Soalan ini berdasarkan pada wujudnya perbezaan pandangan para fuqaha tentang ”konsepsi asas mengenai hubungan antara muslim dengan bukan muslim dalam perspektif Islam”. Yakni adakah hubungan itu berdasarkan damai? Ataukah atas dasar perang? Adakah kedua hubungan ini iaitu berdasarkan damai dan perang ini bersifat sementara?

Ulama yang berpegang pada pandangan pertama berpendapat bahawa memerangi orang kafir hanya bersifat mempertahankan diri kerana mereka memerangi atau mengganggu umat Islam. Ini dikategorikan jihad al-daf’ (jihad defensif).

Sementara itu golongan ulama kedua, yakni mereka yang memandang hubungan antara muslim dengan bukan muslim atas dasar perang, berpendapat bahwa memerangi orang kafir itu disebabkan kekufurannya. Mereka berpandangan pada konsep jihad al-thalab (jihad offensif).

Kaum orientalis banyak yang percaya Islam disebarkan dengan pedang. Yang menghairankan, ramai pula umat Islam yang menganggap kita Islam harus agresif dan offensif dalam menyebarkan Islam. Mengapa malah setuju dengan pandangan orientalis?

Menurut hemat saya, pendapat pertamalah yang dipandang kuat, iaitu peperangan yang dilakukan Rasul itu atas dasar jihad yang defensif alias mempertahankan diri atau kerana ada alasan tertentu, bukan semata-mata hendak memaksa dan menaklukkan dunia agar masuk Islam. Ini bahan pertimbangan saya memilih jihad defensif.

a) Adanya konsensus (ijma’) bahawa dalam peperangan tidak dibenarkan membunuh wanita, paderi (pemuka agama bukan Islam) dan terutama anak-anak yang belum dewasa. Andaikata memerangi orang kafir itu disebabkan kekufurannya maka sepatutnyalah bahawa orang pertama-tama yang dibunuh adalah paderi. Ternyata, ajaran Islam malah melarang melakukannya.

b) Ayat-ayat Al-Qur’an tentang peperangan tidak bersifat mutlaq, melainkan muqayyad, yakni dibatasi dan dikaitkan dengan sesuatu sebab, iaitu membela diri atau pembelaan terhadap penganiayaan. Sehingga andaikata orang kafir meminta damai, Al-Qur’an memerintahkan agar kaum muslimin menerima perdamaian tersebut.

c) Al-Qur’an menyerukan kaum muslimin agar mengadakan hubungan baik dengan orang-orang kafir yang tidak memerangi dan mengusir kita, sebagaimana diketahui dari Al Quran (QS 60: 8-9 dan QS 4:90).

Kesimpulannya, konsep asas tentang hubungan antara muslim dengan bukan muslim, pada hemat saya, didasarkan atas prinsip damai, bukan prinsip berperang untuk memaksa mereka masuk islam kerana hal ini dilarang dengan nyata oleh Al Quran (QS 10:99).

Oleh: Nadirsyah Hosen

Translate »