Walau bagaimanapun, tindakan KK Mart Kuala Kangsar menjual sekilogram gula dengan harga RM 0.10 (harga sebenar gula bersubsidi RM 2.85 sekilogram) di tengah-tengah kontroversi stoking berkalimah Allah menimbulkan reaksi yang kurang senang dalam kalangan pemain industri peruncitan. Ia menyebabkan KPDNK terpaksa turun padang membuat siasatan.
KPDNK Cawangan Kuala Kangsar telah mengenakan tindakan ke atas KK Mart cawangan Kuala Kangsar Prima yang dibuka pada 16 Mac 2023 telah menjual minuman berkarbonat 99 sen setin dan gula pasir 10 sen sekilogram. Suatu pemeriksaan telah dilakukan ke atas premis tersebut pada hari Rabu, 27 Mac 2024 setelah menerima aduan iklan menjual barangan kawalan di media sosial.
Kedai itu menjual air berkarbonat pada harga promosi 99 sen setin sejak 16 Mac (hari pertama pembukaannya dan tiga hari seruan boikot bermula). Selain gula, minyak masak juga turut disita kerana mengadakan jualan murah tanpa kebenaran dan dilakukan lebih daripada tiga hari sebagai tawaran promosi pembukaan. Ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 (pindaan 2019).
Hasil pemeriksaan, premis tersebut tidak mempunyai lesen runcit barang-barang kawalan berjadual (CSA) untuk menjual gula, minyak masak dan tepung. Ia diperlukan berdasarkan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dan dijika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta. (Sinar Harian, 28 Mac 2024).
Rentetan kesilapan yang berlaku secara sengaja selepas meletusnya isu stoking berkalimah Allah akan menyebabkan KK Mart bukan sahaja menanggung kerugian besar atas tindakan boikot, reputasinya merudum menjadi bertambah kusut dengan dakwaan menggantung banner tanpa kelulusan, menjual murah barang kawalan tanpa kebenaran, tidak mempunyai lesen menyimpan dan menjual barangan kawalan (premis Kuala Kangsar Prima) dan menjual barang kawalan dalam tempoh lebih lama (tiga hari tempoh promosi pembukaan).
Promosi. Ertinya, langkah yang awalnya mungkin dianggap sebagai aktiviti ‘mengawal kerosakan’ semakin mewabak kerosakan akibat pelanggaran peraturan dan undang-undang.
Ramai rakyat Malaysia bersimpati dengan KK Mart apabila salah satu cawangannya di Perak dilontarkan bom botol buatan sendiri berlaku pada awal pagi 26 Mac 2024. Bagaimanapun, molotov cocktail itu tidak mengenai sasaran setelah dilemparkan oleh seorang lelaki tidak dikenali, juga tidak meletup dan tidak ada sebarang kerosakan berlaku. (New Straits Times, 26 Mac 2024). Salah seorang pekerja KK Mart Bidor itu kemudiannya membuat laporan polis. (Malaysia Gazette, 26 Mac 2024).
Dua hari lalu (30 Mac 2024), sebuah lagi cawangan KK Mart menerima lontaran molotov cocktail di awal pagi. Tidak ada kecederaan berlaku, tetapi sedikit kerosakan dikesan. Hanya sedikit kebakaran terjadi di pintu masuk (karpet) kedai. Kerugian yang dialami sekitar RM 500. Cawangan terbabit ialah di Sungai Isap, Kuantan, Pahang. Siasatan sedang dilakukan menurut Seksyen 435 Kanun Kesiksaan. (Malaysiakini, 30 Mac 2024).
Kontroversi yang tercetus kerana stoking berkalimah Allah juga menyebabkan seorang artis yang berasal dari Turkiye merasa kesal kerana lakaran seninya itu digunakan secara haram (tanpa kebenaran) untuk mencetak imej di stoking, Abdul Aziz Sahin berkata: Saya menyedari isu itu melalui mesej yang saya terima pada profil Behance (sosial media Adobe) saya. Karya saya digunakan tanpa kebenaran. Insiden ini disebut dalam dua mesej yang saya terima. Ini terang-terangan pencurian dan tidak menghormati (kalimah Allah)” (Malaysiakini, 28 Mac 2024).
Ini bermakna Abdul Aziz boleh memfailkan saman ke atas KK Mart dan juga vendor pembekal stoking berjenama MiraniSock untuk mendapat ganti rugi akibat penggunaan ciptaannya secara haram, apatah lagi ia membabitkan aktiviti komersial. Walaupun bagaimanapun, Abdul Aziz perlu membuktikan dia adalah pereka asal dan dilindungi di bawah hak intelektual.
Di sepanjang kontroversi yang sudah memasuki minggu ketiga, walaupun suhunya tidaklah begitu panas selepas pemilik KK Mart, vendor pembekal stoking dan kakitangannya dihadapkan ke mahkamah, selain seruan-seruan agar ditamatkan kontroversi berkenaan, ia belum menatijahkan #boikotKKMart berakhir atau ditarik balik.
Sambut Dr Akmal Salleh, kempen boikot kedai rangkaian serbaneka KK Mart perlu diteruskan ‘supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk tidak menghina agama Islam.” Dalam komennya di facebook, Dr Akmal mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehingga KK Mart dan pembekal stoking berkalimah Allah didakwa di Mahkamah.
Tulis Dr Akmal “Kita menghormati proses undang-undang untuk dilaksanakan mengikut aturannya. Tetapi pada masa yang sama, kempen boikot KK Mart ini perlu diteruskan agar ia memberikan pengajaran hebat kepada mana-mana pihak yang menghina Islam.
“Kita juga mengecam sekeras-kerasnya isu insiden melampau yang membaling bom petrol ke KK Mart dan ugutan bunuh terhadap saya. Walaupun diugit bunuh, pendirian saya dan seluruh umat Islam di Malaysia tidak berganjak untuk kita teruskan kempen #BoikotKKMart ini agar ia menjadi pengajaran keras untuk semua pihak supaya tidak memperlekehkan agama Islam di bumi ini.
“Untuk meredakan keadaan kita serahkan kepada pihak polis lakukan siasatan dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini. Terus boikot!” (dipetik dari umnoonline, 27 Mac 2024).
Mengulas mengenai perkembangan selanjutnya, Datuk Kadir A Jasin memuji sikap dan pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang berani, lantang dan konsisten dengan matlamatnya untuk ‘mempertahankan agama’ yang dicabar oleh ‘terlepas pandang’ stoking berkalimah Allah. Dr Akmal dilihat seperti berjaya mengembalikan semangat dan peranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sebagai kumpulan pendesak.
Tulis wartawan veteran yang pernah berada di barisan hadapan sebagai penasihat media yang sangat sayangkan Dr Mahathir dan tegar mempertahankan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu, kerana Dr Akmal “telah mengembalikan peranan pergerakan itu sebagai kumpulan pendesak”, kerana “sudah sekian lama ketua-ketua Pemuda UMNO gagal menampilkan diri sebagai pendesak.”
Tentunya, bagi mereka yang sedikit berusia boleh menngenali siapakah Ketua Pemuda UMNO gagal memainkan peranan tersebut selain Singa UMNO (Syed Albar), Datuk Harun Idris dan ramai yang boleh membuat perbandingan dengan apa yang tunjukkan oleh lain-lain pemimpin yang pernah memegang jawatan tersebut.
Antaranya, Najib Tun Razak, Hishamudin Tun Hussein Onn (legasinya hanya diingati kerana mencium keris persada bangsa, tapi dilihat sebagai percubaan UMNO untuk ‘berperang’ dengan bukan Melayu), Syed Hamid Albar, Rahin Thamby Cik, Khairy Jamaludin, dan terakhir Dr Asraf Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda UMNO yang tidak bergelar wakil rakyat dan tidak pun ada jawatan dalam parti di peringkat bahagian, sebaliknya kedudukan itu menjadi asas untuk menjadi calon bagi kali kedua dan ketiga. Kali pertama tewas di Tumpat dan juga tewas dalam perebutan jawatan dalam pemilihan parti di Bahagian Tumpat).
Peranan sebagai kumpulan pendesak, ulas wartawan veteran itu sejak beberapa lama dilihat lesu dan jika pun muncul sekadar menjadi penyambung kepada aspirasi pucuk pimpinan. Namun kali ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO lebih ke depan berbanding sikap dan pendirian pucuk pimpinan UMNO. Atas sifat dan mood yang telah berjaya dilakarkan oleh Dr Akmal, akhirnya pucuk pimpinan akur dengan apa yang berlaku, merestui apa yang diperjuangkan itu.
Tambah Datuk Kadir A Jasin lagi: Muhammad Akmal, seorang doktor perubatan, sudah pun mempunyai kedudukan yang cukup baik apabila menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2021 dan dilantik menjadi EXCO Kerajaan Negeri. Beliau kini EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Sejak dua minggu lalu, apabila tercetus isu penjualan stoking dengan nama “Allah”, beliau muncul sebagai pendesak utama mewakili orang Melayu dan Islam.
“Kalau boleh saya guna ungkapan bahasa Inggeris, “he had made his point loud and clear”. Beliau sudah menyatakan pendiriannya dengan kuat dan jelas.
“atas desakan beliau dan banyak pihak lain serta perjalanan biasa undang-undang, tindakan telah dan sedang diambil ke atas pemilik KK Mart serta pihak-pihak berkaitan.
“….Saya rasa hanya orang yang paling bodoh, bangang dan sengaja cari penyakit saja yang tidak faham atau sengaja tidak mah faham sentiment dan sensitivity kalimah Allah, al-Qur’an dan Rasulullah (SAW).
“Jadi mana-mana pihak yang hendak bekerjasama dengan orang Melayu, termasuk menjadikan mereka pelanggan, hendaklah sensitif dan berusaha seboleh-bolehnya menyaring agar barang dagangan yang boleh menimbulkan bantahan tidak ada di kedai mereka.
“Lagi elok kalau rangkaian pasar besar macam KK Mart mewujudkan panel terdiri daripada pakar dari semua agama bagi menasihati mereka.
“Rasanya tidaklah susah sangat bagi pasar-pasar raya mendapatkan nasihat luar, memasang papantanda dan mematuhi peraturan memisahkan barang-barang tidak halal dengan barang-barang halal.” (Malaysiakini, 28 Mac 2024).
Tentunya, kita pernah memahami bagaimana beberapa sektor perniagaan pernah tersinggung ketika kebangkitan Islam mula mencabar ekosistem ekonomi kapitalis sehingga memunculkan pelaksanaan ekonomi Islam di seluruh dunia pada tahun 1980-an. Misalnya, beberapa bank konvensional cuba mengadoptasikan semangat atau perubahan mood tersebut dengan menubuhkan cawangan perbankan Islam. Ia bukan sahaja berlaku ke atas bank-bank tempatan, bahkan juga bank-bank antarabangsa, walaupun modulnya tidak sepenuhnya dilihat Islam, hanya menukarkan beberapa kaedah tetapi tidak kepada keseluruhan produk tersebut.
Misalnya, kalau dalam kontrak –antara peminjam dan pemberi pinjaman – dalam sistem perbankan konvensional perkiraan bayaran balik ialah berdasarkan perkiraan jumlah kadar faedah yang dikenakan (akan berubah bila berlaku perubahan Kadar Pinjaman Asas (BLR). BLR berubah bila kadar faedah semalaman meningkat, tetapi peratus peningkatan faedah atau kadar faedah adalah lebih tinggi daripada BLR. Ada bank menetapkan sekitar 1% daripada BLR).
Dalam sistem perbankan Islam, cara pengiraan ialah berdasarkan harga jualan, di mana pihak akan akan ‘membeli’ dan kemudian ‘menjual balik’ kepada pelanggan, berdasarkan kadar keuntungan tertentu. Jadi, dalam sesetengah proses, pihak bank membuat tafsiran bahawa kadar keuntungan yang akan menjadi harga jualan dengan bayaran tertangguh adalah juga berdasarkan BLR, maka jika BLR berubah, ia akan mempengaruhi jumlah bayaran balik yang terpaksa dibayar oleh peminjam atau pelanggan. Jadi, sistem itu masih tidak bebas sepenuhnya daripada riba (interest) walaupun pada permulaan kontrak (perjanjian) dinyatakan dengan jelas jumlah keseluruhan yang kena bayar dalam masa tertentu, yang dibahagikan dengan tempoh pinjaman (bayaran tertangguh).
Misalnya, jika anda membuat pinjaman peribadi dengan bank-bank komersial. Ketika anda bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh pihak bank, anda akan diberitahu bahawa jumlah keseluruhan pinjaman (pokok dan keuntungan) dengan perkiraan kadar tertentu. Tetapi, apabila Bank Negara menaikkan BLR kepada dua puluh lima mata, baki pinjaman yang belum anda selesaikan masih tinggi kerana pihak bank membuat perkiraan semula keuntungan yang mereka dapat akibat perubahan BLR tersebut. Ini bermakna, akad yang dibuat pada awalnya turut mengandungi polisi yang terikat dengan BLR (yakni kadar faedah semalaman).
Pun begitu, apabila anda membuat perkiraan semula mengenai keseluruhan pinjaman yang kena bayar, antara kaedah perbankan Islam dan perbankan konvensional, anda akan melihat cukup berbeza jumlahnya. Ada keadaan bahawa keseluruhan jumlah yang kena bayar menurut perkiraan sistem perbankan Islam adalah lebih besar daripada keseluruhan bayaran berdasarkan sistem perbankan konvensional. Ini bermakna sistem perbankan Islam tidak sepenuhnya bebas daripada makna kapitalisme atau sistem perbankan yang dilihat menekan pelanggan.
Bagaimanapun, dari segi dasar dan peraturan yang berkuatkuasa, sistem perbankan Islam dibenarkan berbuat demikian, walhal kalau dilihat pada asasnya, jumlah yang wajib dibayar oleh peminjam ialah jumlah yang dipersetujui semasa berlaku proses pengakadan itu. Namun, dalam terma-termanya, ia ikut menjelaskan bahawa ia akan berubah sekiranya berlaku perubahan BLR yang ditetapak.
Nampaknya, jumlah bayaran yang tetap dan tidak berubah semasa akad atau bersetuju menandatangani kontrak ialah ke atas pinjaman kenderaan. Biarpun BNM menaikkan BLR beberapa kali, bayaran dan jumlah keseluruhan bayaran tidak berubah bagi kontrak sewa beli kenderaan, kekal dengan ketetapan semasa kontrak itu ditandatangani.
Jadi, perlu ada gerakan-gerakan ke arah itu, terutama dalam sistem perbankan Islam sekiranya ia benar-benar mahu buktikan sistem ekonomi Islam bersifat benar-benar Islamik, bukan hanya menempel dengan retorik bernuansakan Islam. Prinsip-prinsip ekonomi berdasarkan ekonomi sufi perlu diterapkan dalam sistem perbankan Islam, di mana antara pelanggan dan pihak bank akan mendapat keuntungan moral yang tinggi. Kini, ada yang secara sinis berkata, jika meminjam berdasarkan sistem perbankan Islam, peminjam sebenarnya tidak untung, bank masih peroleh untung besar. Bank masih boleh meminda jumlah perlu dibayar, bukan tetap sebagaimana ketika diakad, hanya kerana berlakunya kenaikan BLR.
Dalam kes #boikotKKMart ini, ramai pemerhati melihat kemunculan Dr Akmal ‘pick-up’ isu tersebut menyebabkan sasarannya terpaksa menerima hakikat dan kesan daripada tindakan yang dimulakan itu, sehingga berjaya menenggelamkan suara-suara PAS untuk mempertahankan kesucian kalimah Allah. Sebelumnya, PAS muncul dalam dua isu yang dianggap mampu memberikan laba politik kepada perjuangan mereka, tetapi dalam kontroversi stoking berkalimah Allah, parti yang seringkali tersandung dengan fatwa dwistandard tersebut seperti kalah kerana mengambil pendirian tidak melancarkan #boikotKKMart.
Hal ini dapat kita baca dan renung pendapat salah seorang pemimpin PAS, Ketua Dewan Ulama, Ahmad Yahya ketika menjelaskan parti itu tidak terlibat dalam seruan #boikotKKMart, atau menyelar stoking berkalimah Allah. Katanya: PAS berbeza pendirian dengan boikot produk entiti berkaitan Israel yang menyokong Zionis dalam pencerobohan di Palestin. (Malaysiakini, 31 Mac 2024). Namun, rakyat tahu dan lihat, PAS tidak menunjukkan kesungguhan memboikot, hanya sekadar berdiri di pinggiran agar tidak dilihat ‘berdiam diri’. Penjelasan itu terpaksa diberi untuk ‘cover-up’ pada kelesuan tindakan parti itu, sehingga ada yang berkata: PAS seolah-olah hilang arah. Semangat juangnya kendur kerana UMNO terkedepan bertindak mencabar ‘tersilap pandang’ pemilik KK Mart.
Tentunya, PAS ada pelbagai alasan. Seperti pernah dibongkar oleh bekas pemimpin PAS Kelantan sendiri, Datuk Wan Rahim Abdullah, setiap kali berbincang dalam mesyuarat, PAS sudah bersedia dengan pelbagai dalil: dalil yang bersetuju dan dalil yang tidak bersetuju. Ketetapan sudah dibuat sebelum mesyuarat atau perbincangan dimulakan, ia sangat bergantung kepada siapakah yang menjadi pemutus dalam kepimpinan PAS. Sebelumnya, Mursyidul Am PAS lebih ‘berkuasa’ daripada Presiden PAS sendiri (misalnya kontroversi unitey government selepas PRU ke-12 (2008) yang akhirnya memperlihatkan ada keretakan, dan cadangan ‘membersihkan buah busuk’).
Jika kuasa pemutus berpendapat ia perlu disokong, maka dalil-dalil yang menyokong akan dikeluarkan. Begitulah pendirian di sebaliknya. Jadi, jika nalar sedemikian diambil sebagai kerangka, jelaslah jawapan telah ditemui kenapa PAS tidak mengambil bahagian dalam #boikotKKMart. Kita juga tidak melihat bagaimana lantangnya suara Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari dalam memperkatakan isu stoking berkalimah Allah, hanya sekadar ‘berdehem’ –against pre-empting police investigations in the attemped firebombing of a KK Mart branch in Bidor, Perak’ pada 26 Mac 2024. (Malaysiakini, 27 Mac 2024).
Fadhil adalah bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (2021-2023) sebelum dipegang oleh Afnan Hamimi Taib Azamuddin (ayahnya adalah bekas Imam Besar Masjid Negara dan mendapat rakaman video mangsa liwat Anwar Ibrahim, Hairani Hj Nahfis yang dibayar sebanyak RM 14,000.
Pengakuan itu dibuat oleh mangsa di hadapan Taib Azzamudin di pejabatnya, di Masjid Negara pada tahun 1998, Drs Ammah Khuzairi, Bekas Imam Besar Bongkar Rahsia Anwar :Pendedahan Baru Kes Anwar Ibrahim, Minda Malaysia Sdn Bhd., 2001) pun tidak bersuara lantang mengenai kontroversi stoking berkalimah Allah. Cuma terdapat posting beliau ke Kuala Lumpur dalam gerabak ETS. Apa maknanya gambar itu. Hebat bukan?
Afnan Hamimi juga adalah Ketua Pemuda Perikatan Nasional. Maknanya, sebagai pemimpin pemuda PAS dan PN, Afnan Hamimi, yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Setar dan Setiausaha Politik MB yang paling kontroversi, Sanusi Mohamad Nor macam tidak tertarik dengan kontroversi stoking berkalimah Allah. Atau, apa pun yang hendak disokong atau tidak, ia sangat ditentukan oleh pucuk pimpinan.
Pemimpin Pemuda PAS adalah ‘pak turut’ atau istilah lama Tun Musa Hitam, ‘enggeh’ dan dalam bahasa Inggeris, yes man. Sebagai pemuda, Afnan tidak boleh bersuara bersendirian dan mendepani langkah bukan pemuda yang menguasa dan menjadi pemutus dalam parti (PAS dan PN).
Pemuda hilang arah dan semangat juang; pemuda sebeginilah yang pernah disifatkan berlaku ke atas beberapa orang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika parti itu mencengkam pentadbiran negara, yang berjaya dikembirikan oleh Dr Mahathir menerusi UMNO (baru), yang tidak suka mana-mana pemimpin yang lebih pandai dan berpengaruh daripadanya. Dan, inilah juga yang berlaku dalam kepimpinan politik Negeri Sembilan lebih dua puluh tahun diketuai oleh Tan Sri Isa Samad.
Kata Ahmad Yahya, dalam isu boikot produk Israel, ia berbeza kerana ia sudah berita langsung (serangan Israel ke Gaza). Tapi, dalam isu KK Mart tiada kaitan langsung.” Memang benar KK Mart tidak berkait dengan pemulauan seluruh dunia seperti boikot produk Israel atau ada hubungan dengan tindakan membantu Israel, tetapi PAS dilihat tidak benar-benar ikhlas dalam perjuangannya, dan ketika agama dicabar, pemimpin PAS hanya sekadar ‘berdehem’ dan sesekali ‘mengisar semula’ retorik politik Islamnya.
Jika dalam isu kerajaan menarik balik peranannya dalam ‘mencelah’ kes yang membabitkan rayuan Jill Ireland dianggap sebagai bersikap liberal dan tidak mahu mempertahankan Islam, akhirnya dengan strategi Kristianisasi, menyebabkan sebahagian umat Islam yakin masa depan Islam di Malaysia akan tercabar.
Walaupun kebenaran itu hanya dipakai di Sarawak, atas alasan masyarakat Sarawak (terutama Bumiputera bukan Islam) lebih memahami bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris, ia mungkin akan berlaku juga proses dakwah Kristian ke atas Bumiputera Islam.
Pada pandangan mereka, ia bertentangan dengan aspirasi dan semangat Perlembagaan Persekutuan bahawa menyebarkan agama-agama lain kepada Bumiputera Islam (orang Islam) yang tidak dibenarkan akan menyebabkan pelanggaran sama ada secara sengaja (dirancang halus) mahupun secara sengaja.
Pernah muncul beberapa kebimbangan mengenai persoalan tersebut kerana proses mengkristiankan orang Islam menjadi matlamat halus dan terancang, ia muncul dalam pelbagai bentuk produk budaya, program-program kebajikan (seperti menjemput orang Melayu di malam Thanksgiving, menyampaikan bantuan kepada orang Islam di Gereja, menyusup masuk dalam persatuan-persatuan lokal dan penduduk dan aktiviti kejiranan), dan yang paling dihebohkan kemunculan paderi-paderi berketurunan Melayu dalam masyarakat.
Dikatakan telah ada beberapa kelompok dan kohort anak-anak Melayu dilatih sebagai kader dakwah Kristian sama ada di Singapura mahupun di Indonesia. Mereka ini akan kembali ke dalam masyarakat untuk menyampaikan seruan-seruan agama Kristian. Juga pernah dilaporkan kelompok yang rentan dengan aktiviti pendakwah Kristian ialah masyarakat orang Asli.
Sebahagian masyarakat orang Asli yang telah memeluk Islam dikatakan tidak kental dengan ajaran Islam cukup mudah dipengaruhi memandangkan para pendakwah Kristian bersedia tinggal dengan mereka dalam tempoh yang lama dan bergaul bersama dalam pelbagai aktiviti sosial (juga berperanan menganjurkan aktiviti sosial).
Ia berbeza dengan para pendakwah Islam itu sendiri. Walaupun pada peringkat awal berjaya berdakwah kepada masyarakat Orang Asli sehingga sebahagiannya memeluk Islam, peranan dan keaktifan mereka dilihat bermusim atau sekadar ‘memenuhi perancangan’ berkala. Atau sekadar ‘touch n go’, gah kepada jumlah mereka yang berjaya diIslamkan, tetapi bukan kepada sejauh manakah Islam itu kekal dan dipraktikkan dalam kehidupan mualaf yang diislamkan oleh agensi kerajaan atau NGO yang prokerajaan.
(Bersambung)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments