Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar meluahkan kegusarannya dan teguran terhadap sikap pengguna media sosial yang melampaui batas ketika berbicara di platform itu.
Beliau berkata, antara paling teruk dihambur perkataan tidak sepatutnya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebahagian daripada kita ini di media sosial adalah (antaranya) orang berilmu tetapi menggunakan perkataan yang tak terfikir (dihambur terhadap insan lain).
“Perdana Menteri kita macam-macam bahasa (tidak beradab) digunakan terhadap beliau. Segelintir masyarakat kita sudah hilang nilai akhlak,” katanya.
Beliau membuat teguran terbuka ketika berucap merasmikan Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di Masjid Negara, di sini, hari ini.
Hadir sama pada konvensyen itu adalah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Qaradaghi yang turut memberikan ucaptama.
Mohd Na’im berkata, agamawan perlu memainkan peranan penting menyampaikan mesej kepada masyarakat berhubung permasalahan itu.
“Biarlah kita berbeza pandangan, kalau politik berbeza pandangan politik, tapi jangan sampai sesekali hilang adab kita.
“Tak tahu adab dan perbezaan sehingga guna perkataan di luar batasan.
“Jadi untuk kita didik masyarakat, tanggungjawab orang yang diberikan ilmu agama untuk mendidik masyarakat supaya tidak ekstrem macam itu.
“Gunakan media sosial ini untuk kebaikan, secara bijak dan berhikmah, untuk meraih pahala yang begitu banyak atau mendidik masyarakat.
“Jangan disalah guna kerana kita bertanggungjawab di hadapan Allah SWT,” katanya.
Sumber: hmetro.com.my
Recent Comments