Seperti juga seseorang yang berhutang, sejumlah pendapatan bulanan terpaksa disisihkan untuk membayar hutang. Bagi kerajaan, hutang boleh ditingkatkan sekiranya terpaksa berbelanja untuk tujuan pelaburan tetapi bukan semua jenis pelaburan. Kerajaan perlu membuat pertimbangan teliti, mengkaji dan melihat keberdayaan projek tersebut untuk menghasilkan keuntungan, termasuk faedahnya kepada rakyat.

Jadi, apabila kerajaan menolak atau tidak mempertimbangkan sesuatu projek, yang dicadangkan oleh negeri, ia adalah sesuatu yang ada rasionalnya, bukan bermakna mendiskriminasikan kerajaan yang dikuasai oleh parti pembangkang. Oleh kerana projek yang dianggap gah, mampu meningkatkan kecergasan ekonomi sesebuah negeri, yang didakwa oleh pemimpinnya, masih belum mampu memberikan keyakinan berdaya maju oleh kerajaan pusat, seperti projek aerotropolis dan pembinaan lapangan terbang Kulim.

Ini kerana Kulim cukup berdekatan dengan Pulau Pinang, yang sudah pun tersedia Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan Pelabuhan Butterworth. Ia bukan sahaja dilihat redundant, bahkan belum mampu berkembang dari segi eksport produk yang dihasilkan di Kulim Hightech Park.

Namun, akibatnya cukup fatal digambarkan oleh blok pembangkang, seolah-olah mendiskriminasikan kerajaan negeri, walhal padanannya dilihat janggal ketika ini. Akhirnya, berlaku serangan dalam bentuk ad hominem, “buka mulut, semuanya muhong”. 

Bukan PMX sahaja yang diserang secara ad hominen, bahkan ramai juga menteri yang dikecam walaupun tidak sehebat kecaman salah seorang pemimpin UMNO terhadap menteri-menteri pada zaman PM ke-7, ‘ramai menteri pasola’.

Antara menteri dalam kabinet kerajaan madani yang hangat diserang ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akibat belum dapat selesaikan isu beras putih tempatan (BPT) atau dahulunya dikenali sebagai Super Spesial Tempatan (SST).

Beliau juga turut dikecam kerana perancangannya untuk menambahkan keluaran hasil pertanian tempatan masih belum ‘menjadi’ walaupun telah ada percubaan menanam bawang di Trolak, Perak bagi mengurangkan import bawang daripada Holland, India, China, Thailand mahupun Indonesia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga termasuk dalam kecaman yang sengaja dilakukan untuk memperlihatkan ketidakupayaan menjaga umat Islam, institusi Islam dan pemerkasaan Islam sehingga mentera bahawa kuasa yang diberikan seumpama ‘tidak sah’ (legitimate) kerana perihal hal ehwal Islam adalah di bawah kuasa negeri.

Ia seumpama mengulang dakwaan yang pernah dilontarkan sebelumnya, seperti kedudukan JAKIM dan peruntukan kepada institusi-institusi Islam di peringkat pusat tidak berperlembagaan.

Sepuluh bulan lalu (Ogos 2023), ada satu kritik keras mengecam Menteri Agama yang disiarkan dalam Malaysiakini (31 Ogos 2023) dengan judul “Naratif kerajaan perpaduan yang gagal”, yang ditulis oleh Abu Husna Prima.  Saya tidak pasti sama ada penulisnya menggunakan nama sebenar atau nama samaran, kerana dalam kelaziman nama rakyat Malaysia tidak ada nama “Prima”, kecuali singkatan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia yang pernah dijuarai ketika PM ke-6, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak.

Kata pengulas tersebut: “…naratif amalan beragama yang sederhana tetapi mendasari nilai hakiki yang kelihatan tidak langsung disambut oleh menteri agama serta agensi di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) serta media yang ada bersama mereka.”

Sesekali saya berusaha memahami apakah maksud “naratif amalan beragama yang sederhana” yang dimaksudkan oleh si penulis, kerana ia tidak didefinisikan secara memadai. Sederhana itu bersifat sangat relatif, bagi seseorang berhasrat tinggi, sederhana itu mungkin cukup sekadar minum kopi di café, restoran berhawa dingin, atau berbuka puasa buffet Ramadhan di hotel lima bintang.

Bagi rakyat biasa, sederhana itu ‘ala kadar’; cukup sekadar beberapa biji kurma dan beberapa senduk nasi, satu atau dua jenis lauk.

Begitu juga makna sederhana dalam konteks agama, asalkan kesederhanaan itu bukan bermaksud memudahkan segala-segalanya sehingga melanggar Rukun Islam. Kesederhanaan dalam Islam perlu difahami dengan baik sebelum membungkusnya sebagai ‘amalan beragama yang sederhana’, kerana terlalu mencari kesederhanaan dalam perkara teras akan menyebabkan tahap agama bukan sahaja ke laut, bahkan boleh merosakkan akidah.

Memang kesederhanaan dituntut oleh Islam, tetapi kesederhanaan itu tidak bertentangan dengan prinsip akidah. Misalnya, sederhana dalam mengeluarkan pendapat, tetapi setiap pendapat yang dikeluarkan itu tidak berdasarkan ukuran logik dalam pemahaman ilmiah moden sehingga menjerumuskan akidah ke jurang kesesatan.

Dalam tindakan kita untuk berpolitik dan menyertai mana-mana kelompok politik. Kita, sebagai orang Islam tidak wajar mengkafirkan orang lain yang tidak sehaluan pendirian politik atau menjadi ahli parti politik yang berbeza.

Kita harus sedar, kemunculan parti politik hanyalah sebagai alat, yakni alat untuk mendapatkan kuasa. Jadi, sesebuah parti politik bukan ada wibawa untuk menghukum seseorang yang berbeza pendapat atau pendirian. Parti politik kesemuanya adalah ciri organisasi sekular, walaupun menggunakan ideologi agama.

Islam membenarkan manusia menubuhkan parti politik, tetapi tidak membenarkan manusia mengecam pihak lawan sekejamnya seperti mana kita dengar istilah ‘kafir’ dan penyokongnya akan ‘dihumban ke neraka’.

Nilai keislaman seseorang diukur daripada tahap ketakwaan dan bagaimana seseorang mengamalkan rukun amar makruf dan menjauhi nahi mungkar. Kesederhanaan itu adalah mengajak manusia kepada kebaikan dan sesuatu perkara yang mendatangkan manfaat, atau dalam konteks yang lebih luas dipanggil maslahah.

Maslahah, menurut al-Ghazali, adalah “mendatangkan manfaat (kebaikan) dan menolak keburukan (mudarat)”, yang dikerangkakan dalam lima perspektif: pemeliharaan agama; pemeliharaan hidup atau jiwa; pemeliharaan keluarga atau keturunan; pemeliharaan harta atau kekayaan; dan pemeliharaan intelektual atau akal.

Pemeliharaan tersebut haruslah tidak melanggar ketentuan syariah; bukan berdasarkan falsafah hak asasi manusia yang sekular, atau hanya ijtihad peribadi seseorang yang dikategorikan ulama atau tuan guru.

Namun, dalam usaha pemeliharaan perspektif itu, ia mestilah dibuat dalam kerangka yang dibenarkan oleh agama, tidak merampas atau mengkhianati orang lain; menipu atau berbohong; manipulasi atau penyogokan; dan, dengan cara yang halal dan beretika. Sebab itulah, dalam apa pun yang hendak kita buat, laksana dan lakukan, ia sangat tertakluk kepada proses dan tertibnya, bukan dengan cara yang tergesa-gesa dan melulu.

Kenapa agensi-agensi di bawah seliaan Menteri Hal Ehwal Agama tidak bertindak sesegera yang boleh dalam mempraktikkan ‘kesederhanaan’? Jawabnya, kederhanaan itu sudah lama tertanam dalam pendekatan organisasi agama, dan setiap tindakan yang akan diambil berdasarkan prosesnya atau sekarang dikenali sebagai SOP, standard operating procedure. SOP adalah penting untuk mencerminkan tindakan yang diambil dilihat tergesa-gesa dan boleh berakhir dengan masalah dan liabiliti kepada kerajaan.

Setiap agensi membawa ‘bendera’ kerajaan yang memerintah, maka keperluannya adalah memahami apakah aspirasi kepimpinan yang menerajui sesebuah pemerintahan. Al-Ghazali dalam hal ini menegaskan:

“…seorang pemerintah itu menjadi tinggi keunggulannya dan meningkat nilainya dengan bantuan menteri, jika dia telus, cekap dan adil. Ini kerana tidak mungkin seorang pemerintah untuk mempengaruhi zamannya dan mentadbir kerajaannya melainkan dengan bantuan menteri. Dan, barangsiapa yang cuba untuk memimpin secara bersendirian, pasti akan gagal.” (Imam al-Ghazali, Nasihat Buat Pemerintah, terjemahan al-Tibr al-Masbuk fi Nashihat al-Muluk oleh Yusra Hulaimi, P.Jaya: Biblio Press, 2024, hal. 140)

Dalam kamus politik moden, prinsip ini dipanggil tanggungjawab bersama (collective responsibility). Ia cukup penting untuk memperlihatkan kerajaan ‘seia sekata’ atau dalam istilah lain ‘espirit de corp’. Prinsip ini tidak menjadi dalam kerajaan PH selama 22 bulan. Akibatnya, berlaku tindakan masing-masing parti untuk menonjolkan kedominan masing-masing.

PM ke-7 juga kadangkala merasakan kuasanya mengatasi kuasa lain-lain pemimpin parti yang berada dalam PH sehingga dilihat mengengkari persetujuan semasa pembentukan PH, misalnya ketika memilih beberapa jawatan utama mengetuai SPRM dan PDRM. Orang dah bersara dilantik semula, hanya kerana Dr Mahathir mempunyai hubungan aspirasi peribadi yang sama dengan pemimpin tersebut.

Seperti kata Iman al-Ghazali (1058-1111): Dan hendaklah para pemegang kuasa mengetahui tidak ada seorang pun yang lebih dungu berbanding seseorang yang menjual agamanya kepada orang lain untuk mendapatkan dunia. Dan kebanyakan manusia berkhidmat untuk syahwatnya sendiri. Maka, mereka akan membuat pelbagai helah untuk memenuhi syahwat mereka.” (Nasihat Buat Pemerintah, terjemahan al-Tibr al-Masbuk fi Nashihat al-Muluk oleh Yusra Hulaimi, P.Jaya: Biblio Press, 2024, hal. 31-32).

Sepuluh hari pertama, Menteri Hal Ehwal Agama menemui setiap agensi di bawahnya, maka itu bermakna Datu Dr Naim Mokhtar melaksanakan tanggungjawabnya dengan betul kerana tidak semua difahaminya walaupun pernah mengetuai salah satu jabatan di bawah portfolio tersebut. Banyak perkara yang tidak diketahuinya dengan lengkap, maka tidak menjadi suatu kesalahan bila beliau berbuat demikian.

Ibarat seorang pengantin baharu, seorang suami akan memperkenalkan saudara terdekatnya dengan isteri yang baharu dikahwininya. Begitu juga peranan isteri, memperkenalkan saudara terdekat. Menerusi perkenalan itu akan muncullah ‘rasa persaudaraan’ dan ‘ikatan kekeluargaan’ kerana perkahwinan itu bukan seperti difahami oleh masyarakat bukan Islam.

Selain berkahwin dengan seseorang, kita juga ‘berkahwin’ dengan sanak saudara, sahabat dekat masing-masing. Sebab itulah istilah kekeluargaan dalam Islam lebih besar ruang lingkupnya berbanding masyarakat barat, yang mentakrifkan keluarga itu antara suami-isteri, dan kadangkala terpisah dengan keluarga atau ipar duai.

Dengan cara saling mengenali, muncullah apa yang dipanggil kesefahaman. Kesefahaman akan memudahkan kerja atau pelaksanaan tanggungjawab, masing-masing memahami aspirasi dan konteksnya yang betul. Inilah yang membangkitkan perihal psikososial organisasi, atau budaya organisasi yang menjadi salah satu petunjuk kekesanan sesebuah organisasi dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranannya. Faedahnya, rakyat akan menerima kebaikan secara langsung.

Namun, bukan mudah untuk mencipta persekitaran sosial yang kondusif bagi sesebuah organisasi kerana di dalamnya ada budaya dan nilainya yang tersendiri, yang dibangunkan sejak sekian lama. Jadi, budaya dan nilai itu perlu difahami terlebih dahulu, sebelum melaksanakan proses penyisihan dan penambahbaikan.

Tentunya, proses itu tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh sepuluh hari, kerana ia melibatkan manusia dengan pelbagai kecenderungan peribadi dan emosi.

Dalam teori psikologi, untuk mengubah atau membuat sesuatu perubahan sangat memerlukan masa walaupun perubahan itu sangat diperlukan. Akan muncul ‘sindrom kasut baharu’ atas alasan ‘kurang selesa’ dan ‘bayangan melecet’ bila dipakai walaupun ‘kasut lama’ sudah kusam dan buruk, kelesaan (oleh kerana kebiasaan) tetap mahu dipertahankan. Ertinya, perlu masa dan proses penyesuaian.

Gustave Le Boon (seorang yang sangat berpengetahuan atau digelar polymath dari Perancis, 1841-1931), seorang pakar perubatan yang kemudian menjadi seorang pakar psikologi sosial memerihalkan bagaimana kerumunan (the crowd) boleh mempengaruhi sikap, pendirian dan tindakan seseorang.

Jadi, untuk berubah, iaitu perubahan kearah yang lebih baik, reaksi pertama apabila perubahan itu diminta ialah ‘kegusaran’, yang kadangkala terlahir pula dalam bentuk ‘protes dalam diam’ (silent protest). Untuk mengelakkannya, ia memerlukan kemahiran dan proses pelatihan semula sesuai dengan bentuk perubahan yang diharapkan.

Begitu juga dalam pendidikan, kita seringkali diajukan dengan konsep pendidikan semula, latihan dalam perkhidmatan dan rangka transformasi nilai dan budaya organisasi. Inilah yang sedang berlaku dan terus berlangsung dalam konteks membangun sumber manusia mapan, berdaya saing sebagaiman terkandung dalam hasrat dan falsafah Masyarakat Malaysia Madani.

Jika kita belajar dari sejarah, kita boleh memahami mengapa runtuhnya kepimpinan Dr Mahathir setelah 22 bulan berkuasa (10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020), dibuang oleh parti yang diasaskan sendiri. Beliau kemudiannya, menubuhkan parti baharu tetapi kandas dan kemuncaknya hilang deposit di Langkawi yang pernah menjadi ‘tumpuan pembangunan dan penompokan projek bercirikan pelancongan’.

Kita dapat perhatikan, walaupun pernah digelar ‘negarawan’, imej dan penghormatan tidak akan kekal lama atas perubahan persekitaran serta rasa ego. Magis bertukar menjadi mitos.

Setakat ini, kerajaan madani menerima teguran dan kritikan dengan syarat teguran dan kritikan dalam konteks yang membina. Sesuatu kritikan dan kecaman yang tidak sepatutnya berlaku – 3 R, race, religion and royalty – tetap menjadi tindakan yang amat dilarang.

Pelarangan itu bukan merupakan perkara baharu, ia dikanunkan dalam beberapa akta dan undang-undang bagi mengelakkan berulangnya Tragedi 13 Mei 1969. Tiga teras itu merupakan tiang asas pembentukan Malaysia dan dimaktubkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1948.

Sebabnya, untuk menjamin keharmonian masyarakat berbilang kaum, dan bukannya meruntuhkan nilai-nilai yang sudah dipersetujui secara jelas ketika diinstitusikan sebagai ‘kontrak sosial’.

Secara jelasnya, sekatan dan larangan yang dibuat bukan bermaksud ‘mematikan kebebasan bersuara’ sebaliknya sebagai satu bentuk kawalan untuk mengelakkan munculnya bencana perkauman dan propaganda yang keterlaluan, yang kadangkala sebagai tindakan tidak langsung menghina agama, banga dan tanah air.

Apa ertinya hidup kita jika negara hancur lebur akibat emosi perkauman dan serangan melampau terhadap agama, walhal setiap agama mempunyai peranannya mendisiplinkan setiap manusia menjadi lebih baik dan bertanggungjawab.

Apa yang direncanakan oleh kerajaan madani ialah untuk melihat masyarakat yang gah dan maju dengan nilai-nilai keadaban. Sekiranya mereka merupakan aktivis politik, penyertaan mereka selari dengan politik mulia, bukannya matlamat menghalalkan cara.

Sekiranya mereka merupakan manusia yang beradab, akal budi menjadi kerangka berfikir, bertindak dan rasa hormat. Jalannya masih jauh, tetapi permulaannya perlu dimulakan dengan langkah pertama.

Ada hasil tanpa usaha, tetapi, usaha dan kegigihan memerlukan semangat persahabatan yang tinggi, kerana sahabat sejatilah yang bukan sahaja ‘hadir menegur dengan ikhlas’ juga bersedia mengambil bahagian untuk menjayakan matlamat besar yang diharapkan itu. Berikanlah peluang untuk melakukannya, dan jika tidak menepati apa yang disasarkan perbaikilah ‘kelemahan’ itu secara konstruktif dengan nasihat, pandangan dan idea yang lebih baik, bukan menyerang tanpa fakta dan solusinya.

MOHD SHAUKI ABD MAJID

Translate »