Irgun dan Haganah melakukan pelbagai kekerasan, dengan menghalau penduduk Palestin untuk meninggalkan kediaman mereka, merampas dan membakar rumah-rumah, lahan pertanian dan membunuh keturunan Arab-Palestin, termasuk penganut Kristian. David Ben Gurion, Mosye Dayan adalah antara pemimpin politik Israel yang pernah menyertai kumpulan pengganas tersebut.
Ini membuktikan bahawa ‘penceroboh’ sebenar, dan telah diakui sebagai punca huru-hara di bumi Palestin ialah Yahudi-Zionis, yang berasal daripada suku kaum Askhenazi, yang leluhurnya adalah suku kaum Khazar, bukannya 12 suku kaum yang dibentuk berdasarkan keturunan 12 orang anak Nabi Yaakub AS.
Walaupun Nabi Yaakub itu dihubungkan sebagai bebuyut orang Yahudi. Nabi Yaakub, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman ialah nabi-nabi yang menerima agama Yahudi, bukannya leluhur orang Yahudi. Yahudi adalah salah satu agama, bukan suku kaum.
Penganut agama Yahudi dipanggil orang Yahudi, seperti mana juga penganut Islam dikenali sebagai Islam. Namun, dalam pendefinisian kaum, agama bukanlah penentu suku, ras, etnik dan kaum, ia adalah kepercayaan yang mereka yakini, praktis dan membentuk gaya hidup. Jadi orang Yahudi sebenarnya bukanlah pemeluk agama Judai (Yudea) , seperti dijelaskan oleh Ilan Pappe, kerana mereka yang dipanggil Jews turut kedapatan sekumpulan yang beragama Kristian, yang merupakan kelompok yang berhijrah ke Palestin dari Amerika Syarikat setelah bumi Kanaan itu berjaya dijarah.
Tulis Ilan Pappe, Zionis bukan Judaism, “Zionism was only one, inessential, expression of Jewish culture. It was born out of two impulses among Jewish communities in Central and Eastern Europe. The first was a search for safety within a society that refused to integrate Jews as equals and that occasionally prsecuted them, either through legislation or through riots organised or encouraged by the power that be as a diversion from economic crises or political upheavels.
“The second impulse was a wish to emulate other new national movements mushrooming in Europe at the time, during what historians called the European Spring of Nations. Those Jews who sought to transform Judaism from a religion into a nation were not unique among the many ethnic and religious groups within the two crumblinh empires – the Austro-Hungarian and the Ottoman – who wished to redefine themselves as nations.” (Ilan Pappe, Ten Myths About Israel, hal.24)
Hal ini disedari oleh Benjamin Neetanyahu, PM Israel yang sedang berhadapan dengan skandal rasuah, dan dilihat sangat keras kepala ketika ini. Neetanyahu berazam akan menukarkan Israel kepada Negara Yahudi sekiranya kedudukannya sebagai politikus paling berkuasa berkekalan.
Neetanyahu pernah beberapa kali terpaksa berundur, kerana parti pimpinannya, Parti Likud tidak mampu membentuk kerajaan, dan terpaksa membentuk gabungan bagi membolehkan menguasi majoriti mudah di Knesset.
Namun, kekejamanya di Gaza yang sudah memasuki lapan bulan belum menemukan jalan penyelesaian, lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh dan misinya menghapuskan Hamas belum kesampaian. Itulah sepatutnya digelar penceroboh, bukan Hamas.
Sejarah perjuangan rakyat Palestin adalah sejarah perjuangan ‘melawan penjajah’, bukan serangan ganas Irgun, Haganah dan juga IDF yang sangat bertekadkan gerakan menceroboh.
Itulah sejarah yang perlu diperbetulkan, dan kecenderungan yang wajib dilakukan oleh agensi berita Malaysia, Bernama bukan memanjangkan ‘perang istilah’ yang telah lama dilakukan oleh mesin propaganda Zionis.
Banyak yang dikatakan oleh Noam Chomsky, Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media (1988); How The World Works (2011). Media Control: The Spectacular Achiement of Propaganda (1991), Who Rules The World (2016) dan terbaharu, Perilous Power (2024, 3rd Edition), pemesongan sejarah akibat kerakusan kuasa Zionis dan Amerika Syarikat serta sekutunya untuk membentuk dan mengekalkan hegemoni.
Kenapa saya menulis sehingga dilihat agak ilmiah untuk menjawab kekaburan makna yang cuba dilakukan oleh laporan berita Bernama itu, yang diambil daripada berita agensi berita Turkiye, Anadolu?
Saya menulisnya untuk para editor yang menyunting berita sebegini wajib mempunyai pengetahuan yang tinggi, agar istilah yang digunakan tepat maksudnya. Pengetahuan itu diperoleh melalui pembacaan dan kesinambungan usaha memahami sesuatu permasalahan dengan tepat dan berfakta.
Ertinya, editor bukan sahaja perlu memahami dengan saksama sejarah konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel, termasuk persoalan serangan balas Israel ke atas Gaza sehari selepas Hamas membedil beberapa kawasan pertahanan strategik Israel.
Apakah dengan ‘memanjangkan istilah itu’ Bernama turut berperanan memanjangkan propaganda media asing, yang memang kita ketahui kewujudan awalnya adalah untuk mengimbangi pengaliran berita, dan juga kesendengan laporan media? Apakah Bernama menjadi apa yang telah media Zoinis berjaya lakukan selama ini?
“Israel berjaya memberikan gambaran kepada semua bahawa tanah ini [bumi Palestin], walaupun tidak kosong, semua penghuninya tidak mempunyai kaitan dengan tanah tersebut dan merupakan penduduk yang tidak sah.
“Mereka hilang keabsahan kerana mereka tidak ada di sana; mereka hilang keabsahan kerana merek itu golongan Badwi yang berpindah-randah jadi mereka sebenarnya tidak peduli; mereka hilang keabsahan kerana mereka ganas atau mereka itu orang Islam pasca 9/11.
“Sepanjang masa, wujudnya satu senarai panjang perkataan dan idea yang cuba untuk meyakinkan anda bahawa anda jika tidak gembira hal ini berlaku, ia sutau perkara yang tidak tidak bernilai kerana tidak ada sesiapa yang berada di sekeliling mempunyai sesuatu yang absah untuk ditawarkan. Semuanya bergantung kepada kebaikan orang Israel.
“Jika kamu perhati bahasa perdamaian sejak Oslo [1993], malah sebelum Oslo – namun lebih menonjol selepas Oslo, kesemuanya adalah berkisarkan konsesi Israel. Bahasanya, konsesi – Israel akan memberikan konsesi kepada Palestin, itu sahaja peluang untuk perdamaian.
“Jika inilah titik permulaan kita, maka tidak akan pernah wujud perdamaian. “Saya menjajah rumah anda, tetapi saya cukup baik hati untuk membenarkan anda pulang untuk mengambil sofa sebelum dibawa ke tempat baharu”.
“Ini bukan satu dialog yang ingin menyelesaikan konflik: bahkan ia lebih memalukan berbanding penjajahan itu sendiri.” (Noam Chomsky dan Ilan Pappe, Perihal Palestin, edisi terjemahan On Palestine oleh Maryam Zakiah, Petaling Jaya: Hashim Sani Centre for Palestine Studies- Biblio Press, 2024, hal. 131-132)
Menurut Dr Hafizi Mohd Noor, Pengarah PACE (Palestine Centre of Excellence), aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), penerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2015 dan Pengerusi Aqsa Syarif sekurang-kurangnya ada tujuh sebab kenapa Hamas menyerang Israel (bukan menceroboh) pada tarikh tersebut.
Saya kongsikan sebab-sebab itu daripada buku Dr Hafizi Mohd Noor, Palestin: Kemenangan Yang Dekat, Shah Alam: Karya Bestari Sdn. Bhd., cetakan kedua 2024, hal. 252-255.
Pertama: Terjadinya peningkatan serangan ke atas Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam) sejak tahun 2020. Serangan dan provokasi semakin memuncak pada tahun 2022 dan 2023. Tentera penceroboh (IDF) sentiasa membawa masuk pendatang haram Zionis ke Masjid al-Aqsa. Mereka bukan sahaja mencemarkan kesucian masjid, bahkan turut mengganggu, menyakiti dan mengusir para jemaah yang sedang beribadah.
Para jemaah Islam seringkali ditembak dengan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup dengan harapan dapat menyekat umat Islam daripada mengunjungi masjid tersebut. Bila umat Islam tidak mengunjunginya, maka Yahudi Zionis dapat meruntuhkan Masjid al-Aqsa untuk dibina Kuil Haikal Sulaiman, King Solomon Temple.
Di bawah bangunan Masjid al-Aqsa didakwa sebagai tempat berdirinya Kuil Solomon yang beberapa kali diruntuh dan dimusnahkan oleh pelbagai pihak yang menjajah Jerusalem, antaranya, Parsi, Babylon, Romawi dan Asyria. Semasa dikuasai oleh umat Islam, tidak ada perobohan rumah-rumah ibadah kaum Yahudi, bahkan pemeluk Yahudi bebas beribadat dan dijamin keselamatannya.
Apabila Yahudi Zionis menguasai Jerusalem (1967) secara haram, umat Islam dihad dan disekat daripada beribadat di Masjid al-Aqsa.
Kedua: Yahudi Zionis bukan sahaja menceroboh Masjid al-Aqsa, rakyat Palestin turut diusir keluar dan kawasan-kawasan petempatan diserang oleh pendatang haram bersenjata yang bergerak dalam bentuk kumpulan mafia, dan disokong oleh tentera Israel. Rumah-rumah mereka diambil, dirampas dan dirobohkan dengan menggunakan jentolak Caterpilar dan Hyundai.
Apakah apabila ‘tuan rumah’ dihalau daripada rumahnya sendiri itu dan melawan balik penceroboh dianggap sebagai ‘penceroboh’?
Ketiga: Pada tahun 2023, tidak kurang 200 penduduk Palestin di kejiranan Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis dan Tebing Barat dibunuh oleh tentera penceroboh Israel.
Jika dikira daripada beberapa tragedi sebelumnya, seperti Tragedi Jenin (membabitkan rampasan dan pemusnahan 50 buah rumah), penduduk Palestin mengalami pelbagai kesukaran bergerak, bersesak-sesak di check point (dikawal oleh IDF), halangan ke tempat kerja, sekatan menerima rawatan perubatan, terhalangnya kanak-kanak ke sekolah dan sebagainya telah meningkatkan kemarahan dan tindakan melawan balik.
Apakah tindakan melawan balik untuk mendapat hak-hak yang direngut, dicantas dan dikembirikan itu dianggap sebagai ‘penceroboh’?
Keempat: Yahudi Zionis lakukan apa sahaja untuk memenjarakan penduduk Palestin, daripada orang awam, kanak-kanak dan wanita tanpa ada bukti mereka melakukan kesalahan/jenayah. Mereka dikategorikan sebagai tahanan pentadbiran (administrative detention).
Ia melibatkan ribuan orang, dan mereka dilayan dengan begitu buruk. Ada di antaranya tahanan itu menjadi dewasa di dalam penjara dan masih belum dibebaskan. Para wanita, yang terpaksa bersalin di dalam tahanan diikat tangan dan kaki digari, dan bayi yang lahir turut dikategorikan sebagai tahanan.
Kelima: Neetanyahu, Perdana Menteri Israel pernah mengumumkan akan mengusir keluar penduduk Palestin sebagaimana Israel telah mengusir 800,000 penduduk Palestin dalam peristiwa Nakhbah pada tahun 1948.
Sebahagian yang diusir itu tinggal di dalam kem-kem pelarian di Syria dan Lubnan, sudah memasuki generasi ketiga dan mencecah 7 juta orang. Mereka tidak dibenarkan pulang sejak terusir (1948) walaupun PBB pada tahun 1949 mengeluarkan Resolusi 194, membenarkan ‘pelarian’ itu pulang ke Palestin.
Isu kepulangan ‘pelarian’ ini merupakan salah satu syarat yang tidak akan dikompromikan oleh Hamas, selain pembebasan tawanan perang dan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Apakah tuntutan-tuntutan itu dianggap ‘melampau’ dan ‘sekatan yang dibenarkan’ kerana Hamas ‘menceroboh’?
Israel yang menceroboh, maka Israel layak dihubungan dengan istilah ‘pencerobohan’ bagi menjadikan tindak-tanduk mereka ‘tidak bersalah’ dan ‘tidak melanggar peraturan antarabangsa’ serta ‘nilai-nilai kemanusiaan’.
Kebinatangan Israel itu sedang diprojekkan oleh laporan Bernama terbabit, dengan melabelkan Hamas melakukan ‘pencerobohan’. Sesuatu yang pelik dan tersangat janggal dalam keadaban manusia.
Keenam: Neetanyahu juga pernah memberitahu bakal membawa masuk pendatang haram seramai 1 juta orang dan mereka akan diberikan kerakyatan Israel. Setelah keturunan Yahudi merupakan penduduk majoriti, mereka akan menjadikan Israel sebagai Negara Yahudi, bukan lagi sebagai sebuah negara sekular, iaitu Israel yang kita kenali sekarang.
Cuba kita fikirkan, di manakah sejuta orang pendatang haram Yahudi itu akan ditempatkan? Israel tentunya memerlukan tanah-tanah yang lebih banyak untuk membangunkan petempatan haram.
Di manakah tanah-tanah itu akan diperoleh? Tanah-tanah itu akan dirampas, dijarah manakala penduduk asal yang bergenerasi tinggal di tanah warisan akan dihalau. Jika enggan mengosongkan tanah-tanah tersebut, mereka akan dibunuh, dengan cara isytiharkan perang. Provokasi sedemikianlah menyebabkan penduduk Palestin bangkit mempertahankan ‘hak’ dan ‘warisan’ mereka.
Apakah bila penduduk Palestin bangkit mempertahankan ‘hak’ dan ‘warisan’ mereka daripada dirampas elit politik negara haram Israel itu dianggap melakukan ‘pencerobohan’? Yang menceroboh ialah Yahudi Zionis, Palestin mempertahankan hak dan warisannya. Salahkah seseorang itu mempertahankan hak dan warisannya?
Ketujuh: Gaza sudah dikatakan pelbagai sekatan oleh negara haram Israel sejak tahun 2007, apabila Hamas memenangi pilihan raya Palestin dan menguasai Semenanjung Gaza. Akibat ‘demokrasi yang silap’ dan ‘salah membuat pilihan’, penduduk Gaza dikepung dan disekat segala keperluan asasnya.
Bekalan elektrik hanya dihadkan untuk kegunaan 2 hingga 3 jam sehari; untuk menggunakan generator, bekalan minyak diesel dihadkan; untuk mendapatkan rawatan perubatan, perlu mendapat kelulusan pemimpin negara haram Israel; dan makanan, minuman dan bahan binaan dihalang masuk.
Pintu sempadan dengan Mesir, di Rafah dikawal. Hidup penduduk Gaza menjadi semakin perit dan sukar. Bahkan sejak kawalan tersebut dilakukan, terdapat laporan bahawa 90 peratus kanak-kanak Palestin mengalami masalah tumbesaran, akibat kekurangan zat makanan.
Pernahkah wartawan Bernama yang menulis semula berita tersebut secara saksama memahami kesengsaraan penduduk Gaza sejak mereka hidup dalam ‘penjara terbesar’ ciptaan Israel itu?. Saya cadangkan wartawan tersebut membaca buku Ilan Pappe, The Biggest Prison on Earth: History of Occupied Territories (2017) dan The Ethnic Cleansing of Palestine (2006) sebagai pelengkap untuk tidak mengatakan bahawa serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 sebagai ‘pencerobohan’.
Ingatlah apa yang pernah dipesan oleh John Hulteng, Messenger Motives (1976) tentang persoalan etika dalam pemberitaan:
(1) Journalists should provide a news report that is sincere, true, and accurate; accounts should be thorough, balanced and complete;
(2) Journalists must be impartial; they should function as the public’s representatives, not as the mouthpieces of partisan groups or special interests;
(3) Journalists should respect the canons of decency, insofar as those canons can be identified in a society with changing values;
(4) Journalists must be fair; they must give space or air time to the several sides of a dispute; private rights should not be invaded; corrections of errors should be prompt and wholehearted; and,
(5) Journalists must observes a responsibility to the public welfare; their impressive power should be employed for the general good, not for private advantage.
Semoga semua kakitangan Bernama, terutama para editor, wartawan dan Pengurus Besar memahami apa yang ditulis atau dilapor, bukan pakai ‘ceduk, terjemah, sunting dan siar’ sehingga berita yang disiarkan tidak selari dengan dasar atau keputusan kerajaan, juga fakta yang benar dan istilah yang tepat. Jika tidak, “tersontot” jadinya.
MAHANOR SALEHA
Recent Comments