“Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, kerana binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.” – HR Ibnu Hibban (3871)

Ghuluw merujuk kepada kefahaman yang ekstrem, atau yang lebih dikenali sebagai golongan melampau di dalam memahami atau mengambil sesuatu tindakan. Ghuluw dalam beragama adalah sikap melampaui batas-batas dalam perintah agama. Hal itu dilakukan dengan cara menambah dengan sikap yang berlebihan sehingga mengeluarkannya dari apa yang diinginkan syariah.

Fahaman atau pegangan ghuluw sentiasa ada di dalam spektrum kepercayaan dan ideologi manusia. Sikap ghuluw dalam politik, menimbulkan perpecahan yang tiada kesudahan, menggunakan fitnah dan pembohongan sebagai senjata untuk berkuasa. Ghuluw dalam beragama pula, melahirkan golongan yang gemar dan mentakfir sesama Muslim, juga menjurus kepada perpecahan umat Islam zaman ini. Satu perpecahan besar yang membawa kepada pertumpahan darah dan hilangnya nyawa.

Disebabkan fahaman ekstremisme, Malaysia dikejutkan dengan berita serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, yang mengorbankan 2 anggota polis bertugas di situ. Hasil siasatan pihak berkuasa, suspek serangan itu dikatakan bertindak sendirian, tetapi didorong motivasi dan kefahaman radikalnya sendiri.

Golongan radikal ini, merupakan ancaman yang besar, khususnya bagi umat Islam. Kemunculan kefahaman atau kumpulan yang lahir akibat dari pengamalan ekstremis ini dapat menjauhkan atau menunjukkan kesalahfahaman masyarakat bukan Islam, ataupun mereka yang baru ingin mendekati Islam, akhirnya mereka jauh dari kefahaman yang sebenarnya.

Meskipun sikap ekstrem ini bukanlah sesuatu yang baru, namun apa yang dapat kita lihat dengan tambahnya gerakan ekstrem ini, ada golongan yang berselindung di sebalik nama agama, dan di dalam dunia pasca-kebenaran ini, jumlah mereka semakin meningkat. Malah wujud puak-puak yang menyeru kepada sikap ekstremisme, menggunakan emosi dan ketidakpuasan hati masyarakat sebagai alat propaganda untuk menyebarkan fahaman mereka.

Apabila ilmu menjadi semakin berkurang di kalangan manusia, dan dalam masa yang sama para ulama pula meninggalkan tugas mereka. Sementara para pemerintah berlengah-lengah dalam membanteras anasir-anasir asing yang wujud, maka fitnah ekstremis pun membesar kembali. Keadaan ini menyebabkan manusia berpecah-belah menjadi puak-puak dan saling bermusuhan sehingga melemahkan ummah.

Zaman ini, penyebaran maklumat tidak sahih yang berleluasa di atas talian dan media sosial, bercampur dengan pemikiran jumud dan taksub, adalah suasana yang sempurna untuk melahirkan puak ekstremis dan Khawarij baharu. Muncul kembali kafir-mengkafir sesama Muslim, ajaran-ajaran sesat yang meraikan fahaman ekstrem, dan pemikiran liberal yang melampau. ISIS, Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah, serta gerakan liberal, sebenarnya ditaja oleh kuasa hegemonik dunia, demi kepentingan mereka dan kehancuran umat Islam.

Masyarakat Malaysia amat menghargai keamanan yang dibina atas dasar persefahaman sesama umat Islam, dan juga dengan mereka yang bukan Islam. Kita mesti menolak segala fahaman ghuluw, baik dalam beragama, berpolitik dan sebagainya. Dato Setia Dr. Naim Mokhtar, telah menyatakan bahawa Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama sentiasa konsisten menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau. Pada masa sama beliau mengajak rakyat untuk memperkukuhkan keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan atau Wasatiyyah.

Tambahan daripada itu juga, agama Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk mengkaji dan menelaah secara mendalam segala bentuk pendapat, ijtihad dan pandangan seseorang yang berkhilaf dengan pendapat kita. Perkara sebegini dapat mengelakkan kita daripada sifat taksub dan memegang sesuatu kepercayaan berlandaskan nas dan dalil yang betul. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zumar, ayat 18 yang bermaksud:

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” – (Surah al-Zumar: 18)

Kewujudan golongan ekstremis atau kumpulan radikal ini, juga terlahir daripada sikap sesetengah pemerintah atau ketua. Sesungguhnya, keadilan dan hubungan antara rakyat dan pemerintah merupakan agenda yang sepatutnya di ambil berat, dengan mewujudkan ruang dan penerapan sikap yang adil dalam pembinaan masyarakat yang harmoni.

Kewujudan puak eksterims bukan berpunca daripada satu faktor, malah terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhinya. Antaranya faktor psikologi, sosial, sejarah dan juga politik. Adakalanya kesemua faktor ini bercampur-aduk dan melahirkan puak ekstremis. Maka tidak wajar jika fenomena ini ditangani dari satu sudut sahaja. Sebaliknya kita harus berani dan berhikmah dalam menangani isu ini dari pelbagai sudut, dengan berbekalkan keyakinan bahawa kejahilan, sikap ekstremis dan kebatilan hanya dapat kita hapuskan dengan ilmu, kesederhanaan, kebenaran dan kesatuan ummah.

“Wahai manusia, belajarlah. Sesungguhnya ilmu itu akan diperoleh hanya dengan pembelajaran dan penguasaan ilmu itu diperoleh hanya dengan mendalaminya.” – (H.R. At-Tabrani)

Catatan: Ibnu Majid

Translate »