Kalau melabelkan tulisan ini ‘rasionalis’, saya terima. Kalau melabelkan pandangan ini sebagai ‘liberal’, ‘kafir’, ‘anti-Syariah’, saya tidak boleh terima. Saya tidak dapat menerimanya kerana apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 adalah mengenai bidang kuasa. Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 daripada 18 perkara (asalnya 20) yang ada dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019 yang dicabar oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya.

Keputusan tersebut cukup jelas, tidak ada kaitan dengan Mahkamah Syariah, undang-undang syariah, mengkhianati Islam dan mencabar atau mempertikaikan undang-undang Allah SWT. Kesemua cabaran tersebut dan asas pertimbangan dalam membuat keputusan petisyen tidak akan ‘menyeret Islam kepada keadaan bahaya’.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan berdasarkan keputusan majoriti, lapan daripada sembilan orang hakim bersetuju dengan perisyan tersebut.

Ramai orang beranggapan,  Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (I) 2019 (EJSK) adalah benar-benar undang-undang Islam, sebagaimana digambarkan. Dalam imaginasi awam, undang-undang Islam adalah undang-undang Allah. Cukup mengelirukan kerana undang-undang Allah tidak pernah dikanunkan, bahkan yang bercakap EJSK sebagai undang-undang Allah juga melanggar apa yang Allah SWT larang.

Contohnya, Allah melarang setiap orang Islam berbohong, memfitnah dan menyebarkan fitnah. Dalam kes ini, fitnah dan pembohongan cukup berleluasa. Ia bukan sahaja dicetus dan disebarkan orang biasa dan kurang pengetahuan agama, bahkan yang bergelar ustaz, asatizah, tok guru, ulama pun ikut melakukan perkara yang sama.

Atas sifat dan tujuan memfitnah, ada yang termakan dengan dakwaan tersebut sehingga tidak segan silu menyatakan bahawa kerajaan yang ada sekarang semakin liberal dan menuju Islam liberal. Sampai begitu tuduhan yang berlegar dalam media sosial, sebahagian besarnya adalah tiktok. Apakah yang terbabit dalam permainan persepsi sedemikian memahami dengan jelas apa yang diperkatakan itu? Fahamkah mereka apa itu undang-undang Islam atau disilihgantikan dengan undang-undang syariah? Adakah syariah itu maksudnya adalah khusus berkaitan undang-undang?

Secara khususnya, ada tiga bentuk undang-undang Islam: hukum hudud, hukum qisas dan hukum takzir. Hukum hudud ialah hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana diterangkan dalam al-Qur’an dan Sunnah. Hukum ini tidak digubal dan ditetapkan oleh manusia, terutama bentuk hukumannya. Manusia hanya melaksanakannya.

Kesalahan-kesalahan yang ditentukan itu adalah ‘jenayah kepada Allah’. Jenayah kepada Allah hadir dalam perlakuan yang disenarai sebagai dosa besar, iaitu zina, bermukah (seks bebas), homoseks, qazaf (menuduh orang melakukan persetubuhan haram tapi gagal menghadirkan empat orang saksi Muslim), murtad, meminum minuman yang memabukkan (khamar), bughat (derhaka), merompak dan mencuri.

Syirik merupakan dosa yang paling besar. Bila seseorang itu melakukan perkara-perkara syirik, ia tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Misalnya, di dalam Surah an-Nisa, ayat 48, Allah SWT berfirman, bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

Maksud syirik, menurut Ibnu Sa’di ialah penyembahan kepada makhluk seperti disembah Allah atau pemujaan seperti dipuja Allah, pengagungan seperti diagungkan Allah atau diberi kepadanya beberapa ketentuan yang hanya wujud pada Allah jua. (dipetik dari Ahmad Shukri Yusoff, “Dosa Syirik Tiada Ampun”, Berita Harian, 23 Jun 2017)

Memetik pandangan Imam al-Sanusi, petik Dr Zulkifly Mohamad al-Bakri syirik terbahagi kepada enam, iaitu:

(1) syirik istiqlal – menetap adanya dua Tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu);

(2) syirik tab’id – menyatukan Tuhan daripada beberapa oknum seperti Trinity dalam agama Kristian –Rahul Kudus, Tuhan Bapa dan Tuhan Anak;

(3) syirik taqrib – beribadah kepada sesuatu selain Allah SWT dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain;

(4) syirik taqlid – beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23;

(5) syirik asbab – menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa kenyang kerana makan dan bukan kerana Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis; dan

(6) syirik aghrad – beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riyak.

Jelas Dr Zulkifly lagi, “Bagi syirik istiqlal, tab’id, taqrib dan taqlid, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi syirik aghrad, ia dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Bagi syirik asbab, jika ia disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, dikira kufur secara ijmak. Jika ia meyakini bahawa memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah. (https://mstar.com.my).

Hukum qisas adalah hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT, sebagai hukuman balas terhadap kesalahan-kesalahan yang digariskan seperti yang terdapat dalam al-Qur’an dan hadis. Misalnya, membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa); melukakan dibalas dengan melukakan; dan, mencederakan dibalas dengan mencederakan. Namun hukuman balasan itu tidak dilaksanakan pada masa sekarang, tiada legitimasi di peringkat negara.

Bererti, jika seseorang itu mencuri, tidak akan dibalas dengan mencuri. Begitu juga rogol, mangsa rogol tidak boleh merogol balik perogol sebagai balasannya. Kesalahan-kesalahan sedemikian dihukum berdasarkan hukum takzir. Hukum takzir yang ada dalam EJSK dikatakan bersumberkan al-Qur’an, Sunnah dan ijmak ulama.

Hukum takzir adalah dera (hukuman) yang boleh dijatuhkan ke atas penjenayah-penjenayah yang disabitkan kesalahannya oleh mahkamah. Pesalah itu tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan-kesalahan yang dilakukan tidak termasuk dalam kes yang boleh dikenakan ke atas pesalah hukum hudud atau qisas. Juga, pelaksanaan hukum hudud dan qisas jarang berlaku dan tidak banyak negara yang mengkanunkannya.

Arab Saudi dan Iran dikatakan dua buah negara yang paling ketat undang-undang Islam menurut tafsiran syariah. Aceh juga berusaha untuk melaksanakan syariah dalam beberapa kanun yang digubal, namun ia masih tidak menyeluruh. Tujuannya ialah untuk menjadikan rakyat Aceh kearah hidup yang lebih baik dan menjadi lebih beradab, (Wike Anggrani dan Nella Safira, Penegakan Syariat Islam di Kota Banda Aceh – Kinerja Wilayah Hisbah, Jurnal Tatapamong, September 2019.)

Brunei Darusalam mula melaksanakan Arahan Kanun Keseksaan Syariah 2013 pada 3 April 2013 setelah peraturan itu dikritik hebat berkenaan pengecualian hukuman terhadap Sultan Brunei (dan kerabat) dan pegawai-pegawai yang melaksanakan tugas bagi pihak baginda. Ia selari dengan Perlembagaan Brunei Darussalam, di mana Perkara 84B memberikan ‘kekebalan penuh’ kepada Sultan (termasuk undang-undang syariah). Perbincangan mengenai ‘kekebalan’ atau ‘pengecualian’ dapat dibaca dalam ulasan Haeme Hashim, “Kekebalan dan Hudud di Brunei”, Sinar Harian, 9 April 2019.

Jadi, pertikaian yang muncul dalam pemikiran masyarakat ialah dengan pembatalan enam belas perkara dalam EJSK sebagai membatalkan hukum hudud atau qisas. Ini kerana apa yang diperkatakan ialah hukum takzir adalah sama dengan hudud dan qisas, dan kerana itu ia telah mencabar syariah atau undang-undang Islam.

Sebenarnya, undang-undang adalah sebahagian daripada syariah, bukan bermaksud syariah hanyalah undang-undang. Oleh kerana undang-undang Islam bertujuan untuk mengangkat syariah dan membudayakan syariah dalam kehidupan umat Islam, maka ia disilihgantikan sehingga membawa maksud yang sama.

Gambaran itu sudah sekalian lama muncul dalam pemikiran umat Islam kebanyakan, kerana bukan semua umat Islam ‘celik pengetahuan syariah’ dan mampu berfikir secara kritis. “Celik pengetahuan syariah’ ialah memahami secara tepat dan memadai mengenai syariah.

Awalnya, saya juga berpendirian demikian ketika heboh diperkatakan bahawa Kelantan akan melaksanakan hukum hudud menerusi Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (II) yang diluluskan pada tahun 1993. Enakmen itu ditulis Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (II) (Hukum Hudud) 1993. Maklumlah ketika itu minat saya untuk memahami syariah dan pengetahuan hukum Islam sangat minimum. Apatah lagi saya tidak memahami bahasa Arab.

Lama kelamaan kecenderungan sebegitu berubah. Saya cuba membaca huraian undang-undang Islam daripada buku-buku yang tidak berleter sebagai seorang peguam dan bahasanya hanya peguam sahaja yang boleh faham. Lama kelamaan, kecenderungan tersebut semakin meluas dan memadai sebagai orang awam.

Saya mengakui, pengetahuan undang-undang Islam saya masih cetek. Hal ini berlaku kerana sebahagian besar umat Islam di Malaysia (termasuk saya) tidak mengkaji Islam dengan sempurna, hanya sekadar membaca, menghafal al-Qur’an (juga beberapa kitab tafsir dan terjemahan) dan melaksanakan asas-asas  Rukun Islam (besyahadah, sembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat,  mengerjakan haji dan umrah) dianggap sudah memadai sebagai seorang Muslim yang baik.

Maknanya, unsur-unsur pendidikan Islam lebih menumpukan fardhu ‘ain dan hanya sedikit sahaja persoalan fardhu kifayah diberikan penekanan dan percerahan, termasuklah persoalan-persoalan mengenai hukum syarak, yang termasuk dalam sebahagian besar dalam istilah syariah.

Akibat kurang penekanan dan kupasan mengenai syariah secara keseluruhannya, maka itulah yang berlaku ketika ini, bila 16 perkara dalam EJSK diisytiharkan ‘tidak sah’ secara automatiknya dikatakan keputusan tersebut menolak syariah dan bakal meletakkan Islam dalam bahaya. Ini memberikan gambaran jika hukum takzir tidak boleh dilaksanakan, maka ‘Islam’ tidak ada. Islam bukan hanya dilihat daripada hukum semata-mata. Islam perlu dilihat secara menyeluruh.

Hukuman itu adalah itu satu kaedah pengajaran dan pendidikan, panduan dan tegahan agar setiap penganutnya tidak melakukan kesalahan-kesalahan yang melanggar akidah. Islam adalah agama yang sangat menekankan persoalan akidah dan pembangunan karakter penganutnya, bukan agama yang bersifat terlalu menghukum kecuali dalam perkara-perkara yang dikategorikan melawan akidah atau dosa-dosa besar seperti syirik, membunuh, mencuri, merompak dan meminum minuman keras.

Dosa-dosa besar (kabair) itu diistilahkan sebagai larangan Allah SWT dan Rasulullah SAW yang dinyatakan dalam al-Qur’an dan Sunnah, serta atsar dari para ulama salaf. Oleh kerana itu, bukan semua ulama dikategorikan ulama salaf.

Salaf bermaksud golongan umat generasi terdahulu yang hidup pada kurun pertama hingga ketiga atau kelima hijrah. Generasi yang hidup selepas period tersebut dikenali dengan panggilan generasi khalaf, termasuklah umat Islam sekarang. Salaf bukan sahaja hidup dalam zaman-zaman tersebut, ia mencakupi keseragaman manhaj (pendekatan) dalam agama.

Apa yang diketahui, manhaj dalam agama tidak berlaku sepenuhnya, masih muncul perbezaan-perbezaan membabitkan sesuatu perkara, tetapi perbezaan-perbezaan tersebut tidak membawa kepada perpecahan. Perpecahan mula berlaku setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW akibat umat Islam mula dilanda oleh kemahuan politik (yakni siapa yang paling layak memimpin).

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHAa

Translate »