Jika membaca laporan, seperti laporan banci penduduk atau perubahan demografi, kita sering menemukan bahawa telah muncul fenomena sejagat mengenai kebimbangan negara-negara maju dan sedang membangun mengenai kadar pertambahan penduduk semula jadi yang semakin menurun. Bahkan di sesetengah negara, situasinya dilihat sedang berlaku krisis demografi apabila kadar pertumbuhan mula menjadi negatif.

Antara negara yang mempunyai kadar pertumbuhan negatif ialah China. Berdasarkan data 2024, China mempunyai jumlah penduduk 1,425,178,172 orang, merosot daripada tahun sebelumnya dengan jumlah 1,425,671,352. Kadar pertumbuhan penduduk China mula menjadi negatif pada tahun 2023, dengan negatif 0.02 peratus dan meningkat kepada negatif 0.03 peratus tahun ini. Ertinya, pada tahun 2024, China mengalami penurunan jumlah penduduk seramai 492,570 orang, di mana sebahagiannya disebabkan oleh migrasi (membabitkan 310,866 orang) dan selebihnya kadar kelahiran tidak dapat menampung kadar kematian.

Sejak tahun 2022, India telah merampas kedudukan China sebagai negara yang paling ramai penduduk apabila penduduknya mencecah 1.417 bilion berbanding China seramai 1.412 orang. Pada tahun itu, pertumbuhan bersih penduduk China berada pada tahap 0 peratus manakala India 0.7 peratus. Tahun 2024, India masih mengalami kadar pertumbuhan penduduk positif walaupun kadar kesuburannya juga ikut menunjukkan penurunan.

Kadar kesuburan (2021) di China ialah 1.16 bayi bagi setiap wanita manakala India berada pada kadar 2.03 bayi bagi setiap wanita. (sumber: UN Department of Economic and Social Affairs, World Population Prospects 2024: Summary of Results).

Kadar kesuburan yang rendah diukur berdasarkan purata jumlah anak yang dilahirkan oleh seseorang wanita, yang berada pada tahap sudah bersedia hidup berkeluarga, atau berkahwin. Saban tahun ia mengalami penurunan yang drastik dan menyebabkan dasar dan program, ‘matching’ antara lelaki dan perempuan mula diperkenalkan selain memberikan insentif agar pasangan yang berkahwin segera mempunyai anak.

Kelahiran anak lebih ramai menjadi hal yang sangat diinginkan oleh hampir seluruh negara walaupun pada suatu ketika pola kependudukan sangat dipengaruhi oleh ramalan seorang ahli demografi British, Thomas Robert Malthus (1766-1834).

Malthus dalam teorinya melahirkan kebimbangan mengenai pertambahan penduduk lebih cepat daripada pertambahan makanan dan kerana itu mencadangkan pelbagai kaedah untuk merendahkan kadar kelahiran semula jadi atau kaedah mengurangkan jumlah penduduk.

Antara langkah yang dicadangkan: (1) menggalakkan manusia berperang, kerana dengan berperang, nyawa manusia yang terkorban adalah ramai; (2) melewatkan umur perkahwinan pasangan; (3) melakukan rawatan perancang keluarga, yakni mengurangkan bilangan anak bagi setiap pasangan. Tujuannya ialah untuk mencapai tahap keseimbangan pemakanan (diet), meningkatkan kualiti kesihatan, membina suasana kehidupan yang kondusif, dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga.

Namun, keburukan teori yang dirumuskan oleh Malthus pada tahun 1798 itu elah menyebabkan beberapa buah negara, yang mencapai kemajuan ekonomi berada dalam situasi cemas dan membimbangkan, kerana negara-negara terbabit semakin membesar kumpulan umur warga emas, dan negara itu dikatakan memasuki fasa negara penuaan (ageing society atau country).

Sesebuah negara dipanggil sebagai ‘negara tua’ apabila jumlah penduduk berusia (60 tahun ke atas) mencapai 15 peratus daripada keseluruhan populasi.

Negara tua sangat berkait dengan jangka hayat penduduk di sesebuah negara. Kebiasaannya, umur 60 atau 65 tahun dikategorikan sebagai umur bersara, ertinya kelompok ini tidak lagi aktif sebagai pekerja dan secara teorinya, mereka dibebankan dengan sumber pendapatan yang dikumpulkan oleh mereka yang masih bekerja.

Warga tua kebanyakannya menghabiskan masa di rumah atau dalam keadaan-keadaan tertentu, tinggal bersendirian seperti fenomena ‘kesepian’ – empty nest syndrome, ENS- yang disifatkan sebagai budaya lazim dalam masyarakat, termasuk di Malaysia.

Di Jepun dan Korea Selatan, fenomena ‘hidup sepi’ dan penceraian dalam kalangan pasangan warga emas cukup membimbangkan sehingga berlaku ‘mati keseorangan’ di antara mereka.

Di Malaysia fenomena sedemikian ikut terjangkit kerana golongan berusia kebanyakannya enggan untuk tinggal bersama anak-anak dan di rumah-rumah penjagaan warga tua. Mereka masih mahu kekal tinggal di rumah pusaka, atau rumah yang dibina semasa masih berpasangan.

Jangka hayat penduduk Malaysia menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding lima dekad lalu (1970), di mana puratanya ialah 61.6 tahun bagi lelaki dan 65.6 tahun bagi perempuan kepada 72.5 peratus untuk dan 77.4 tahun bagi perempuan (2023). Dari segi populasi pula, warga tua dijangka akan meningkat kepada 15 peratus pada tahun 2030, dan ini bermakna Malaysia sedang menuju ke negara tua dalam tempoh lima atau enam tahun lagi.

Keadaan ini disebabkan oleh sistem penjagaan kesihatan awam yang semakin baik, kesedaran kesihatan dan gaya hidup sihat yang semakin meningkat, selain tiadanya serangan wabak penyakit yang bersifat epidemik dan pandemik, kecuali di akhir tahun 2019. Hingga kini, rakyat Malaysia masih hidup bertemankan COVID-19. Kematian akibat COVID-19 dan kombinasi dengan lain-lain penyakit ialah 37,165 (setakat 19 Oktober 2022).

Selain itu, penyakit yang menyumbangkan kematian yang tinggi ialah demam denggi manakala penyakit yang tidak berjangkit yang turut menyumbang kematian tinggi dalam kalangan masyarakat awam ialah kardiovaskular (berkaitan dengan masalah jantung), kencing manis, darah tinggi dan pelbagai jenis kanser.

Penyakit-penyakit ini sebenarnya boleh dicegah jika rakyat Malaysia bersedia mengubah gaya hidup, mengawal berat badan berlebihan (obesiti), kurangkan makanan berlemak (dan juga yang diproses, sejuk beku dan makanan segera), berwaspada dalam menu harian tidak mengandungi gula dan garam berlebihan, dan yang lebih penting ialah melakukan senaman sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari (atau berjalan 10,000 langkah setiap kali sebanyak tiga atau empat kali seminggu) serta menjaga kebersihan (kebersihan diri, rumah dan persekitaran).

Dan, dalam masa yang sama, pasangan yang berkahwin semakin berkeinginan mempunyai bilangan anak yang lebih kecil berbanding generasi sebelumnya, yang dalam pemenggalan evolusi kependudukan atau kemasyarakatan dipanggil ‘baby boom’ dan juga ‘pra-industri’.

Pada zaman revolusi industri, masyarakat lebih menumpukan kepada keperluan ekonomi, maka berlakulah program penjarakan setiap anak melalui metod perancangan keluarga dengan pelbagai alasan dan teknik berkat kemajuan bidang perubatan.

Penjarakan anak kemudiannya berubah lagi menjadi dasar setiap pasangan mempunyai bilangan anak yang lebih kecil. Misalnya Singapura mengehadkan setiap pasangan dengan seorang anak dan Indonesia dengan dua orang anak.

China mengehadkan setiap pasangan mempunyai seorang anak, kerana ketika itu ekonomi China masih tidak terbuka, hanya pada akhir tahun 1980-an, dasar ekonomi berubah menjadi lebih terbuka, memberikan ruang dan peluang kepada pelaburan asing luar.

Ini telah meningkatkan pertumbuhan ekonomi China dan meningkatkan pendapatan penduduk sehinga negara itu muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar selepas berjaya mengambil alih kedudukan Jepun (2000). Pada tahun 2022, China sekali lagi memintas eksport Jepun dalam pasaran automotif antarabangsa (Jepun mengeksport 954,185 buah kenderaan dan China, 1.07 juta kereta).

Kepesatan ekonomi domestik China dan agresifnya pelaburan di kebanyakan negara menyebabkan keperluan sumber tenaga semakin kritikal, dan akhirnya China mengubah dasar mengehadkan setiap pasangan dengan satu anak kepada dua atau tiga orang.

Dasar tersebut akhirnya disedari semakin memburuk apabila berlaku ketidakseimbangan demografi di mana proses penggantian penduduk berdasarkan faktor semula jadi, iaitu kadar kelahiran bayi tidak dapat mengatasi jumlah kematian.

Juga berlaku situasi di mana kadar kematian yang rendah kesan peningkatan sistem penjagaan kesihatan dan kesedaran awam gaya hidup sihat yang tinggi, menjadikan negara mengalami ciri-ciri penuaan. China, Jepun, Korea Selatan sudah ditakrifkan sebagai negara tua.

Golongan muda yang ada tidak dapat menampung keperluan industri dan perkhidmatan sehingga menyebabkan banyak negara sangat mengharapkan kemasukan imigran bagi menjamin kelestarian pertumbuhan industri dan ekonominya.

Ertinya, negara memerlukan tenaga kerja, dan tenaga kerja itu adalah dalam kalangan orang muda manakala golongan yang berusia tidak lagi menjadi sumber tenaga manusia yang aktif dalam situasi sedemikian.

Jika diambil contoh Singapura. Singapura merupakan sebuah negara kecil dari segi saiznya, tetapi menyumbang kepada kemakmuran ekonomi yang besar bahkan menjadi salah sebuah negara yang tinggi pertumbuhannya di dunia.

Namun, di sebalik kemakmuran tersebut, masalah tenaga kerja semakin kritikal sehingga sangat bergantung kepada pekerja asing.

Singapura yang gagal dalam program dan dasar kependudukannya mula membuat perubahan dasar, menambahkan bilangan anak bagi setiap pasangan, melakukan padanan pasangan untuk membolehkan mereka berkahwin dan memberikan insentif tertentu, termasuk diskaun pembelian rumah, rawatan kesihatan dan sebagainya.

Hal yang sama turut berlaku di Malaysia, walaupun pernah mempunyai dasar 70 juta penduduk. Pertambahan itu bukan secara pemberian taraf kewarganegaraan kepada imigran, sebaliknya dengan cara pertambahan semula jadi, iaitu meningkatkan kadar kelahiran.

Sebab itulah Malaysia tidak ada dasar mengehadkan bilangan anak, namun dalam perkiraan tersebut, purata setiap keluarga mempunyai lima orang anak, hasrat itu akan tercapai dalam tempoh 100 atau 120 tahun. Jika perancang keluarga dilakukan oleh pasangan, kebanyakannya diambil dengan tujuan menjarakkan kelahiran atau mengecilkan saiz anak dalam keluarga.

Namun, sejak dasar itu diperkenalkan pada awal tahun 1980-an, purata setiap keluarga mempunyai lima orang anak semakin tidak kesampaian. Ia disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kepentingan kerjaya, peningkatan wanita dalam sektor pekerjaan, tuntutan pekerjaan yang memungkinkan berlakunya fenomena pasangan jarak jauh, kos penjagaan setiap orang anak, keperluan pembantu rumah, masalah perumahan mampu milik, peningkatan kos sara hidup, keperluan rekreasi dan rawatan diri, pembahagian waktu antara kerja-keluarga dan layanan terhadap anak-anak, kos pendidikan dan sebagainya.

Berdasarkan laporan banci penduduk, ketika ini (Suku Pertama 2024) Malaysia mempunyai jumlah populasi seramai 34 juta orang, iaitu 30.6 juta adalah warganegara (90 peratus) manakala 3.4 juta lagi adalah bukan warganegara (10 peratus). Dalam tempoh yang sama, jumlah kelahiran ialah 106,386 manakala bilangan kematian ialah 47,964.

Jumlah kelahiran telah menunjukkan penurunan sebanyak 9.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023, iaitu 117,413 orang. Ibu yang berumur 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran tertinggi iaitu 55,864 (52.5 peratus), diikuti ibu berusia 20 hingga 29 tahun (40 peratus), 40 tahun ke atas (6 peratus) dan kurang 20 tahun (1.5 peratus).

Ini bermakna seseorang wanita berada dalam tahap kesuburan ketika memasuki umur 20 dan mula menurun kesuburannya setelah melebihi 40 tahun. Pada asasnya, seseorang wanita dianggap berisiko jika berusaha melahirkan anak pertama selepas memasuki usia 40 tahun, walaupun ada sistem rawatan yang memungkinkan mereka beroleh cahaya mata di usia agak lewat.

Hakikatnya, sebelum berumur 40 tahun, banyak perkara yang hendak dicapai, termasuk kemajuan kerjaya dan memenuhi keperluan asas, seperti memiliki rumah, kenderaan, simpanan wang, kestabilan emosi dan juga sesekali melancong.

Kini, pengaruh media sosial turut memberikan kesan kepada perubahan gaya hidup, bahkan semakin menjadi salah satu faktor penceraian, yang memungkinkan proses kelahiran sedikit terbantut, muncul keadaan ‘masa menjanda’ dan ‘masa menduda’. Ada di antaranya, enggan untuk berkahwin untuk kali kedua atau ketiga.

Cabaran itu memungkinkan generasi milinea atau generasi selepas generasi X mula memikirkan hal yang berbeza, termasuk mencari keseronokan diri dan keluarga dengan menetapkan keluarga tanpa anak walaupun kehendak asasnya dipenuhinya, iaitu berkahwin atau mempunyai pasangan hidup.

Trend tersebut dikenali sebagai childfree, berkahwin tetapi tidak mahu anak. Ia berbeza dengan pasangan berkahwin tetapi tidak mempunyai anak disebabkan oleh faktor kesihatan atau belum ada rezeki. Hal ini dapat kita selami bila membaca laporan pendapat yang dijadikan berita “Yes, we don’t want kids: Malaysian couples say the choice is theirs and their alone”, Malay Mail. 14 Julai 2024.

Beberapa bulan lalu, kita mendengar seorang politikus keturunan Cina menyeru agar akan muda berbangsa Cina di Malaysia supaya berkahwin dan segera mempunyai anak. Sebabnya, kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat keturunan Cina semakin rendah berbanding dengan kadar kelahiran dalam kalangan pasangan Melayu. Antara sebabnya ialah berlaku perkahwinan dalam usia yang lewat, tekanan kerjaya, dan keutamaan pasangan terhadap keperluan ekonomi keluarga.

Dalam masyarakat Melayu, walaupun muncul perubahan pemikiran dan sikap dalam kalangan generasi baharu, hakikat seseorang itu belum mempunyai pasangan pada usia lebih 30 tahun masih disindir sinis dan dipandang negatif oleh masyarakat.

Hal sebegini seringkali menjadi keluhan terutama dalam kalangan anak gadis bila ditanya “bila nak kahwin” dan jika sudah berkahwin, “dah ada anak ke belum?”.

Kita dapat memahami keadaan seperti itu dan boleh kita menjumpainya keluhan-keluhan sebegitu dalam laman sosial, tatkala anak gadis pulang ke kampung dan bertemu kawan-kawan yang sudahpun cukup sifat dan makna sebuah keluarga.

Definis kekeluargaan yang paling kecil ialah berpasangan, yakni sudah memulakan kehidupan berumah tangga secara sah (agama dan undang-undang). Ia kemudian menjadi semakin lengkap apabila pasangan itu mempunyai anak, walaupun hanya seorang.

Sekurang-kurangnya fitrah seorang wanita dan juga seorang lelaki dianggap lengkap, tidak ada dakwaan salah seorang atau kedua-dua mandul. Atau tentunya, jika situasi dalam keluarga tidak mempunyai anak, ia lebih tertekan ialah bagi seorang wanita, kerana banyak hal yang dikaitkan.

Antaranya, sistem pembiakan yang tidak sempurna kedudukan (misalnya, kedudukan rahim), persenyawaan telur dalam rahim yang tidak menghasilkan benih, faktor kegemukan akibat lemak berlebihan dan sebagainya. Ia jarang dikaitkan dengan masalah lelaki, walaupun pada satu sisi, lelaki juga menyumbang kepada kegagalan mendapatkan zuriat.

Jika pasangan sudah lama berkahwin, namun tidak mempunyai zuriat, ia mungkin boleh menyebabkan penceraian kerana antara mereka muncul tekanan psikologi dan juga rintihan sosial (dalam kalangan keluarga terdekat atau ipar duai).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »