Apabila kita sentiasa menunduk setiap kali berjalan, kita tidak akan menemui dan memahami luasnya hidup ini; tersilap langkah boleh melanggar batu atau pohon.

Di jalanan yang kita lalui itulah “macam-macam ada.” Ada kalannya kita menunduk seperti rasmi padi ketika berbuah dan menyusur akar seperti ular. Dengan menunduk, padi tidak musnah dan menyusur akar, kehebatan diri tidak tercalar.

Keanekaragam itulah menjadikan kita lebih memahami dan sujud bersyukur dan merasa hidup ini sangat bermakna, penuh dengan keindahan.  Kita akan rasai sesuatu yang amat berbeza ketika menatapi bulan mengambang; merasa melekit dan resah bila matahari panas membahang. Oleh itu, kita tidak sepatutnya terkongkong atas hanya satu paradigma, kecuali keyakinan dan kepercayaan yang hakiki, selainnya adalah relatif dan subjektif.

Wahyu akan tetap wahyu yang kita pertahankan sebagai hal yang sakral (suci), tetapi tidak kepada pentafsirannya. Semua pentafsiran yang dibuat, ia sangat bergantung kepada frame of reference dan niat pentafsirnya.

Sebut Iman al-Ghazali:

“Manusia sebagai pemilik rumah pun mengurus segala yang ada di dalamnya. Beraneka jenis tumbuhan memiliki manfaatnya tersendiri. Segala jenis haiwan diperuntukkan bagi memenuhi pelbagai keperluan manusia.

“Oleh kerana itu, Allah menciptakan langit. Ajaibnya, Dia melukisnya dengan warna yang paling mudah diadaptasi oleh mata manusia, bahkan menguatkan penglihatan mereka. Jika langit berwujud sinar dan cahaya, pasti menyusahkan orang yang memandangnya. Maka. dari itu, langit berwarna biru, yang sesuai dan senang di pandang oleh mata kita.

“Rahsia penciptaan langit yang lain ialah bahawa orang yang memandang luasnya langit akan merasakan kenikmatan dan kesenangan (ketenangan), lebih-lebih lagi ketika dihiasai dengan bintang dan cahaya rembulan.” 

Sambung al-Ghazali: Dahulu, jika seseorang tersesat, dia cukup mengamati letak di mana suatu planet (bintang), menentukan di mana letaknya planet tersebut, lalu menuju arahnya.

“Sebagai tambahan, ada yang mengatakan bahawa ada sepuluh manfaat memandang langit: mengurangi stress (tekanan), menghindari rasa was-was, melenyapkan fobia (ketakutan), mengingatkan kepada Allah, menyebarkan rasa takzim kepada Allah di hati, membuang fikiran buruk, membantu mengubati penyakit sauda (semacam sakit mata/mata menghitam), menghibur perindu [pungguk rindukan bulan],  menambah kemesraan para pencinta dan terakhir, langit merupakan kiblat doa’” (Imam al-Ghazali, Hikam al-Ghazali, terjemahan daripada al-Hikmah fi Makhluqat Allah oleh Supriyadi, Yogyakarta: Penerbit Forum, 2022, hal, 6-9)

EJSK bukannya ‘undang-undang Tuhan’, ia bertaraf takzir (dibuat oleh manusia) seperti juga Kanun Kesiksaan. Kata mereka, EJSK bersumberkan syariah (hukum syarak), al-Qur’an dan sunnah. (Sinar Harian, 13 Februari 2024).  Apakah Kanun Kesiksaan tidak ada ‘nilai Islam’?

Undang-undang ciptaan manusia, kata Presiden PAS, adalah ‘undang-undang warisan penjajah’. Suatu ketika sebelum boleh difasakan sebagai zaman purba, Hadi mentarbiyahkan, Malaysia adalah negara yang mengamalkan undang-undang penjajah, undang-undang sekular dan taghut (amalan sesat). Amalan sesat sentiasa dikaitkan dengan peranan syaitan, yang kehadirannya untuk menggoda, menghasut dan merusakkan akidah. Bertindak atas kepentingan hawa nafsu.

Persoalannya, adakah undang-undang sekular atau warisan penjajah itu zalim? Setiap daripada kita memahami bahawa perbuatan zalim itu adalah perbuatan yang dikutuk oleh Islam, dan dilarang daripada melakukannya.

Sikap kritis, apakah salahnya undang-undang ‘sekular’ atau ‘warisan penjajah’ jika kedudukannya adalah lebih baik daripada EJSK yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan? Kalau undang-undang yang diamalkan di Malaysia ‘taghut’ kenapa Hadi dan gerombolannya tidak bersunguh-sungguh melakukannya ketika berada dalam kerajaan? Kenapa Haji Hadi dan sekutunya tidak menolak apabila dakwaan-dakwaan yang dibuat ke atas mereka menggunakan ‘undang-undang penjajah’? Misalnya, terbatalnya dua keputusan PRU – Kuala Terengganu dan Kemaman – setelah terbukti berlaku rasuah pengundi atau menurut istilah Haji Hadi, sedekah.

Di awal petisyen Nik Elin, PAS tidak membantah, berdemonstrasi dan bersembahyang hajat. Bila soal, dijawablah “tidak tahu”. Jawapan bodoh dan cukup membodohkan. Itulah budaya pembodohan umat yang tidak lekang dalam budaya politik yang diamalkan. Dengan budaya pembodohan itu sokongan dan ketaksuban penyokong-penyokong akan kekal dan bertambah. Pembodohan menjadi semakin melata dan meluas, hingga ramai juga yang berpendidikan tinggi terpengaruh tegar.

Bagaimana pula dengan saman Presiden PAS ke atas pemilik Sarawak Reports: bukankah menggunakan undang-undang “bapak penjajah” di negara penjajah (Britain)? Kenapa saman itu ditarik balik walhal sebelumnya Presiden PAS membayangkan ‘sudah menang’?

Akibat ‘sudah menang’, dibayar ganti rugi RM 1.4 juta dan Clare Rewcastle-Brown mengesahkan telah menerima bayaran tersebut.

Ketua Penerangan PAS (ketika itu), Nasarudin Hasan @ Tantawi berkata: “Mahkamah telah memerintahkan editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle-Brown membayar sebanyak RM156,197 (28,900 pound sterling). Alhamdulillah, PAS bersyukur atas kemenangan yang cukup bermakna buat maruah parti secara keseluruhan, selain mencerminkan keperibadian Tuan Guru Haji Hadi.” (Malaysia Gazette, 1 Mei 2018). Kalau Clare diperintah membayar RM 156 ribu, kenapa PAS atau sekutunya ‘membayar balik RM 1.4 juta’? Berapa kali ganda?

Namun, ‘kepercayaan’ itu akhirnya bertukar kepada ‘bohong’. Sebenarnya, Hadi menarik balik saman dan diselesaikan di luar mahkamah pada 1 Februari 2019. Mahkamah Tinggi London tidak mengenakan apa-apa kos, tetapi ia tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan antara kedua belah pihak (terma-terma penyelesaian). Alasan yang kita dengar ialah kerana tidak sanggup membayar kos guaman yang ‘terlalu tinggi’.

Akhirnya, orang awam ‘telah tahu’, tembelang pecah. Bayaran itu adalah sebagai penyelesaian (ganti rugi) akibat menarik balik saman.

Hadi menafikan.  Clare mengesahkan menerimanya, wang itu telah dipindahkan ke akaunnya oleh sebuah firma guaman di Kuala Lumpur, akhir Januari 2019. (Sinar Harian, 1 Mac 2019)

Turut tular ialah salinan cek bayaran yang dibuat, juga surat daripada peguam.  Clare mendedahkan kesemuanya untuk memberitahu rakyat Malaysia hal yang sebenar, bukan ‘menyimpan sampah di bawah karpet’ sebagaimana dilakukan oleh PAS tatkala berhadapan dengan krisis dalaman dan penularan perilaku pemimpinnya sebagai ‘salah’ atau ‘tidak beretika’.

Kita masih ingat apa kata Hadi: Saya tak bayar. PAS tak bayar. Dakwaan itu tidak betul”. Siapa yang betul? Adakah pendedahan Clare menerima bayaran itu adalah “agenda untuk menjatuhkan parti?

Adakah sama nadanya ketika Clare mendedahkan pemimpin PAS menerima wang daripada UMNO berjumlah RM 90 juta; dan wang itu digunakan untuk PRU ke-14 (2018) manakala sebahagiannya tercair dalam akaun beberapa orang.

Sebelum itu, masyarakat Malaysia tertanya-tanya, dari manakah PAS mampu membiayai deposit 150 calon Dewan Rakyat? Inilah PRU yang paling besar penyertaan PAS dalam sejarah. Atas sebab itulah PAS bertekad menjadi ‘king maker’.

 Hasilnya, PAS mengalami peratus kecundang yang cukup besar, hanya menang 18 kerusi.  Tetapi kerana 18 kerusi itulah juga yang mencukupkan peluang Muhyiddin untuk dipilih sebagai PM ke-8 dan Ismail Sabri selepasnya. Namun, Ismail Sabri lebih cerdik dan berstrategi langkahnya, berunding dengan parti-parti pembangkang untuk tidak ‘menukarkan kerajaan’ lagi.

Sebab itulah political bashing semasa beliau tidak banyak berlaku, kecuali dalam kalangan pendokong Zahid yang takutkan Ismail mencabarnya nanti setelah merasakan kedudukan lebih baik. Zahid sedia memintas, mereka yang ada hubungan dengan Ismail Sabri tidak dicalonkan, dan Ismail terkinja-kinja seorang diri berkempen dalam PRU ke-15 walaupun dikatakan ‘bakal dilantik sebagai PM’. Poster Boy.

Ismail mengekalkan Parlimen Bera, tetapi telah dipinggirkan oleh partinya sendiri. Akhirnya membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden, dan tidak mencabar kerusi tertinggi parti seperti yang diramalkan.

Selepas PAS dan BN tewas pada PRU ke-14, kdua-dua pemimpin parti berusaha untuk ‘bersatu’ bagi menghadapi PH pada PRU ke-15. Kesepakatan itu membuahkan Muafakat Nasional pada 14 September 2019. Namun, kesepakatan berakhir dalam situasi robek dan luka batin yang mendalam.

Ia menjadi ilusi dan elegi. PAS bermain di kolam Bersatu dan akhirnya sama-sama menzahirkan Perikatan Nasional. UMNO tidak menyertainya, sebab UMNO tetap memegang pada prinsip, hanya bekerjasama dengan Bersatu sehingga PRU ke-15. Akibat tindak-tanduk itu, PAS akhirnya dijolok ‘suka berenang di banyak kolam’. Maknanya, suka tikam kawan dan tidak boleh dipercayai kerana sejarahnya cukup jelas, kerjasama dan kesepakatan tidak kekal lama.

Kolam mana yang memberikan keselesaan, kolam itulah yang akan direnangi. Kecualilah, kolam yang selesa itu airnya kekeringan. Bayangan sedemikian masih kekal dalam minda banyak orang, PAS terkenal dengan pendirian bercapah. Setiap pemuafakatan yang terbina akan dimusnahkan (BN, APU, Barisan Alternatif. Pakatan Rakyat, Gagasan Sejahtera, Muafakat Nasional dan mungkin berjangkit pula kepada PN).

Bukan sekali PAS bercerai dengan DAP. Sudah tiga kali sejak parti itu merasakan perlu bekerjasama dengan bukan Melayu jika ingin menguasai politik Malaysia. Dalam CCC –Consultative Chinese Committee, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Kenapa UMNO berhalangan untuk meneruskan kesepakatan dengan Bersatu? Apakah hanya disebabkan Bersatu adalah parti serpihan UMNO? Yang paling ‘tragis’ ialah Bersatu ingin ‘membunuh’ UMNO dan selepas berjaya melakukannya (hasrat Bersatu), akan menggantikan UMNO sebagai sebuah parti dominasi Melayu dengan doktrin nasionalisme Melayu, doktrin yang dimulai oleh UMNO.

Beberapa langkah ke arah itu telah dibuat. Langkah pertama ialah menerima atau ada yang mengatakan ‘mencuri’ wakil-wakil rakyat dan pemimpin UMNO. Hal itu dikritik keras oleh DAP ketika masih bersama dalam pentadbiran kerajaan PH. Langkah kedua, ketika membentuk kerajaan (Perikatan Nasional) tidak diberikan jawatan penting kepada UMNO, termasuk  keutamaan ‘kuasa’ dalam empat menteri kanan.

Hanya dua menteri kanan daripada Bersatu boleh mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya PM berhalangan.  Empat jawatan menteri kanan (MOE, MITI, MINDEF dan KKR) adalah jawapan kepada solusi untuk tidak adanya jawatan TPM. Ramai yang mengharapkan, Muhyiddin akan memberikan jawatan TPM kepada UMNO/BN. Tetapi, Muhyiddin juga ada pertimbangan lain, termasuk mengangkat Azmin Ali kerana beliaulah yang menjadi ‘ketua petualang’ dalam menghancurkan pentadbiran kerajaan PH dengan Langkah Sheraton.

Jawatan TPM hanya diwujudkan selepas Muhyiddin merasakan kedudukannya ‘sangat tergugat’. Ia sebagai tindakan ‘mengawal kerosakan’ akibat peningkatan desakan ‘undi percaya’ terhadapnya dan membendung terzahirnya kesepakatan baharu antara Zahid dan Anwar. Zahid pula sangat kecewa dengan Muhyiddin kerana tidak diberikan apa-apa jawatan dalam kabinet. Ada banyak sebab, termasuklah kedudukan Zahid yang didakwa melakukan salah guna kuasa, penggubahan wang haram dan rasuah ketika itu. Zahid perlu bertindak untuk mengimbangi kemungkinan Ismail mencabarnya dalam pemilihan parti.

Percubaan ‘menjatuhkan Muhyiddin’ sebenarnya telah dirintis beberapa kali, tetapi tidak berjaya. Ia disebabkan sebahagian wakil rakyat UMNO tidak bersetuju dengan ‘arahan Zahid’. UMNO mendapat kegegeran yang besar dan menampakkan bakal berpecah; political bashing antara dua kelompok semakin terbuka. No Anwar No DAP hanyalah scapegoat. Zahid sangat bimbang, Ismail Sabri bakal mencabar kedudukannya kerana kes-kes mahkamah yang dihadapi itu ada kemungkinan tersangkut.

Namun, setelah PRU ke-15, Zahid mendapat nafas baru apabila dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA). Ertinya, walaupun Zahid boleh didakwa semula jika terdapat bukti, Zahid sekurnag-kurangnya merasa lega tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.  Zahid boleh menyusun strategi memperkemaskan kedudukannya dalam parti dan mengembirikan beberapa orang yang tidak sehaluan dengannya.

Sebelumnya, Zahid pura-pura mengalah dan kembali kepada keputusan No Anwar No DAP. Dan, dalam masa yang sama Zahid mengembiri beberapa orang pemimpin yang bersuara dan kritis terhadap amalan politik yang dilakukannya. Ia berlarutan sehingga pemilihan calon UMNO dalam PRU ke-15. (Mengetepikan Shahidan Kassim, Ismail Mutalib dan Zahidi Zainal Abidin. Shahidan dan Ismail Mutalib bertanding atas tiket PAS mewakili PN manakala Zahidi sebagai calon Bebas. Shahidan dan Ismail menang di kerusi masing-masing manakala Zahidi tewas.)

Selepas reda seketika (No Anwar No DAP), muncul pula desakan agar diadakan PRU ke-15 lebih awal. Ismail Sabri dalam keadaan serba-salah dan tertekan terpaksa bersetuju dan memohon pembubaran Dewan Rakyat. Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Oktober 2022. PRU ke-15 diadakan pada 19 November 2022, dan keputusannya, tidak ada mana-mana parti atau gabungan yang berjaya melepasi majoriti mudah (112 kerusi).

Bagi menyelesaikan kemelut tersebut, jelas Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan, “beta tidak ada pilihan”. Pilihan yang ada ialah meminta agar semua parti politik bermuafakat membentuk ‘kerajaan perpaduan’.

Sayangnya, Muhyiddin menolak cadangan tersebut kerana berpendirian PN mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan (majoriti mudah (115) dengan akuan bersumpah (SD) sebahagian wakil rakyat UMNO/BN dan dari Sabah dan Sarawak).

Namun, hingga kini, Muhyiddin gagal menyenaraikan siapakah yang menyokong PN bagi mencukupkan jumlah sebanyak itu. PN hanya menang 79 kerusi, PAS menjadi penyumbang terbesar. Gerakan kalah total.

Akhirnya, Anwar sebagai pemimpin utama PH berjaya melakukannya dengan sokongan 148 wakil rakyat, majoriti dua pertiga (jumlah kerusi Dewan Rakyat 222). Akhirnya, Anwar mengangkat sumpah sebagai PMX pada 24 November 2022, yakni selepas lima hari PRU ke-15. Ia mengakhiri penantian yang cukup lama, termasuk momokan ‘PM tepi’ dan beberapa pelecehan yang pernah dikeluarkan oleh Muhyiddin dan Dr Mahathir.

Sejak itu, PN memulakan pelbagai serangan propaganda, termasuk mempertikaikan istilah ‘kerajaan perpaduan’ dan Hadi menjelaskan kerajaan perpaduan yang terbentuk adalah berbeza dengan konsep ‘unity government’ yang pernah dicadangkan selepas PRU ke-12 (2008).

Tapi, Hadi sebenarnya terlupa bahawa UG yang dicanangkan itu hanyalah dalam kitaran Malay Belt, bukan mengambil kira semua parti yang ada kerusi di Dewan Rakyat, tiada pembangkang. Ketika itu, Hadi sudah merasakan ‘panas buntut’ bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, yang disifatkan sebagai ‘abang besar’.

Sebab itu selepas Pakatan Rakyat terbubar, Hadi menolak ‘pinangan Dr Mahathir’ menyertai PH. Alasannya, tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP. Juga, mungkin kerana PH disertai oleh Amanah. Amanah adalah parti serpihan PAS dan berhasrat menggantikan PAS, sebagai Bersatu kepingin mengambil alih UMNO.

Kita sedar, reaksi ‘unity government’ dengan BN hampir menjadikan PAS terbelah. Reaksi menentang sangat ketara dan bagi Nik Aziz, ia tidak boleh diterima. Oleh kerana itu, Nik Aziz memberikan amaran keras, dirinya yang ‘membaja dan menyiram’ parti selepas dikeronyokkan oleh BN (1977) bakal mengambil langkah ‘buang buah busuk’, membersihkan PAS dari dalam. .

Kata dua Nik Aziz itu membuatkan Haji Hadi terduduk (juga terceduk). Situasi itu memberikan kita makna, bahawa Nik Aziz (Mursyidul Am) lebih berkuasa daripada Presiden PAS. Nik Aziz juga akan mengkaji semula mana-mana ahli PAS dari luar Kelantan bertanding di Kelantan. Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden) penasaran.

Ketika itu, Nasharudin adalah wakil rakyat Bachok dan pada PRU ke-13, namanya digugurkan. Pada pemilihan pucuk pimpinan PAS (2011), Nasharudin gagal mempertahankan jawatan dan tewas kepada Mohamad @ Mat Sabu.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »