OIC meskipun kehadirannya baru sekitar satu perempat abad, ia bertindak memusatkan perhatian Dunia Islam terhadap masalah-masalah politik, sosial, ekonomi dan yang terkini ialah isu perang Israel-Palestine.
Meskipun deklarasi yang dikeluarkan dalam persidangan tertinggi pertama pada tahun 1969, setelah berlaku peristiwa kekacauan Masjid al-Aqsa di Jerusalem, mahupun Piagam OIC memiliki nada moral yang tinggi, organisasi ini cenderung ke arah politik.
Pada diskusi-diskusi awal ketika menyusun piagam, terdapat perdebatan besar tentang tujuan OIC. Satu golongan berpendapat bahawa organisasi ini harus seluruhnya bersifat politik, bertujuan menangani masalah Baitulmaqdis dan Palestin.
Manakala pendapat lain tumpuan perlu diutamakan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang ekonomi, budaya, sosial, pendidikan dan teknologi.
Dari segi sejarah pembentukan OIC sekurang-kurangnya dilatarbelakangi oleh tiga faktor. Pertama, menguatnya gagasan pan-Islamisme yang dipelopori oleh Jamaluddin Al-Afghani (1893 – 1897), Muhammad Abduh (1849 – 1905), dan Muhammad Rasyid Ridha (1865 – 1935) sebagai reaksi dominasi politik dan ekonomi Barat.
Kedua; sebagai reaksi terhadap munculnya fahaman sekularisme serta bermulanya kemenangan Mustafa Kamal Ataturk (1881 – 1938). Ketiga; sebagai reaksi daripada konflik Arab-Israel.
Malah prinsip keanggotaan OIC haruslah dipertahankan khususnya dalam perkara menghormati kedaulatan, kemerdekaan, dan integriti wilayah. Serta tidak mengancam atau menggunakan kekerasan terhadap integriti wilayah persatuan nasional atau kemerdekaan politik negara anggota. Di samping matlamat untuk menyelesaikan setiap konflik yang muncul dengan menggunakan cara damai.
OIC seharusnya tidak lagi dilihat hanya mewakili kepentingan negara-negara Arab yang kaya (yang lebih pro-Barat). Selama ini OIC sering terlihat bersikap pasif terhadap persoalan-persoalan yang dihadapi negara-negara Islam seperti Bosnia, Kashmir, Palestin dan Iraq.
Suara OIC tidak diberi pertimbangan sewajar disebabkan umat Islam tidak bersatu atau gagal bercakap dengan satu suara.
Negara-negara Islam harus segera menghentikan pertelagahan dengan merapatkan hubungan dan kerjasama dalam menangani isu menghalang perang terhadap Iraq sewajar diambil perhatian oleh negara-negara Arab yang sering bertelagah.
Terutama negara-negara Liga Arab yang seringkali tidak mampu mengatasi perpecahan di kalangan anggotanya. Walhal kalau diimbas kepada pembentukan Liga Arab ia dilatarbelakangi oleh keinginan para pemimpin Arab untuk membebaskan dunia Arab daripada dominasi asing.
Selain daripada OIC, umat Islam juga mengharapkan peranan yang lebih aktif dan berkesan daripada beberapa organisasi Islam yang lain dalam menangani persoalan umat Islam.
Pertubuhan seperti Rabitah Al-Alam al-Islami, Majlis Kerjasama Arab (ACC), Persatuan Arab Magribi, Dewan Kerjasama Laut Kaspia, selain daripada bergantung kepada OIC, Liga Arab atau Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Justeru, selagi mentaliti Arab tidak berubah, tidak mahu bersatu, ia akan meletakkan Israel menjadi pemimpin dunia Arab. Dan dunia Arab seolah-olah pelaksana agenda politik Israel dan AS (Barat).
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments