Setiap peradaban melahirkan karya besar. Peradaban Islam telah melahirkan banyak ilmuan yang berkaliber dunia sejak abad ke-9 hingga abad ke-20. Mereka meneliti dan berusaha menjelaskan alam semesta, mulai dari galaksi yang sangat jauh hingga hal-hal yang terdekat dengan kehidupan mereka.

Pada abad ke-6 hingga abad ke-14, peradaban Islam menghasilkan banyak karya ilmiah di bidang sains dan teknologi. Untuk menggambarkan kegemilangan itu, seorang sejarawan sains terkemuka, George Sarton, menulis dalam jilid pertama bukunya yang terkenal di bidang ini Introduction to the history of Science.

“Cukuplah kita menyebut nama-nama besar yang tidak dapat ditandingi pada masa itu oleh seorang pun di barat: Jabir bin Hayyan, al-kindi, al-khawarizmi, al-fargani, ar-Razi, Sabit bin Qurra, al-Battani, al-Farabi, Ibrahim bin Sinan, al-Mas‘udi, at-Tabari, Abu al-Wafa, Ali bin Abbas, Abul Qasim, Ibnu al-Jazzar, al- Biruni, Ibnu Sina, Ibnu Yunus, al-kashi, Ibnu Haitam, Ali bin Isa al-Gazali, Umar Khayyam. Jika seseorang mengatakan pada anda bahawa pada abad pertengahan sama sekali beku dari kegiatan ilmiah, kutiplah nama- nama ilmuwan di atas. Mereka semua hidup dan berkarya dalam waktu yang amat singkat, dari 750M hingga 1100M.”

Perdaban Islam sepatutnya dihargai atas sumbangannya terhadap perkembangan ilmu pengetahuan yang ketika ini menjadi monopoli barat dan Amerika. Ramai sejarawan ilmu pengetahuan berpendapat bahawa fenomena ilmu pengetahuan sekarang ini merupakan hasil mutlak dari akal barat dan berusaha menafikan sumbangan bangsa lain. Maknanya revolusi ilmu pengetahuan berlaku di Eropah dan tidak di dunia Islam.

Walhal peradaban lain seperti Yunani, Cina, India dan Islam memberi sumbangan yang sangat cemerlang dan terbilang. Begitu pentingnya sumbangan Islam dan kita yakin bahawa jika orang Islam tidak melakukan apa yang telah mereka kerjakan dalam pelbagai lapangan sains, nescaya revolusi ilmu pengetahuan di Eropah Barat tidak akan wujud seperti sekarang.

Dari segi realiti tradisi sains di Eropah berhutang banyak kepada dunia Islam. Di saat dunia muslim telah berhasil memunculkan saintis besar dan mengembangankan tradisi keilmuan dan intelektual, orang Eropah begitu ketiggalan jauh ke belakang.

Sebenarnya apa yang menghalang dan merintangi perkembangan sains di dunia muslim kerana akibat serangan hebat bangsa Mongolia telah menghancukan seluruh spirituail dan fizikal umat Islam. Tidak hanya pusat-pusat ilmu pengetahuan dirosakkan malah para ilmuwan dibunuh. Demikian juga kesan yang sama dirasakan oleh dunia lslam akibat perang salib yang memakan masa yang begitu lama.

Sesungguhnya pengembangan sains dalam sejarah Islam seiring dengan perintah al-Quran untuk mengamati alam semesta dan merefleksikannya serta menggunakan akal. Inilah dua dasar metodologi sains.

Kata ‘ilm adalah kata yang paling banyak dijumpai dalam al-Quran setelah nama Allah. Al-Quran sendiri merupakan sumber pertama ilmu, seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nisa ayat 82.

Perintah penggunaan akal sebagai dasar kerasionalan ilmu dengan perintah mengamati alam seiring, misalnya dalam surah ar-Rum ayat 22 firman Allah yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan kebijakasanaannya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang-orang berpengetahuan.

Demikian juga dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 2, al-Imran ayat 190-191, Yunus ayat 5, dan al-An‘am ayat 97. Perintah al-Quran itu diperkukuhkan oleh hadis nabi s.a.w. yang mewajibkan umat Islam menuntut ilmu. Di antaranya sabda nabi yang bermaksud: Menuntut ilmu itu wajib bagi kaum muslimin lelaki dan perempuan (riwayat Bukhari). Tuntutlah ilmu semenjak dari ayunan sampai ke liang lahad (riwayat Bukhari).

Kedudukan ilmuwan dalam Islam dipandang tinggi, seperti dinyatakan Rasulullah dalam hadis: Manusia yang mulia adalah seorang mukmin yang berilmu (riwayat Bukhari). Ini sesuai dengan pernyataan Allah s.w.t. dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah tinggikan beberapa darjat kedudukan orang beriman dan berilmu. Bahkan Rasulullah mengatakan bahawa manusia yang paling dekat darjatnya dengan darjat para nabi adalah orang-orang yang berilmu dan berjuang, (riwayat Bukhari).

Perintah menuntut ilmu dalam al-Quran inilah yang mendorong umat Islam pada abad-abad pertama hijriah untuk menterjemahkan pelbagai buku dari bahasa Yunani, Persia, India, dan Cina ke dalam bahasa Arab. Kemudian para ahli falsafah muslim mengklasifikasi ilmu-ilmu itu secara sistematik. Ini menjadi dasar bagi para ilmuwan muslim untuk mengembangkan sains, terutama ilmu pengetahuan alam dan ilmu alatnya, iaitu matematik dan logika.

Al-Quran menggesa manusia untuk terus berupaya meningkatkan kemampuan ilmiahnya… Jangankan manusia biasa, rasul Allah Nabi Muhammad pun diperintah supaya berusaha dan berdoa agar selalu ditambah ilmu pengetahuannya. Semangat keilmuan yang kita inginkan bukan setakat meningkatkan perhatian kepada kepesatan teknologi yang semakin hari semakin maju. Tetapi semangat keilmuan mendominasikan pemikiran ilmiah dan roh keilmuan di sekitar persoalan hidup serta mengeluarkan keputusan atau ketetapan strategi yang bersifat teknik dalam bidang ekonomi, politik dengan kemantapan ilmu yang jauh dari emosi dan ketaksuban.

Begitu luas dan tingginya ajaran lslam itu sedangkan pemahaman umat Islam kini masih lagi tertutup sehingga ada yang menganggap mempelajari sains pun adalah haram dengan alasan bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sedangkan sains menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain. Bagi mereka, hanya bahasa Arab yang diperakui kesucian dan ketulenan di sisi Allah.

Disiplin ilmu yang sentiasa berkaitan dengan astronomi adalah bidang matematik. Sudah menjadi fakta bahawa kebanyakan pakar astronomi di dunia muslim adalah pakar di bidang matematik. Di sini kemudiannya lahir tokoh matematik muslim yang terkenal seperti Muhammad Bin Musa Al-Khawarizmi, Ahmad an-Nasawi, Abu Kamil Suja al-Hasib al-Misri, Abu al-Wafa, Abu Jaffar al-Kazin al-Khurasani, Abu Abdullah al-Battani, Abu Nasr Mansur Bin Ali, Abu Rayhan Ahmad al- Biruni, Umar khayyan, Ibnu Haitam. Sumbangan mereka dalam matematik sebagai ilmu pasti sungguh tidak dapat ditandingi selama beberapa abad pertengahan. Segala hasil karya mereka telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan menjadi rujukan para ilmuwan Eropah. Mereka semua ini bukan sekadar tokoh ilmuwan dalam satu bidang sahaja malah mereka juga merupakan ilmuwan dalam bidang falsafah sastera, astronomi dan juga ahli fizik. Ibnu Sina dan Al-Ghazali adalah seorang ahli falsafah besar tetapi dikenali juga seorang ahli fizik tersohor. Karya mereka dibidang kedoktoran tidak kalah penting dengan karyanya di bidang falsafah. Al-Biruni sebagai contoh, bukan sahaja menguasai bidang astronomi tetapi turut mahir dalam bidang-bidang lain seperti fizik, matematik, geologi dan juga bahasa.

Demikian juga dalam bidang ilmu kimia, lahir nama besar seperti Jabir Bin Hayyan atau yang dikenal di Eropah dengan nama Geber. Dalam bidang ilmu tumbuh-tumbuhan, ad-Dinawari di mana karyanya telah diterjemahkan menjadi Encyclopedia Botanica sebanyak enam jilid. Tokoh-tokoh lain dalam bidang botani seperti Al-Biruni, Rasyidin bin as-Suri dan buku-buku sistematik tumbuh-tumbuhan yang berada di Sepanyol dan Afrika Utara adalah hasil karya Abu Jaffar al-Qurtubi.

Dalam bidang kedoktoran, nama-nama saperti Ar-Razi dan Ibnu Sina sudah tidak asing lagi di kalangan muslim dan orang-orang barat. Sehingga sekarang hasil-hasil karya mereka digunakan sebagai satu rujukan di universiti-universiti ternama di Eropah. Dua karya utama Ibnu Sina, Shifa dan Qanun menjadikannya master tanpa tanding dalam bidang kedoktoran.

Demikian seterusnya dalam bidang ilmu pertanian, ilmu bumi, astronomi, teknologi mekanik perkapalan, ketenteraan, teknologi kimia dan industri pertanian semuanya dimulai oleh orang Islam. Renungi apa yang dikatakan oleh Sheikh Syaqib Arsalan yang menulis dalam bukunya, “Mengapa umat Islam mundur atau ketinggalan di belakang sedangkan non-muslim lebih maju,” kerana umat Islam lebih mengutamakan majlis zikir daripada majlis ilmu.

Oleh: Ummu Khadeejah Abdullah

Translate »