Apakah dengan pembatalan 16 perkara dalam EJSK itu bererti lapan hakim yang membuat keputusan telah ‘menolak syariah’? Adakah dengan memansuhkan 16 perkara daripada 68 perkara yang ada dalam EJSK itu bermakna ‘Islam dalam bahaya.?’ Apakah benar Mahkamah Syariah akan sepi dan tidak ada kes boleh dibicarakan lagi?
Dakwaan sedemikian cukup simplistik (dangkal atau sangat dipermudahkan) dan semberono. EJSK secara keseluruhannya mempunyai 68 perkara atau kesalahan. Bererti, setelah ditolak 16 masih berbaki 52 perkara. Terbatal ialah sekitar 23 peratus, masih berbaki 76.5 peratus.
Bukankah 76.5 peratus itu adalah lebih besar daripada 23 peratus? Atau, senarai perkara yang tinggal itu adalah kes-kes yang bukan lazim atau tidak banyak berlaku? Jika mendengar ‘gerak-gempur’ yang berlaku (dan akan terus berlaku), sangat jelas bahawa ghairah reaksi itu telah membentuk ‘impulse society’ (pada asalnya, ia berlaku akibat kempen perniagaan ke arah konsumerisme); tindakan yang cukup menyebalkan di atas keterujaan yang diimajinasikan.
Apa pun yang kita perlu, menjalani hidup, berfikir dan bertindak sangat tertakluk kepada dorongan. Dorongan semakin besar dan bercapah. Namun hampir kesemua dorongan itu muncul dengan sengaja atau tanpa sengaja, dibentuk dan terbentuk oleh persekitaran yang kita jalani. Faktor yang lebih berpengaruh ketika ini ialah kemunculan gelanggang maya yang mematikan jarak.
Gelanggang maya pada asasnya ditegakkan atas dasar siapa yang mampu mengawal maklumat, maka orang atau organisasi berkenaan akan menguasai manusia. Ini kerana maklumat adalah komoditi yang dalam mempengaruhi atau membuat keputusan. Keputusan akan ditunjukkan menerusi tindakan.
Paul Robert menyimpulkan situasi ini menjadikan ‘We end up being controlled by our impulse”. Dorongan tidak semuanya membahagiakan, malah lebih banyak mengumpul dampak negatif. Saya terjemahkan ‘impulse society’ sebagai ‘masyarakat semberono’ berdasarkan kesan dan sifatnya yang lebih banyak berbau negatif.
Saya terkesan dengan gelagat baharu yang muncul, budaya membeli dalam talian. Sekian lama saya mencari buku-buku yang sudah lama diterbitkan. Terpandang beberapa buah daripadanya dalam senarai jualan di internet. Cukup membahagiakan, tetapi serelah buku itu sampai, euforia itu memunculkan ‘rasa marah’ dan ‘kecewa’.
Buku itu bukan hadir dalam bentuk asli (cetakan sah), tetapi dalam bentuk reproduksi atau reprinted secara ‘haram’. Setelah meneliti kandungannya, rupa-rupanya buku itu direproduksi daripada buku yang diambil atau dipinjam daripada perpustakaan sebuah universiti. Beberapa halaman bergaris atau ditandai oleh orang pernah membacanya. Saya kecewa kerana keterangan buku dalam iklan yang dipaparkan tidak dijelaskan ia naskhah reproduksi.
Disebabkan terpengaruh oleh dorongan iklan (misalnya: penawar ajaib, penggunaan figura, atau pempengaruh), menjadikan saya cukup kritikal. Kadangkala, saya mempersoalkan mesej kempen yang saya terima, atau saya sengaja untuk memahami apa kaitannya gadis genit (bahkan bertudung kemas, tapi seksi) dengan ubat lelaki. Sayangnya, pertanyaan-pertanyaan itu tidak dijawab dengan baik, dijawab dengan marah-marah dan rasa kesal.
Beberapa hari lalu, saya menguji lagi. Tapi bukan kepada promoter ‘ubat lelaki’ tetapi produk yang dikatakan dapat merawat masalah kucing. Katanya, harga asal sebotol 10 ml ialah RM 200, ditawarkan dengan harga RM 110. Pakej empat botol berharga RM 240, yakni sekitar RM 60 sebotol. Saya terdiam dan membungkam beberapa ketika.
Promoter itu kemudian menghantar mesej, ada satu tempahan telah dibuat oleh seseorang, tempahan itu dibatalkan maka saya ditawarkan dengan harga murah, sepatutnya dua botol RM 150, ditawarkan pada harga RM 120. Fikiran saya menerawang jauh sehingga muncul rumusan (bawah sedar, atau dalam istilah psikologi, subconcoius mind) macam lawak salah satu filem klasik: Tang sinilah cikgu kita mati ya Ramli? (Pendekar Bujang Lapok, 1959). Saya mengujinya, dengan membalas mesej ‘macam-macam ada!!! Bila tak laku banyaklah alasan, boleh pula diturunkan harga”.
Ego promoter itu benar-benar dikawal oleh id. Sesekali dirujuk saya sebagai cik dan sesekali puan. Saya tersentak, kerana panggilan itu adalah untuk seorang perempuan. Lantas dijawabnya, takkanlah nak panggil kakak. Beberapa lagi mesej saya terima, namun pujukan itu tidak menjadi.
Saya galak memerhatikan aksi komunikasi (communicative action) yang berlangsung, walaupun hanya dengan perkataan (tidak menggunakan whatsApp call). Jika dengan kaedah itu, saya akan dapat gambaran sebenar raut wajah dan ekspresi si promoter yang sudah ‘parah tersinggung’.
Sebenarnya saya sengaja berbuat demikian atas dorongan untuk mengetahui sejauhmanakah seseorang promoter memahami asas komunikasi pembujukan (persuasive communication). Komunikasi dirumuskan sebagai salah satu keajaiban yang dicipta manusia, kerana kata-kata boleh menyebabkan seseorang berubah, jika kata-kata itu berkesan dan memberikan dorongan.
Sebaliknya, komunikasi juga membawa kepada konflik, krisis dan pertentangan akibat salah perkataan (istilah) dan mood yang muncul dalam interaksi tersebut. Jadi, komunikasi lewat what’sApp itu melebar kepada konflik dan ketegangan. Itulah yang saya maksudkan aksi komunikasi yang cukup menarik setelah dikonsepsikan oleh Jurgen Habermas (1929) dalam The Theory of Communicative Action (1981),
Dalam kehidupan seharian, berapa banyakkah kita terpengaruh dan dipengaruhi oleh iklan produk, yang sebahagiannya bukan keperluan?. Ini kerana imaginasi kita berkembang dan berfikir sangat mudah, menempah secara dalam talian, walhal ada ketikanya apa yang kita imajinasikan itu tidak sama dengan produk yang sampai (ditempah). Begitu juga, kadangkala kita melupakan prinsip asas ekonomi, membuat perbandingan harga sebelum membeli.
Oleh kerana itu, ada yang terpaksa membayar harga yang lebih mahal atas ‘keselesaan membeli’ walhal sesetengah produk itu pernah gagal dalam pasaran. Dengan kemunculan pemasaran dalam talian, produk itu dibungkus atau dijenamakan semula. Ini tidak bermakna tidak ada produk lebih murah harganya dalam talian, tetapi jangan tertipu dan terpesona dengan tawaran harga bila beli lebih daripada seunit.
Mereka eksploitasi bulk purchase, kita tidak perlu sebanyak itu. Secara tidak langsung, ia menggalakkan budaya pembaziran seperti kegilaan sesetengah orang bila gedung pakaian menawarkan harga runtuh, walhal produk itu sudah luput tarik (out of date).
Sebelumnya, kita mengawal sesuatu dorongan dan menguruskannya kerana kita hidup dalam persekitaran yang berjiwa moral, budaya, agama, ketetanggaan, norma dan lain-lainnya. Tetapi, dengan hadirnya komunikasi tanpa batas, semua trait tersebut dilentur perlahan-lahan sehinggalah minda berjaya dikuasai oleh dorongan, tanpa bertanyakan apakah kesan moral atau kesedaran sivik.
“Impulse society”, menurut Paul Roberts, “In everything from eating and socializing to marriage dan parenting politics, the norms and expectations of our self-centered culture are making it steadily harder to behave in civic, social ways. We struggle to make, or keep, long term commitments. We find it harder to engage with, or even tolerate, people or ideas that don’t relate directly and immediately to us. Empathy weakens, and with it, our faith in the idea, essential to working democracy, that we have anything in common. (hal.3)
“The rising river of money in turn only accentuates and locks in the pattern of impulse politics. As races become costliner, the marketplace of contibutors is less and less willing to bet on challenges and more likely to support incumbents, which helps reinforce the existing partisan structure. (hal,209). (Paul Roberts, The Impulse Society; What Wrong With Getting What We Want?, London: Bloomsbury Publishing Plc., 2014)
Sebenarnya, serangan berlaku kerana merasakan ghairah politik sendiri lebih betul dan benar, yang tentunya dapat kita fahami itulah salah satu budaya jumud yang sangat dikesali oleh banyak pihak. Bahkan, jika kita membaca percikan ilmuan para ulama terdahulu, seperti Imam al-Ghazali, kita akan menemui banyak masfadahnya kepada orang Islam sendiri. Misalnya, dalam kitab kecilnya, Faysyal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zandaqah:
“…walaupun kamu dalam kalangan orang-orang yang yakin dalam akidah tetapi dalam kalangan orang-orang yang salah dalam mentakwil, atau dalam kalangan orang-orang yang syak dalam mentakwil, atau kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang mencampur-adukkan amalan buruk dan amalan baik, jangan kamu berharap untuk terselamat secara mutlak.
“Ketahuilah, [dalam keadaan itu] sesungguhnya kamu sama ada akan diazab buat sementara kemudian dilepaskan, atau diberikan syafaat oleh orang-orang yang kata-katanya kamu yakini, atau oleh seseorang yang lain. Maka, berusahalah bersungguh-sungguh dan berdoalah agar Allah SWT menjadikan kamu dalam kalangan orang-orang yang mendapat syafaat. Kerana keadaan kamu ketika itu genting.” (terjemahan oleh Farhan Ahmad dan Anwar Yusof dengan tajuk Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2018, hal.91-92).
Dalam ghairah, berhati-hatilah kerana politik cukup sinonim dengan siapa?, berkata apa?, dan mendapat apa? Politikus, dalam sistem demokrasi, boleh sahaja memutarkan apa sahaja, dan kerana itulah semua perkara dipolitikkan. Hakim tidak ada kuasa menggubal undang-undang, dan kerana itu, tidak ada sebab segelintir orang menyalahkan hakim di atas keputusan tersebut, termasuk dakwaan, ESJK ‘dikuburkan’ oleh orang Kelantan sendiri. Hakim berpandukan peruntukan, bukan berpandukan emosi seperti sebahagian gelagat politikus.
Apakah EJSK telah dikafankan oleh orang Kelantan sendiri? Itu hanya secara kebetulan. Ketua Hakim Negara yang mengetuai pembicaraan tersebut berasal dari Kelantan dan Nik Elin Zurina yang membawa petisyen berkenaan adalah orang Kelantan, ayahnya (Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid) adalah bekas wakil rakyat (UMNO), dan pernah berperanan sebagai ‘arbitrator’, penimbang tara dalam beberapa kes konflik politik. (https://www.facebook.com/share/r/hMngid2AdEKhjpWp/?mibextid=roAVj8)
Nik Elin sendiri mengakui, cabaran yang dilakukannya bukan untuk ‘membunuh syariah’ atau meruntuhkan undang-undang Islam. Tidak ada dalam petisyennya menyebut mencabar Islam, hanya mencabar 18 perkara yang dilihat tidak sepatutnya dimasukkan dalam EJSK kerana bertindih (redundant) dengan undang-undang yang lain.
Nik Elin berkelulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 2001 dan Sarjana Undang-Undang Perbandingan (Comparative Law) 2003. Beliau mempunyai Sijil Amalan Undang-undang (CLP) daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia. Ertinya, ada kelulusan, ada kelayakan dan professional.
Saya hanya belajar Sastera Bandingan (Comparative Literature) dan Politik Bandingan (Comparative Politic). Itu pun pada akhir 1970 dan awal 1980-an. Sebab itulah pengetahuan saya tidak sebernas pandangan-pandangan mahasiswa sekarang, sebabnya saya gemar kepada semakan sejarah.
Ada beberapa orang mengatakan saya termasuk dalam kategori ‘manusia purba’ yang berada dalam cengkerang maya (virtual shell). Jangan tersalah andaian, saya bukan keturunan manusia purba (suku kaum Maya) yang membentuk kebudayaan Pra-Colombia Mesoamerica. Saya masih Melayu, masih yakin dan berpegang dengan ajaran Islam.
Sebab itu saya kuat membantah bila ada yang menuduh ‘kafir’ kerana berbicara mengenai politik dan budaya politik kepartian. Susu sebelanga rusak kerana nila, belanga tetap kekal. Apa yang kita buang ialah susu yang rusak, bukan belanga yang menjadi wadah mengisi susu sehingga dipanggil susu sebelanga. Itu maksudnya, apabila siri rencana ini mengupas perihal ‘susu sebelanga yang bercampur nila’ sehingga rusak, bukan bermakna provokasi membuang belanga.
Kata Almarhum Nik Aziz Nik Mat (10 Januari 1931- 12 Februari 2015): buang buah busuk. Ertinya, bila buah busuk dibuang, maka buah-buah yang lain ‘comel belaka’. Kecuali, setiap kali berbuah, semuanya busuk, eloklah pokok itu ditebang. Jika dibiarkan merbahaya kepada penanam dan juga orang yang ada di sekitarnya selain terhidu busuknya. Begitu juga bila dikesan bersifat demagogi, demagogi itu wajar dikecam malah dimatikan agar semarak buruk.
Demagogi itulah yang telah menyumbang kepada persepsi buruk dan dari persepsi buruk akan menyingkirkan kebaikan-kebaikan yang pernah ada dan sedang dinikmati. Sesuatu yang berfaedah (maslahah) tenggelam dan hal-hal yang buruk (masfadah) menguasai minda dan jiwa. Demagogi, yang tersebar dalam bentuk fitnah (fitnah al-kubra) telah membunuh Uthman bin Affan, dan membawa sengketa antara Muawiyyah dan Ali bin Abu Talib, sehingga terbunuhnya sepupu dan menantu Rasulullah SAW. Kemudian merebak kepada pembunuhan Hasan di Karbala dan penyingkiran Hussein sebagai penerus kepimpinan umat Islam.
Akibat konflik tersebut, membangkitkan rasa marah sekumpulan pemeluk Islam sehingga muncul satu keputusan membunuh tiga tokoh yang dilihat menjadi punca konflik – Ali bin Abu Talib, Muawiyah bin Abu Sufyan dan Amru al-Ash. Demagogi turut menyebabkan penyatuan umat Islam tidak dapat dibentuk, sentiasa tercetus adu domba, bunuh membunuh dan perang saudara.
Jelas Almarhum Buya Syakur (Prof Dr KH Abdul Syakur Yasin, 2 Februari 1948-17 Januari 2024), ulama karismatik dari Indramayu, Indonesia: Ketika hatimu luas, engkau melihat dunia ini luas. Ketika hatimu sempit, maka engkau melihat dunia ini sempit. Jadi ertinya, sempitnya dunia ini kerana sempitnya fikiranmu: tidak bersekolah, tidak berpengalaman, tidak pernah bergaul, lama-lama seperti katak di dalam tempurung. Hidupmu gelap gelita.
“Jadi orang yang dapat pencerahan keilmuan, dapat motivasi, bimbingan dan sebagainya. Itu di al-Qur’annya, yukhrijuhum minazzulumati ilan-nur (al-Baqarah, ayat 257), menuntut mereka [berubah] dari gelap gelita kepada terang benderang. Jadi seperti kita hidup ini, tanpa ilmu, tanpa akidah, tanpa kebaikan, tanpa pergaulan dan…gelap gelita dunia ini.” (http://www.facebook.com/share/r/HrVhT5ocw2tFBvUN/?mibextid=OVwS7). Sempitnya fikiran juga disebabkan oleh pendirian jumud, tidak menerima masukan-masukan daripada luar kelompok, yang akhir-akhir ini dikenali sebagai fanatik.
Jadi, kita hendaklah tidak menyempitkan fikiran, galilah ilmu sebanyak mungkin, perkemaskan akidah dan lakukanlah sebanyak-banyaknya kebaikan serta luaskan pergaulan. Bergaul dengan sesiapa sahaja, hatta mereka yang berbeza fahaman politik kerana setiap orang ada kelebihan dan kekuatannya.
Dengan ilmu, kita dapat membezakan baik dan buruk, yang makruf dan yang mungkar. Kita tidak akan hina oleh kecaman dan pelecehan; tidak akan tinggi melangit dengan pujian. Tulis A Samad Said, sasterawan negara dan dilantun dengan baik oleh Kopratasa dalam Tetamu Senja:
Kita datang ini
kosong tangan, kosong dada
bila pulang nanti
bawa dosa bawa pahala.
Sebab itulah Tuhan menjadikan bumi ini laluan (jalan atau ladang untuk bercucuk tanam); tempat kita berpijak dan sesekali mendongak ke langit. Langit yang tinggi menjadi arah kita ketika berdoa dan sesekali merenung sesuatu, menerawang ke alam yang luas untuk mencari ketenangan.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments