Pengenalan

Antara istilah baru yang kerap diperkatakan pada hari ini ialah ‘irhab’ (keganasan). Istilah ini telah diperkatakan dalam bidang politik dengan seluas- luasnya dan telah diberi liputan meluas oleh pihak media massa. Segolongan manusia telah dikenakan pelbagai tuduhan berkaitan irhab manakala segolongan yang lain pula dibebaskan daripada tuduhan berkenaan. Pelbagai ketetapan telah dibuat samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa berkaitan dengan mereka yang dikaitkan dengan perkara ini. Tidak kurang juga pelbagai hukuman dan dakwaan di buat, walaupun di sana tidak terdapat konsep atau pengertian juga undang- undang yang jelas tentang irhab.

Tuduhan serta tohmahan yang dilemparkan berkaitan dengan istilah irhab ini sebahagian besarnya dilemparkan kepada masyarakat Islam. Ini dilakukan atas dorongan- dorongan tertentu. Dengan sebab itu adalah menjadu kewajipan ulama Islam untuk membuat kajian mengenai perkara ini dan seterusnya menonjolkan pendirian al—Quran dan hadis bagi menerangkan kepada dunia mengenai konsep atau pengertian irhab dalam Islam. Penjelasan itu perlu bersandarkan kepada teks perundangan yang betul serta membuat perbandingan dengan konsep ataupun pengertian yang diberikan oleh pihak Barat. Pihak Barat telah menyebarkan istilah ini dan telah mengaitkannya dengan sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Mereka seterusnya mengadakan kempen untuk memerangi dan mengadakan pelbagai tekanan dan memburu mereka yang dikaitkannya dengan istilah tersebut. Hal ini diketuai oleh Amerika yang begitu sombong dan takbur untuk menguasai politik dunia.

Pengertian Irhab dalam Bahasa Arab

Perkataan rahiba, yarhabu, rahbatan, ruhban dan rahaban bermakna menakutkannya. Dikatakan juga arhabahu ‘ anhu al- nasa ba’suhu wa majdatuhu bermakna : orang ramai telah merasai gerun dengan kehebatannya dan keagungannya.

Manakala, irhab adalah kata terbitan yang memberi maksud menakutkan dan mengerunkan. Manakala perkataan rahib dan marhub adalah sesuatu yang ditakuti dan digeruni seperti singa dan lain- lain seumpamanya. Perkataan rahbaniyyah kata terbitan bagi rahbah. Perkataan berkenaan digunakan untuk perbuatan mengerjakan ibadat oleh para rahib di tempat- tempat ibadat seperti mengikat diri atau dengan cara yang berlebihan daripada apa yang dituntut.

Apabila puak rahib melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah atau raja, mereka berasa tidak tahan dengan perbuatan tersebut sehingga mendorong mereka mendirikan rumah- rumah ibadat dan mengikat diri mereka dengan beribadat sepenuhnya.

Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Dan kami jadikan dalam hati- hati mereka mengikutnya perasaan timbang rasa dan kasih sayang. Dan mereka mengada- adakan rahbaniyyah, pada hal Kami tidak mewajibkan ke atas mereka, melainkan untuk mendapatkan keredaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan erti kata yang sebenarnya.” (Surah al- Hadid 57:27)

Di dalam hadis maksudnya: “Tiada rahbaniyyah dalam Islam.”

Perkara- perkara yang dikatakan rahbaniyyah itu antaranya ialah pembuangan buah zakar, membelenggu diri dengan rantai dan lain- lain seumpamanya yang membawa kepada pelbagai jenis penyeksaan. Rasulullah s.a.w. telah menolak perkara ini daripada Islam dan seterusnya melarang orang- orang Islam daripada melakukannya. Rasulullah s.a.w. telah memberikan galakan kepada umat Islam supaya berjihad, dengan sabdanya bermaksud: “Kamu semua hendaklah berjihad, kerana jihadlah merupakan rahbaniyyah bagi umatku.”

Pendirian al- Quran mengenai Irhab

Terdapat perkataan irhab di beberapa bahagian dalam al- Quran dengan menggunakan pelbagai ungkapan, yang keseluruhan maknanya tidak lari daripada pengertian bahasa. Ia ditentukan kepada yang takut dan yang menakutkan. Kadangkala antara makhluk dengan makhluk dan kadangkala antara makhluk dengan pencipta. Maka terdapatlah dalam al- Quran perkataan al- rahbaniyyah, al- rahbah, istirhab dan al- rahb dan lain- lain lagi, seperti yang terdapat dalam surah al- Anbiya’ ayat 90 dan surah al- Qasas ayat 32.

Dalam al- Quran perkataan khauf (takut) yang maknanya sinonim dengan perkataan al- rahb (gerun). Ia menggunakan berbagai- bagai ungkapan dengan pelbagai kaitan.

Perkataan irhab disebutkan dalam dua surah, iaitu surah al- Anfal dan surah al- Hasyr. Kedua- duanya mempunyai kaitan langsung perbincangan kita dan ia memberikan makna yang tepat bagi perkataan irhab seperti dikehendaki oleh al- Quran al- Karim. Dalam surah al- Anfal, ayat 60, firman Allah S.W.T bermaksud: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka, kekuatan yang kamu mampu dan daripada kuda- kuda yang ditambat untuk berperang, yang mana dengan persiapan itu kamu menggerunkan musuh Allah, musuh kamu dan orang- orang lain selain daripada mereka, yang kamu tidak ketahyinya, sedangkan Allah mengetahuinya. Dan apa saja yang kamu belanjalkan pada jalan Allah nescaya akan dibalaskan dengan secukupnya dan kamu tidak akan dizaliminya.” (Surah al- Anfal 8:60)

Didalam surah al- Hasyr ayat ke 13 Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Kamu semua lebih digeruni dalam dada mereka berbanding dengan kegerunan mereka terhadap Allah. Ini adalah kerana mereka itu merupakan kaum yang jahil.” (Surah al- Hasyr 59:13)

Daripada kedua- dua ayat di atas kita dapat memahami bahawa al- Quran telah menggunakan perkataan irhab melalui fe’el mudari’ ruba’l dan fe’el madhinya yang mana kedua- duanya menunjukkan kepada ketakutan dan menakutkan.

Adapun ayat daripada surah al- Anfal, ayat al- Qurtubi berpendapat: “Maksud daripada menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu ialah menggerunkan musuh kamu yang terdiri daripada orang Yahudi dan orang Nasrani, dan juga para kafir Quraisy dan kafir- kafir arab yang lain. Manakala yang lain itu adalah terdiri daripada kalangan kafir Parsi dan Rom.”

Walaupun ayat itu menceritakan mengenai para Muslimin yang menghadapi tentangan daripada para kuffar Arab Quraisy, Musyrikin dan Yahudi atau lain- lainnya, ayat itu juga mencakupi situasi- situasi lain serupa bagi para muslimin.

Maka ayat ‘wa a khiri man du na hum la tag’ lamu nahumullah yag’ lamuhum’ adalah pemberitahuan yang jelas mengenai umat Islam yang bakal menghadapi permusuhan daripada golongan itu dan golongan lain yang hanya diketahui Allah. Allah Maha Mengetahui mengenai segala- galanya. Sedangkan mereka yang turunkan kepadanya ayat ini tidak mengetahui mengenai bakal musuh mereka ketika ayat ini diturunkan.

Dengan demikian wajiblah diadakan persediaan dengan menonjolkan kekuatan untuk menggerunkan musuh- musuh yang disebutkan dalam ayat itu yang meliputi saetiap generasi Islam yang menghadapi kezaliman serta permusuhan. Itu adalah jihad di jalan Allah semenjak dahulu hinggalah ke hari kiamat. Sebarang kecuaian menghadapi musuh Allah adalah dianggap sebagai lari dari medan jihad dan digolongkan dalam golongan dosa besar. Adapun mengenai ayat 13 surah al- Hasyr, Imam Qurtubi menjelaskan: “Mereka itu iaitu musuh- musuh kamu berasa gerun kepada kamu lebih daripada kegerunan mereka terhadap Allah S.W.T. kerana mereka tidak memahami dan tidak mengetahui akan keagungan serta kekuasaan Allah S.W.T.”

Ini adalah kenyataan yang jelas bahawa umat Islam dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kekuatan dalam usaha menghalang para musuh daripada mencabuli kesucian Islam. Ini dapat dilakukan dengan cara melahirkan rasa gerun pihak musuh terhadap orang Islam. Sebarang kesucian dalam usaha menyediakan kekuatan diri ini adalah dianggap suatu kelemahan yang boleh menjerumuskan umat Islam kepada kehinaan, yang aeterusnya diperkecil- kecilkan oleh pihak musuh. Ini adalah kerana mereka tidak beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa yang menjamin kemenangan hambanya yang mukmin. Musuh tidak akan dapat memahaminya kerana mereka hanya melihat kepada aspek material yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Apabila kita kembali kepada kedua- dua ayat di atas kita dapat faham dengan jelas siapakah yang sebenarnya patut digerunkan (irhab). Bilakah irhab itu menjadi sesuatu yang wajib ke atas para muslimin dan bilakah penggunaannya menjadi haram atau tidak diharuskan.

Ayat daripada surah al- Anfal itu telah didahului oleh penyataan mengenai orang kafir yang mempunyai sifat takabur dan sombong dan mereka hidup di atas muka bumi ini dengan melakukan kerosakan. Mereka menghalakan cabaran terhadap orang- orang Islam kerana mereka mempunyai segala kekuatan dan kemajuan, terutama dari segi peralatan perang. Dengan demikian mereka merasakan yang merekalah yang paling berkuasa manakala yang lainnya lemah. Segala titah perintah berada di tangan mereka, manakala yang lainnya dianggap hamba sahya semata- mata. Sehubungan dengan itu Allah S.W.T Berfirman bermaksud: “Dan janganlah mereka yang kafir itu menyangka yang mereka akan dapat mendahului dan sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan Allah.” (Surah al- Anfal 8:59)

Selepas itu datanglah ayat yang menuntut supaya umat Islam membuat persediaan untuk menentang musuh. Namun kemudiannya disusuli pula dengan ayat pendamaian. Ayat pendamaian ini menuntut supaya umat Islam menghentikan usaha penggerunan seterusnya mengadakan pendamaian dengan mereka yang cenderung untuk berdamai dan tidak melakukan permusuhan, kezaliman dan kerosakan. Orang Islam dianjurkan supaya berdamai dengan mereka yang inginkan kedamaian. Seterusnya umat Islam hendaklah bertawakal kepada Allah. Ini adalah seperti firman Allah S.W.T bermaksud: “Sekiranya mereka itu cenderung kepada perdamaian maka kamu terimalah dan bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al- Anfal 8:61)

Walaupun para ulama berpendapat bahawa ayat di atas telah di naskahkan dengan ayat mengenai memerangi para musyrikin keseluruhannya, namun perlaksanaan kepada ayat- ayat di atas turut digunakan dalam sejarah Islam semenjak zaman Khulafa alRasyidin hinggalah ke beberapa abad yang terakhir ini yang menyaksikan umat Islam telah mengadakan perjanjian damai dengan musuh mereka yang ingin berbuat demikian. Perkara ini telah membuatkan beberapa orang ulama menetapkan bahawa: harus bagi orang Islam, dalam keadaan yang memerlukan, mengadakan perjanjian damai melalui bayaran kepada musuh sekiranya perkara seumpama itu akan memberikan pulangan yang baik kepada umat Islam. Ini boleh dilakukan dengan syarat umat Islam terus mampu mengekalkan keupayaan mereka dalam menyediakan kekuatan.

Adapun ayat dari surah al- Hasyr didahului oleh kenyataan mengenai orang munafiqun, yang akan mengenakan musibah ke atas umat Islam melebihi apa yang dikenakan oleh orang kafir yang terang- terang memusuhi umat Islam. Ini adalah kerana orang munafiqun ini bermuka- muka menonjolkan diri mereka sebagai orang Islam sedangkan mereka bukan Islam. Dengan demikian mereka lebih banyak memperolehi rahsia- rahsia umat Islam seperti dari segi perancangan dan kemampuan ketenteraan umat Islam. Dengan demikian mereka akan memainkan peranan mereka secara sembunyi untuk menolong musuh Islam yang terdiri daripada ahli kitab dan lain- lainnya. Sehubungan itu wajiblah ke atas umat Islam berwaspada dan menggerunkan golongan munafik bagi mengelakkan mereka membocorkan segala rahsia kepada pihak musuh. Ini adalah bertujuan supaya mereka itu semua tidak akan memperkecilkan kewibawaan dan kekuatan umat Islam dan seterusnya dapat mengelak daripada permusuhan dan penguasaan mereka.

Ayat daripada surah al- Hasyr ini seterusnya disusuli oleh pelengkap cerita mengenai kerjasama para munafiqin dengan musuh- musuh yang terdiri daripada orang kafir. Mereka ini memainkan peranan syaitan yang sentiasa mengoda mangsanya dan kemudian membersihkan tangannya daripada dosa dan angkara yang dilakukannya.

Daripada apa yang dikemukakan bolehlah dibuat kesimpulan seperti yang berikut:

1) Bahawa Allah S.W.T telah menggunakan perkataan irhab dan telah menentukan pihak yang layak dikaitkan dengannya. Dengan demikian tidak harus bagi orang Islam meniru orang kafir dalam menolak istilah ini secara keseluruhannya. Tidak harus juga bagi orang Islam menerima pakai istilah itu secara mutlak tanpa sebarang ikatan dengan apa yang telah ditentukan oleh al- Quran.

2) Bahawa umat Islam adalah dituntut supaya mempertahankan diri mereka daripada sebarang ancaman yang ditujukan kepada mereka. Mereka juga hendaklah berusaha menimbulkan rasa gerun orang kafir terhadap orang Islam. Orang kafir didapati secara berterusan (pada setiap masa dan tempat) mengancam orang Islam dengan berbagai- bagai cara dan bidang politik, ketenteraan dan ekonomi. Perbuatan mereka ini hendaklah disekat dan segala hak umat Islam perlu dikembalikan berlandaskan konsep al- Quran yang mengharamkan kezaliman, serangan dan ancaman sebagaimana firman Allah S.W.T. bermaksud: “Perangilah di jalan Allah mereka memerangi kamu, tetapi jangan kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu temui mereka dan usirlah mereka dari tempat kamu diusir oleh mereka dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. Dan janganlah kamu perangi mereka di Masjid al- Haram sehingga mereka memerangi kamu di dalamnya. Sekiranya mereka memerangi kamu maka bunuhlah mereka dan bagitulah balasannya terhadap orang- orang kafir. Sekiranya mereka berhenti dari memerangi kamu sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dan perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah dan sehingga agama itu untuk Allah belaka. Sekiranya mereka itu berhenti maka tidak ada lagi permusuhan melainkan ke atas mereka yang zalim.” (Surah al- Baqarah 2: 190-193)

3) Umat Islam wajib mengekalkan kekuatan dan kemuliaan serta kesedihan mereka menghadapi sebarang ancaman. Sesungguhnya, pihak musuh sentiasa berusaha menggerunkan umat Islam kerana mereka sememangnya mempunyai perasaan permusuhan dan kezaliman. Ini adalah kerana penggerunan ke atas umat Islam adalah terikat dengan permusuhan dan kezaliman yang dilakukan oleh musuh terhadap mereka. Umat Islam wajib mengekalkan kekuatan dan kemulian serta kesediaan mereka dalam menghadapi sebarang ancaman.

4) Perbuatan irhab atau menakutkan ini tidak seharusnya digunakan oleh seseorang Muslim terhadap Muslim yang lain atas apa jua alasan sekalipun. Ini disebabkan, untuk menyelesaikan perselisihan faham antara Muslimin terdapat jalan bicara, mentodologi, peraturan dan ajaran yang telah ditetapkan di dalam al- Quran dan Al- Sunah. Seseorang Muslim dipelihara darah, maruah dan harta bendanya dan tidak harus melampauinya dengan irhab, mengancam dan menakutkan orang lain.

5) Ternyatalah daripada kedua- dua ayat al- Quran yang dinyatakan sebelum ini menjelaskan mengenai irhab dan ketentuannya, bahawa mereka yang mempertahankan diri, harta, agama dan juga negaranya dengan cara yang benar adalah mujahid yang menggerunkan musuh Allah dengan hak. Mereka ini juga telah dijanjikan oleh Allah dengan salah satu daripada dua kebaikan iaitu kemenangan ke atas musuh dengan meninggikan kalimah Allah S.W.T. atau mendapat syahid dengan keredaan Allah S.W.T. dan mendapat kemuliaan di akhirat. Itulah yang telah ditetapkan oleh al- Quran dan telah disepakati umat Islam.

Penggunaan oleh al- Quran Bagi Perkataan Seerti dengan Irhab

Terdapat banyak ayat al- Quran yang menggunakan perkataan lain yang seerti dengan irhab al- ‘adu (menakutkan musuh dengan tujuan untuk menegaskan bahawa nenggeunkan musuh itu adalah salah satu factor ke arah kemenangan umat Islam. Al- Quran telah menggunakan- berkaitan dengan mereka yang zalim-perkataan, ketakutan, kegerunan, pembunuhan, pemukulan, kehinaan, kepapaan, caci, tawau, halau, menyalibkan, potong tangan dan kaki, kekerasan dan perkataan lain yang sinonim dengan irhab iaitu menggerunkan. Antara firman Allah S.W.T. bermaksud: “Kami akan mencampakkan ke dalam hati- hati mereka yang kafir itu perasaan gerun.” (Surah al-‘Imran 3 :151)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Akan kucampakkan ke dalam hati- hati mereka yang kafir itu perasaan gerun’” (Surah al- Anfal 8:12)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Wahai Nabi, perangilah orang- orang kafir dan orang- orang munafikin dan berkeraslah dengan mereka.” (Surah al- Tahrim 66:9)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Hai orang- orang yang beriman perangilah orang- orang kafir yang di sekitar kamu itu dan mereka itu hendaklah menerima kekerasan daripada kamu. Dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang- orang yang bertakwa.” (Surah al- Taubah 9:123)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Muhammad itu adalah utusan Allah dan merika yang bersamanya adalah keras ke atas orang- orang kafir dan sangat lemah- lembut di kalangan mereka sesama sendiri.” (Surah al- Fatah 48:29)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul- Nya di laknati oleh Allah di dunia dan akhirat.” (Surah al- Ahzab 33:57)

Firman- Nya lagi bermaksud: “Dan dia menggerunkan orang- orang ahli kitab (Bani Quraizah) yang membantu golongan- golongan yang bersekutu dari benteng- benteng mereka dan dia masukkan rasa takut ke dalam hati mereka. Sebahagian mereka kamu bunuh dan sebahagian yang lain kamu tawan.” (Surah al- Ahzab 33:26)

Al- Quran Menggunakn Istilah- Istilah yang Berlawanan dengan Irhab

Banyak terdapat ayat al- Quran yang menyeru ke arah bertimbang rasa dan keamanan. Bahkan ia adalah ciri- ciri khusus yang biasa dalam AL- Quran. Ini adalah kerana Allah S.W.T. itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Sejahtera, Maha Pelindung dan Maha Bertimbang Rasa. Allah mengkehendaki supaya semua hamba- Nya hidup di dunia ini dengan aman dan stabil dan taat kepada- Nya yang Maha Suci itu dalam keadaan yang jauh daripada kekejaman, perbalahan dan permusuhan.

Al- Quran telah menetapkan tempat- tempat aman. Ia juga telah menentukan masa- masa aman serta keadaan yang mengamankan yang tidak dibenarkan padanya permusuhan, melakukan dosa, benci- membenci dan pertumpahan darah. Selain ia turut menyeru ke arah kebaikan dan kebajikan kepada semua perkara, samada kepada hamba sahya, isteri, kedua ibu- bapa, anak- anak, mereka yang sedang musafir, peminta sedekah, fakir miskin, anak- anak yatim, para jiran dan kaum kerabat. Ia juga menggalakkan persaudaraan, kesamarataan, kerjasama, berlembut, berbudi pekerti yang tinggi, merendah diri dan mempunyai sifat pemaaf. Ia juga mengharamkan perbuatan membunuh anak- anak, menanam bayi perempuan hidup- hidup dan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Selain daripada itu, ia juga melarang menakut- nakutkan mereka yang telah menyerah diri untuk mendapatkan keamanan, memakan harta anak yatim dengan cara yang batil, mencuri, merampas, bermegah- megah dengan gelaran, mengumpat, menyebar berita keburukan orang lain, berbohong, khianat, seterusnya melarang apa jua yang boleh menyebabkan berlakunya kegerunan terhadap orang lain.

Dengan demikian al- Quran- melalui panduannya- telah dapat merelisasikan kepentingan manusia dalam hidup mereka, sedangkan perkara seumpama ini gagal dicapai oleh mana- mana perundangan atau pemikiran lain. Ini kerana al- Quran adalah panduan daripada Allah S.W.T. yanh maha Pencipta. Allah telah menanam dalam hati orang mukmin suatu kawalan yang boleh membawa mereka ke arah melakukan perbuatan baik dan seterusnya meninggalkan perbuatan keji tanpa memerlukan kepada undang- undang dunia untuk mengawalnya.

Pendirian Al- Sunah terhadap Irhab

Sebagaimana yang diketahui bahawa al- Sunah adalah sumber perundangan Islam yang kedua selepas al- Quran al- Karim. Ia berperanan menjelaskan apa yang disebut secara mujmal dalam al- Quran. Firman Allah S.W.T. bermaksud “Kami telah menurunkan kepada kamu al- Quran agar dapat kamu menjelaskan kepada manusia mengenai apa yang diturunkan kepada mereka…..” (Surah al- Nahl 16:44)

Ia adalah sunah Rasulullah s.a.w yang berkaitan dengan perintah Allah dan wahyuNya, samada terdiri daripada apa yang dituturkan, dilakukan ataupun diperakui olrh Rasulullah s.a.w. Firman Allah bermaksud “Beliau (Nabi Muhammad tidak mengatakannya sesuka hatinya, tetapi apa yang diperkatakannya itu adalah wahyu daripada Allah S.W.T.) (Surah al- Nahlu 53:3-4)

Al- Sunah tidak berlainan daripada apa yang terdapat dalam al- Quran, bahkan bersamaan sepenuhnya. Al- Sunah telah memperakui bahawa irhab dan penggerunan serta pembalasan dikenakan ke atas pengancam yang zalim dan memfokuskan usaha untuk merosakkan agama orang Islam, harta benda, jiwa, maruah, Negara serta tanah air mereka. Ia meminta supaya umat Islam sentiasa berwaspada dan tidak memandang remeh musuh mereka. Ini kerana yang demikian itu akan menjadikan musuh Islam itu lebih melampau.

Di dalam sebuah hadis (maksudnya):

‘Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: “Apakah pandangan Rasulullah s.a.w sekiranya datang seseorang untuk mengambil harta saya? ”Jawab Baginda : “Janganlah kamu berikan kepadanya.” Tanya lelaki itu lagi: “Bagaimana sekiranya saya diserang?” Jawab Baginda: “Kamu hendaklah balas serangan itu.” Tanya lelaki itu lagi: “Bagaimana sekiranya beliau berjaya membunuh saya.” Jawab Baginda: “Engkau mati syahid.” Tambah lelaki itu lagi: “Bagaimana pula sekiranya saya membunuhnya” Jawab Baginda: “Orang itu akan masuk neraka.”

Al- Sunah juga memperakui bahawa seseorang itu membunuh ketika mempertahankan tiga perkara, iaitu agamanya, maruahnya dan harta bendanya. Sesiapa yang tidak marah apabila dibangkitkan kemarahannya dia adalah seekor keladai, kerana dia adalah seorang yang bodoh yang tidak sensitif dengan kehormatannya. Rasulullah s.a.w telah menghapuskan tanggungjawab jenayah daripada pelakunya jika perbuatan itu dilakukan untuk tujuan mempertahankan diri. Sehubungan itu, Baginda bersabda: “Sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang lain tanpa izin Tuannya, maka pecahkan biji matanya dan tuan rumah tidak dikenakan sebarang diah mahupun qisas.”

Bahkan Rasulullah s.a.w. telah memberi kebenaran kepada semua orang Islam dalam menggunakan apa saja cara yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri dan menanam rasa takut dan gerun dalam hati penyerang. Baginda membenarkan perbuatan menghina musuh serta melahirkan kemegahan di depan mereka, menyerang benteng mereka, merosakkan kediaman mereka, mengancam segala kepentingan mereka, memporak- perandakan mereka, melemahkan mereka, mengkucar- kacirkan negara mereka yang merancang serangan terhadap orang Islam. Baginda juga mengharuskan pengepungan terhadap sumber bekalan dan kekuatan musuh.

Banyak bukti mengenai apa yang dilakukan oleh Rasulullah sendiri dan panduan kepada para sahabatnya berkaitan dengan perkara ini. Apa yang berlaku dalam peperangan Badar adalah dalil yang jelas tentang keharusan gerakan menggerunkan musuh dan mengembalikan hak- hak yang dirampas daripada orang Islam.

(BERSAMBUNG)

Oleh: Prof. Dr. Abdul Razak Abdul Rahman al- Sa’di

Translate »