SELEPAS keputusan PRK DUN Sg Bakap dimuktamadkan, terdengar luahan daripada petugas kempen, sama ada dalam kalangan aktivis BN, segelintir pemimpin akar umbi PKR dan sekutunya dalam PH, ada sendu yang perlu dimuhasabahkan, setelah  orang Melayu sekali lagi menolak calon kerajaan madani, ia seolah-olah mengulangi apa yang berlaku pada  PRK Kemaman.

PRK Kemaman dan PRK Sg Bakap menunjukkan calon yang ditampilkan oleh PH-BN cukup berpengalaman dan mempunyai kedudukan sosial yang menarik, walaupun kedua-duanya tidak mempunyai pengalaman politik yang dekat dengan pengundi. Calon BN (PH-BN) PRK Kemaman, membina reputasi dan status sosial dalam kerjaya tentera manakala calon PKR (PH-BN) mempunyai pengalaman meluas bidang pendidikan. Namun, mereka tewas kepada calon PAS. Kekalahan di Kemaman, tidak banyak diperkatakan berbanding kekalahan calon PH-BN di PRK Sungai Bakap.

Kekalahan pada PRK DUN Sg Bakap menyebabkan Pengarah Pilihan Raya PH, Rafizi Ramli tidak senang duduk dan telinganya ‘bengang’ dengan dakwaan dan kecaman terhadapnya. Namun setelah tidak bersetuju dengan pandangan dan pendapat bekas wakil rakyat DAP, Dr Ong Kian Ming dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dalam komentar podcastnya. Keluar Sekejap, Rafizi memberikan kata dua: Kalau Ong dan KJ bertanding pun akan tetap kalah.

Nampaknya, Rafizi berbelit sedikit jawapannya, Sepanjang kempen, Rafizi pernah mengeluarkan kenyataan calon PH-BN ada harapan menang, berdasarkan ‘data’ yang diperolehnya, ada petunjuk bakal berlaku trend pengundi Melayu menyokong calon kerajaan perpaduan. Ertinya, kenyataan awal Rafizi meleset, dan sanggahannya juga masih memperlihatkan egonya sebagai seorang politikus yang tak sanggup ‘menikus’.

PRK Kemaman dimenangi oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (majoriti 37,220), MB Terengganu yang dianggap tokoh yang akan menerajui PAS pada masa hadapan, yang juga kedengaran pilihan calon PM daripada PAS jika parti itu berjaya menguasai politik di peringkat pusat. Walaupun ketika ini, Muhyiddin masih dijulang sebagai calon PM sekali lagi seandainya PN berjaya dalam PRU ke-16, ia mungkin agak berat untuk diterima secara konsensus.

Ia sangat bergantung kepada prestasi Bersatu, PAS tidak akan membantah sekiranya kerusi yang bakal dimiliki melebihi kerusi yang bakal diraih oleh PAS. Ketika ini, kedudukan kerusi PAS adalah lebih besar berbanding Bersatu di kedua-dua konstituensi, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Bersatu juga mempunyai masalah dalamannya sendiri, manakala PAS dilihat tidak terlalu besar cabaran dari dalam parti disebabkan kesetiaan ahli kepada parti mengatasi segala-galanya.

PRK Sungai Bakap, calon yang mewakili PN ialah daripada PAS, Abidin Ismail yang dipanggil Abang Biden. Walaupun tidak mempunyai pendidikan setinggi calon PKR, Dr Joohari Ismail, beliau berjaya mengekalkan kemenangan PAS pada PRN lalu (Ogos 2023) dengan majoriti 4,267 undi, hampir tiga kali ganda daripada majoriti

ulasan-ulasan kemenangan PAS yang berjaya mempertahankan penguasaannya, muncul cadangan agar Menteri Ekonomi, Rafizi direhatkan sementara kerana cara kempennya menjadikan ramai pengundi meluap marah dan enggan memberikan undi kepada calon PH.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow misalnya melahirkan rasa kesal kerana naratif kempen PH tidak kemas dan akibatnya calon PN yang diwakili oleh Abidin Ismail atau ‘Abang Biden’ berjaya menewaskan calon PH, Dr Joohari Arifin dengan majoriti lebih besar berbanding keputusan PRN sembilan bulan lalu.

Abang Biden memperoleh 14,489 manakala Dr Joohari meraih 10,222 undi.  DUN Sungai Bakap mempunyi jumlah pengundi seramai 39, 279  orang, termasuk 57 orang pengundi awal. Dianggarkan jumlah pengundi yang keluar mengundi mencapai ramalan iaitu 60 peratus. Abang Biden, bekas eksekutif syarikat logistik berjaya mengalahkan bekas Pengarah  Institut Aminudin Baki, Cawangan Utara dengan kelebihan 4,267 undi.

Pada PRN yang lalu, PAS mencipta sejarah apabila memenangi DUN Sg Bakap dengan kelebihan majoriti 1,563 undi. Namun, penyandangnya, Nor Zamri Latif disahkan meninggal dunia pada 24 Mei 2024, iaitu selepas sembilan bulan memenanginya akibat keradangan dalam perut.

Abang Bidin adalah Naib Yang di Pertua PAS Nibong Tebal, bekas eksekutif sebuah syarikat lojistik dan bertekad untuk meneruskan khidmat kepada pengundi, yang merupakan satu-satu kelebihan berbanding dengan calon PH-BN.

Abang Bidin sudah lama melibatkan diri dalam politik, dirinya dikenali oleh pengundi Sungai Bakap khususnya, dan Nibong Tebal amnya. Ia cukup berbeza dengan calon PH-BN, Dr Joohari walaupun anak tempatan, ia hanya lebih dikenali sebagai seorang guru berbanding aktiviti-aktiviti politiknya. Dalam persaingan politik, populariti kadangkala sangat mempengaruhi dalam memenangkan seseorang calon yang bertanding.

Biarpun pada awalnya, kelayakan akademik calon PAS disindir oleh jentera kempen PH dan juga netizen setelah  Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Abang Bidin memiliki sijil ISO, bukannya sijil akademik. Apatah lagi bahawa sijil ISO itu bukanlah sijil yang diberikan kepada individu, kerana indikator pengukurannya adalah terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh sesebuah organisasi, mungkin dirujuk sebagai syarikat di mana Abang Bidin bekerja.

Ia berbeza dengan Dr Joohari. Dr Joohari memperoleh Ijazah Kedoktoran berdasarkan pencapaian akademik peribadi sehingga membawanya kepada calon yang lebih baik berbanding Abang Bidin. Namun, dalam politik, kelulusan akademik bukanlah penentu kemenangan dalam mana-mana pertandingan.

Hal itu pernah dibuktikan berdasarkan pencapaian mereka yang berkelulusan akademik lebih rendah, bahkan belajar hanya setakat sekolah rendah boleh menang berbanding yang ada kelulusan peringkat tinggi.

Ertinya, personaliti calon, keyakinan pengundi terhadap parti-parti yang bertanding, sikap dan pendirian ahli parti yang bertanding, kemampuan jentera kempen, isu-isu yang dijadikan bahan kempen, strategi menangkis isu-isu yang tidak menepati kebenaran, dan pembabitan tokoh-tokoh tertentu dalam memulas emosi dan minda pengundi.

Rafizi Ramli kali ini merupakan Pengarah PRK Sg Bakap. Rafizi yang suatu ketika sangat berjaya mempengaruhi pemikiran anak muda, kali ini dilihat gagal melakukannya atas beberapa sebab.

Pertama, beliau dianggap seorang yang menyumbang liabiliti kepada PKR, dan juga kerajaan madani, kerana belum bersedia mengeluarkan formula ajaibnya selepas kecundang dengan formula ‘keanjalan harga ayam’.

Kedua, berkaitan dengan kegagalan dan ketumpulan formula yang bersangkutan ‘masalah kos sara hidup’, kerajaan madani tidak cukup kuat untuk menyakinkan pengundi Sg Bakap dengan isu-isu yang dirasai oleh rakyat secara keseluruhannya.

Walaupun subsidi minyak diesel dibuat secara bersasar sejak 10 Jun 2024, kesannya tetap terasa oleh rakyat apabila beberapa barangan dan perkhidmatan mula dinaikkan harga, biarpun isu kononnya harga gula akan meningkat berjaya dipatahkan.

Rakyat dilanda kebimbangan, selepas PRK Kuala Kubu Baharu pada bulan Jun lalu, dilaksanakan subsidi diesel bersasar. Ada yang menjangkakan, selepas PRK Sungai Bakap, subsidi minyak petrol akan dilaksanakan. Jika subsidi petrol bersasar dilaksanakan, ia akan mempengaruhi kenaikan kos sara hidup selanjutnya.

Rakyat mula mengeluarkan foto dan video yang pernah dijanjikan oleh PKR hampir dua puluh tahun lalu, yakni “Hari ini menang, esok harga minyak turun” selain dakwaan bahawa kerajaan sebelumnya tidak pandai mentadbir, tidak dapat menurunkan harga minyak. Kenyataan-kenyataan ‘pedas Rafizi’ yang berpengalaman sebagai ‘orang minyak’ ditularkan semula kerana Rafizi lebih tahu, pernah bekerja dengan Petronas.

Ketika ini, harga gas memasak masih berada pada paras kawalan, iaitu RM 26.60 bagi tong bersisi 14 kg, Namun harga yang terpaksa dibayar oleh pengguna adalah sekitar RM 30 hingga RM 32, kerana ia membabitkan kos penghantaran.

Ketika subsidi diesel mula dikuatkuasakan, ada pembekal mula menaikkan kos pengangkutan kerana terpaksa membeli diesel dengan harga RM 3.15 seliter. Ini bermakna, harga setong gas memasak termasuk kos penghantara boleh mencecah sehingga RM 37 setong.

Ketiga, semasa berkempen, secara lazimnya Rafizi melakonkan watak sebagai ‘orang bijak, serba tahu dan sangat boleh dipercayai’ walaupun pada awal pembabitannya dalam poltik mendakwa diri sebagai ‘penghasut’, pembawaan dan pendekatan kempennya dilihat sangat buruk di PRK Sg Bakap.

Rafizi seolah-olah mengulangi naratif kempennya memperbodoh-bodohkan orang ramai dengan naratif politiknya yang dianggap logik tetapi sangat tidak menepati aspirasi rakyat. Benar, kerajaan madani bukanlah kerajaan yang mencari populariti demi menyelamatkan negara, tetapi sedikit sebanyak masalah ‘bread and butter’ perlu dilaksanakan juga.

Setelah dua tahun kisah beras tempatan tidak kembali kepada keadaan sebelumnya, kerajaan madani sudah dilabelkan sebagai kerajaan yang gagal walaupun pelbagai indikator dan indeks dikutip bagi menggambarkan kejayaan memerintah setelah berjaya dibentuk pada 2 November 2023.

Lebih parah apabila indeks daya saing ekonomi telah menunjukkan prestasi Malaysia menyusut berbanding Thailand, Indonesia dan Vietnam. Turut diperkatakan ialah mengenai jumlah pelaburan asing yang diterima oleh Malaysia, tetapi rakyat belum menampakkan realitinya, sebabnya, sebahagian besar adalah penambahan pelaburan oleh syarikat-syarikat yang sudah lama bertapak di Malaysia.

Pada ketika ini, rakyat cukup terdedah dengan pelbagai sumber maklumat berbanding tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, apa sahaja yang diperkatakan oleh kerajaan mudah diterima. Ketika ini, tidak semua hasrat dan program kerajaan diterima dengan baik, walaupun media arus perdana terus melakarkan naratif ‘sangat berpuas hati’.

Program kerajaan lebih mengutamakan kelompok B 40, jarang-jarang kedengaran mereka yang berada dalam kelompok M 40 turut mendapat faedah, manakala kelompok T 20 sedikit sebanyak mula tertekan dengan dasar ‘mengambil sedikit daripada kelompok Maha Kaya’ dengan dikenakan caj yang lebih tinggi penggunaan elektrik, subsidi bersasar dan juga caj bekalan air bersih.

Hakikatnya, kaedah itu logik dan baik. Namun, disebabkan budaya subsidi pukal telah lama bersebati dalam jiwa masyarakat, sebarang perubahan akan menyebabkan rungutan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan kelas menengah, yang paling banyak menyumbang kepada hasil cukai negara (cukai pendapatan, cukai perkhidmatan, cukai barangan dan perkhidmatan, cukai pintu dan sebagainya).

Mereka mula merasakan tindakan menaikkan pelbagai cukai sangat tidak menepati apatah lagi dalam keadaan ekonomi sedang bergelut untuk pulih setelah dua tahun ‘terbantu’ akibat pandemic COVID-19.

Keempat, beberapa hari lalu seorang wakil rakyat PKR menolak kekalahan di DUN Sg Bakap perlu dipertanggungjawabkan kepada Rafizi Ramli, atas sebab-sebab tertentu.   Wakil rakyat tersebut menjelaskan, apa yang dilakukan oleh kerajaan madani sekarang ialah ‘bukan mencari populariti, maksudnya menjadi kerajaan yang popular’ sebaliknya, untuk menyelamatkan negara.

Sebahagian rakyat Malaysia tersenyum lebar dengan logik terbabit kerana rakyat tahu, hutang negara sudah meningkat lebih RM 1.5 trilion, sedangkan hutang negara sebelumnya sekitar RM 1.2 trilion. Ini bermakna dalam tempoh pentadbiran kerajaan madani, hutang negara telah meningkat lebih RM 300 bilion.

Biarpun didedahkan dengan defisit kewangan negara semakin baik, kedudukan janaan pendapatan negara melalui kelebihan eksport, rakyat mula melihat bahawa ekonomi Malaysia semakin jauh ketinggalan daripada Indonesia, Thailand dan Vietnam. Jika sebelumnya, ramai yang membandingkan ekonomi Malaysia dengan Singapura.

Sekarang, Singapura tidak lagi dijadikan rujukan penting, kerana ekonominya jauh lebih berjaya. Rakyat mula membandingkan apa yang berjaya dicapai oleh Indonesia, Thailand dan Vietnam, yang pada suatu ketika Malaysia berada di hadapan.

Kelima, Rafizi dikatakan seorang yang hanya pandai bercakap dan lagaknya seumpama ‘Raja Dalam Rumah/Buat Kira-kira/Suri Dalam Dapur/Makan Roti gula hey” sebagaimana lirik lagu rakyat yang cukup popular pada suatu ketika, “Lagu Tiga Kupang”.

Semua isi rumah, ketua isi rumah memikirkan bagaimana mereka ‘nak hidup’ dan sangat cenderung mencongak apa barangan yang hendak dibeli kerana ‘semuanya mahal’ dan kadangkala ‘makan roti gula’ sahaja sebabnya ‘tidak cukup belanja’.

Rafizi membuat perkiraan secara makro, tetapi rakyat menghitung secara mikro. Antara dua continuum ‘perkiraan’ itu tidak boleh bertemu, sebaliknya lebih banyak menimbulkan konflik seperti bila kadar faedah semalaman dinaikkan.

Bagi sistem fiskal, ia mampu menaikkan minat pelaburan dan penyimpanan, tetapi bagi kebanyakan rakyat, ia akan meningkatkan beban membayar balik pinjaman, dan juga peningkatan kos-kos yang lain.

Harga rumah akan meningkat kerana sebahagian besar pemaju perumahan menggunakan pinjaman bank untuk membiayai projek mereka. Rakyat terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi. Kesemuanya akan mempengaruhi pola perbelanjaan rakyat, jumlah yang boleh digunakan untuk membeli semakin mengecil.

Pada Bajet 2024, berlaku kenaikan SST daripada 6 peratus kepada 8 peratus. Walaupun tidak semua berlaku kenaikan kadar cukai tersebut, kenaikan 2 peratus turut dirasai oleh pengguna elektrik domestik sekiranya penggunaan elektrik bulanan mencecah 600 kwh mulai 1 Mac 2024.

Bagi para menteri, kenaikan itu ‘tidak membebankan’ kerana kediaman rasmi mereka semua perbelanjaan elektrik, air dibayar oleh kerajaan.

Rakyat tidak terkecuali, apatah lagi dalam keadaan iklim harian yang cukup panas. Kebanyakan rakyat tidak boleh tidur malam tanpa hawa dingin, kerana rumah-rumah mereka terkepung kiri dan kanan dengan simen dan batu, bukan ada ruang sisi yang boleh membawa masuk angina sejuk.

Hal yang sama dilakukan oleh pembekal utiliti, semakin banyak digunakan semakin mengecil pula jalur (kohort) unitnya, Ini menyebabkan kadar bayaran meningkat dengan banyaknya. Misalnya, untuk 200 unit pertama, kadar bayaran ialah RM 0.218, kemudiannya dikurangkan 100 unit (RM 0,334), 300 unit (RM 0.516), 300 unit (RM 0.546) seterusnya kepada RM 0.571. Semakin banyak digunakan, semakin mahal tarifnya.

Dalam sistem ekonomi terbuka, semakin banyak kita membeli barangan sama, ia dijual dengan harga borong, yang lebih rendah daripada harga runcit. Alasannya, boleh dibuat macam-macam, kerana beban yang ditanggung adalah besar, subsidi meningkat.

Ertinya, tidak penjimatan kos pengeluaran seunit bila semakin banyak unit dihasilkan.

Kalau ikut logik ekonomi, semakin besar kuantiti pengeluaran (peningkatan produktiviti) maka semakin rendahlah kos pengeluaran setiap unit. Bagi bil utiliti, elektrik dan air, ia sebaliknya. Logik hukum yang dilihat pelik dan tersasar.

Menariknya, bila pelaksanaan ‘rekalibirasi’ dilakukan, akan pengumuman kenaikan untung pengendali utiliti yang dimaksudkan.

Keenam, secara akademik, Rafizi dilihat sangat ‘bermaklumat’ tetapi realitinya sudah tidak lagi dipercayai oleh para pengundi. Bahkan, sepanjang kempen PRK Sg Bakap, muncul dan tular infografik yang membayangkan pakar formula itu ‘missing in action’ dan ada yang menyampaikan “salam takziah”.

Maknanya, ramai orang mengharapkan Rafizi tidak lagi berada dalam barisan kabinet kerajaan madani. Mereka muak mendengar ‘celoteh’ dan ‘bicara’ Rafizi, bahkan Isam Jalil, bekas aktivis UMNO turut ‘mencari Rafizi” di Sungai Bakap untuk berdebat.

Ketujuh, sebagaimana lazimnya, dalam mana-mana PRK yang diadakan, pembabitan pemimpin utama parti cukup dilihat mampu memberikan kesan pengundian. Walaupun Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah beberapa kali turun untuk menyeru agar lebih 5,000 baki ahli UMNO di Sg Bakap agar mengundi Dr Joohari, nampaknya tidak berkesan.

Pengundi Sg Bakap turut kecewa kerana PMX tidak ‘melintas’ walaupun beliau mengatakan Sg Bakap adalah kampong kelahirannya. Ramai netizen mula mempersoalkan apakah PMX ada sejarah yang tidak dapat dipadamkan dengan Sungai Bakap? Tempat beliau membesar, dan membina imejnya, Ceruk Tok Kun tidaklah begitu jauh dengan Sungai Bakap.

Kenapa, Anwar tidak boleh ‘muncul’ walaupun sekali. Apakah Anwar sudah tumpul hujahnya untuk menjawab isu pembelian 30 peratus saham MAHB oleh GIP, yang sedang dalam proses pemilikan oleh Black Rock?

Black Rock yang berpengkalan di Amerika Syarikat merupakan syarikat yang banyak mengadakan kerjasama dengan Israel. Apakah ia bercanggah dengan pendirian Malaysia yang menyokong Palestin berbanding Israel?

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »