwin).

Menurut Chastil lagi, gaya hidup tanpa anak menjadi fenomena biasa pada tahun 1970-an, di mana tekanan kerjaya, perubahan psikologi dan minat, keperluan ekonomi dan peningkatan sara hidup, pembiayaan pendidikan menyumbang kepada perkembangan yang lebih luas.

Hal itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi masyarakat lain, kerana berlaku perubahan kepentingan dalam rencana pembangunan sesebuah negara. Trend yang bermula di barat itu memasuki pelbagai budaya lain ekoran sistem pendidikan sekular yang meletakkan faham kebebasan sebagai inti falsafah.

Juga, pengaruh perkembangan media, yang menampilkan budaya hidup barat yang lebih elegan, ceria dan tidak bermasalah seandainya tidak berlangsung dalam situasi dan nilai kekeluargaan sejati (melalui perkahwinan).

Turut mempengaruhi ialah persoalan-persoalan gender, laluan kerjaya, dan tuntutan ekonomi dalam kehidupan sehingga pasangan yang sepatutnya berkahwin, menangguhkan tarikh perkahwinan mereka.

Fenomena wanita bekerja, yakni mempunyai sumber pendapatan sendiri telah menukarkan perspektif kehidupan, termasuk memilih untuk tidak berkahwin ataupun berkahwin dan tidak memerlukan anak.

Kita mungkin pernah membaca kisah seorang penulis tersohor Jepun, Haruki Murakami. Beliau merupakan penulis novel masa kini yang cukup berjaya, berkahwin dengan rakan di Universiti Wakeda, Yoko Takashi. Umur Murakami ketika ketika itu ialah 22 tahun dan dalam perjanjian antara mereka, mereka tidak ingin hadirnya anak dalam kehidupan, walaupun seorang.

Kini, Murakami berusia 75 tahun, dan secara logiknya, jika mereka membuat keputusan mendapat anak, kemungkinan adalah sangat tipis. Dari perspektif kesihatan, pasangan yang berusia lebih 50 tahun sukar mendapat zuriat walaupun mereka tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius disebabkan kualiti telur tidak begitu mampu menghasilkan benih.

Setakat ini, tidak ada siapa yang dapat menduga sama ada Murakami dan isterinya menyesal atau terkilan kerana tidak mempunyai anak dalam kehidupan mereka. Apa yang kita ketahui, walaupun mereka ‘enjoy’ berdua, setiap hari Murakami menghabiskan masa dengan menekuni bidang penulisan dan berjoging, Yoko tentunya memiliki rasa sunyi. Mungkin juga membayangkan sesuatu, termasuk kepuasan psikologi diri jika mereka memiliki anak, walaupun mungkin anak itu sudah pun berkeluarga dan tidak tinggal bersama.

Apakah dalam tahun-tahun berikutnya Murakami akan mengalami apa yang pernah ditulisnya dalam novel Kafka on the Shore (2002): But the longer l’ve lived, the more l’ve lost what’s inside me – and ended up empty.” Apakah “inside me” itu termasuk naluri sebagai seorang bapa, walaupun berlaku mengekalkan perkahwinan mereka hingga memasuki usia 75 tahun (53 tahun sebagai pasangan)?

Kekal berpasangan sehingga usia sebegini sangat jarang berlaku di Jepun, dan dilihat sebagai sesuatu yang unik. Penceraian di peringkat usia emas merupakan fenomena yang sangat membimbangkan di Jepun. Menjelang tahun 2050 dianggarkan 47 peratus warga emas tinggal bersendirian. Menariknya lagi, hampir satu pertiga lelaki di Tokyo yang berusia 50 tahun ke atas, tidak pernah berkahwin (2020). (Berita Harian, 12 April 2024).

Atau seperti dalam Norwegian Wood (1987): “But who can say what’s best? That why you need to grab whatever chance you have of happiness where you find it, and not worry about other people too much. My experience tells me that we get no more than two or three such chances in a life time, and if we let them go, we regret it for the rest of our lives.”

Hal yang lain saya perolehi ketika membaca novel popular Korea Selatan, terbitan pertama 2016, Kim Ji-young: Born 1982, karya Cho Nam-Joo. Apa yang saya temui ialah munculnya dilema dalam kalangan wanita yang berkahwin dan mempunyai anak. Novel ini telah dijadikan sebuah drama di TV pada tahun 2019 (dan dramanya telah saya tonton di Netflix).

Ceritanya berkisar pada watak Kim Ji-Young, wanita usia lingkungan 30-an, yang berhadapan dengan pelbagai kenangan lama dan dalam masa yang sama bermasalah untuk membesarkan anak pertamanya. Suaminya, Daehyung bekerja manakala Kin Ji-Young mengelamun jauh tentang kerjaya yang pernah dilakukannya sebelum melahirkan seorang anak.

Di situ kemelut emosi menjadi semakin ganas, sehingga mula menjadi kitaran gangguan yang sangat memilukan, termasuk tekanan untuk membesarkan anak sulongnya, sejarah lampau bercampur antara suka dan duka menjadikan psikologi tidak tenteram.

Akhirnya, Daehyung mencadangkan agar Kim Ji-Young menemui psikitiari dan dalam masa yang sama memikirkan bahawa isterinya mungkin dapat dipulihkan dengan membenarkan dia bekerja semula. Daehyung bersedia mengambil cuti selama setahun untuk menjaga anaknya dan memberikan ruang kepada Kim Ji-Young kembali bekerja.

Namun situasi pasangan itu tidak berjalan mulus, akhirnya Kim Ji-Young diminta untuk meninggalkan kerjayanya yang sedang mencanak naik dan kembali menumpang hidup di rumah keluarga. Setelah menjalani beberapa kali rawatan, Kim Ji-Young menjadi semakin banyak bercakap.

Sebelumnya, Ji-young sentiasa berada dalam situasi murung dan cemas, malah lebih lantang lagi apabila mendapat tahu bekas rakan sekerjanya memperlekehkannya kerana membuat keputusan berhenti kerja pada ketika prestasinya sedang memuncak.

Fenomena sedemikian menjadi suatu budaya kecil yang semakin berkembang di Korea Selatan. Perkembangan itu juga menyebabkan Korea Selatan merupakan salah sebuah negara yang mengalami kadar penceraian yang tinggi, juga jumlah mereka yang tidak berkahwin meningkat naik.

Korea Selatan juga semakin berhadapan dengan tingkat kesuburan yang rendah dan sistem kekeluargaan yang semakin punah. Fenomena mati bersendirian, kehidupan tanpa pasangan dan jika mempunyai pasangan, hasrat tidak memiliki anak semakin menjadi trend.

Hal seperti ini sudah lama berlaku di Jepun. Bahkan, kalau dilihat dari sudut yang lain, Jepun merupakan salah sebuah negara yang cukup banyak menghasilkan filem-filem porno pendek, yang mengisahkan perihal perselingkuhan antara wanita dan lelaki. Tuntutan seks menyebabkan perselingkuhan berlaku, tapi bukan tujuan mendapatkan zuriat.

Filem-filem pendek dari Korea Selatan pula banyak mengisahkan tentang hubungan kekeluargaan yang bermasalah, termasuk kisah romantik tanpa ikatan perkahwinan. Mood romantik itu sebagai gambaran bahawa institusi keluarga di Korea Selatan dan falsafah kehidupan keluarga di Jepun sudah jauh berbeza.

Kini, dua negara tersebut berhadapan dengan situasi kekurangan generasi muda, dan dikenalpasti sebagai negara tua. Kadar kesuburan dalam kalangan wanita Jepun dan Korea Selatan semakin rendah, menyebabkan beberapa dasar bagi menggalakkan kelahiran semula jadi mula diberikan penekanan, akibat bimbang, industri akan terbantut akibat kekurangan pekerja pada masa hadapan.

Negara akan mengalami jumlah penduduk berusia (warga emas) yang besar, dan akan meningkatkan perbelanjaan untuk menampung penjagaan kesihatan warga tua, juga keselamatan mereka akibat lebih ramai hidup bersendirian, penceraian pada usia tua turut menjadi fenomena yang sangat membimbangkan.

Di Malaysia, beberapa bulan lalu tular sebuah video yang memaparkan satu pasangan muda secara terbuka merasakan kehidupan mereka boleh dilanda masalah sekiranya mempunyai anak. Atas sebab itu, pasangan tersebut bersetuju untuk tidak ada anak dalam kehidupan mereka.

Seperti diterangkan oleh wanita berkenaan dan disokong oleh suaminya. Mereka berdua tidak mahu kehadiran walaupun seorang anak dalam hidup. Kehadiran anak akan mengakibat aktiviti ‘keharmonian pasangan’ terjejas, selain menjadi halangan kerjaya dan membebankan ekonomi rumah tangga.

Beban yang sangat disebut-sebut ialah mengenai kos yang terpaksa ditanggung, seperti pembelian lampin pakai buang (atau disebut pampers), pembelian susu yang semakin mahal, kos rawatan kesihatan, kos penjagaan (nursery atau pembantu rumah), dan sebagainya diambil kira.

Namun, dalam penjelasan tersebut tidak dinyatakan bahawa dengan mempunyai anak, kehidupan pasangan akan menjadi lebih lengkap. Dengan mempunyai anak, pasangan akan berkongsi emosi dalam penjagaan dan membesarkan anak-anak.

Hakikatnya, sesebuah pasangan yang berjaya membesarkan anak dengan pendidikan yang baik, berdasarkan kehendak agama, ia akan mendatangkan suatu petanda yang cukup besar dan membanggakan.

Nasihat para ulama, jika sesebuah pasangan berjaya mendidik anak menjadi solehah, perut ibu yang mengandung selama lebih sembilan bulan ‘menjadi sejuk’ dan apabila pasangan atau salah seorang ibu bapa meninggal, doa dan amalan sholeh seorang anak akan membantu ibu bapa ke syurga. Ertinya, dalam Islam kehadiran anak sangat penting, bukan sahaja sebagai petunjuk kesempurnaan fitrah seseorang, ia juga menjadi jalan ke syurga atau pun di sebaliknya.

Ini kerana, anak dalam pandangan Islam merupakan amanah yang dititipkan oleh Allah SWT sebagai wadah untuk memperlihatkan sejauhmanakah sesebuah pasangan itu mampu menjadikan ia sebagai seorang yang sholeh atau di sebaliknya. Dalam Islam. ada perumpamaan, setiap anak dilahirkan dengan suci bersih, seperti kain putih.

Ibu bapa atau pasangan itulah yang menentukan corak dan warna kain putih itu. Apakah kain putih itu akan menjadi sebuah lakaran yang berwarna-warni dan bercorak-corak atau kekal menjadi selembar kain putih yang terpelihara keputihan atau kebersihannya.

Imam al-Ghazali menjelaskan, terdapat lima manfaat dalam pernikahan: (1) mendapat zuriat; (2) meredam syahwat secara halal; (3) menguruskan rumah tangga; (4) bercengkerama dengan pasangan; dan (5) berjihad melawan nafsu saat melaksanakan keempat manfaat tersebut.

Mengenai manfaat dikurniakan zuriat, ialah mempertahankan keturunan. Sebab itulah Allah SWT mencipta lelaki dan perempuan, kerana dari penyatuan dua jantina yang berbeza itulah keinginan syahwat dapat dipenuhi, dan ia merupakan salah satu nikmat kasih sayang Allah SWT bagi setiap makhluk hidup.

Namun, dalam mengharungi kehendak syahwat, ia perlu berlaku dalam suasana yang tidak saling menyeksakan – ganas dan paksaan – setelah pasangan itu diijabkabulkan. Ia berbeza dengan binatang, tidak ada konsep ijab kabul antara jantan dan betina, bebas melakukannya. Namun, dalam psikologi binatang, yang betina adalah lebih dominan untuk membenarkan seks berlangsung.

Seks antara binatang kadangkala hadir dalam situasi yang bermusim – atau dikenali sebagai musim mengawan – tetapi dalam kalangan manusia, ia hanya terhalang bila dalam keadaan salah seorang mengalami keuzuran (seperti ketika haid, melahirkan anak (berpantang), kesakitan (tidak sihat dan kelesuan), kehidupan berjauhan (pasangan jarak jauh), kesibukan tugas dan juga ruang yang tidak mengizinkan (khalayak ramai atau di depan orang lain) serta dalam situasi mood yang tidak baik.

Selain seks sebagai pengikat kelangsungan pasangan, kehadiran anak juga menjadi pengikat yang kuat kelestarian pasangan. Ini kerana, pasangan bertanggungjawab kepada anak-anak mereka, ia adalah amanah yang berdosa jika diabaikan.

Jelas Iman al-Ghazali, “Allah SWT mengatur tatanan kehidupan termasuk menjaga keturunan melalui hubungan intim –lelaki dan perempuan dalam pernikahan – dan ini membuktikan kebijaksanaan-Nya dalam mengatur, menyempurnakan keajaiban-keajaiban ciptaan-Nya, dan melaksanakan seluruh kehendak-Nya yang sudah Dia tetapkan sendiri.

Dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah dengan bertawasul [mengharapkan kebaikan dan pertolongan di hari akhirat] dengan empat sebab kenapa dianjurkan untuk menikah: (1) keinginan mendapatkan anak harus diselaraskan dengan kecintaan kepada Allah, dalam rangka menjaga kelangsungan manusia; (2) Diniatkan mendapat kecintaan Rasulullah SAW dalam rangka memperbanyakkan umat yang akan menjadi kebanggaan baginda di hadapan umat-umat yang lain; (3) Mencari keberkatan melalui doa anak sholeh setelah dirinya meninggal dunia; dan (4) Mencari syafa’at dengan kematian anaknya jika mati ketika masih kecil.” (Imam al-Ghazali, Nasihat Pernikahan: Menuju Keluarga Samawa, terjemahan kitab Adab an-Nikah wa Kasr as-Syahwatain oleh Fuad Syaifudin Nur, Jakarta: PT Rene Turos, cetakan ketiga, 2021, hal. 19-21).

Ertinya, tujuan pernikahan bukan semata-mata memenuhi tuntutan seks. Seks merupakan keajaiban yang Allah SWT berikan kepada manusia (juga makhluk hidup) sebagai pengikat kasih sayang dan penyambung generasi. Seperti yang kita sedar, setiap yang hidup itu akan mati, maka ia perlu digantikan yang baharu (zuriat) bagi menentukan kehidupan seterusnya terus berlangsung. Jika kehidupan tanpa zuriat, bererti kehidupan itu akan menyebabkan kepunahan, tidak ada pewaris dan penyambungnya.

Sebab itulah falsafah perkahwinan yang dianuti oleh pasangan terbabit menerima kecaman yang hebat dalam kalangan masyarakat, termasuk netizen. Sebab itulah mungkin telah mendorong Harian Metro keluaran 9 Julai 2024 membicarakan persoalan tersebut dari pelbagai sudut dalam lima laporan atau rencana yang diterbitkan dibawah tajuk ‘Sindrom’ hanya kami berdua.”

Saya tidak berhasrat mengulas laporan-laporan tersebut yang cuba menyelami fenomena tersebut dalam perspektif agama, sosial dan pandangan psikologi (kaunselor).

Empat lagi diberikan tajuk “Jangan normalisasikan trend Barat”; “Serabut kalau ada anak”; “Saya enjoy, hidup gembira berdua dengan suami”; dan, “Bercanggah tuntutan Islam jika hanya nak kebebasan”. Kesemua rencana-rencana ini memberikan fokus kepada gaya hidup, atau lifestyle yang semakin diterima atau menjadi pilihan generasi baharu, atau generasi milenia (atau generasi Y, mereka yang lahir antara 1995 dan 2000-an) dan juga generasi Z (yang lahir awal tahun 2000) .

Ini bermakna generasi Y dan Z sudah berumur di atas 20 tahun, tempoh kesuburan kemuncak bagi seseorang perempuan dan tempoh selamat melahirkan zuriat untuk kali pertama. Sebahagian daripada mereka sudah berkahwin, namun ada sebahagian lagi masih membujang.

Pelbagai alasan kenapa belum berkahwin. Antaranya masih belajar, belum ada pekerjaan tetap walaupun sudah tamat belajar, belanja kahwin yang tinggi (ada wanita meletakkan maskahwin RM 10 juta, ada juga kerana ada kelulusan universiti, maskahwin ialah RM 100,000), tuntutan membantu adik-adik dan ibu bapa, belum berjodohan namun tidak kurang juga berpandangan, keutamaan mencari kestabilan ekonomi dan berkahwin bila-bila pun boleh (bagi lelaki).

Kalau dalam istilah sosial, mereka yang mencecah umur 30 tahun dan belum berkahwin bagi perempuan dipanggil andartu, anak dara tua. Bagi lelaki, jika tidak berkahwin setelah memasuki usia 40 tahun, dipanggil bujang terlajak. Namun, istilah-istilah itu yang asalnya mensintesiskan sindiran, kini tidak lagi menjadi sebutan yang meluas dan kurva kutukan sosial (social blaming curve).

Bagi wanita, setelah memasuki umur 30 tahun, kalau belum berpunya situasinya cukup berbeza, walaupun kini pandangan serong sudah semakin kabur. Soalnya, kata Imam al-Ghazali, “tidak ada nukilan hadis dari seorang pun yang menganjurkan untuk tidak menikah secara mutlak, kecuali anjuran itu disertai alasan. Sedangkan motivasi atau anjuran untuk menikah, jelas selalu bersifat mutlak dan terkadang disertakan pula dengan suatu alasan, Tugas kita menyingkap dan menelusuri sisi positif dan negatif pernikahan.”

Walaupun Islam menggalakkan setiap lelaki dan wanita berkahwin, hidup membujang sepanjang hayat tidak pula merupakan tindakan yang diharamkan. Banyak sebab kenapa setiap orang terus hidup membujang.

Antaranya trauma masa lalu (ditinggalkan kekasih), penceraian dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan dan kenalan terdekat, ketidakmampuan akibat kesihatan, ekonomi dan gangguan psikologi.

Al-Ghazali mengutip jawapan Ibnu Salim ketika ditanya mengenai pernikahan: Pernikahan merupakan perkara penting di zaman kita ini, terutama bagi yang memiliki berahi kuat, seperti keldai jantan melihat keldai betina – ia tidak akan selesai memandangnya kecuali dengan bersetubuh, dan ia tidak mampu menahan dirinya. Akan tetapi jika ia mampu untuk menahan dirinya, maka tidak menikah tentu lebih baik.

“Kedua, tidak mampu memenuhi hak-hak para isteri, juga tidak mampu bersabar atau akhlak mereka. Ada kemungkinan seorang lelaki akan disakiti oleh mereka. Berbeza dengan kesulitan pertama [sulitnya mencari nafkah yang halal] kerana kemampuan mengatasi kesulitan ini lebih ringan daripada kesulitan pertama.

Memperhalus sikap terhadap isteri dan memenuhi hak-haknya lebih mudah daripada mencari nafkah yang halal. Akan tetapi, dalam hal ini juga berbahaya kerana suami sebagai pemimpin rumah tangga pun akan ditanya kepimpinannya.” (Al-Ghazali, Nasihat Pernikahan, hal. 64).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »