Al-Ghazali menolak kaedah pembodohan sedemikian, walaupun menganjurkan setiap Muslim agar memikirkan akhirat lebih daripada memikirkan dunia. Dunia tetap penting, kerana dunia adalah ‘ladang’ untuk bercucuk tanam, manakala hasilnya akan ‘dituai’ di Akhirat. Ia menggambarkan kesinambungan dalam proses kehambaan anak manusia. Walaupun jasad telah tercerai, rohnya ‘tidak mati’; mati hanyalah secara fizikal, pada alam kasat mata.
Setiap apa yang kita lakukan sepanjang hidup, ada kesannya pada tahap spiritual, juga memberikan kesan kepada orang lain. Kesan itu ada yang baik dan ada yang buruk. Kesan baik itu mendapat pahala (dividen) dan kesan yang buruk itu mendapat dosa (rugi); mereka yang beruntung dimasukkan ke syurga, manakala mereka yang rugi dimasukkan ke neraka. Di syurga, suasananya cukup tenang dan membahagiakan. Di neraka, penuh siksaan dan sangat menyiksakan.
Kita jangan salah faham dengan apa yang dikatakan hidup yang kekal itu adalah selepas kita berada di Alam Barzakh, iaitu setelah sekalian lama berada di alam kubur, dan diadili di Padang Masyar, yang berakhir dengan penentuan dimasukkan ke syurga atau neraka.
Kita akan dimasukkan ke syurga adalah atas pilihan (ketentuan atau rahmat) Allah SWT, bukan ketentuan oleh manusia atau seseorang yang bergelar pemimpin. Kita tidak boleh menentukan diri kita sendiri berada di sana, tetapi kita boleh berada di dalamnya sekiranya kita melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya, tanpa menjauhkan diri daripada berbuat baik kepada semua makhluk.
Itulah yang al-Ghazali sebut, dunia adalah ladang untuk akhirat, yang wajib kita faham dan berusaha menanam benih yang terbaik sepanjang hidup kita di dunia, agar pokok yang tumbuh itu memberikan faedah kepada diri, orang lain dan juga makhluk, tidak mengkhianati alam dan mengotorkan udara sekeliling.
Sebab itulah kita sepatutnya menolak sesiapa sahaja yang menyatakan syurga itu hanya milik mereka, atau kelompok tertentu sahaja, kerana mereka sebenarnya pun pernah diberikan jaminan akan masuk syurga.
Pemilik kunci syurga ialah Allah SWT, bukan orang atau parti politik tertentu. Bahkan, orang bercakap mengenai syurga dan neraka, atau yang mengatakan ‘masuk neraka’ itupun belum tentu ditempatkan ke syurga, kecuali orang-orang yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
Pemimpin itu sendiri pun belum dijamin syurga, kecuali mereka yang telah dijamin oleh Rasulullah SAW, kerana setiap pemimpin akan dipersoalkan apa yang dilakukan ketika dia diberikan peluang memimpin, yakni berkuasa.
Walaupun pemimpin itu bergelar ulama (orang yang berilmu), ia belum tentu mendapat tempat di syurga: ilmu dan amal itu perlu bergandingan untuk memperbanyakkan yang makruf dan menolak yang mungkar.
Konsep amar makruf dan nahi mungkar perlu difahamai secara meluas, mendalam, membumi agar ia dapat membudaya dalam pemikiran dan tindakan setiap Muslim, sama ada orang biasa, ulama ataupun mereka yang berkuasa.
Kepada ulama (orang yang berilmu), Ibnu Taimiyah berpesan: Setiap ucapan yang mereka sampaikan itu tertuju kepada masyarakat luas, baik mereka itu sebagai penguasa ataupun rakyat biasa.
“…perihal ‘amar’ (suatu ajakan) yang merupakan amanat sekaligus keyakinan dan tanggungjawab, maka apabila ulama (para pewaris nabi) menyampaikan suatu nasihat secara ikhlas penuh kejujuran, dan penguasa mahu menerimanya dengan lapang dada tanpa kepalsuan dan rasa rendah diri, pasti semua rakyat akan menjadi baik.
“Sebab itu ulil amri itu terdiri dari ulama (kaum cendekiawan dan rohaniwan) dan umara (pengendali pemerintahan). Apabila para ulama itu secara jujur dan ikhlas menyampaikan nasihat-nasihat (diminta atau tidak diminta) dan penguasa itu konsekuen, mengamalkan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, pasti kedisiplinan dan nasib umat akan tertegak dengan baik, sehingga hak-hak mereka (hak jiwa dan harta serta kemerdekaan) dijunjung tinggi dan dihormati.
“Pastilah apabila ada banyak dalil yang menunjukkan betapa seringnya terjadi ‘kekejaman’ ulama (yang tidak patuh kepada Allah dan Rasul) dan penguasa durjana. Sebaliknya banyak pula dalil yang menunjukkan bagaimana peranan ulama dan penguasa di dalam tugas dan tanggungjawab mereka membaiki nasib umat.
“Justeru yang menarik pada saat ini adalah keadaan umat yang kebanyakannya tertindas, terisolasi dan terhina. Ulama sudah tidak peduli lagi dengan tugas dan tanggungjawabnya.
“Para penguasa pula bertindak sewenang-wenang, menindas, zalim, tanpa mempedulikan masa depan perjalanan sejarah umat manusia, bahkan di antara mereka ada yang terang-terangan menjalin kerjasama dengan musuh.
“Semua ini merupakan fakta sejarah yang dihadapi oleh umat Islam, sejak dahulu, kini dan mungkin juga esok atau lusa. Siang dan petang mereka selalu merasakan pahit getirnya perilaku si durjana itu, dan hal ini terjadi di seluruh sudut penjuru dunia.
“Keadaan semacam itu dilukiskan oleh seorang penyair sebagaimana ‘kemampuan engkau lihat Islam di suatu negeri. Maka akan kau dapati ia laksana burung tanpa sayap’. Segelintir orang lain justeru mengatakan kelak akan hilang dan pudar semua masalah serta penderitaan umat ini.
“Lebih berbahaya lagi kata-kata itu dilontarkan kaum munafik berbentuk propaganda-propaganda murahan di dalam bursa politik. Sikap seperti ini jelas memberi pengaruh buruk pada jiwa para pemuda sebagai generasi penerus umat. Dapat menghilangkan kepercayaan terhadap diri sendiri.
“Timbulnya sikap masa bodoh dan aksi sekelompok generasi muda, merupakan tindakan yang membahayakan umat dan rakyat. Bahaya kemalasan pemuda dalam menentukan masa depan dan permasalahan umat tidak mereka hiraukan lagi.” (Ibnu Taimiyah, Etika Beramar Ma’ruf Nahi Mungkar, terjemahan Abu Fahmi, Jakarta: Gema Insani Press, cetakan ke-7, 2001, hal. 7-9).
Jadi, di situlah saya cuba memberikan ulasan kerelevanan pandangan Dr Mahathir sebagai PM ke-4 selama 22 tahun berdasarkan ucapannya yang sudah berusia 32 tahun itu (yang saya petik di bahagian permulaan tulisan ini).
Kenyataan Dr Mahathir itu cukup menarik, kerana pada awal sejarah kemerdekaan ramai yang berkorban – harta dan nyawa – untuk mencapai kemerdekaan, bertoleransi dan mengurangkan sengketa sesame sendiri bagi mencapai tujuan memerintah sendiri, tidak lagi berada di bawah pentadbiran British.
Pada masa awal dilantik sebagai PM ke-4, Dr Mahathir pernah mengingatkan sejarah perpecahan beberapa buah parti yang besar, yang mempunyai kuasa akhirnya musnah kerana berlakunya perebutan dalam parti, kerana nilai-nilai kebendaan semakin menguasai para pemimpin.
Begitulah juga yang berlaku kepada UMNO, dari perjuangan nasionalisme Melayu yang ditunjangi oleh para guru akhirnya semakin hilang pengaruh akibat terpalit dengan politik wang.
Sejak diterajui oleh Dr Mahathir perspektif kepimpinan UMNO mula tergelincir daripada perjuangan ‘ketuanan Melayu’, yang juga disebabkan usaha beliau membawa masuk lebih ramai tokoh korporat dalam parti. Ini dapat dilihat daripada pertandingan merebut jawatan pada tahun 1987, di mana politik wang menjadi acuan meraih undi para perwakilan sehingga membentuk kelompok broker undi.
Akibatnya, UMNO alami perpecahan besar dan seterusnya semakin kehilangan aset-asetnya, dan menjadi semakin susut dengan penegasan dasar penswastaan (privatisation) dan persyarikatan Malaysia (Malaysia Incorprated), dalam usahanya untuk menjadi negara maju dalam acuan Wawasan 2020, yang penuh dengan projek mega.
Dalam pertarungan politik sekarang, saya lebih melihat seruan kempen yang dilakukan seumpama promosi ‘ubat kuat’ yang membanjiri platform media sosial, dengan dikatakan mampu bersenggama hingga ke pagi, pasangan akan merasa puas dan sentiasa ‘kehausan’.
Itu adalah misleading dalam pembangunan mesej iklan, yang kadangkala dihiasi dengan aksi lucah dan perakuan palsu oleh seorang perempuan, genit, gebu dan gedik, walaupun ada ketikanya ‘meraung senak’ dan tanpa malu menyatakan hubungan senggama itu penuh kepuasan.
Cuba kita analisis apa yang menjadi ‘asas pembinaan mesej’ yang kini lebih dikenali sebagai contents creator, pembina kandungan. Ia menjadi sesuatu yang menarik sehingga influencer (pempengaruh) mampu memperoleh pendapatan lumayan, kerana rekomendasinya dibayar oleh pengeluar produk untuk diulas ‘kehebatan’nya.
Tidak kita temui ada influencer yang bercakap jujur dengan produk yang diulasnya, kerana semuanya berkesudahan dengan imaginasi dan kepalsuan. Ia mungkin meniru apa yang pernah dibuat oleh Oprah Winfrey dalam talkshownya, dengan memilih beberapa tajuk buku untuk diulas.
Kesannya, buku yang ditonjolkan itu mendapat jualan yang tinggi, walhal apabila kita membacanya, tidak ada istimewanya sebahagian buku-buku tersebut, masih mengulangi hal-hal yang sama, yang pernah dibincangkan oleh pengarang-pengarang lain, yang berbeza ialah cara buku itu ditulis dan olahan pengarangnya.
Realiti dunia maya sangat sementara, dan kadangkala melangkaui kebenaran (post-truth). Ini juga berlaku dalam kempen-kempen politik, pendedahan yang dilakukan, terlalu memuji dan juga memperlekehkan seseorang.
Pada setengah orang, inilah yang dinamakan ghurur, atau tipu daya, yang sangat cenderung memusnahkan. Syed Muhamad Naquib al-Attas misalnya pernah menulis begini (dalam bentuk syair):
Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat lucut dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.
Barus dan Singkel, Pasai dan Ranir,
Silam ditelan masa nan mungkir,
Lupa jawapan dihafal mahir,
Bagi menyangkal Mungkar dan Nakir.
(SMN Al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, Kuala Lumpur: ISTAC, 2001, hal.viii, dipetik dari Md Asham Ahmad, Kecelaan Tipu Daya, hal. 16)
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments