Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ingin tanya tentang satu keratan video yang menyebut tentang pesanan Rasulullah SAW kepada Saidatina ‘Aisyah di mana disebutkan bahawa Rasulullah berkata jangan tidur melainkan setelah melakukan empat perkara iaitu sebelum khatam Al-Quran, sebelum menjadikan para Nabi bersyafaat, sebelum para muslimin redha terhadap kita dan sebelum laksanakan haji dan umrah. Dalam video tersebut menyebut Aisyah bertanya kepada Nabi SAW bagaimana hendak buat semua dalam waktu yang singkat. Lalu Nabi tersenyum dan jawab : Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali menyamai khatam Al-Quran, selawat pada aku dan nabi-nabi sebelumku, istighfar untuk orang yang beriman dan bertasbih, bertahmid dan bertahlil sama macam buat haji umrah. Adakah ada hadis yang sedemikian rupa?. Sebab tidak pula dinyatakan sumbernya di mana. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam WBT. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di antara perkara yang perlu untuk diambil serius oleh setiap muslim adalah tidak sewenang-wenang menisbahkan sesuatu kepada Nabi SAW tanpa dipastikan terlebih dahulu kesahihannya. Nabi SAW telah memberikan amaran kepada sesiapa yang cuba melakukan penipuan menggunakan nama Nabi SAW. Nabi SAW bersabda :

لَا تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ

Maksudnya : “Jangan berbohong menggunakan namaku. Sesiapa yang menipu menggunakan namaku maka rasakanlah jilatan api neraka.”

Riwayat Al-Bukhari (106)

Di dalam riwayat yang lain menyebut yang diriwayatkan daripada Zubair Bin Al-‘Awwam bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya : “Sesiapa yang menipu atas aku maka tempahlah (tersedialah) tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat Al-Bukhari (107)

Inilah di antara ancaman berat daripada Nabi SAW kepada mereka yang menipu dan berbohong menggunakan nama Nabi SAW. Walaupun dari satu sudut apa yang dinisbahkan itu kelihatan baik seperti mengajak orang untuk beramal dan sebagainyan namun begitu, matlamat tidak menghalalkan cara. Menisbahkan sesuatu kepada Nabi SAW secara tidak benar adalah satu jenayah yang perlu diperangi dan dibasmi. Sikap sentiasa berhati-hati dalam menukilkan dan menisbahkan sesuatu ucapan atau perbuatan kepada Nabi SAW perlu dilakukan oleh setiap muslim.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis yang dikatakan tersebut dinukilkan  di dalam kitab Durroh Al-Nasihin Fi Al-Wa’zhi Wa Al-Irsyad yang dikarang oleh Sheikh Uthman Bin Hasan Al-Khuwairi. Kami nukilkan di sini  matan asal.

روي عن النبي صلى الله عليه وسلم انه قال لعائشة رضي الله عنها: يا عائشة لا تنامي حتى تعملي أربعه أشياء: حتى تختمي القران وحتى تجعلي الأنبياء لك شفعاء يوم القيامة، وحتى تجعلي المسلمين راضين عنك، وحتى تجعلي لك حجة وعمرة.

فدخل صلى الله عليه وسلم، فبقيت على الفراش حتى أتم الصلاة، فلما أتمها قالت: يا رسول الله، فداك أبي وأمي، أمرتني أربعه أشياء لا اقدر في هذه الساعة أن أفعلها

فتبسم رسول الله وقال: إذا قرأت قل هو الله احد ثلاثا فكأنك ختمت القران، وإذا صليت علي وعلى الأنبياء من قبلي فقد صرنا لك شفعاء يوم القيامة، وإذا استغفرت للمؤمنين فكلهم راضون عنك، وإذا قلت : سبحان الله والحمد لله ولا اله إلا الله والله اكبر فقد حججت واعتمرت.

Maksudnya : “Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda berkata kepada Aisyah R.anha : Wahai ‘Aisyah jangan kamu tidur sehingga kamu melakukan empat perkara. Sehingga kamu khatam Al-Quran, sehingga kamu menjadikan para anbiya’ sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat kelak, sehingga kamu menjadikan orang muslim redha kepada kamu dan sehingga kamu melakukan haji dan umrah. Kemudian Nabi SAW masuk ke tempat tidur dan bersolat. Apabila Nabi SAW selesai menunaikan solat Aisyah berkata : Wahai Rasulullah, kamu memerintahkan aku untuk melakukan empat perkara, aku tidak mampu melakukan dalam satu masa yang singkat. Lalu Nabi SAW tersenyum dan berkata : Jika kamu membaca Qul Huwallahu Ahad tiga kali seakan-akan kamu telah mengkhatamkan Al-Quran. Jika kamu berselawat kepada aku dan kepada para nabi sebelumku maka kami akan jadi pemberi syafaat kepada kamu pada hari kiamat kelak. Jika kamu meminta ampun untuk orang mukmin maka mereka semua akan redha kepada kamu. Jika kamu menyebut : subhanallah, walhamdulillah dan La ilaha Illallah Wallahu Akbar maka kamu telah melakukan haji dan juga umrah.”

Riwayat ini dinukilkan di dalam kitab Durroh Al-Nasihin Fi Al-Wa’zhi Wa Al-Irsyad (Rujuk Durroh Al-Nasihin Fi Al-Wa’zhi Wa Al-Irsyad,cetakan Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyah, hlm 93).

Ada yang mengatakan bahawa nasihat itu diberikan kepada Saidatina Fatimah bukan Saidatina Aisyah. Namun begitu, semata-mata berada di dalam kitab tidak menjadikan satu riwayat itu sahih. Ianya perlu dibuktikan sama ada melalui sanad atau matannya.

Kami mendapati bahawa riwayat tersebut tidak disebutkan di dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. Sementelahan lagi riwayat tersebut disebutkan tanpa sanad. Ini menjadikan riwayat tersebut mempunyai ciri-ciri hadis palsu. Ini menjadikan riwayat tersebut tidak thabit bahkan boleh dikatakan palsu jika ianya dinisbahkan kepada Nabi SAW.

Di sana terdapat banyak hadis-hadis yang sahih yang menyebut tentang amalan-amalan yang boleh dilakukan sebelum tidur. Di antaranya :

  • Berwuduk sebelum tidur. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Al-Bara’ Bin ‘Azib bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ وقُلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ، فَإِنْ مُتَّ مُتَّ عَلَى الْفِطْرَةِ فاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ

Maksudnya : “Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah : Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”

Riwayat Al-Bukhari (6311)

  • Membaca surah-surah tertentu dan zikir sebelum tidur. Di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.anha :

أَنَّ النَّبِيَّ صلى اللهُ عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ، جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا: ﴿ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد ﴾ وَ﴿ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَق ﴾ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس  ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ، وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”

Riwayat Al-Bukhari (5017)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah. Daripada Abu Huraira R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya : “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.”

Riwayat Al-Bukhari (5009)

Dan banyak lagi hadis-hadis yang sahih tentang amalan-amalan sebelum tidur yang thabit daripada Nabi SAW.

Kesimpulannya, riwayat yang menceritakan nasihat Nabi SAW kepada Aisyah tentang empat amalan sebelum tidur adalah hadis yang tidak thabit. Berhatilah-hatilah dalam menisbahkan satu perkataan dan perbuatan kepada Nabi SAW.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Sumber: muftiwp.gov.my

Translate »