Kezaliman ke atas orang Islam di India. Bangsa Rohingya di Myanmar. Bangsa Uighur di Xinjiang China. Dan rakyat Palestin. Inilah contoh-contoh yang sedang berlangsung, bagaimana umat Islam seluruh dunia ditindas, dihina dan dizalimi oleh musuh-musuh agama. Setiap saat video kami ini ditonton, akan berlakunya kezaliman yang menimpa umat Islam di dunia.

Maka mengapakah umat Islam begitu lemah pada hari ini? Mengapa kita tidak mampu membuat apa-apa untuk menyelamatkan saudara se-Islam kita? Dan bagaimanakah cara untuk kembalikan kekuatan ummah, seluruh dunia?

Jawapan kepada soalan-soalan berat ini terkandung di dalam Al-Quran, hadis Nabi SAW, serta sejarah tamadun Islam.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa universiti sebagai sebuah institusi pelajaran dan pengetahuan, bermula di Maghribi, dan zaman itu, bahasa Arab menjadi bahasa sains, sama seperti bahasa Inggeris pada hari ini. Pusat sains dan intelektual yang terkemuka, Baitul Hikmah, telah ditubuhkan oleh Khalifah Abbasiyah pada akhir abad ke-8. Meletakkan ilmu sebagai asas kejayaan adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud;

“Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap Muslim.” – (HR At-Tirmidhi, Ibnu Majah)

Karya-karya agung dalam banyak bidang saintifik termasuk optik, mekanik, dan sebagainya juga bermula dengan tamadun Islam. 500 tahun sebelum kemunculan Leonardo Da Vinci, Ibn al-Haytham, yang dikenali sebagai bapa optik moden, telah membangunkan prinsip optik moden, yang kemudian membuka jalan kepada ciptaan telefon pintar dan juga penghasilan video.

Empayar Seljuk pula mengasaskan institusi pengajian tinggi, Nizamiyyah, pada abad ke-11, dan ia merupakan pembaharuan besar pertama kepada sistem pendidikan dalam sejarah.

Pemenang anugerah Nobel dalam sains Fizik pada tahun 1903, pakar perubatan Perancis Pierre Curie, berkata “Kami berjaya membahagi atom, dengan hanya berbekalkan 30 buah buku dari Andalusia. Jika berpeluang untuk memeriksa ratusan ribu buku yang telah dibakar oleh Hulagu Khan, mungkin manusia hari ini sedang bermain bola-sepak antara galaksi.”

Ketika ilmu berada di dalam genggaman umah, kita menjadi autoriti dan perintis kepada seluruh umat manusia. Justeru seorang muslim boleh memilih sama ada mahu menjadi orang berilmu dan berkelayakan, atau dia boleh memilih untuk menjadi seorang yang hanya hidup untuk makan, minum, tidur dan memuaskan nafsu.

Apabila seorang muslim berusaha untuk menjadi seorang yang berilmu, berkelayakan dan kompeten, maka dia akan menguatkan diri sendiri dan persekitarannya. Umat Islam wajib berfikir, merancang, dan berjuang berasaskan ilmu terhadap sunnatullah. Ketika itu baru arus perubahan hidup, berkembang, membangun dan utuh berasaskan sunnatullah kepada kemenangan Islam. Perkara ini telah diterangkan oleh firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud;

“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.” – (al-Mujadalah:11)

Maka kelemahan umat Islam pada hari ini boleh diringkaskan kepada beberapa perkara yang kita gagal lakukan. Pemikir Islam terkenal, Bediuzzaman Said Nursi telah berkata bahawa musuh 3 utama umat Islam adalah kejahilan, kemiskinan tegar dan konflik atau perpecahan. Untuk menewaskan musuh-musuh ini, seluruh ummah memerlukan 3 senjata iaitu ilmu, perpaduan dan sifat tanggungjawab.

Seperti contoh-contoh dalam sejarah yang disebutkan tadi, ilmu dan pendidikan adalah senjata pertama setiap muslim untuk menewaskan kejahilan. Dengan ilmu yang bermanfaat, tamadun Islam menerajui dan menjadi rujukan seluruh dunia.

Manakala konflik merujuk kepada perpecahan. Perpecahan ummah berlaku di pelbagai peringkat hari ini, antara negara-negara Islam, parti-parti politik dan hingga di peringkat masyarakat atau kejiranan. Apabila negara Islam atau umat Islam berpecah, sudah tentu kita akan alami regresi. Keuntungan yang lahir daripada ini diraih musuh-musuh Islam yang nyata, seperti kuasa barat. Malah masyarakat kita juga diserang oleh ideologi-ideologi haram setiap hari, yang disuntikkan melalui internet dan media sosial, berasal dari pemikiran barat.

Kejahilan dan perpecahan pula berkait secara langsung dengan kemiskinan tegar. Negara yang miskin tidak mampu untuk membangunkan institusi pendidikan berkualiti, dan tanpa ilmu kita akan berpecah dalam kejahilan.

Maka umat Islam perlu berubah. Kelemahan ummah bukan berpunca daripada kekuatan musuh di dunia, tetapi daripada kepincangan kita sendiri. Di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka.’’ – Ar-Ra’d, ayat 11

Menurut At-Thabari, maksud ayat ini menjelaskan bahawa semua orang itu dalam kebaikan dan kenikmatan. Allah tidak akan mengubah kenikmatan-kenikmatan seseorang, kecuali akibat perilakunya sendiri, dengan bersikap zalim, berpecah dan saling bermusuhan kepada saudaranya sendiri. Hakikatnya, setiap orang Islam itu berhak mendapatkan kenikmatan penuh, kerana pada dasarnya setiap manusia dilahirkan suci.

Apakah perilaku yang mengubah nasib kita hingga ke tahap hari ini? Lihatlah kepada kelalaian kita dengan media sosial, kesibukan dengan gosip dunia hiburan, budaya rasuah, meninggalkan solat, melupakan adab dan kata-kata baik. Hidup umat Islam seperti tiada visi untuk memartabatkan kembali tamadun Islam, hanya mencari duit, mengisi perut dan tidur menunggu esok hari.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-’Imran ayat 140 yang bermaksud;

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” – QS Ali-’Imran, Ayat 140

Kezaliman Yahudi, India, Myanmar dan musuh-musuh Islam yang lain bukan sesuatu yang kekal. Allah SWT berkuasa untuk mengurniakan kemenangan kepada umat Islam. Namun sebagai umat Islam, kita perlu memperbaiki diri masing-masing dahulu, seiring dengan usaha untuk meningkatkan ilmu, ekonomi dan menguatkan perpaduan sebagai satu Ummah.

Visi setiap muslim hari ini semestinya menuju satu ummah yang memiliki ciri-ciri Rabbani, yang benar-benar memenuhi kehendak sunnatullah. Individu Rabbani ialah seorang yang sentiasa berhubung dengan Allah dan menzahirkan kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya SAW melalui tindakan, komunikasi, pemikiran, watak, perjuangan, penampilan diri, dan gaya hidup.

Individu Rabbani akan memiliki pengetahuan dan pemahaman tentang Allah, Nabi SAW dan agama Islam. Keperibadiannya dibentuk oleh jiwa yang murni, yang terzahir melalui keimanan dan ketaqwaannya. Beliau mempunyai pandangan hidup yang jelas dan akhlak serta tingkah laku yang boleh dicontohi.

Tambahan dari itu, visi kita semua sepatutnya bukan hanya terhenti di tahap individu, tetapi berterusan hingga berjaya melahirkan sebuah ummah Rabbani secara kolektif. Dengan itu, barulah Allah SWT akan mengurniakan kemenangan kembali kepada kita.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »