Sejak keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 tidak menghasilkan pegangan kuasa tunggal bagi membolehkan pembentukan kerajaan, sifat dan ciri-ciri kerajaan yang dibentuk berasaskan perkongsian kuasa antara kelompok parti, pembentukan kerajaan sedemikian menjadi suatu permulaan politik yang kontroversi.

Kontroversinya apabila sekelompok pemimpin yang merasakan kelompoknya ‘sudah cukup sokongan’ tidak mahu menerima pembentukan kerajaan gabungan atas kemahuan ingin kekal sebagai ‘pembangkang yang berkuasa’.

Hakikatnya, kelompok yang membayangkan ‘hasrat’ tersebut tidak sekuat mana, kerana mereka juga memerlukan sokongan daripada perwakilan yang asalnya ‘bermusuh secara partisan’. Namun berlaku intrig politik dalaman untuk ‘memintas keluar’ daripada ‘kepompong parti asal’ dengan alasan, tidak sehaluan dengan kepimpinan parti. Parti yang diwakili tidak menunjukkan prestasi yang baik sebagaimana diharapkan.

Persoalannya, melompat parti atau menyokong parti lawan secara individu tidak dibenarkan berdasarkan persetujuan yang dibuat sebelumnya, yakni Akta Anti-Lompat Parti yang diluluskan sebelum akhir tahun 2022. Ini bermakna, walaupun seseorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan memenangi atas kriteria parti politik tertentu, tidak boleh ‘menyebarang sendirian’. Parti politik boleh ‘menyeberang’, ‘menyeberang secara berjemaah berdasarkan keputusan kepimpinan parti, bukan keputusan individu.

Itulah yang berlaku. Apabila terbentuknya kerajaan perpaduan, maka kelompok yang kecewa dan tidak bersetuju berkongsi kuasa atas pelbagai alasan, melihat pembentukan kerajaan sedemikian sebagai suatu ketentuan yang tidak wajar sehingga menggelarkannya sebagai kerajaan di luar tabie.

Tidak cukup dengan pemberian label, maka diusahakan pelbagai lagi tindakan agar kerajaan perpaduan segera tumbang, walaupun sekiranya kerajaan perpaduan itu tumbang, ia belum tentu kuasa pemerintahan yang diidam-idamkan itu menjadi milik mereka.

Banyak konsekuensinya. Pertama, ia memerlukan sokongan bulat daripada parti politik tertentu (bukan secara individu). Kedua, gabungan kerjasama baharu sukar dibentuk kerana ada ‘dendam’ antara dua parti yang dianggap “abang besar” dan “abang tua” yang tidak lagi boleh “bersama” atas pengalaman lalu. Ketiga, jika gabungan itu berlaku, ia akan menjadi sesuatu yang kurang stabil atas sebab muncul pasukan pembangkang yang lebih besar. Keempat, politicking akan bermunculan dalam suasana yang lebih tegang dan kadangkala berbaur keras. Ertinya, political bashing akan kekal mewarnai sistem pentadbiran negara sebagaimana pernah berlaku ketika era pemerintahan PM ke-7.

Setelah kerajaan perpaduan berjaya dibentuk, walaupun political bashing berlaku, hasilnya menerusi kecekapan menangani masalah dalaman, ia tidak merebak menjadi sebuah ‘pengkhianatan’ dari dalam sebagaimana berlaku akibat tindakan Muhyiddin, Azmin Ali dan beberapa orang pemimpin BN serta PAS sendiri untuk melakukan ‘serangan’ sehingga PM ke-7 meletakkan jawatan dalam episod Langkah Sheraton selepas 22 bulan berkuasa.

Kerajaan perpaduan, yang kemudiannya dijenamakan sebagai kerajaan madani telah berjaya mengurangkan intrig politik dalaman di mana UMNO dan DAP yang saling bermusuhan sejak tahun 1965 boleh bekerjasama atas semangat membangun situasi politik yang stabil. Tidak dapat dinafikan, dalam beberapa perkara muncul sindir menyindir, rasa kecewa dan pendirian yang berbeza, tetapi masih tidak muncul keadaan yang boleh dilihat sebagai ‘berpatah arang, berkerat rotan’ sebagaimana kelompok Azmin Ali menarik diri daripada PKR dan Muhyiddin berusaha menghumban Dr Mahathir dan pendokongnya.

Ketika kerajaan madani semakin berjaya membentuk gagasan bersama, kelihatan pula blok pembangkang semakin ‘berselisih’ walaupun belum muncul secara jelas ‘perbalahan besar’. Parti yang dianggap mampu membangkitkan semula semangat kemelayuan, semakin tersepit kerana belum menunjukkan tanda-tanda mampu menjadi parti yang benar-benar dapat mencabar.

Muhyiddin terperangkap dengan masa silamnya, yakni liabiliti politik semasa menjadi PM ke-8. Bukan hanya setakat itu, Muhyiddin juga berhadapan dengan masalah integriti tujuh orang wakil rakyatnya (6 MP dan 1 ADUN) tidak lagi rasa hormat kepimpinannya: mereka secara terbuka menyokong kepimpinan PM X.

Sebelumnya, parti yang dipimpin oleh Muhyiddin bercempera di Sabah apabila wakil rakyatnya membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sehingga kekuatan Bersatu (atau Perikatan Nasional) dilihat semakin kabur. Kekaburan itu bakal menjadi semakin kuat sebaik sahaja Sabah melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sama ada tahun ini atau awal tahun depan kerana edahnya akan berakhir. PRN Sabah terakhir diadakan pada 19 November 2022.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, PRN ke-17 mungkin diadakan selepas tamat tempoh penggal ke-16 DUN Sabah, yakni bulan September 2025. Datuk Seri Hajiji, bekas ahli UMNO, menyertai Bersatu dan kemudian keluar parti, kini menjadi penggerak utama GRS (atau GAGASAN) mempunyai hubungan yang baik dengan PM X. Ini bermakna, kedudukan Bersatu di Sabah cukup malap berbanding dengan keangkuhan Bersatu semasa berusaha keras meletakkan kuasanya semasa merancang PRN ke-16.

Masyarakat awam semakin melihat Bersatu dengan imej yang suram. Kesuramannya disebabkan oleh kegagalan Bersatu berkuasa di mana-mana negeri. Akibatnya, kedudukan PAS dilihat lebih baik daripada Bersatu, kerana PAS sudah menguasai empat buah negeri di Semenanjung (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis).

Prestasi PAS dalam enam PRN yang diadakan pada 12 Ogos 2023 menggambarkan keadaan itu: PAS lebih berjaya daripada Bersatu, manakala Bersatu menjadi semakin tidak terarah akibat gagal menawan Selangor.

Oleh kerana situasi politik sedemikian, yang semakin tidak menyebelahi Perikatan Nasional, maka strategi propaganda tiga parti yang berada di dalam gabungan tersebut semakin kuat berfalasi dengan mengkritik, mengecam dan memperlekehkan apa sahaja dasar, program dan keupayaan kerajaan madani dengan harapan rakyat akan menyebelahinya sebagai lobi awal untuk menjatuhkan kerajaan.

Matlamat awalnya menjatuhkan kerajaan madani – daripada jangkaan awal dalam tempoh enam bulan – tidak menjadi kenyataan, dibina pula retorik politik menukarkan kerajaan semasa kempen PRN bagi enam negeri – keputusan kekal statusquo– akhirnya merancang arus perubahan menjelang PRU ke-16 yang masih berbaki kurang empat tahun lagi.

Pada peringkat awal, strategi peperangan ialah mempersoalkan kerangka kerajaan (government framework atau appeal to pity), kini bermula serangan berbentuk institusi kepimpinan politik kerajaan (ad verecundiam atau appeal to authority) dan sesekali dilibatkan serangan berbentuk peribadi (ad hominem atau mencela peribadi).

Appeal to pity, atau rayuan untuk dipercayai atau meraih simpati. Oleh kerana tidak ada mana-mana gabungan yang berjaya membentuk kerajaan, maka kaedah ini digunakan untuk menafikan proses pembentukan kerajaan atas budi bicara kuasa tertinggi dianggap sebagai satu hal yang tidak wajar.

Beberapa bulan selepas pembentukan kerajaan perpaduan, serangan demi serangan dilakukan. Antaranya, dengan melabelkan bentuk kerajaan – luar tabie, penuh perangkap dan muslihat, tidak menepati makna unity government, dan sebagainya – akan cuba dilobi dengan pandangan-pandangan yang tidak berperlembangaan (unconstitutional) – yang akan runtuh dalam tempoh singkat. Paling nyata kenyataan tidak benar yang dibuat ialah apabila kelompok mereka menang dalam dua PRK (Parlimen Pulai dan DUN Jeram, di Johor) akan menyebabkan kerajaan bertukar.

Tanpa melihat kepada kebenaran proses, mesej kempen sedemikian ditolak oleh pengundi. Pengundi sedar, kalah atau menang tidak akan menyebabkan kerajaan madani berubah, begitu juga di peringkat negeri Johor.

Jika blok pembangkang menang, jumlah kerusi kerajaan madani hanya kurang satu, masih belum membolehkan pembangkang memerintah. Ketika itu, kerajaan madani mempunyai kerusi yang besar di Dewan Rakyat, yakni 148 kerusi. Jika kalah, masih berbaki 147, melepasi tahap majoriti mudah (112 kerusi).

Keadaan yang sama kekal di Johor. Pada PRN Johor (12 Mac 2022), BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN. Blok pembangkang yang membentuk PN (Bersatu, PAS dan Gerakan) hanya menang 3 kerusi (Bersatu 2 dan PAS 1) manakala selebihnya (12) dikuasai oleh gabungan PH (PKR, Amanah dan DAP) dan Muda (1 kerusi).

Apabila terbentuknya kerajaan madani, kekuatan gabungan baharu menjadi lebih nyata, iaitu 52 kerusi, dan jika satu kerus kalah (PRK) bererti masih ada 51, melebihi tahap dua pertiga (38 kerusi).

Mesej kempen yang sama digunakan semasa PRN di enam buah negeri. Jika blok pembangkang menang, kerajaan pusat akan berubah, dari kerajaan madani kepada kerajaan PN. Ia tetap merupakan satu bentuk pembohongan, kerana jika blok pembangkang menguasai kesemua enam negeri, kedudukan kerajaan madani di peringkat pusat tidak berubah. Ini kerana pemilihan peringkat negeri (DUN) ialah untuk membentuk kerajaan negeri, bukannya kerajaan pusat.

Apabila keputusan secara kerangkanya tidak berubah – kekal statusquo – blok pembangkang tersengih malu sendiri kerana pengundi sedar dengan pembohongan yang dibuat. Apa yang dapat kita pelajari daripada pembulian politik sedemikian ialah satu bentuk penolakan yang keras terhadap dua komponen blok pembangkang, iaitu Bersatu dan Gerakan. Dua calon parti tersebut paling banyak hilang wang pertaruhan.

Kekuatan sebenar ialah menyebelahi PAS, yang kemudiannya menjadi sebuah parti politik yang mula menunjukkan sikap besar kepala dan angkuh.

Ad verecundiam atau appeal to authority dilakarkan semula dengan kadar yang lebih cepat dan besar sebaik sahaja blok pembangkang mampu menang besar di Kelantan dan Kedah, menyapu bersih di Terengganu, membentuk cabaran baharu di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dan menafikan dua pertiga kuasa PHBN di Selangor, dengan persoalan-persoalan yang dilihat sebagai satu kaedah menggertak.

Namun, gertakan tersebut tidak menjadi. Gertakan-gertakan itu pudar dengan sendirinya, seperti orang sesak nafas walaupun tidak memerlukan alat bantuan pernafasan atau oksigen tambahan.

Kini, kaedah kempen blok pembangkang ialah memperluaskan ke tahap ad hominem atau menjurus kepada serangan peribadi. Serangan-serangan yang dibuat ialah memaparkan semula apa yang pernah dijanjikan oleh seseorang semasa orang itu belum mempunyai kuasa. Persoalannya, apakah ia menepati dengan konteks semasa atau sebaliknya.

Seperti yang kita sedar, tidak semua yang kita inginkan boleh diraih dengan mudah walaupun kita mempunyai sumber dan keupayaan mendapatkannya dalam keadaan logik berfikir. Misalnya, jika inginkan kos sara hidup turun, mendapatkan barangan dengan harga murah dan sebagainya. Itu adalah harapan dan impian kita. Harapan semua orang.

Tetapi, untuk menurunkan harga barangan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak rantaian yang mengikat walaupun pada teorinya, ia berkaitan dengan hukum penawaran dan permintaan. Sesuatu barangan akan menjadi mahal sekiranya mempunyai permintaan yang tinggi.

Sesuatu barangan akan menjadi mahal sekiranya bekalan berkurangan. Bekalan berkurangan pula dikaitkan dengan produktiviti dan faktor-faktor lain seperti cuaca, rangkaian pengedaran dan peruncitan. Semuanya melibatkan kos selain kos pengeluaran (pembajaan, anak benih, penjagaan, penyediaan lahan, pengangkutan dan sebagainya).

Jadi, dalam kita menilai kos, kita wajar melihat kesemua faktor-faktor yang mempengaruhinya sebelum menyatakan bahawa kerajaan telah gagal menangani masalah kos sara hidup. Apa yang kerajaan boleh lakukan ialah menggunakan mekanisme kawalan harga, tetapi tidak semua barangan boleh dilakukan. Ia bertentangan dengan hukum pasaran bebas atau market forces.

Selain melaksanakan mekanisme kawalan harga secara terpilih (keperluan asas), kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk menahan kenaikan harga, yang dikenali sebagai subsidi. Jika jumlah subsidi terus bertambah, bererti kerajaan perlukan wang yang lebih banyak.

Jika keadaan ini berterusan, tanpa hadnya, maka negara akan berhadapan dengan perkhidmatan lain yang lebih perlu dan mendasar, seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pembangunan infrastruktur dan jaminan keselamatan sosial yang lain.

Apa yang menjadi tunjang dasar kerajaan ialah menjamin golongan yang berpendapatan rendah tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Ini kerana pengalaman seluruh dunia menunjukkan akibat kenaikan kos sara hidup akan menyebabkan golongan miskin terus membesar dan menyebabkan golongan itu kian terhimpit.

Kita mungkin membaca laporan ketika harga beras meningkat tinggi pada tahun 2007 ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu (La Nina dan El Nino) menyebabkan pengeluaran beras jatuh di Thailand (berlaku banjir besar di Lembangan Chao Phraya), Myanmar (banjir besar di Lembangan Irrawadi) dan di Vietnam (banjir besar di Lembangan Mekong). Selain faktor cuaca, perubahan ekonomi dan dasar yang berlaku di beberapa buah negara.

Amerika Syarikat, pada tahun 2007 meluluskan undang-undang baharu di mana 30 peratus keluaran bijirinnya diwajibkan diproses sebagai biofuel. Akibatnya, rakyat Amerika Syarikat mencari alternatif untuk meningkatkan keperluan bijirin dengan mengimportnya daripada negara-negara pengeluar.

Amerika Syarikat sanggup membayar dengan harga yang lebih tinggi. Ini menyebabkan negara-negara membangun, yang menggunakan bijirin sebagai menu diet harian terasa beban. Harga bijirin, termasuk beras meningkat tinggi.

Ekonomi China berkembang pesat menyebabkan berlaku pola diet masyarakatnya. Sebelumnya, mereka mungkin mengambil diet berat sekali sehari. Setelah ekonominya berkembang, pola itu berubah kepada tiga kali sehari. Ini menyebabkan keperluan bijirin semakin meningkat. Ertinya, dengan permintaan yang tinggi, harga akan meningkat. Tidak ada negara atau peniaga yang sanggup menjual harga murah. Itulah yang berlaku.

Selain itu, faktor kenaikan harga barangan disebabkan oleh perubahan situasi politik dunia. Kenaikan harga barangan turut terkesan dengan peperangan yang berlaku di Ukrain sejak bulan Februari 2022, yang kemudiannya terpaksa dihadapi oleh negara-negara lain termasuk Malaysia. Ukrain merupakan pengeksport bijirin yang terbesar. Akibat perang, aktiviti penanaman tergendala.

Ekoran meletus kembali konflik di Gaza, menyebabkan perjalanan laut menggunakan Terusan Suez sedikit berhalangan apabila pejuang Houthi mengenakan sekatan ke atas mana-mana kapal yang menuju ke Israel dan kapal yang dikenal pasti milik firma Israel walaupun produk yang diangkutnya bukan menuju ke Israel.

Sekatan-sekatan ini menyebabkan perjalanan perdagangan antarabangsa menjadi terhalang, membabitkan kos insuran, pengangkutan dan kawalan keselamatan, selain kenaikan kos akibat menggunakan laluan yang jauh.

Kesemua faktor-faktor itu mempengaruhi kenaikan harga sesuatu barangan. Ini turut menerima kesannya kepada Malaysia, walaupun kapal-kapal yang menggunakan Terusan Suez kepunyaan Malaysia tidak disekat.

Tidak semua kapal-kapal yang didaftarkan di Malaysia digunakan untuk mengangkut barangan ke Malaysia, masih banyak kapal-kapal asing yang terbabit. Secara langsungnya, ia turut mempengaruhi harga barangan.

Dalam sistem perdagangan antarabangsa, penggunaan dolar Amerika Syarikat sebagai pelunas bayaran turut mempengaruhi kenaikan harga. Kenaikan nilai dolar akan menyebabkan lebih banyak ringgit terpaksa digunakan untuk menyamai nilai dolar.

Hakikat ini perlu difahami, kerana tidak semua keperluan barangan masyarakat Malaysia dihasilkan dalam negeri, Malaysia masih banyak bergantung kepada import barangan dalam ketegori makanan.

Jadi, untuk menyalahkan kerajaan madani semata-mata kerana kenaikan kos sara hidup adalah sesuatu tidak tepat, kerana kenaikan kos sudah berlaku sejak sekian lama, yakni sebelum kerajaan madani memerintah.

Turun naik harga merupakan sesuatu yang lazim berlaku, dan tidak sesuai dibandingkan dengan paras harga pada tahun sebelum merdeka, yang jumlah penduduknya lebih kecil dan gaya hidup yang ketara berbeza.

Apa yang sepatutnya rakyat berubah ialah mengubah gaya hidup dan kaedah diet. Misalnya, mengenai gaya hidup telah diketahui menjadi punca utama meningkatnya pengidap kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), jantung (kardiovaskular), barah (kanser) dan kesihatan mental.

Obesiti menjadi petunjuk yang mempercepatkan penyakit tiga serangkai (diabetes, hipertensi dan kardiovaskular), namun jarang daripada masyarakat Malaysia berusaha mengelakkannya.

Dari segi perubatan, mengambil diet selepas jam lapan malam (atau empat jam sebelum tidur) semakin tidak diendahkan. Apabila ada cadangan agar kedai makanan yang beroperasi dua puluh empat jam ditutup menjelang tengah malam, ramai yang melontarkan bantahan, dengan pelbagai alasan.

Hakikatnya, dari segi kesihatan, antara jam sebelas malam hingga jam satu pagi sistem pencernaan makanan dalam badan kita giat berlaku, kerana perut perlu dikosongkan sebelum kita mengisinya esok pagi. Ia umpama tangki kenderaan, mana mungkin dapat diisikan minyak esok pagi sekiranya tangki masih tersedak.

Jik hal ini diilustrasikan dalam sistem pengurusan negara, kita akan melihat semula apakah hal-hal yang boleh menyebabkan banyak proses terganggu, harapan tergendala. Kita tahu, semasa kerajaan madani terbentuk, hutang negara sudah pun melepasi RM 1 trilion. Ertinya, sebahagian daripada pendapatan yang dikumpulkan oleh kerajaan, perlu digunakan untuk membayar hutang.

Semasa pemerintahan BN berakhir, hutang negara berada di sekitar RM 686 bilion. Ini bermakna, selepas kekalahan BN (2018) hingga 2023 ialah RM 1. 2 trilion, meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh enam tahun. Anggaran sekarang, jumlah hutang negara ialah RM 1.5 trilion. Bayangkan berapa banyakkah wang perlu digunakan untuk membayar perkhidmatan hutang setahun.

(BERSAMBUNG)

MOHD SHAUKI ABD MAJID

Translate »