Isu Ustaz Don Daniyal, Kes adik Zayn Rayyan, watak melalut Mama Ghufron.
Sudah tidak boleh dinafikan lagi bahawa media sosial menjadi medan perhubungan dan penyebaran maklumat terutama kepada seluruh dunia. Dominasi media sosial dalam membentuk naratif awam terhadap setiap isu, serta menyebarkan naratif itu kepada orang awam, menjadi norma masyarakat kini. Terutama sekali dalam isu yang membabitkan umat Islam, yang kerap kali menimbulkan perselisihan pendapat.
Namun naratif yang disebarkan tidak semestinya benar, dan kerap kali dimulai oleh gerakan atau niat untuk menjatuhkan, bukan untuk menyatukan. Seperti maklum, platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Youtube dan aplikasi perhubungan whatsapp dan Telegram, telah dibuntingkan dengan klip-klip video di mana para asatizah saling menegur, menyalahkan, dan mengkritik antara satu sama lain. Malah pada banyak keadaan juga, hingga mengaibkan sama sendiri.
Yang terlibat dan terpalit adalah dari kalangan agamawan sendiri, bersama barisan penyokong dan peminat yang terdiri daripada orang awam. Orang awam ditarik dan diprovokasi untuk ikut bersama dalam kancah ini, di ruang komen dan sebagainya. Hilang adab bahasa, adab ilmu, adab berbahas, adab berlainan pendapat, adab rujukan dan petikkan seumpama tidak ada dalam Islam. Medan untuk menghubungkan sesama muslim, bertukar menjadi medan bertikam lidah atau penulisan, tanpa menghiraukan adab dan akhlak sebagai seorang Islam. Hilangnya adab diganti dengan biadab.
Kebiadaban di media sosial sering-kali bermula dengan penyakit perselisihan pendapat, berbalah pada segala sesuatu dan atas segala sesuatu, sehingga meliputi akidah, pemikiran, wawasan dan pendapat, di samping perasaan, tindakan, sikap dan perangai. Bahkan sampai kepada uslub-uslub fiqh dan persoalan-persoalan ibadat.
Sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya, Kitab Allāh dan sunnah Rasul-Nya mengutamakan tauhid, dan seterusnya memberi perhatian kepada usaha untuk mengukuhkan kesatuan ummah. Perintah-perintah Allāh dan Rasul-rasul Nya jelas dalam seruannya untuk membentuk umat bagaikan satu tubuh, apabila sebahagian darinya merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit.
Allāh SWT mencipta manusia dengan pelbagai perbezaan bahasa, warna kulit, wawasan dan pemikiran. Setiap keadaan ini telah melahirkan pelbagai pendapat dan hukum yang berbeza. Perbezaan fizikal serta akal dan fikiran, merupakan satu tanda daripada kekuasaan Allāh yang Maha Tinggi. Sesungguhnya, pembangunan dan kemakmuran bumi ini tidak akan tercapai sekiranya manusia dijadikan sama dalam segala keadaan, kerana setiap sesuatu itu telah dipermudahkan mengikut penciptaan-Nya. Firman Allāh SWT;
“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan, Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia…” (QS Hūd, Ayat 118-119)
Faedah-faedah dalam perbezaan fikiran dan pendapat hanya akan dapat dicapai sekiranya perselisihan pendapat itu tetap berada dalam batas-batas dan adab adabnya, yang wajib dijaga dan dipelihara. Sekiranya adabnya tidak dipelihara, maka ia akan berubah menjadi perdebatan dan perbalahan, yang kemudian melahirkan keretakan dan perpecahan umat Islam. Ketika itu perbezaan akan bertukar daripada fenomena membina kepada binasa.
Sebahagian besar perselisihan pendapat yang timbul di media sosial hari ini pula, lahir daripada keinginan untuk mencapai kepentingan peribadi. Ia juga didorong oleh keinginan untuk menunjuk-nunjuk kelebihan ilmu atau kefahaman. Tambah lagi dengan penyakit ingin menjadi viral dan popular, demi wang ringgit ataupun kemasyhuran di mata masyarakat. Hawa nafsu berperanan besar di dalam perselisihan pendapat seperti ini daripada mencari kebenaran. Firman Allāh SWT yang bermaksud:
“…Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?” (QS al-Baqarah, Ayat 87)
Hawa nafsu inilah yang menjadi punca kepada segala kesalahan dan penyelewengan. Apabila merasakan pendapat mereka sahaja yang benar, maka secara tidak sedar qalbu mereka diresapi rasa takabbur. Sifat takabbur seringkali dilahirkan oleh kebanggaan dan kecintaan berlebih-lebihan atas peribadi sendiri, atau merasa diri bebas dari kesalahan dan kekurangan, lalu membawa kepada pengingkaran hak pihak lain.
Ia juga mendorong segelintir asatizah dan pendakwah media sosial untuk hilang rasa berhati-hati apabila mengeluarkan pendapat, atau menjawab soalan golongan awam. Perasaan serba tahu dalam diri, hanya akan menimbulkan kekeliruan dan seterusnya polemik di kalangan awam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agamawan seharusnya berterus terang dan perlu berani mengatakan tidak tahu jika kurang arif. Amalan ini adalah sama seperti yang dilakukan oleh ulama-ulama muktabar terdahulu. Beliau mengingati para pendakwah bahawa masyarakat memandang tinggi kepada golongan agamawan, hingga apa yang diucapkan akan diterima oleh orang awam, kerana mereka sentiasa dahagakan ilmu.
Maka sebagai orang awam pula, perlu sentiasa menjaga adab di dalam setiap interaksi di atas talian. Di antara pengurusan adab yang harus diikuti dalam media sosial adalah seperti;
- Menjaga hak kemanusiaan sejagat
- Menghormati pandangan orang lain
- Mengaplikasi komunikasi verbal dan non-verbal yang baik dalam penulisan dan komentar
- Menjaga keaiban, kehormatan dan sensitiviti peribadi, keluarga, keturunan dan kepercayaan orang lain
- Memberi ruang pilihan untuk penerimaan atau penolakan sesuatu khilafiah dan memberi ruang terhadap pandangan dan pemikiran orang lain
- Tidak mempergunakan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis untuk memanipulasi fakta secara tidak beretika
Umat Islam, baik dari golongan agamawan maupun awam, seharusnya berusaha untuk lebih peka dan waspada dalam setiap tindakan dan tutur-kata kita. Tidakkah kita malu apabila melihat saudara Islam bertengkar di medan terbuka, dan ada di antara mereka yang sudah berumur? Sentiasa muhasabah diri sebelum berbalas-balas di media sosial, dan utamakan ukhuwah daripada sifat serba tahu.
Menyedari kepentingan persaudaraan Islam dan menyatukan serta memelihara barisan Muslimin dan mukhliṣīn, serta menghindarkan segala perkara yang dapat merosakkan perpaduan ini, adalah antara kewajipan yang paling penting dan merupakan ibadah yang paling utama. Hanya dengan ukhuwah inilah kita dapat memperkuatkan usaha untuk menghapuskan segala rintangan yang melambatkan usaha pemulihan kehidupan Islam mengikut bentuk yang diredai Allāh SWT dan Rasul-Nya.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments