Asabiah secara harfiah bererti “fanatisme kesukuan atau golongan.” Fanatisme ini melahirkan sikap pembelaan mati-matian segala hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri, terutama bersangkutan dengan nilai, tradisi, harta benda dan kekuasaan. Apabila merasakan adanya ancaman dari suku lain, maka anggota suatu suku itu tidak akan segan-segan memerangi dan membinasakan suku atau golongan lain. Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab sering kali mengalami peperangan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh asabiah atau rasa fanatisme kesukuan yang sangat kuat (asabiah jahiliah). Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan akan tampil sebagai di antara suku-suku lain yang ditaklukkannya. Nabi SAW melarang asabiah dalam erti sempit ini, namun menganjurkan asabiah yang islami (asabiah islamiah), iaitu semangat nasional yang berjiwa Islam.
Asabiah merupakan istilah kunci teori Ibnu Khaldun pemikir Islam dari Tunisia. Dalam bab ketiga bukunya, Muqaddimah, ia membahas masalah asabiah dalam kaitannya dengan perkembangan masyarakat dan Negara. Menurut Ibnu Khaldun, tujuan asabiah ialah kekuasaan Negara demi kebaikan rakyat. Kerana itu, asabiah tidak cukup hanya dilandasi kekuasaan fizikal, yang mungkin saja cenderung kepada kejahatan, tetapi juga harus dilandasi moral iaitu agama dan akhlak. Dari sudut pandang ini, nampak bahawa Ibnu Khaldun memandang positif sikap asabiah.
Istilah “asabiah” dalam Islam memiliki konotasi yang tidak baik, kerana mengandungi unsur ekstremisme atau sikap patriotic yang berlebihan terhadap kelompok suku atau golongannya, yang merupakan salah satu ciri kehidupan jahiliah (asabiah jahiliah). Rasulullah SAW sendiri pernah merasa prihatin atas adanya bibit-bibit permusuhan antara suku di kalangan orang Arab. Nabi SAW mempertentangkan sikap fanatisme kesukuan (asabiah jahiliah) ini dengan persatuan secara menyeluruh (jemaah; asabiah islamiah). Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (202 H/817 M-261 H/875 M), Rasulullah SAWmenegaskan bahawa barangsiapa meninggalkan jemaah, lalu mati membela asabiah, maka ia mati secara jahiliah.
Asabiah kesukuan atau golongan diperlukan untuk mendorong seseorang sampai ke puncak kekuasaan. Oleh kerana itu, menurut Ibnu Khaldun, asabiah sangat penting pada awal berdirinya sebuah negara. Tetapi manakala kekuasaan Negara yang diperjuangkan itu telah tercapai, maka asabiyah kesukuan harus segera diganti dengan kebangsaan/nasionalisme
Dalam Islam semua manusia, suku dan bangsa memiliki darjat yang sama di hadapan Allah SWT; yang membezakan mereka adalah kadar taqwanya kepada Allah SWT (Surah Az-Zukruf 13).
Catatan: Ibnu Fattah
Recent Comments