Seruan Zahid tidak berkesan kerana orang Melayu hampir mahu melupakan UMNO, kerana sejak PRU ke-14, UMNO tersungkur teruk. Akibat tersungkur, dan masih belum mampu bangkit (PRU ke-14, BN memilki 79 kerusi Parlimen dan menyusut kepada 30 pada PRU ke-15), prestasi kepimpinan Zahid terus dipersoalkan.
Pada masa kepimpinannya, kedudukan BN turut berpecah dan kehilangan pautan politik di Perlis, tewas sepenuhnya di Terengganu, hampir tersungkur di Kedah dan kehilangan daya tahan di Kelantan, Pahang dan Perak.
Itulah sebabnya ramai yang berkata: musuh sebenar UMNO adalah PAS, bukan Bersatu mahupun PKR. Ia masih signifikan di beberapa tempat, dan tentunya, jika calon UMNO bertanding di DUN Nenggiri pada 17 Ogos nanti, ia menjadi ujian sekali lagi.
DUN Nenggiri telah diisytiharkan kosong ekoran keputusan DUN Kelantan membatalkan DUN tersebut atas kapasiti penyandangnya (Bersatu) menyokong PM X.
Enam lagi wakil rakyat Bersatu di peringkat Parlimen ‘kekal’ sebagai wakil rakyat. Spaker Dewan Rakyat sudah pun membuat keputusan bahawa enam wakil rakyat terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi yang disandangnya, walaupun Bersatu telah mengisytiharkan ‘terbatal’ setelah mereka berpaling tadah.
Kini, orang awam menunggu apa yang berlaku kepada ADUN Selat Klang, kerana wakil terbabit turut menyatakan sokongan kepada kerajaan madani. Bahkan, ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu, ADUN Selat Klang ikut berkempen untuk menyokong calon PH, yang diwakili oleh DAP.
Pada zahirnya, kerajaan madani dilihat kuat kerana mampu bekerjasama dengan jumlah wakil rakyat yang besar, lebih daripada dua pertiga. Ia merupakan kekuatan dari perspektif angka, tetapi dari perspektif akar umbi ia mungkin cukup berbeza setelah Anwar Ibrahim dan kerajaan madani dianggap tidak mampu menguruskan pelbagai isu, termasuk menangani masalah kos sara hidup.
Itulah menyebabkan berlakunya di Sungai Bakap, dan menyebabkan PH-BN tersungkur sepertimana tersungkurnya calon BN di PRK Kemaman. Walaupun ramai yang menafikan kemenangan PN di Sungai Bakap sebagai ‘referendum rakyat’, ia memberikan makna yang cukup besar kepada kerajaan madani.
Usaha menarik sokongan pengundi Melayu gagal walaupun jumlah mereka yang keluar mengundi dilaporkan meningkat kepada 70 peratus, mereka mengundi calon PN. Pengundi India kekal peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini, namun pengundi Cina dilaporkan berada pada tahap 49 peratus, lebih kecil berbanding PRN lalu.
Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena, bahkan jelas Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga MPK Batu Kawan (jiran terdekat Sg Bakap), naratif kempen PH-BN tidak sampai kepada pengundi, ataupun kurang boleh diterima. Ada banyak kelemahan dan strategi yang tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan kerajaan perpaduan menguasai peringkat pusat dan negeri.
Sesuatu yang boleh menunjukkan sikap dan pendirian pengundi, menghantar mesej agar lebih banyak pendekatan dasar yang perlu dipertingkatkan jika PH-BN ingin berkuasa lagi selepas PRU ke-16.
Beberapa ulasan yang dibuat oleh pelbagai pihak, ia cukup jelas menggambarkan pengaruh PH-BN semakin merosot walaupun pada PRK Kuala Kubu Baharu, DAP mencetak kemenangan dan berjaya mempertahankannya kubunya.
Di Sungai Bakap, sekurang-kurang sebagai permulaan, PAS juga kembali memperlihatkan kedudukannya yang lebih baik dan bersedia membina kubunya, yang mungkin mampu menggugat penguasaan Fadlina Sidek di Parlimen Nibong Tebal pada PRU ke-16 nanti.
Walaupun ramai yang menyedari, masing-masing pihak menghulurkan ‘bola tanggung’, kesilapan yang lebih menampakkan mencetak kegagalan adalah di pihak jentera kempen PH-BN. Kalau di PRK Kuala Kubu Baharu ada wakil rakyat Bersatu turun berkempen untuk kemenangan PH-BN, manakala dalam kempen PRK Sg Bakap, ada bekas ahli UMNO ikut berkempen bagi memenangkan PN.
Misi Isham Jalil misalnya, walaupun tidak berjaya berdebat dengan Rafizi, ia memberikan petunjuk ‘drama kejar mengejar’ itu menyebabkan Rafizi ‘bersembunyi’ dan tidak berani bertemu. Ada sesuatu yang cukup ‘menakutkan Rafizi’ di atas ketidaksanggupannya ‘bertemu’.
Kata orang Terengganu, Rafizi ‘kiya’, yakni tidak cukup berani berdepan dengan Isham Jalil. Bukan sekali dah dua kali. Rafizi juga tidak sanggup berdebat dengan Isam Jalil setelah diajak berbuat demikian, sebelum PRK Sg Bakap lagi.
Bagi Isham Jalil, jika dalam perdebatan atau pertemuan bersemuka dengan Rafizi di pentas politik, ia tidak ada ada apa-apa kerugian, kerana beliau hanya dilihat secara individu, bukan mewakili mana-mana parti.
Isham sudah tidak lagi menjadi ahli UMNO, beliau sudah dipecat. Beliau juga bukan wakil rakyat, sudah dua kali tewas (PRU ke-14 di Sungai Buloh dan PRU ke-15 di Shah Alam). Ia berbeza dengan Rafizi.
Jika Rafizi tewas, walaupun pernah mengatakan ‘jaguh debat’, sedikit sebanyak imejnya sebagai menteri kerajaan madani, dan juga orang kedua terpenting PKR, yang bijak memainkan statistik dan eksploitasi data raya, kejaguhannya akan terperosok jatuh ke tangga yang lebih teruk.
Itulah risiko yang Rafizi perlu hadapi. Ia memungkinkan pengulangan debat antara Anwar Ibrahim dan Ahmad Sabry Cheek pada suatu ketika.
Anwar adalah seorang pemimpin parti yang berpengaruh dan sedang mencabar penguasaan BN pada tahun 2007. Ahmad Sabry Cheek adalah seorang menteri, dan kedudukannya dalam UMNO tidaklah sehebat posisi Anwar dalam PKR.
Bagi Ahmad Sabry, soal menang atau kalah bukan impiannya, beliau hanya mahukan ego seorang pemimpin besar boleh diruntuhkan kerana sanggup berdebat dengan orang yang tidak ada jawatan penting dalam parti di peringkat pusat. Itu sahaja, menundukkan ego.
Tentunya, bagi mereka yang menyaksikan debat tersebut memberikan skor yang tinggi kepada Anwar. Skor itulah akhirnya memberikan maksudnya, walaupun tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam parti, ia mampu mencabar dan menurunkan ego seorang pemimpin yang disanjung sebagai ‘pejuang rakyat dan keadilan untuk rakyat’.
Namun, imej dan gambaran itu semakin kabur di mata rakyat setelah Anwar sudah dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang ada kuasa untuk ‘menurunkan harga minyak’ Alasan bahawa, situasi berbeza dan asasnya tidak sama dengan janjinya lebih dua puluh tahun lalu terus menjadi liabiliti yang cukup menekan ‘populariti marhaenism.’
Ada juga yang cuba membandingkan kekalahan PH di Sungai Bakap seperti mengungkapkan kembali kekalahannya di PRK Tanjung Piai, Johor (16 November 2019), yang ketika itu aura Muafakat Nasional (kerjasama PAS dan BN), dan belum berlaku lagi kerajaan perpaduan, kerajaan yang dikuasai oleh PH di peringkat pusat terpaksa menelan pahit kerana jumlah majoriti yang dimenangi oleh MCA adalah lebih besar daripada undi yang diraih oleh calon PH.
Walaupun undi majoriti yang diraih oleh calon PAS di Sg Bakap lebih rendah daripada jumlah undi yang diraih oleh calon PH-BN, ia menggambarkan situasi politik yang cukup jelas, peralihan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu kepada BN, dan juga Muafakat Nasional. Ketika itu, Muafakat Nasional baharu dua bulan dibentuk (14 September 2019).
Ertinya, jika PAS dan BN boleh membentuk kesepakatan, ia akan menjadi gelombang politik yang besar. Inilah yang sangat menakutkan PH, kerana parti-parti yang mewakili orang Melayu dalam PH tidak mampu berbuat demikian, termasuklah Bersatu. Walaupun PH berkuasa di peringkat pusat, PH belum mampu mendepakan kemenangannya, PH terus dipersalah dan diperlekehkan di mata pengundi.
Itulah yang berlaku di Sungai Bakap. Dalam keadaan ghairah berkempen, jentera parti yang berkuasa tidak mampu membina naratif yang boleh menaikkan sokongan pengundi. Di Tanjung Piai, kempen PH tidak dapat memberikan harapan yang baik kepada pengundi, sehingga berlaku peralihan sokongan yang besar.
Di Sungai Bakap, walaupun peratusan pengundian sekitar 60 peratus, PN berjaya mencetak kemenangan yang lebih besar, peralihan sokongan orang Melayu masih besar terhadap PN. Majoriti yang diterima hampir tiga kali ganda, menjadikan PH-BN terpaksa menerima kesilapan-kesilapan dalam strategi dan pendekatan kempen.
Gula-gula politik yang diumumkan oleh kerajaan pusat dan negeri tidak lagi mempengarui, tidak seperti penerimaan pengundi di PRK Kuala Kubu Baharu.
Beberapa isu yang turut muncul di akhir kempen PRK Sg Bakap telah membantu kemenangan calon PAS, misalnya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2023. LKAN dilaporkan dalam Sidang Dewan Rakyat pada 4 Julai 2024. Iaitu tiga hari sebelum hari pengundian berlangsung.
Ada banyak kelemahan yang ditonjolkan, termasuklah kelemahan-kelemahan pengurusan FELCRA, di mana entiti tersebut berada dalam ruang lingkup pengurusan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Sebelumnya, meletus empat isu yang menghangatkan iklim pendidikan negara. Isu pertama ialah berkaitan bukan Melayu dalam program “parallel pathway” antara UiTM dan IJN dalam memperbanyakkan pakar kardivaskular.
UiTM merupakan insitusi pendidikan yang hanya dikhususkan untuk Bumiputera, namun beberapa kali digugat untuk ikut menawarkan tempat kepada bukan Bumiputera. Ia pernah menjadi isu yang cukup klasik pada zaman pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim selepas Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor.
Universiti-universiti awam juga dilihat terdesak untuk membuka peluang kepada pelajar asing (antarabangsa) bagi meningkatkan pencapaiannya di peringkat indeks pendidikan antarabangsa. UiTM tidak terkecuali walaupun dasar itu tidak sepenuhnya berlaku.
Hal ini menyebabkan UiTM didesak untuk membuka peluang kepada bukan Bumiptera untuk bersama-sama dalam program ‘parallel pathway’ itu.
Selepas diumumkan keputusan SPM, dunia pendidikan menjadi sedikit ‘ribut’ kerana lebih 10,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan yang dianggap penting, dan menjadi asas kelayakan akademik minimum bagi setiap rakyat Malaysia. Ketidakhadiran calon ada kaitannya dengan pelbagai isu, termasuk sikap ‘tidak cakna’ keluarga, terutama dalam segelintir masyarakat Melayu.
Anak-anak mereka pula kurang yakin dengan kelayakan akademik kerana akademik tidak menentukan peluang pekerjaan sebagaimana berlaku pada tahun-tahun 1970-an hingga 2000-an. Kelulusan akademik menjadi keutamaan, prasyarat kemasukan di pasaran buruh dan penetapan tangga gaji.
Hari ini, semuanya sudah berubah. Pengangguran dalam kalangan mereka yang mendapat pendidikan di peringkat tertiari cukup besar, bahkan ada di antara mereka menerima gaji setaraf dengan mereka yang hanya berkelulusan SPM. Ada di antara mereka yang berijazah, hanya ditawarkan kerja sambilan di sektor awam, dengan gaji harian.
Juga, ada hubungannya dengan cadangan untuk memansuhkan skim pencen bagi pekerja baharu di sektor awam. Hal ini cukup membimbangkan orang Melayu, dan sebahagiannya mula mengambil risikonya sendiri, termasuk enggan menduduki peperiksaan SPM.
Ketiga, muncul pula isu kemasukan bukan Bumiputera dalam program matrikulasi yang dianjurkan oleh KPM. KPM mengambil alih program matrikulasi semasa zaman Najib Tun Razak sebagai Menteri Pendidikan, adalah bertujuan untuk menyelaraskan program tersebut agar setiap universiti awam boleh menerimanya.
Ia berbeza dengan keputusan dasar sebelumnya, program matrikulasi atau asasi sains yang ditawarkan oleh masing-masing universiti, hanya untuk menjadi ‘feeder’ kepada universiti berkenaan.
Dengan pengambil alih program matrikulasi, KPM mampu meningkatkan pelajar Bumiputera walaupun dasar 60:40 sains dan sastera tidak pernah mencapai sasarannya, sekurang-kurangnya beberapa bidang pengajian kritikal dapat diperluaskan. Antaranya bidang pengajian perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya.
Selain itu, para pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dan sederhana telah dibantu untuk meneruskan pendidikan tinggi – peluang dan bantuan kewangan – menyebabkan bukan Bumiputera mula merasai terpinggir daripada program pendidikan, yang sepatutnya didemokrasikan sebagaimana pernah muncul konsep pendemokrasian pendidikan di Malaysia ketika undang-undang negara mula membenarkan penubuhan universiti-universiti swasta menjelang akhir tahun 1990-an, yakni di akhir tempoh Najib sebagai Menteri Pendidikan.
Asalnya, program matrikulasi dilaksanakan untuk membolehkan lebih ramai Bumiputera melangkah maju ke pendidikan tinggi terutama dalam bidang-bidang kritikal. Pada umumnya, dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, ramai pelajar Bumiputera lepasan SPM terkandas ketika mengambil STPM atau sebelumnya STP dan HSC.
Akhirnya, muncul program matrikulasi dan asasi sains dikelolakan oleh masing-masing universiti untuk memenuhi tuntutan dasar 60:40 antara sains dan sastera. Program matrikulasi diletakkan di bawah KPM kerana KPM bertanggungjawab sebagai ‘feeder’ dan melaksanakan pengajian lepas menengah di bawah tahap diploma, Sebab itulah sijil matrikulasi tidak disetarafkan dengan diploma.
Hal itu menyebabkan berlakunya pemisahan apabila instistusi pendidikan teknik yang dahulunya di bawah KPM dipindahkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi (kecuali program latihan perguruan untuk sekolah rendah, walaupun menawarkan program ijazah di IPG), yakni politeknik.
Pada peringkat asasnya, sekolah menengah teknik tidak menawarkan program diploma, hanya setakat sijil. Mereka yang lulus sijil sekolah menengah teknik, boleh menyambung pelajaran ke politeknik yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Kesannya, ia mencorakkan dua kategori guru, pertama guru-guru di KPM dikodkan dengan DG manakala guru-guru yang bertugas di politeknik dengan kod DH.
Ketika itu, ramai guru-guru teknikal berhijrah daripada DG kepada DH. Politeknik menawarkan kelulusan Diploma Tahap IV, yang membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Bagi menampung keperluan tenaga kerja, dan mengurangkan masalah pengangguran serta memenuhi minat ‘reskilling’, KPM memperkenalkan Kolej Komuniti. Namun, akhirnya Kolej Komuniti ditempatkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sebagai menyediakan tanggungjawab melahirkan pekerja mahir, separuh mahir dan diperlukan oleh pemain industri.
Isu-isu itulah yang melingkari kempen PRK Sungai Bakap, daripada perihal ekonomi dan kos sara hidup hingga kepada permasalahan pendidikan sama ada dalam kalangan orang Melayu dan juga peluang-peluang yang tidak ada dalam kalangan bukan Bumiputera. Biarpun ada jaminan bahawa kouta kemasukan pelajar bukan Bumiputera tidak akan menggugat kouta Bumputera, hal ini tidak akan menjamin dasar Bumiptera mampu dipertahankan.
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments