Hal yang sama turut dilihat berlaku di Malaysia, walaupun situasi seperti itu tidak berlaku. Keluasan tanah-tanah yang dikategorikan sebagai Simpanan Melayu dan Tanah Adat semakin mengecil. Ia disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk dibina sebagai kawasan penempatan, pembangunan bandar, kawasan industri yang kemudiannya ditukarkan statusnya, boleh dimiliki oleh bukan Melayu.

Faktor lain ialah persoalan pusaka yang berlaku dalam kalangan orang-orang Melayu sendiri. Mereka menjual tanah-tanah tersebut dengan harga tinggi kepada bukan Melayu menerusi kaedah ‘menggunakan nama orang Melayu’.

Juga, membuat pelbagai cadangan kepada kerajaan negeri agar dibangunkan projek-projek tertentu di kawasan Tanah Simpanan Melayu, dan jarang berlaku pembangunannya dilakukan di kawasan terbuka kepemilikannya, kerana pihak yang mecadangkan itu adalah bukan Melayu.

Disebabkan oleh pendirian elit politik yang kurang cekal, maka akhirnya mengusahakan proses pengambilan tanah setelah projek pembangunan itu diumumkan. Untuk membangun kawasan-kawasan yang diperuntukkan kepada bukan Melayu, seperti kampung baharu ia sangat sukar dan kadangkala membabitkan pampasan yang berkali ganda nilainya.

Itulah kekuatan bukan Melayu melakukan tindakan tersebut, sehingga dikhuatiri pada suatu ketika, orang Melayu terpaksa ‘mengemis di tanah air sendiri’ dan Melayu akan hilang di dunia, walaupun nama Melayu masih kekal. Kehilangan itu adalah dari perspektif kepemilikan tanah, kuasa ekonomi dan juga politik.

Pun begitu, ramai lagi elit politik tidak berusaha membina semula semangat Melayu dalam diri masing-masing, tetapi bercakap dalam nada ‘kebersamaan’; dan ‘kebersamaan’ itulah yang kini semangat kritikal dibicarakan, termasuk persoalan agama dan nilai-nilai hidup.

Masyarakat bukan Islam boleh menerima apa sahaja, termasuk mencetak nama Jesus di stoking yang letaknya di kaki, mengukir tatu Jesus di badan mahupun setengahnya cenderung di tempat sulit.

Itulah salah satu proses berfikir yang sedang mencabar pendirian umat Islam. Mereka sebenarnya menggunakan alasan ‘tidak memahami Islam dan prinsip Islam’ tetapi, jika ada orang Islam mengkritik agaam mereka, atau hanya menyentuh sedikit sahaja didesak supaya didakwa.

Dr Zakir Naik pernah diminta agar dihantar balik ke India kerana perbandingan agama yang dijadikan perbincangan dianggap menyampaikan seruan ‘kebencian’ dan ‘menghina agama lain.’

Ertinya, jika bukan Islam sensitif dengan orang Islam mengkritik cara mereka beribadat, menukarkan kepercayaan menjadi satu bentuk budaya, ramai pula dalam kalangan mereka bangkit mencabar.

Soal kalah atau menang, bukan persoalan. Apa yang mereka mahukan ialah menunjukkan bahawa orang Islam boleh dicabar, dan sedikit sebanyak mencerminkan sikap orang itu sendiri, tidak bersatu biarpun agama dan nilai-nilai agama dikritik, dihina sekiranya perjuangan itu dipelopori olen entiti politik yang berbeza.

Ketika UMNO dilihat mendapat sedikit sebanyak kesan positif daripada #boikotKKMart, nampaknya PAS terperangkap dengan sikap dan pendiriannya. Namun, beberapa hari lalu, PAS memperoleh sedikit momentum apabila tularnya video yang dilihat sikap dan pendirian Menteri Pendidikan berhubung dengan penggunaan istilah ‘kafir’ kepada Non-Muslim.

Beliau juga dikatakan ‘mengharamkan’ istilah itu diajar di rumah dan disebut oleh ahli keluarganya. Dari situlah sebahagian daripada mereka menyindir, “jika istilah kafir diharamkan, apakah akan digantikan dengan Non-Muslim?

Kesan negatif ialah bakal meningkatkan ‘konflik kaum’ sekiranya #boikotKKMart menjadi semakin serius. Sudah tiga cawangan diserang (1) Cawangan Bidor, Perak pada 26 Mac 2024; (2) Cawangan Kg Sungai Isap, Jerantut, Pahang, 28 Mac 20024; dan (3) Cawangan Kuching, Sarawak pada 31 Mac 2024.  Kesemua serangan itu melibatkan penggunaan Molotov cocktail. Setakat ini pihak polis menyiasat kes di bawah Seksyen 435 Kanun Kesiksaan.

Dalam menguruskan kontroversi tersebut, nampaknya DAP lebih cenderung mahukan tindakan dilakukan termasuk menggesa Majlis Keselamatan Negara bersidang. Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negeri wajar mengambil tindakan awal, terutama negeri-negeri yang membabitkan perlakuan tersebut (Perak, Pahang dan Sarawak).

Ada yang melihat insiden-insiden itu adalah sesuatu yang boleh dijangka, apabila terdapat persamaan kaedahnya dengan apa yang pernah berlaku di rumah kediaman seorang wakil rakyat DAP, Ngeh Koo Ham pada 10 Januari 2024,  di Ayaer Tawar, Manjung, Perak, yang menyebabkan tiga buah kereta miliknya (Mercedes E300, Honda CRV dan Toyota Hilux)  musnah terbakar.

Kita tidak tahu kebenarannya. Pihak polis berusaha keras untuk mengetahui siapakah yang terbabit termasuk pelakunya, dan juga apa motifnya. Jika pelontaran Molotov cocktail ke atas kediaman Ngeh dan rumah orang tuanya, dikaitkan dengan sebuah parti politik ekoran komen dan pendirian wakil rakyat tersebut mencadangkan agar pakar perlembagaan dalam kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas mengkaji kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam.

Ini kerana, ada pandangan bahawa bukan Islam tidak sepatutnya campur tangan dalam apa sahaja yang berkaitan Islam, termasuk undang-undang, amalan ibadat dan kepercayaan umat Islam.

Jadi, jika bukan Islam melakukan sebarang bentuk provokasi, penghinaan dan mengkritik hal ehwal Islam, ia akan mudah mendapat simpati umat Islam untuk menolak, membenci dan mengecam keras pembabitan bukan Islam mengenainya.

Kita mungkin pernah dengar reaksi umat Islam apabila ada pihak mencadangkan agar kutipan zakat turut diberikan kepada bukan Islam; dan ura-ura memberikan tempat kepada bukan Bumiputera untuk memasuki institusi pendidikan seperti MRSM, UiTM dan membenarkan bukan Islam sebagai peguam berkaitan syariah (alasannya, bukan Islam turut mempunyai kelulusan tersebut).

Ramai orang Melayu berusaha mempertahankkan pandangan Prof Teo Kok Seong yang menyelar bukan Melayu yang tidak dapat menerima apa sahaja yang menjadi tunjang kekuatan negara ini termasuk mahir menggunakan bahasa Melayu, memahami asas-asas Islam dan menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan dan politik. Semasa PH memerintah (selepas PRU ke-14), ada kritikan dilontarkan ke atas Raja Melayu, yang tidak sepatutnya dipersoalkan oleh warganegara Malaysia.

Begitu juga dengan perihal kerajaan memberikan peruntuhan kepada institusi Islam, institusi pendidikan Islam (Sekolah Rakyat, Sekolah Menengah Rakyat, Sekolah Agama, Pusat Tahfiz dan sebagainya) kerana institusi tersebut adalah pengembangan daripada peruntukan bahawa Islam adalah agama persekutuan.

Agak menarik, pada tahap awal (dua minggu pertama) beberapa petikan yang pernah diungkapkan oleh HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah, kelahiran Minangkabau, Sumatera, Indonesia, 1908-1981).

Beliau adalah seorang pemikir dan intelektual Islam yang cukup berpengaruh di Asia Tenggara, yang berkata: jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.”  Ia turut menyumbang kepada kebangkitan “#boikotKKMart” dan “membakar semangat”.

Kata-katanya dilihat boleh mempengaruhi, yang berjaya diekploitasi oleh aktivis yang menyokong #boikotKKMart, lebih hebat daripada cadangan Ngeh Koo Ham mahupun Dr P Ramasamy yang pernah membangkitkan isu Zakir Naik. Ramasamy tidak ada apa-apa lagi kaitannya dengan DAP, sebaik sahaja tidak dicalonkan dalam PRU ke-15 dan juga PRN yang diadakan pada bulan Ogos 2023. Adalah sukar bagi P Rasamy untuk berjuang dan meraih kuasa dalam politik setelah dirinya disingkirkan.

Ia sangat berbeza dengan kesan terhadap kebangkitan awam apabila Dr KK Chai mula menggunakan pempengaruh untuk meredakan ketegangan dengan tagline, hanya 14 pasang sahaja stoking berkalimah Allah ditemui. Ia membabitkan tiga buah cawangan, manakala 5 pasang lagi ditemui oleh pihak polis di kilang vendor di Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

Akibat kes itu hanya sebanyak 19 kes daripada lebih 18,000 stoking, ramai yang melihat tindakan #boikotKKMart patut ditarik balik, juga pemilik rangkaian kedai serbaneka pun memohon maaf. Kelompok tersebut melihat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ‘biadab’ kerana mahu teruskan #boikotKKMart, yang sepatutnya selesai dengan permohonan maaf.

Jika ada apa-apa tindakan melanggar undang-undang, berikan masa kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan seterusnya mendakwa KK Mart mahupun pembekal stoking terbabit. Hal ini sudah pun dilakukan, tetapi ada yang terus berusaha menimbulkan ketegangan, yakni agar orang awam terus memboikot KKMart sebagaimana yang dimahukan, ditutup.

Namun, alasan yang diberikan oleh pemilik KKMart sebagai ‘terlepas pandang’ benar-benar merupakan ‘bloody mistakes’, bukan dapat mengawal atau meredakan keadaan, bahkan memberikan tentangan baharu bahawa ia hanya satu alasan agar tidak dilihat sebagai satu bentuk provokasi.

Begitu juga dengan kilang terbabit, Xian Jiang tidak sepatutnya mengedarkan stoking itu setelah tempahan diterima. Semasa membuat pembungkusan semula, selalunya ada kumpulan ‘quality control (QC)’ yang tujuannya melihat dan mengesan kerosakan.

Apakah pengurusan kilang pembungkusan Xin Jiang Sdn Bhd tersebut tidak ada pasukan QC?

Apakah QCnya juga ‘cap ayam’; yakni tidak boleh melihat kemungkinan-kemungkinan berlakunya penolakan dan kontroversi terhadap produk itu sendiri atau terhadap lakaran atau ilustrasi yang digunakan.

Itulah ‘kealpaan’ yang akhirnya menjerat dan mungkin terpaksa membayar ‘harga yang mahal’ kepada KK Mart, sekiranya pihak yang mewakili vendor berkenaan gagal menafikan ‘kealpaan’nya.

Tindakan awal ialah syarikat vendor itu pun sudah ditutup (19 Mac 2024) kerana melanggar syarat lesen, lain lesen yang diluluskan, lain pula aktiviti yang dibuat.

Pihak pengurusan kilang memberitahu bahawa kilang itu ditutup kerana bimbang akan berlaku kebocoran data peribadi, dan ancaman mahu membakar premis tersebut.(Berita Harian, 20 Mac 2024). Sehari sebelumnya, pihak polis menyiasat kilang terbabit dan menemui 5 pasang stoking berkalimah Allah, yang dikatakan dipulangkan oleh tiga cawangan KKMart.

Namun ada kenyataan yang bercanggah. Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) .MPBP mengambil tindakan tersebut berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil 13 (2) dan Undang-Undang Kecil 49 (2) serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPBP) 2016.

Lesen operasi Xin Jiang Sdn. Bhd adalah ‘stor dan pengedaran’. Jadi, Xin Jiang ditutup kerana lesen operasi disita, sebabnya ‘tidak buat apa yang dibenarkan, buat aktiviti yang berbeza dengan syarat lesen’.

Jadi, Xin Jiang bukan sahaja salah menggunakan syarat lesen, pengurusannya juga boleh didakwa kerana ‘menghina Islam’ walaupun tidak mengeluarkan stoking berkalimah Allah. Xin Jiang salah kerana ‘alpa’ yang sepatutnya tidak berlaku, kerana ‘blind sport’ atau take things for granted itu terpaksa membayar harga yang cukup tinggi. Ratusan jutaan kali ganda daripada nilai 19 pasang stoking berkalimah Allah.

Tentunya, KKMart akan lakukan apa sahaja untuk mempertahan jenamanya, apatah jenama itu ada kaitan dengan nama pengasasnya, Datuk Seri Dr KK Chai atau nama penuhnya  Chai Kee Kan. KK itu adalah nama pengasasnya, Kee Kan manakala Chai adalah nama warisannya.

Ini bermakna, jika KK Mart terpaksa ditutup, rasa kecewa akan cukup mendalam:

(1) kegagalan peribadi yang terburuk;

(2) untuk melakukan pemulihan adalah sukar dan cukup berliku termasuk terpaksa berbelanja besar;

(3) menjadi tamparan hebat negeri kelahirannya, Sarawak yang pernah dikatakan contoh perpaduan kaum yang terbaik, kini, sudah menempa konflik dan bakal berkembang ke tahap yang lebih serius jika kawalan tidak diperketatkan;

(4) turut mengetepikan pandangan stereotaip, sesuatu kaum akan kekal menolong kaumnya, yang mana dalam kes ini, antara etnik Cina juga ada masalahnya, ada dakwaan ‘sabotaj’ termasuk oleh rangkaian perniagaan yang serupa daripada akarnya, yakni mmpengaruhi tindakan pembekal sehingga alpa dan sebagainya. Ia merupakan satu bentuk pandangan hipotetikal yang perlukan penyelidikan akademik atau sebagainya; dan

(5) atas kepentingan ekonomi, ada yang akan melakukan apa saja sebagai cover-up kesilapan, kealpaan dan mengawal kerosakan menjadi lebih luas (jualan rahmah, promosi barang kawalan melebihi tempoh promosi dibenarkan atau mungkin tibanya Aidilfitri, akan dibuat ‘jamuan hari raya’ atau ‘sedekah raya’?

Mungkin berlaku atau mungkin ada program lain bagi mengembalikan keyakinan pelanggan kepada KKMart.

Mengecewakan ialah apabila ada pemboikot tersilap sasaran: berhimpun di salah sebuah premis 99 Speed Mart dan L&M Mart. Insiden yang berlaku ke atas L & M kerana rupa bentuk signagenya adalah hampir sama dengan KK Mart. Atau mungkin disengajakan untuk melumpuhkan jenama KK Mart.

Semua kemungkinan atau telahan itulah yang sedang bermain dalam fikiran sebahagian rakyat Malaysia, yang melihat insiden berkenaan bukan ‘jalan sehala’. Namun kebenarannya sukar dilapor atau dibuktikan, hanya mereka tertentu sahaja yang mengetahui ‘business game’ yang telah dicipta dan akan terus dicipta.

MONOSIN SOBRI

Translate »