Iran menyerang Israel dengan melancarkan lebih 300 peluru berpandu separa canggih dan dron ke arah Israel pada pertengahan April 2024 sebagai memenuhi janjinya untuk membalas serangan Israel terhadap konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April 2024.

Serangan itu menyebabkan 16 orang maut, termasuk komander kanan Pasukan Quds, Brigadier Jeneral Mohammad Reza Zahedi. Pasukan Quds merupakan cawangan tentera di bawah kendalian Tentera Revolusi Iran, yang dikhususkan di luar negara.

Mereka yang terkorban itu ialah lapan warganegara Iran, lima rakyat Syria, seorang anggota Hizbullah yang bermarkas di Lebanon dan dua orang awam Syria (ibu dan anak lelaki).

Menurut laporan Syrian Observatory, Presiden Iran, Ibrahim Raisi mengutuk serangan tersebut sebagai ‘kezaliman pengecut’ dan Iran tidak akan membiarkannya begitu sahaja.

Ebrahim Raisi benar-benar mengotakan janjinya. Israel melakukan tindakan tersebut dengan tujuan mengheret Iran terbabit sama. Apabila Iran terbabit, Amerika Syarikat dan sekutunya mungkin akan bertindak dengan lebih keras, jika mungkin akan menggunakan NATO. Ia adalah sesuatu yang sangat diharapkan, tetapi sehingga kini ia tidak berlaku.

Provokasi itu dibuat kerana Israel semakin tersepit apabila kapal-kapal milik syarikat negara tersebut telah dihalang daripada menggunakan Laut Merah oleh aktivis Houthi. Houthi mendapat sokongan Iran. Sehingga akhir April 2024, Houthi dikatakan telah menahan lebih 40 buah kapal pengangkut (kontena) milik firma Israel dan kapal-kapal yang ada hubungannya dengan eksport barangan ke Israel.

Ini menyebabkan laluan ke Terusan Suez menjadi semakin sukar selain ada juga kemungkinan meningkatnya aktiviti lanun daripada Somalia. Akibat sekatan oleh aktivis Houthi, perdagangan dunia menjadi semakin mahal kerana terpaksa menggunakan jalan jauh, menyebabkan bertambahnya kos pengangkutan dan juga insuran. Turut berhadapan dengan masalah ialah eksport buah-buahan akan menjadi lebih mudah rosak kerana terpaksa mengharungi perjalanan untuk sampai ke Eropah dengan tambahan masa yang sangat panjang.

Ada juga kemungkinan Afrika Selatan akan melakukan sekatan ke atas kapal-kapal menuju ke Eropah sekiranya negara itu ditekan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya setelah membawa isu genosid Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Dalam penentuan keputusan sama ada Israel melakukan genosid atau tidak, Amerika Syarikat tidak dapat campur tangan secara langsung kerana tidak meratifikasikan Statut Rom.

Ini bermakna, secara institusinya Amerika Syarikat tidak mempunyai, hanya sekadar meminta mana-mana negara yang berkaitan menolaknya. Tetapi, semakin banyak negara mula melihat secara saksama, menoleh ke sejarah yang tepat dan mempercayai bahawa Israel benar-benar telah melakukan genosid ke atas Palestin sejak negara haram itu ditubuhkan 1948. Namun, Amerika Syarikat benar-benar mengemis – salah satu sifat negara paria – untuk mendapatkan sokongan.

Keadaan ini cukup membimbangkan Joe Biden, kerana jika tidak berhati-hati, harapannya untuk menduduki Rumah Putih bagi penggal kedua terpaksa dilupakan. Kini, telah muncul pelbagai kempen pencitraan terhadap Joe Biden sedang berlaku di Amerika Syarikat, termasuk mendakwanya sebagai ‘Presiden Nyanyuk’ kerana usianya bakal mencecah 82 tahun menjelang pilihan raya 4 November 2024.

Usia yang ‘sangat tua’ untuk memimpin sebuah negara besar dan memerlukan reformasi pentadbiran, arah tuju yang jelas. Akibatnya, sepanjang empat tahun pentadbirannya, Joe Biden dilihat gagal mentadbir Amerika Syarikat, dan menjadi faktor BRICS semakin mampu melangkah lebih jauh dalam persoalan pengenyahan dolar (dedolarization).

Dasar ekonominya dikecam, dan kini, sedang berhati-hati dalam menjaga ‘hati dan perasaan Israel’ atas kebimbangan kehilangan kuasa akibat membiarkan Israel melakukan keganasan dan genosid di Gaza.

Sebelumnya, Houthi merupakan sasaran angkatan tentera Arab Saudi tetapi setelah Arab Saudi dan Iran menyambung semula hubungan diplomatik yang terhenti sejak tahun 2016 tidak lagi menjadi musuh. Pada 6 April 2023, Iran dan Arab Saudi menandatangani semula kerjasama diplomatik menerusi inisiatif Beijing. Ini memberikan tamparan hebat kepada Amerika Syarikat dan ia bakal meletakkan hubungan kerjasama dengan negara-negara barat semakin mengecil.

Ia juga membawa maksud, pengaruh China semakin berkembang di Timur Tengah yang bakal memboleh inisiatif Belt and Road dapat dilaksanakan sebagaimana dirancang. Arab Saudi merancang untuk memodenkan ekonominya, dengan membangunkan lebih banyak kawasan bagi menarik sektor pelancongannya, kerana Arab Saudi melihat pergantungannya semata-mata terhadap hasil minyak dan gas tidak akan kekal selama-lamanya.

Beberapa lokasi telah dikenalpasti untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan terutama di kawasan sepanjang pantai Laut Merah. Di situlah akan dibenarkan beberapa aktiviti pelancongan yang selama ini menjadi larangan dijadikan daya penarik. Selain daripada itu, Arab Saudi telah mengenal pasti beberapa lokasi yang mengandungi simpanan emas yang besar. Kesemuanya ini memerlukan kepakaran dalam menguruskan pembangunan projek, yang sebahagian besarnya telah diajukan oleh China.

Akibatnya, bukan sedikit firma-firma pembinaan dan perundingan Amerika Syarikat merasa kecewa dengan Arab Saudi. Arab Saudi sebenarnya sangat kecewa dengan tekanan Amerika Syarikat apabila seorang wartawan kelahirannya telah dibunuh di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turkiye pada 2 Oktober 2018.

Jamal Kashogi adalah seorang wartawan yang menulis kolum untuk The Washington Post yang mengkritik dasar dan mengecam pemerintahan kerajaan Arab Saudi. Kashogi pernah bertugas sebagai ketua pengarang al-Arab News Channel.

Pembunuhan itu membabitkan keluarga monarki Arab Saudi. Amerika Syarikat menggunakan media untuk memburuk-burukkan kerajaan Arab Saudi dan ia menjadi sesuatu yang cukup memalukan apabila Turkiye turut melakukan siasatan dan perbicaraan mengenai pembunuhan tersebut. Jamal Kashogi hadir konsulat Arab Saudi dengan tujuan mendapatkan dokumen bagi membolehkan berkahwin dengan seorang wanita Turki, Hetice Cengiz. Kashoggi dan Hetice bertunang pada bulan Mei 2018.

Hitece ketika itu ialah calon ijazah kedoktoran  Universiti Istanbul, berusia 36 tahun (lahir 6 April 1982), dan telah bercerai dengan seorang pelakon Turki, Denis Oral.

Sebelumnya, Jamal Kashogi berkahwin dengan Alaa Nassif (2010) dan telah bercerai (2017). Pasangan itu mempunyai dua orang anak, Riad Kashogi dan Shal Ahmed Kashoggi. Jamal berhijrah ke Amerika Syarikat pada bulan Jun 2017, untuk melupakan kesedihannya akibat penceraiannya.

Tiga bulan sebelum pembunuhan tersebut, Jamal Kashoggi mengkritik Arab Saudi dengan berkata: As we speak today, there [are] Saudi intellectuals and journalists. Now, nobody will dare to speak and criticise the reforms [initiated by Crown Princes Mohammed bin Salman [MBS]…Let’s talk about something other than women driving, the NEOM project, the futuristic city that he [the Crown Prince] plans to invest half of trillion dollars in. What if it goes wrong? It could bankrupt the country.”

Setelah melalui penyiasatan yang panjang, Amerika Syarikat mengaitkan pembunuhan tersebut ada kaitannya dengan arahan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman. Laporan itu dinafikan oleh Arab Saudi, namun Agnes Callamard, seorang jurulapor khas PBB mengenai timbang tara perundangan merumuskan pembunuhan itu berlaku atas arahan yang menyerupai arahan pemimpin tertinggi Arab Saudi.

Laporan itu menyebut: Since 2017, the Crown Prince has had absolute contrl of the Kingdom’s security and intelligence organizations, making it highly unlikely that Saudi officials would have carried out an operation of this nature without the Crown Prince’s authorization.” (https://www.aljazeera.com/amp/news.2021.2/26/timeline-of-the-murder-of-journalist-jamal-khashoggi).

Semasa kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang bertanding sebagai calon Demokrat mengecam pembunuhan tersebut sehingga menyifatkan Arab Saudi sebagai ‘paria’ dan ‘very little social redeeming value’.

Atas mesej tersebut, Hetice turut memohon agar Joe Biden memberikan tekanan ke atas kerajaan Arab Saudi apabila menjejakkan kaki pertama kali ke Arab Saudi setelah meraih kemenangan dengan berkata: And Biden will lose his moral authority by putting oil and expediency over principles and values.” (https://apnews.com/article/biden-middle-east-jamal-kashoggu-istanbul-766014df3077f8096d19c619baedfe35e7).

Joe Biden dan Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman bertemu di Istana al-Salam di Pelabuhan Jedah, berhampiran Laut Merah pada 15 Julai 2022. Wartawan NBC menyifatkan pertemuan itu sebagai: “As morally distasteful as it seems for Biden to do business with MBS, the job of the president is to hold his nose when necessary to pursue the interests of the United States…..Despite Biden’s “pariah” comment, it was highly unlikely the president was ever going to treat Saudi Arabia like a Middle East version of North Korea.”(https://www.nbbcnews.com/think/amp/rcna38419)

Senario ini membawa kepada natijah bahawa pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah semakin mengecil. Negara-negara Arab yang sebelumnya berada dalam telunjuk Amerika Syarikat sudah mula berdiam diri, dan semakin hilang percaya kepada Washington.

Selain Arab Saudi, Mesir juga mula menerima kerjasama dengan China dalam usahanya menjadikan negara itu membangun dalam suasana yang lebih cergas. Beberapa projek infrastruktur mega sedang dirancang dengan pembabitan China.

Iran yang berhadapan dengan pelbagai sekatan ekonomi telah bangkit sebagai kekuatan baharu di Timur Tengah, yang bakal membuatkan Israel semakin bimbang. Dengan bantuan teknologi ketenteraan Rusia, Iran berjaya membina kekuatannya sehingga Israel rasa terpukul apabila kelengkapan persenjataan yang digunakan oleh Iran mampu sampai dan menggugat teknologi Iron Drome yang canggih dan mahal.

Dalam serangan pada 14 April 2024, Iran dianggarkan menghabiskan wang sebanyak USD$150 juta dolar manakala untuk menangkis serangan itu, Israel terpaksa menghabiskan perbelanjaan sejumlah USD $ 1 hingga 1.5 bilion dolar.

Namun, yang dikesali ialah tidak semua roket dan dron Iran berjaya ditangkis. Israel terpaksa berbohong bahawa lebih 90 peratus serangan itu dapat dipatahkan, sedangkan senjata Iran berjaya memusnahkan sebuah kem tentera Israel, selain memusnahkan pelbagai kelengkapan peralatan perang.

Gambaran ini memberikan makna yang cukup jelas buat Israel, maka Israel mengemis meminta bantuan Amerika Syarikat dan sekutunya untuk berhadapan dengan serangan yang lebih besar. Dikatakan Iran masih memiliki senjata perang yang lebih canggih, yang mampu menggugat sistem pertahanan Iron Drome dengan lebih kuat.

Ia bakal menjadi sesuatu yang lebih besar dan mengancam Israel jika ada bukti bahawa ‘kemalangan helikopter’ yang menyebabkan terbunuhnya Presiden, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar, Hossein Amirabdollaian pada 22 Mei 2024 di wilayah Azerbaijan Timur.

Ada kecenderungan untuk menuduh pembabitan Israel, terutamanya dalam kalangan perisik Mossad kerana pada hari yang sama, terdapat sebuah lagi helikopter yang sama berada tidak jauh daripada lokasi terbabit. Walaupun berita itu belum dapat disahkan, ia turut mengaitkan helikopter itu membawa beberapa orang pakar bom Israel untuk memasang peralatan yang boleh menyebabkan helikopter yang dinaiki oleh Presiden Iran itu terhempas, dan dilihat sebagai satu bentuk kemalangan, bukannya satu bentuk pembunuhan terancang.

Aktiviti sedemikian merupakan tindakan biasa pakar bom Israel sebagaimana dilakukan ke atas beberapa orang saintis dan pemimpin kanan Revolusi Iran sebelumnya. Jika ini benar, ia bermakna Israel telah berjaya melakukan misi ganasnya membalas dendam ke atas Ebrahim Raisi yang telah mengarahkan lebih 300 dron dan peluru berpandu Iran dilepaskan ke Israel pada 14 April 2024 yang lalu.

Kegiatan seperti bukanlah sesuatu yang dilihat janggal dan luar biasa, ia adalah tindakan yang lazim berlaku, termasuk menghantar anggotanya untuk membunuh wira-wira Palestin yang membina kepakaran mereka di luar negara, termasuk pembunuhan ahli akademik Palestin, Dr Fdi Mohammed al-Batsh di Kuala Lumpur pada 21 April 2018.

Dalam kejadian terbaharu, seorang warganegara Israel berusia 36 tahun yang menggunakan passport Perancis telah ditahan di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru pada 27 Mac 2024. Lelaki itu dikatakan tiba di Malaysia pada 12 Mac menerusi KLIA. Lelaki itu berbelanja mewah, dan turut mengadakan beberapa pertemuan (mesyuarat) selain berjaya mendapatkan (membeli) senjata-senjata tersebut dengan bantuan rakyat tempatan.

Shalom Avitan dikhabarkan ke Kuala Lumpur untuk membunuh ketua kumpulan penjenayah yang menjadi seterusnya, yang dikatakan berada di Malaysia. Shalon datang ke Malaysia untuk membunuh Ketua Kumpulan Musli Brother, iaitu Eran Haya, ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seteru.

Rumah Avitan berada di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, yang pernah dijadikan sasaran bom tangan ‘orang Haya’. Ketika ditangkap, Eran Haya belum lagi memasuki Malaysia, tetapi, Avitan sudah mendapat maklumat mengenai kedatangan musuhnya itu. (https://www.buletintv3.my/jenayah/warga-israel-ditahan-polis-dalam-misi-bunuh-ketua-geng-seteru-di-malaysia/)

Kebanyakan maklumat itu diperoleh (dalam loparan Buletin TV3) itu diungkapkan oleh akhbar-akhbar Israel, yang kebenaran faktanya memang sangat diragui. Mereka akan memutarbelitkan apa sahaja fakta untuk menghalalkan cara bagi mencapai matlamat, termasuk penafian terancang dan pembohongan berpanjangan, demi menjadikan Israel sebagai sebuah negara ‘berkeadaban’, dan dianggotai oleh ‘tentera yang bermoral’.

Mitos yang sedang dikembangkan bagi menyatakan hak dan kewajaran Israel menjarah Palestin, walaupun masyarakat antarabangsa mengecam kekejaman yang dilakukan sejak negeri itu ditubuhkan.

Tidak pernah Israel mengakui secara terbuka pembabitan agensi perisikan dan askar yang dilatih sebagai pembunuh khas dihantar ke luar negara melakukan misi sedemikian. Israel akan menggunakan apa sahaja alasan dan juga fakta walaupun tidak tepat, sama ada menafikan pembabitannya mahupun tindakan ketika melaksanakan misi terbabit.

Propaganda media mereka cukup berjaya membangkitkan kebohongan (falsehood), jungkirbalik (distortion) dan sangat hebat menggunakan falasi ad homonien dan straw men.

Ad homonien ialah falasi yang dugunakan untuk menyerang seseorang (individu), dengan mengaitkannya sebagai masalah peribadi, bukan ada hubungan dengan mana-mana institusi tertentu (termasuk kerajaan atau agensinya). Straw men pula bermaksud. pengalihan tajuk kepada isu yang lain dan menyimpang daripada apa yang sedang berlaku.

Apakah kedatangan Shalon Avitan ada kaitannya dengan pendirian Malaysia menempatkan lebih 600 orang pelarian Palestin? Apakah Shalon membawa misi untuk mengendurkan sikap dan pendirian Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin?

Apakah kedatangan seorang diplomat Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian Nelson (9 Mei 2024) bagi menyatakan pandangan Washington mengenai ‘sistem kewangan Malaysia’ dan lain-lainnya ada hubungan terselindung dengan penangkapan Shalon Avitan?

Setakat ini belum ada jawapan yang boleh dihubungkan dengan andaian-andaian tersebut. Tetapi, ia terus menjadi bahan perbincangan dalam kalangan mereka yang memahami tindak tanduk negara haram Israel yang menggunakan pertubuhan-pertubuhan sulit dan rahsia untuk menyadap (dan membunuh) sesiapa sahaja yang dikategorikan sebagai antisemitik (menurut kamus Israel) di seluruh dunia. Andaian-andaian itu menjadikan teori konspirasi terus hidup dan berkembang.

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »