Pergerakan kumpulan radikal di kalangan umat Islam masa kini semakin hari kian ketara. Wujudnya  kumpulan ini adalah hasil daripada kejahilan  atau kurang prihatin terhadap asas ajaran Islam terutamanya berkaitan dengan Rukun Islam dan Rukun Iman. Apabila dikaji corak pemahaman dan ideologi mereka jelas menunjukkan bahwa mereka mengenepikan asas Rukun Islam dan Rukun Iman yang merupakan fundamental ajaran Islam yang sepatutnya difahami secara terperinci oleh umat Islam keseluruhannya. Kegiatan kumpulan radikal  bukan merupakan perkara baru dalam dunia Islam. Ia telah bermula sejak pertengahan abad ketujuh Masihi. Sejarah menunjukkan bahwa kumpulan pertama yang membawa ideologi radikal dan menghukum kesemua umat Islam yang tidak menyokong ideologi mereka sebagai kafir ialah Khawarij.

Wujudnya kumpulan ini adalah hasil daripada kekecewaan mereka terhadap pergeseran politik di kalangan umat Islam ketika itu iaitu di antara Saidina Ali dan Mu’awiyah. Ideologi radikal yang dianuti oleh kumpulan ini amat merbahaya sehingga mereka sanggup melakukan  jenayah seperti membunuh umat Islam yang bukan ahli kumpulan mereka. Ideologi radikal yang menjadi akidah mereka amat merbahaya kepada agama dan umat Islam keseluruhannya. Kumpulan ini ditentang oleh Saidina Ali dan Muawiyah kerana ideologi mereka bertentangan dengan akidah Islam sehingga sanggup melakukan jenayah  seperti membunuh dan merampas isteri serta anak-anak umat Islam yang dianggap sebagai kafir.

Bentuk dan corak pemikiran dan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan radikal Islam masa kini amat ketara dipengaruhi oleh ideologi Khawarij. Kekejaman yang dilakukan oleh golongan Khawarij terhadap umat Islam yang bukan ahli kumpulan  mereka  menjadi model kepada golongan radikal Islam masa kini. Kegiatan golongan radikal Islam merampas wanita Islam yang bukan daripada kumpulan mereka untuk dijadikan tebusan dan seumpamanya merupakan ciri-ciri kegiatan golongan Khawarij. Kegiatan begini merupakan  amalan kumpulan Khawarij Muhakkimah yang menyatakan bahawa mereka mempunyai hak untuk menawan anak-anak dan isteri umat Islam yang bukan dari golongan Khawarij  serta merampas harta benda mereka. Golongan Neo-Kharijites (golongan radikal masa kini yang menganuti ideologi Khawarij) amat aktif masa kini terutamanya di negara-negara Islam yang miskin dan menghadapi pergolakan politik.

Dalam era globalisasi di mana teknologi komunikasi begitu canggih maka pelbagai ideologi mudah disebarkan melalui media masa  seperti internate, facebook ,twitter dan sebagainya. Golongan radikal Islam sering menggunakan slogan jihad dan mati syahid untuk menarik ramai golongan remaja dan pelajar menjadi ahli kumpulan mereka. Pergerakan radikal yang bercirikan Khawarij sudah mula merentasi sempadan geografi untuk memperluaskan pengaruh dan ideologi mereka. Pergolakan politik yang berlaku di negara-negara Arab dan negara Islam yang lain merupakan salah satu medan pertempuran yang paling baik bagi  mereka untuk menunjukkan kepada dunia bahawa penglibatan mereka dalam peperangan tersebut ialah untuk mendapat kuasa bagi membentuk negara Islam.

Hakikatnya, kegiatan mereka dalam pergolakan politik lebih menjurus kepada kekejaman daripada keadilan dan kemanusiaan. Kegiatan membunuh orang awam dan mengebom diri bagi membunuh musuh lebih memberi mudarat daripada manfaat. Prinsip dan konsep pertempuran dan peperangan dalam Islam tidak diamalkan oleh mereka. Cara mereka mengendalikan pertempuran dan peperangan tidak ada perbezaannya dengan pemimpin politik yang korap dan kejam dalam negara mereka. Kehadiran golongan radikal bukan menjadi simbol kepada keamanan dan keadilan malah ia lebih menjurus kepada kekejaman dan tidak berperi kemanusiaan. Jika mereka menghayati ajaran Islam dan mempunyai semangat jihad seperti yang dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran maka tindak tanduk dan kegiatan mereka menepati hukum syariah Islam.

Kumpulan golongan Neo Kahrijites ini amat berpengaruh di kalangan umat Islam yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan Islam secara komprehensif seperti enginer, doktor dan seumpamanya. Kecetekan ilmu pengetahuan agama dan hukum hakam berkaitan dengan politik dan peperangan menyebabkan strategi dan tindakan mereka bertentangan dengan konteks ajaran Islam dan konsep kemanusiaan.

Pergolakan politik dan kekejaman regim terhadap rakyat, korapsi dan kemiskinan menyebabkan ramai para pelajar, golongan muda dalam negara-negara Timur Tengah bangun memberontak menentang kerajaan. Dalam keadaan tertekan dan kekecewaan mereka menubuhkan pergerakan Islam yang radikal bagi menggulingkan regim dalam negara mereka. Kewujudan kumpulan Takfir wal-Hijrah dan Tanzim al-Jihad di Mesir adalah hasil daripada kekejaman regim terhadap ahli-ahli pergerakan Islam dalam negara tersebut. Penyiksaan fizikal yang menyebabkan kematian dan kecacatan ahli-ahli pergerakan Islam di dalam penjara memberi kesan saikologi yang mendalam kepada mereka apabila dibebaskan daripada penjara.

Pengalaman pahit yang amat menggerunkan ahli-ahli pergerakan Islam di dalam penjara merupakan satu fenomena dalam dunia Arab. Oleh itu pergerakan radikal Islam paling aktif dalam negara-negara tersebut.  Pergerakan-pergerakan  radikal  kurang diminati oleh graduan yang berkelulusan dalam bidang agama kerana ideologi  dan tindakan kumpulan ini bertentangan dengan konteks ajaran Islam. Ulamak dan Ikhwan Muslimun Mesir menolak pergerakan tersebut dan beranggapan bahwa tindakan golongan radikal ini tidak memberi kesan positif terhadap masyarakat dan negara malah ia memberi peluang kepada regim menangkap dan membunuh ahli-ahli pergerakan Islam yang bercirikan moderate dan kebajikan sosial  seperti Ikhwan Muslimun.

Umat Islam yang mempunyai latar belakang pendidikan Islam secara komprehensif menolak pergerakan radikal kerana para pemimpin pergerakan ini menafsirkan ayat-ayat al-Quran secara membuta tuli berdasarkan kepada kefahaman dan logik akal mereka tanpa melihat kepada konteks ajaran al-Quran dan disiplin menafsirkan ayat-ayat al-Quran. Cara mereka menafsirkan ayat-ayat al-Quran dan tindakan mereka adalah sama dengan golongan Khawarij  pada akhir abad ke-tujuh Mesihi. Kejahilan mengenai konsep dan perundangan peperangan dalam Islam menyebabkan mereka bertindak berdasarkan kepada ideologi pergerakan dan semangat jihad yang terkeluar daripda konteks ajaran Islam.

Setiap pergerakan radikal beranggpan bahwa pergerakan mereka adalah pergerakan Islam yang terbaik. Contohnya ,  Ahmad Shukri Mustafa, pemimpin Jamaat Muslim Mesir yang dikenali sebagai Takfir wal-Hijrah menyatakan bahwa pergerakannya merupakan pergerakan Islam yang pertama dalam abad ini. Orang yang tidak menyokong pergerakan mereka adalah kafir. Beliau beranggapan bahwa pergerakan-pergerakan Islam yang lain termasuk Ikhwan Muslimun adalah murtad atau kafir. Beliau mencemuh Ikhwan Muslimun Mesir dengan dakwaan bahwa persatuan itu tidak dianugerahkan oleh Allah kuasa dimana keadaan ini boleh membuktikan bahwa persatuan tersebut bukan benar dan sah sebagai pergerakan Islam.

Pergerakan Takfir wa-Hijrah menegaskan bahwa nyawa dan harta benda orang kafir termasuk umat Islam yang tidak menyokong pergerakan mereka adalah kepunyaan orang Islam (Takfir wa-Hijrah). Ahli-ahli Takfir wal-Hijrah yang keluar daripada pergerakan mereka adalahkafir dan hukumannya ialah dibunuh. Mereka juga mendakwa daging yang diimport dari negara-negara Islam yang lain adalah tidak halal kerana ia datang dari negara kafir.

Pemimpin Takfir wa-Hijrah juga mengharamkan ahli-ahlinya daripada belajar di institusi pendidikan kerajaan walaupun institusi tersebut mengajar pengajian Islam kerana pada anggapan mereka  institusi tersebut ditubuhkan oleh Taghut (syaitan di muka bumi). Pergerakan ini juga menegaskan bahwa kepercayaan kepada Allah menuntut dua perkara iaitu pertama, pemisahan pasangan suami isteri sekiranya salah seorang bukan merupakan ahli pergerakan sepenuhnya. Kedua, pemisahan institusi agama dan sosial dengan masyarakat jahiliyyah (umat Islam yang bukan ahli kumpulan mereka) secara menolak atau menghindarkan diri daripada  bersembahyang di masjid-masjid yang ditubuhkan oleh kerajaan  dan bersembahyang dibelakang imam yang bukan dari ahli kumpulan mereka. Ahli-ahli pergerakan ini diharamkan bersembahyang di belakang iman yang bukan ahli mereka disebabkan mereka beranggapan bahwa imam-iman tersebut adalah munafik dan tidak diterima oleh Allah.

Kajian menunjukkan bahwa kebanyakan ahli-ahli pergerakan radikal ini bukan  terdiri individu berpendidikan Islam tetapi mereka adalah berlatar belakang pendidikan konvensional seperti graduan dalam jurusan sains, engineer, doktor dan seumpamanya. Pemimpin Takfir wal-Hijrah Mesir, Ahmad Shukri Mustafa adalah graduan berkelulusan dalam bidang pertanian dan menubuhkan pergerakannya di Asiut. Pemimpin-pemimpin Tanzim al-Jihad (Jama’ah Islam Mesir) bukan berlatar belakang pendidikan Islam secara komprehensif seperti Muhammad Abd Salam Faraj adalah dari golongan kelas pertengahan, Kolonel Abbud al-Zumur dan Lieutenant Khalid Islambuli adalah dari golongan atasan luar bandar. Kedua pemimpin ini mempunyai ahli keluarga yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.

Kebanyakan ahli-ahli keluarga Khalid Islambuli adalah terdiri mereka yang  berpendidikan tinggi dalam bidang professional. Terutamanya dalam bidang undang-undang. Sebahagian daripada keluarganya adalah di kalangan pegawai yang berjawatan tinggi dalam ketenteraan. Begitu juga dengan Kolonel Abbud al-Zumar, bapa saudaranya ialah berpangkat jeenral dalam ketenteraan dan meninggal dunia dalam peperangan Oktober 1973, seorang lagi bapa saudaranya ialah ahli Majlis Syura dewan Parlimen Mesir,dan ramai ahli keluarganya menjadi ahli parlimen Mesir sebelum dan selepas Rovolusi July 1952.

Pergerakan Tanzim al-Jihad amat kecewa dan dengan pemimpin dunia Islam masa kini sehingga mereka beranggapan bahwa kesemua pemimpin negara Islam  adalah murtad kerana mereka gagal melaksanakan hukum hakam Islam dalam negara. Mereka berpendapat bahwa jihad perlu dilaksanakan untuk menentang orang yang berpura-pura menjadi Islam, pemerintah, ulamak Mesir, penyembah berhala dan orang Islam yang takut kuasa selain daripada kuasa Allah. Mereka menegaskan  bahwa pemimpin-pemimpin yang agal melaksanakan undang-undang Islam adalah murtad seperti Tartar ketika zaman Imam Ibn Taymiyya. Kesemua pemimpin ini perlu dihukum bunuh kerana murtad dan dosa mereka lebih besar daripada orang kafir. Mereka mengatakan bahawa kesemua pemimpin ini menunaikan sembayang hanya untuk menunjukkan kepada orang ramai bukan atas kesedaran untuk menjadi Islam. Mereka juga adalah golongan nasionalis yang menyebabkan kuasa barat menguasai negara Islam.

Ideologi yang dianuti oleh Tanzim al-Jihad ini adalah sama dengan ideologi kumpulan Khawarij yang menghukum orang Islam yang bukan daripada kumpulan mereka sebagai kafir. Corak pemikiran dan tindakan mereka sama dengan kumpulan Khawarij Azraqah yang mengamalkan istirad (menyoal orang Islam bukan daripada ahli kumpulan mereka secara terperinci mengenai keimanan mereka) sebagai cara untuk mengkafirkan orang Islam yang lain. Kumpulan Khawarij ini apabila menemui individu Islam mereka bertanya mengenai kepercayaannya terhadap Islam. Sekiranya orang tersebut mengatakan dia adalah orang Islam maka lantas dibunuhnya orang itu kerana mereka percaya bahwa ahli kumpulan mereka sahaja Islam. Mereka mengharamkan ahli kumpulan membunuh sesiapa sahaja yang mengaku dirinya Yahudi, Kristian atau Magian walaupun dia seorang Islam. Mereka juga mengamalkan mihna (menguji kesetiaan ahli terhadap kumpulan mereka) dimana sesiapa yang ingin menjadi ahli kumpulan tersebut dipaksa membunuh individu yang dipenjarakan oleh mereka. Jika individu tersebut membunuh orang dalam penjara maka beliau disahkan menjadi ahli kumpulan. Jika beliau ingkar berbuat demikian maka beliau dianggap sebagai munafik dan kafir dan hukumannya ialah dibunuh.

Berdasarkan kepada penjelasan berkaitan dengan pergerakan Islam radikal maka umat Islam masa kini  cuba menghindarkan diri daripada terjebak dalam agenda dan kegiatan sebarang pergerakan Islam yang bercirikan keganasan dan tidak berperikemanusiaan. Ideologi menghukum orang Islam sebagai kafir adalah bertentangan dengan konteks ajaran Islam yang sebenarnya. Perbuatan demikian bukan sahaja dimurkai oleh Allah maka ia juga boleh mencemarkan keindahan ajaran Islam.

Pergolakan politik dan kekejaman regim terhadap rakyat yang berlaku di negara-negara Islam tertentu perlu dijadikan iktibar oleh masyarakat dalam negara ini. Apabila hak rakyat diketepikan,kekejaman merupakan fenomena sistem pemerintahan negara maka remaja dan masyarakat yang kurang memahami ajaran Islam secara komprehensif akan bangun memberontak dengan pelbagai cara dan tindakan.  Laungan jihad dijadikan slogan untuk menjatuhkan regim, pelbagai ideologi dicipta untuk menarik perhatian remaja menyertai jihad walaupun ideologi dan tindakan mereka  bertentangan dengan konteks ajaran Islam.

Masyarakat dalam negara ini sepatutnya memahami bahwa pergolakan politik di negara-negara Arab dan lain hanya difahami oleh rakyat dalam negara tersebut. Mereka lebih arif bagaimana untuk mengendalikan urusan politik dan permasalahan negara mereka. Penglibatan umat Islam Malaysia dalam pergolakan politik secara mengangkat senjata bersama kumpulan radikal di negara-negara tersebut tidak boleh dianggap sebagai jihad kerana tindakan mereka terhadap umat Islam di kawasan yang ditawan oleh mereka adalah bertentangan dengan konsep jihad dalam perspektif Islam. Kekejaman dan sikap tidak berperikemanusiaan yang dipertonjolkan oleh mereka bukan menunjukkan mereka perwira Islam malah ia menggambarkan kumpulan tersebut sebagai pengikut kumpulan Khawarij yang ditentang oleh Saidina Ali dan Muawiyah dalam abad ke-tujuh Mesihi. Takutilah Allah dalam urusan politik, pemerintahan dan pentadbiran. Jika perkara ini diabaikan maka pelbagai kemusnahan akan berlaku.

Oleh: Prof. Madya Dr. Saodah Abd Rahman

Translate »