Tujuan sebenar Israel ialah untuk menghapuskan bangunan Masjidil Aqsa. Dengan terhapusnya monument itu, umat Islam tidak lagi ada hujah untuk mempertahankannya, yang pernah menjadi kiblat pertama sembahyang umat Islam. Ia seperti keputusan Obama untuk tidak menguburkan jenazah Osama Benladin, sebaliknya dilaporkan dibuang ke laut.

Alasan Obama ialah agar semangat Osama tidak lagi menjelma dan tidak muncul kelompok yang memuja kehebatan lelaki yang dituding sebagai perancang serangan ke atas World Trade Center pada 11 September 2001, lapan bulan selepas Bush Jr menduduki Rumah Putih.

Ertinya, walaupun Obama awalnya menunjukkan simpati dan empati kepada Islam, di penghujung pentadbirannya, Obama ‘menghina Islam’. Ini kerana setiap jenazah umat Islam ia diwajibkan disemadikan dengan kaedah yang ditetapkan, bukan dibuang ke laut seperti membuang bangkai. Walau bagaimanapun, tidak ramai pemimpin Islam mengecam apa yang dilakukan Obama itu kerana takut dengan reaksi balas Rumah Putih.

Itulah yang dapat kita fahami kenapa tindak balas Israel menyerang Gaza pada 7 Oktober 2023 itu ditegaskan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya sebagai sesuatu yang wajar, kerana Hamas telah memulakannya. Walhal, tindak balas Hamas adalah kerana Israel setiap ketika menghalang pergerakan dan usaha penduduk Gaza mencari rezeki. Kehidupan penduduk Gaza dicengkam derita dan serba kekurangan. Israel sentiasa menggertak dan mengancam. Israel menagawal segala-galanya, daripada kemudahan elektrik, telekomunikasi hinggalah bekalan ubat-ubatan.

Sebab itulah dalam konflik terbaharu, Israel sangat kejam terhadap misi kemanusiaan yang berhasrat menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan dan pekerja sukarela. Seramai 140 orang wartawan telah ditembak oleh Israel, kerana wartawan-wartawan itu membuat laporan yang tidak selari dengan propaganda Tel Aviv.

Begitu juga dengan tindakan menembak mati pekerja sukarela yang menyediakan makanan kepada penghuni kem pelarian, daripada pertubuhan yang menamakan diri mereka sebagai World Central Kitchen (WCK) pada 18 Mac 2024 dan sebelumnya (14 Mac 2024) tentera Israel membedil pusat agihan makanan  UNRWA.

Israel juga melancarkan pelbagai provokasi untuk membangkitkan kemarahan, termasuk cadangan membina petempatan haram Yahudi untuk menjadikan penduduk Yahudi majoriti yang lebih besar. Dengan menyediakan petempatan, kemudahan-kemudahan yang diperlukan, Israel dilihat mampu membawa masuk lebih ramai imigran Yahudi dari seluruh dunia. Ini akan memberikan kekuatan dan tekanan. Israel menjadi lebih kuat manakala Palestin tertekan.

Secebis sejarah yang dijadikan alasan tanpa dilihat kronologinya dengan betul dan tepat. Akibat terlalu melihat kepada perspektif dan tafsiran sedemikian, dalam kalangan ahli akademik mula mencari pendekatan yang boleh dilihat sebagai sebuah teori yang lebih hampir. Akhirnya, muncul istilah settler colonialism. Edward W Said (keturuan Palestin beragama Kristian) memulakan perbincangan pada tahun 1982 dan seterusnya, dua orang ahli akademik keturunan Yahudi menjadi pemangkin kepada kesempurnaan konsep tersebut, iaitu Profesor Noam Chomsky dan Prof Illan Pappe

Chomsky berketurunan Yahudi yang berhijrah ke Philadelphia dan menjadi pakar bahasa di MIT (Massachusset Institute of Technology) manakala Pappe adalah pakar sejarah Israel yang mengajar di University of Exeter, England. Dengan bantuan Frank Barrat, kumpulan tulisan dan wawancara dua ahli akademik itu dikumpulkan dalam On Palestine (2014), yang banyak menggugah kajian akademik sebelumnya mengenai geopolitik Timur Tengah. Kededua mereka juga tidak mengharapkan TSR menjadi petunjuk yang wajar untuk menyelesaikan konflik yang sudah berlangsung selama 75 tahun itu.

Teori imperialisme budaya yang dilihat oleh Edward W Said (Culture and Imperialism, 1998) semakin mendapat perhatian kembali, dan dikaji semula untuk melihat kebenarannya dalam perilaku dan dasar politik rejim yang menguasai Knesset (Parlimen) Israel. Idea itulah yang kemudiannya menggerakkan keberanian pemimpin Afrika Selatan untuk membawa genosid Israel ke meja perundangan antarabangsa.

Bagi Nasaie Ismail, Israel tewas dengan Afrika Selatan seawal kes difailkan (hal. 181-188). Kenapa Israel tewas?

Usul yang dibawa oleh Afrika Selatan itu mendapat sokongan daripada 57 negara, dan ia memberikan tamparan yang sangat menyakitkan buat Amerika Syarikat kerana di ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), beberapa buah negara tidak menyokong Israel, kecuali Jerman dan Kanada.

Walaupun perbicaraan awal itu bukanlah perbicaraan penuh, belum boleh dilihat sebagai keputusan sama ada Israel bersalah atau tidak, ICJ telah mengeluarkan beberapa arahan segera yang wajar dilaksanakan, termasuk menghentikan serangan ke atas kem pelarian, sekolah, hospital dan petempatan awam.

Israel berperang dengan Hamas, maka sasarannya ialah tentera yang membawa bendera perjuangan Hamas, bukan kanak-kanak, wanita dan orang awam. Itulah kebrutalan Israel sehingga kini telah mengorbankan lebih 34,000 orang awam, di mana hampir 80 peratus ialah kanak-kanak dan wanita.

Meskipun keputusan itu sudah dibuat sebagai langkah sementara, Afrika Selatan dilihat cukup berani dalam mengajukan genosid Israel di ICJ. Ia turut memberikan tamparan hebat kepada kepada petinggi OIC (Negara-Negara Pertubuhan Islam) dan pemimpin Islam seluruh dunia yang menyokong Palestin dan membenci Israel.  Mereka hanya berani bercakap, tetapi menjadi tikus untuk bertindak di forum sepatutnya di peringkat antarabangsa.

Kalau adapun, hanya sebagai ucapan-ucapan pendirian negara terbabit di forum antarabangsa (bersifat retorik), bukan membawa pendakwaan kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan dakwaan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Dakwaan jenayah perang pernah dibuat oleh Malaysia ke atas George Walker Bush (Bush Jr), tetapi dalam ‘kamar tertutup’ bukan di ICJ. Ia menunjukkan sebarang usul atau cadangan sangat ditentukan oleh Amerika Syarikat, kerana negara itu sentiasa menggunakan kuasa vetonya untuk menolak sebarang tindakan ke atas Israel.

Kali ini, Afrika Selatan tidak gentar jika Amerika Syarikat berusaha memboikotnya sebagaimana pernah dilakukan ke atas Iran. Iran juga dalam senyap-senyap berjaya mengatasi sekatan Amerika Syarikat dan sekutu, sehingga kuasa besar memikirkan semula percaturannya.

Geopolitik dunia selepas Perang Dunia II disifatkan sebagai Amerikanisasi. Namun selepas kemenangan bersejarah itu, Amerika Syarikat menjadi semakin angkuh dan bongkak yang akhirnya  kuasa-kuasa baharu telah muncul dan giat merencanakan peralihan geopolitik dan geoekonomi.

Jadi, Amerika Syarikat, usaha untuk mengembalikan America Great Again dengan lapisan tipis kejayaan, sedikit sebanyak ‘terkoyak’.  Donald Trump yang berjaya dengan mandat Abaraham Accords, memaksa Joe Biden menerima rusukan duri landak ekoran dasar yang diteruskannya. Biden semakin kerdil apabila  beberapa buah negara Arab mula memikirkan semula normalisasi dengan Israel.

Biden dilihat terpinga-pinga setelah pentadbirannya dilihat ‘tidur’ dan tidak mengeluarkan dasar-dasar baharu yang boleh menjadi kejutan pengundinya. Amerika Syarikat akan menjadi kuat dan sokongan kepada presiden akan berkembang jika kejutan itu benar-benar membangkitkan emosi.

Itulah yang Bush Jr lakukan sebaik sahaja menduduki Rumah Putih, menggagaskan aksi melawan terrorisme, yang akhir membantu untuk berkuasa untuk penggal kedua. Obama juga ada kejutannya, melukakan hati umat Islam dengan tindakan-tindakannya menyandera Iran, kekali mengawal Irak dan seterusnya berjaya membunuh Osama Benladin dan menamatkan kehebatan Muammar Gadafi (2011).

Sorotan ini cukup menarik dibuat oleh Nasaei Ismail namun, ekoran Konflik Palestin-Israel terbaharu, normalisasi tersebut mungkin akan mengalami kesurutan yang berpanjangan selagi tidak ada ketetapan yang jelas terhadap genosid Israel. imej Amerika Syarikat tercalar apabila Husni Mubarak berjaya digulingkan dan seterusnya misi di Afghanistan yang gagal.

Obama berjaya ‘menebus’nya dengan membabitkan diri membunuh Gadafi, dan membunuh Osama Benladin di sebuah rumah agam berhampiran kem tentera di Pakistan. Juga, mendalangi penggulingan Muhammad Morsi oleh Abdel Fatah al-Sisi.

Kini, Amerika serba-salah. Dengan terus menyokong Israel, semakin bertambahlah negara yang akan menolaknya, dan kini BRICS – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan – semakin mendapat sokongan, sehingga muncul istilah dedolarisation dan desakan-desakan baharu untuk menyekat kemaraan China sebagai kuasa ekonomi dunia.

Biarpun sekarang Amerika Syarikat masih dilihat kuasa ekonomi terbesar, kedudukannya semakin goyah setelah China menjadi pencabar utama dalam industri telekomunikasi, pembinaan infratsruktur mega, kereta elektrik dan pembiayaan pelaburan terbesar di negara-negara yang pernah diperkecilkan oleh kuasa-kuasa barat.

China cukup giat untuk menjayakan inisiatif yang telah menampar dasar pelaburan barat dan Amerika Syarikat menerusi Belt and Road Initiative (BRI). Rantau Timur Tengah merupakan kawasan yang sangat strategic bagi China dalam BRI, yang gagal dimanfaatkan oleh Amerika Syarikat ketika Washington dilihat sangat berpengaruh dan mempunyai hubungan rapat dengan penguasa negara-negara Arab.

Kesemuanya ini menjadi sesuatu yang cukup mengkerdilkan peranan Amerika Syarikat pada masa hadapan, kerana dasar gila perangnya menjadikan kantong perbendaharaan semakin menguncup, sedangkan China menggunakan kantung perbendaraan untuk melabur dan melebur hegemoni Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat mencari helah yang dilihat keterlaluan, termasuk helah terbaharu ialah kereta-kereta buatan China ikut menjadi alat pengintipan oleh negara China, kerana kereta-kereta elektrik dijanakan dengan teknologi digital (komputer dan internet), yang boleh disambung secara tidak disedari oleh pemandu, maklumat penggunaannya akan dipindahkan (pengintipan) ke pusat data kerajaan China.

Tuduhan yang sama pernah digunakan oleh Donald Trump apabila menyekat teknolog 5G yang dibangunkan oleh Huawei dan Z’tronic. Seumpama dakwaan terhadap Rusia dalam kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden tahun 2016.

Dalam perlumbaan kereta elektrik, China didakwa memberikan subsidi kepada pengeluar EV bagi membolehkan dijual dengan harga lebih murah dan ini akan menyekat penguasaan Tesla. Sebab itu belum ada kelulusan untuk EV China dijual di Amerika Syarikat.

Tetapi di Kesatuan Eropah, jualan EV China semakin meluas dan di beberapa buah negara mengatasi kejayaan Tesla. Sebab itu ada seorang senator mendesak agar cukai lebih tinggi dikenakan sehingga 125 peratus, untuk membunuh EV China di Amerika Syarikat setelah muncul hasrat BYD membuka kilangnya di Amerika Latin. Di Australia, 80 peratus EV dikuasai oleh EV keluaran syarikat automotif China. (https://fortune.com/2024/02/29/china-ev-electric-cars-import-tariff-josh-hawley-byd-mexico/)

Saya cuba perluaskan cakerawala yang digagaskan oleh Nasaei Ismail dalam buku ini sebagai ‘penambah rasa’ kebencian dunia terhadap Amerika Syarikat semakin membuktikan bahawa kesilapan terbesar negara itu ialah ego dan keinginannya untuk terus memaksa white supremacy dalam lunak ekonomi, walhal agenda utamanya ialah mengekalkan dunia sebagai single polar.

Kini, kesementaraan hegemoni single polar telah menampakkan perubahan yang besar, dan sokongan Amerika Syarikat ke atas Israel menjadi salah satu sebab kenapa dunia mula memahami perlunya dikembalikan makna bipolar setelah berseronok beberapa tahun lalu seabaik sahaja diisytiharkan runtuhnya Tembok Berlin, yang bagi Francis Fukuyama dipanggil ‘penamat sejarah, the end of history’.

China diharapkan memainkan peranan tersebut dan sebelumnya Rusia. Namun Rusia telah digagalkan setelah wilsonisme mempengaruhi negara-negara di bawah KSSR dan mempengaruhi Mikhael Gorbachev melaksanakan glassnot dan prestorika. KSSR berpecah, dan kini hanya ada Rusia.

Rusia sedang dipersalahkan oleh Amerika Syarikat menyerang Ukraine, sedangkan punca sebenarnya ialah kelibat Amerika Syarikat memujuk Ukraine menyertai NATO, yang dilihat oleh Putin sebagai asas untuk membina tapak ketenteraan bagi langkah selanjurnya, menghancurkan Rusia. Sebab itulah saya menambah, kalau Nasaei melihat Israel (tentera) yang berhati singa telah menjadi tikus dalam konflik terbaharu akibat serangan menggila ke atas kanak-kanak, wanita dan orang awam, ia sebenarnya membawa kepada dilema landak buat Amerika Syarikat. Lebih banyak negara sekutunya tidak sependirian lagi.

Amerika Syarikat semakin dijauhi oleh negara Arab, dan sokongan ke atas BRICS mula menampakkan bagaimana Amerikanisasi sedang meluncur turun daripada takhta dunia. Ini juga membawa kepada semakin banyak negara akan mengambil jarak yang jauh ke atas Israel. Ada beberapa negara mula menghalau duta Israel dan memikirkan semula untuk menjalin hubungan ekonomi.

Itulah kesan yang saya nampak dan jangkakan akan berlaku, yang tentunya sedikit sebanyak dapat saya gambarkan menerusi pembacaan buku Hari-Hari Akhir Israel di Palestin yang menarik, berfakta dan menepati makna settler colonialism, yang meresap masuk ke dalam gerakan BYD sehingga mana-mana firma yang membantu atau mendokong Israel menjadi sasaran boikot di seluruh dunia.

McDonald, Starbucks dan sebagainya alami kerugian yang besar. Amerika Syarikat benar-benar berada dalam situasi dilema landak (hedgehog dilemma) manakala Israel dalam fenomena berperang  dengan tikus, bukan dengan ketumbukan tentera Hamas. McDonald dianggarkan mengalami kerugian sebanyak USD$ 7 bilion sejam akibat pemegang franciasnya di Israel membekalkan makanan percuma kepada tentera Israel yang ganas, kejam dan busuk hati.

Di Malaysia, dalam tempoh tiga bulan terakhir 2023, Starbuck mengalami kerugian sebanyak RM 42.2 juta. Inilah kuasa pengguna yang menggunakan kuasa boikot terhadap apa sahaja yang ada kaitannya dengan Israel. Pemegang francais Mc Donald di Malaysia telah menarik balik saman ke atas BDS Malaysia dan beberapa NGO yang menganjurkan boikot, kerana sedar dengan berpanjangannya tempoh boikot, perniagaan tersebut boleh tutup.

Maka, lebih baik berdamai dengan pihak yang menganjurkan, walaupun tidak bermakna orang ramai memutuskan tidak boikot lagi. Khabarnya selepas Aidilfitri, premis makanan segera –fast foods– yang berasal dari Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan sokongan Israel mula mendapat perhatian pelanggan semula.

Boikot budaya semakin menjadi sasaran, di mana produk budaya menjadi salah satu strategi pemboikotan yang dilakukan oleh masyarakat tertindas di Afrika Selatan dalam gerakan anti-aparthied (Faisal Tehrani,  “Kapital budaya di tangan Zionis, Afrika dan Korea Selata”, Free Malaysia Today, 26 Januari 2024) .

Kini, Israel sudah disamakan dengan Apartheid dalam kalangan masyarakat dunia, maka Israel benar-benar membawa makna Is-Real-Hell seperti orang Afrika Selatan melihat kejamnya rejim kulit putih menjarah leluhur mereka.

Agak memeranjatkan, sejak meletusnya konflik terbaharu Hamas berjaya membunuh lebih 1,200 anggota tentera Israel termasuk beberapa orang pegawai kanannya. Pada 13 Disember 2023, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) mengumumkan 10 orang anggota tentera berjaya dibunuh dalam satu malam oleh Hamas, termasuk komander Batalion ke-13 Briged Golani, Lt Kol. Tomer Gronberg. Sehingga pertengahan Disember 2023, sejumlah 115 orang tentera telah maut sejak Israel melakukan serangan darat.

Setakat 10 Januari 2024, sejumlah 519 askar Israel maut di tangan Hamas. Kesemua ini menggambarkan sistem pertahanan Israel tidak lagi kebal, bahkan sistem radar yang canggih tidak mampu mengesan kehadiran tentera Hamas yang hanya mempunyai peralatan yang sangat minimum. Ia menggambarkan Hamas berjaya menyusun strategi yang lebih berkesan dalam urban war, berbanding Fatah yang tidak cekap bila diserang.

Bagi saya, pembongkaran Nasaei Ismail benar-benar menatijahkan kebenaran teori settler colonialism – peneroka penjarahan – Israel ke atas Palestin. Sejak mula menduduki bumi Palestin, mereka bukan sahaja menguasai lebih banyak tanah bahkan sanggup berbuat apa sahaja untuk menghalau rakyat Palestin, malah tidak sanggup untuk berkongsi hidup secara aman dan harmoni.

Ertinya, sejahat-jahat manusia, zionis adalah yang paling kejam dalam mana-mana bangsa yang pernah muncul dan hidup, bahkan ada yang menyatakan lebih kejam daripada fir’aun yang mengakui dirinya sebagai tuhan pada era Nabi Musa AS.

Sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT, doa mereka yang tertindas akan dimakbulkan. Dan, suatu hari Palestin akan merdeka, Israel akan hancur sebagaimana hancurnya beberapa kumpulan manusia yang bongkak, sombong dan melanggar perintah-Nya.

Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka akan terus hidup dan berkemundang selagi jiwa mereka kental dan kekal bersemangat biarpun terpaksa membayar dengan harga yang amat mahal. Petunjuknya sudah jelas, walaupun canggih sekalipun sistem pertahanan Israel, ia belum mampu mengesan di manakah Hamas bersembunyi dan Hamas pula berjaya menembusi kem-kem tentera Israel yang dikawal rapi dan merobekkan kekebalan kereta kebal Israel.

Saya mengharapkan pembaca akan menemui lebih banyak tindakan Israel apabila membaca buku ini dan kepada Nasaei Ismail tahniah di atas penulisan buku ini yang sangat menarik dan berfakta, olahan fakta yang dapat memberikan kesan yang cukup mendalam terhadap makna settler colonialism. Israel is real hell, bukan lagi is not real.

Saya petik optimisme Nasaei Ismail terhadap kemenangan Palestin, khususnya dalam jiwa dan semangat kental Briged al-Qassam:

Hamas dan peristiwa 7 Oktober 2023 tidak lagi menjadi satu bebanan kesalahan atau topic perbincangan kerana simpati kepada mereka dan rakyat Palestin mengatasi segalanya, Bahkan imej juru cakap sayap bersenjata Briged al-Qassam iaitu Abu Ubaidah satu yang tidak diketahui siapakah orangnya menjadi tular, sentiasa di nanti-nantikan ucapannya dan dipamerkan imejnya dengan berani di negara-negara Arab.

Kesemua ini memberi satu petunjuk yang jelas bahawa bunga-bunga kemenangan kepada perjuangan pembebasan Palestin daripada penjajahan Israel semakin mekar dan menemui jalannya. Walaupun tempoh masa yang akan berlaku kemerdekaan tersebut tidak dapat dipastikan dengan spesifik, tetapi reaksi seluruh dunia ketika ini menunjukkan ia sedang menuju ke tujuan tersebut dan kelihatannya akan berlaku dalam tempoh yang tidak terlalu lama.

Israel menemui jalan mati bukan sekadar kerana kelemahan dan kesilapan tindakan mereka, tetapi kehilangan tempat bergantung dan semakin melemahnya kuasa besar yang memberi perlindungan kepada mereka selama hampir satu dekad:. (hal. 230-231).

Nama Buku: Hari-Hari Akhir Israel di Bumi Palestin.

Nama Pengarang: Mohd Nasaie Ismail.

Nama Penerbit: Faqih Synergiz Training & Consultancy, Petaling Jaya Selangor, 2024, tebal 240 halaman.

KAMARUN KH

Translate »