Peristiwa Mikraj Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al- Muntaha pada 27 Rejab dalam waktu yang amat cepat merupakan peristiwa keajaiban dan kekaguman yang mengundang reaksi hebat dari kalangan kafir Quraisy ketika itu. Menurut satu riwayat, dari Masjidil Aqsa, Nabi SAW mikraj menghadap Allah SWT ke Sidratul Muntaha. Ini semua terjadi di bawah bimbingan Allah SWT dan taufik-Nya.
Malah sekarang pun golongan empirisisme dan rasionalis masih mempersoalkan bagaimana mungkin lingkungan cekerawala yang menjadi laluan Muhammad tidak mengakibatkan gesekan- gesekan panas yang membakar tubuhnya?
Bagaimana mungkin ia dapat melepaskan diri dari daya graviti bumi? Mereka melihat segala kejadian dan peristiwa berdasarkan realiti empirik (berdasarkan pemerhatian dan penyelidikan) dan yang rasional saja. Oleh kerana itu, tidak menghairankan kalau banyak riwayat yang memberitakan terjadinya kemurtadan di kalangan sebahagian Muslimin ketika mereka diberitahu Rasulullah SAWmengenai peristiwa Israk dan Mikraj. Mohon dijauhi umat Islam sekarang dari tidak menpecayai nya.
Apa itu Sidratul Muntaha? Sidrah adalah pohon sidrah. Dalam Bahasa Inggeris adalah Luth Tree manakala Muntaha artinya penghabisan. Pohon sidrah adalah pohon lambang kebijaksanaan dan kearifan. Maka kalau Nabi kita sampai ke Sidratul Muntaha artinya ia telah mencapai tingkat kearifan yang tertinggi yang tidak ada lagi kearifan setelah itu sepanjang kemampuan manusia. Jadi misterius penglihatan Nabi tidak bisa berkutik dan hatinya tidak bisa menyimpang malah terpukau oleh keindahan pohon itu. Inilah yang katakan Sidratul Muntaha.
Allah Taala berfirman secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW ketika di Sirdatul Muntaha. Nabi Muhammad berbincang dengan Allah dalam perjalanan Mikraj diatas langit ketujuh iaitu di Sidratul Muntaha. Sidratul Muntaha ia itu suatu lapisan tempat terhentinya semua makhluk serta tempat yang tidak dapat dibayangkan oleh rasul, malaikat, manusia mahupun jin. Disana Malaikat Jibrail berkata kepada Rasululllah SAW, “Lanjutkan wahai rasul. Jika engkau maju engkau dapat menembusnya. Jika aku yang maju terbakarlah aku”
Dalam hal ini setiap malaikat pada dasarnya memiliki maqam atau derajat mereka tersendiri. Apabila mereka menyalahi makam mereka terbakarlah ia. Malaikat Jibrail sebagai pemimpin para malaikat terhenti dibatas yang telah Allah gariskan baginya sehingga ia tidak dapat meneruskan langkahnya. Namun Rasulullah SAW sanggup meneruskan perjalanannya kerana ia diizinkan Allah menembusi batas yang telah ditetapkan.
Hasilnya ialah Nabi Muhammmad SAW memperolehi perintah kewajipan mengerjakan solat 50 waktu yang kemudian diringankan oleh Allah SWT menjadi 5 waktu. Sebenarnya peristiwa Israk Mikraj ini memiliki pengertian yang amat penting bagi pembinaan keperibadian manusia, kerana dalam peristiwa tersebut, Nabi SAW menerima perintah solat lima waktu dalam sehari semalam.
Solat ini yang merupakan inti daripada peristiwa besar tersebut. Ini kerana solat, merupakan tiang agama dan dasar daripada pembangunan keperibadian manusia. Dalam pengertian yang lebih luas, solat adalah zikir dan senantiasa mengingati Allah dalam segala aktiviti dan tindak-tanduk manusia. Inti daripada peristiwa inilah yang hingga sekarang menjadi tradisi wajib yang sentiasa disempurnakan oleh setiap Muslim.
Kenyataan ini tentunya dapat dijadikan dalil akan keutamaan, keagungan derajat, makam serta keluhuran kedudukan Rasulullah SAW Jika Nabi Musa Allah berfirman secara langsung dibalik penghalang namun kepada Rasulullah SAW tanpa penghalang. Jika Nabi Musa Allah berfirman secara langsung dibumi namun kepada Nabi SAW diatas langit ketujuh. Dikatakan juga bahawa Nabi SAW mendapat kemuliaan berbincang secara langsung dengan Allah melebihi yang dialami Nabi Musa AS.
Semua ini menunjukkan kemuliaan Nabi Muhammad atas semua makhluk dan kedudukan yang tinggi dihadapan Tuhan Yang Maha Mulia. Maka Sidratul Muntaha adalah lambang kebijaksanaan yang tertinggi dan terakhir yang dicapai oleh seorang manusia pilihan Allah Azzawajalla. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah sampai di Sidratul Muntaha, maka ia telah sampai satu tahap kebijaksanaan yang tertinggi yang dikurniakan Allah SWT kepadanya. Sehingga amat wajarlah Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat mulia, sabar, kasih saying terhadap manusia, alam dan haiwan.
Penyebutannya dalam al-Quran dapat dikatakan amat sedikit tentang mikraj ke Sidratul Muntaha. Kerana itu wajarlah jika timbul pelbagai pendapat dan pentafsiran. Yang perlu kita ketahui adalah cara al-Quran dalam mengemukakan suatu peristiwa sejarah kehidupan Rasulullah SAW tidak sama dengan cara yang ditempuh oleh para penulis kitab-kitab Sirah, atau buku-buku sejarah yang lainnya. Ia merupakan salah satu ciri-ciri khas al-Quran.
Penjelasan al-Quran mengenai peristiwa-peristiwa yang terjadi, baik yang ringkas mahupun yang panjang, memang berbeza sekali dari penjelasan yang lazim diberikan oleh penulis buku. Al-Quran tidak mengutamakan besar atau kecilnya skala kejadian, tetapi lebih mengutamakan kandungan hikmahnya yang dikehendaki Allah SWT.
Penyajian yang ringkas ini mungkin bermaksud menguji keimanan, mana yang mantap dan mana yang goyah di kalangan para pengikut Rasulullah SAW, yakni kaum Muslimin. Ia ditunjukkan oleh kenyataan bahawa beberapa orang yang pada masa itu telah memeluk Islam terus menjadi murtad setelah mendengar berita tentang Israk dan Mikraj. Itulah yang menjadi dasar pentafsiran yang menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan ujian bagi kaum Muslimin.
Sejauh mana hikmah yang dikehendaki Allah SWT dalam peristiwa besar itu, kita tidak dapat menjangkaunya, akan tetapi dengan disebut peristiwa itu di dalam al-Quran telah memberi dorongan kepada kita untuk berfikir dan merenungkan kekuasaan Allah SWT Yang Maha Mutlak.
Sebenarnya adalah tidak wajar diberi tempat untuk perdebatan yang berlarutan yang timbul di zaman dahulu dan sekarang mengenai hakikat peristiwa Israk dan Mikraj yang nyata berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW
Jarak di antara Israk Mikraj dengan roh, jasad, atau jarak di antara melihat dalam masa tidur atau melihat dalam masa jaga adalah jarak yang tidak jauh. Ia tidak sedikit pun menjejaskan hakikat peristiwa ini sebagai satu peristiwa yang telah mendedah dan membuka kepada Rasulullah SAW tempat-tempat dan alam yang amat jauh dalam sekilas masa yang pendek sahaja. Orang yang memahami sesuatu daripada hakikat kudrat Ilahi dan hakikat nubuwah, tidak sedikit pun memandang ganjil kepada peristiwa itu.
Segala kerja yang kelihatan berbeza-beza dari segi mudah dan payah pada pandangan manusia mengikut ukuran kudrat dan pemikiran mereka atau mengikut apa yang dibiasakan dan difikirkan mereka adalah sama sahaja di hadapan kudrat Ilahi. Sesuatu kebiasaan yang dilihat di alam manusia itu tidak boleh dijadikan hukum dalam penilaian segala perkara dibandingkan dengan kudrat Allah.
Hakikat nubuwah pula ialah perhubungan dengan al-Mala’ul-A’la, iaitu perhubungan yang bukan menjadi ukuran atau kebiasaan kepada insan-insan yang lain (daripada para Rasul). Kebolehan menjelma di tempat atau di alam yang jauh atau kebolehan sampai di tempat yang jauh dengan wasilah yang diketahui umum dengan wasilah yang tidak diketahui umum bukanlah sesuatu perkara yang lebih pelik daripada perhubungan dengan alam al-Mala’ul-A’la dan menerima wahyu darinya.
Rasulullah tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru.
Walau apa pun peristiwa ini juga memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang optimum untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.
Catatan: Ummu Khadeejah Abdullah
Recent Comments