PERKATAAN “agama” dalam istilahnya berasal dari dua perkataan, iaitu “a” dan “gama”, yang membawa maksud “tidak” dan “kacau”. Istilah itu memberikan kita maksud bahawa agama adalah satu tindakan yang akhirnya membentuk manusia menjadi lebih baik, kerana setiap daripadanya berusaha tidak melakukan kekacauan.

Seperti juga dengan Islam, kelahiran agama yang terakhir dan paling lengkap itu adalah untuk membentuk moral manusia menerusi pola kehidupan beradab, dari kehidupan secara individu, berkeluarga hinggalah kepada kehidupan bermasyarakat.

Islam mensyaratkan bahawa setiap pengikutnya hidup dalam keadaan damai. Kehidupan yang damai atau aman itulah dapat melahirkan masyarakat harmoni, tersusun kemas dengan segala nilai dan norma kehidupan bersama, tidak meletakkan kepentingan diri sebagai matlamat utamanya.

Matlamat masyarakat atau dalam istilah sosiologi Islam adalah kepentingan jemaah atau kemaslahatan ummah dijadikan sasaran manakala kepentingan peribadi lebih bersifat membentuk peribadi yang mulia, tidak menyakitkan hati dan perasaan orang lain.

Secara individunya, orang yang hidup dan sentiasa berusaha membentuk peribadi mulia digambarkan sebagai orang yang beriman.

Demikian di syurga, al-Quran menggambarkan kaum beriman akan memperolehi buah-buahan dan memperolehi apa yang mereka minta. Kepada orang-orang beriman itu dikatakan: “Damai, damai”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha penyayang (al-Quran surah Yasin ayat 57-58). Bahkan di sana, mereka orang-orang beriman tidak mendengar ucapan yang tidak bermanfaat dan tidak pula hujatan tuduhan berdosa, melainkan tegur sapa,’ damai, damai’, selamat, selamat’ (al-Quran surah Al-Waqiah ayat 25-26).

Agama mengajar manusia menjauhi sifat-sifat tercela dan mengkhianati orang. Setiap orang wajib menghormati hak orang lain dan menjauhkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan permusuhan dan kekacauan. Menghasut dan menyebarkan permusuhan atau mencipta kekacauan adalah perbuatan yang sangat dibenci agama. (Maksud al-Quran, surah Al-Raa‘d, ayat 25)

Ingatlah bahawa apabila kita ingin memperkasakan kedudukan bangsa, kita haruslah bermula dengan usaha membangunkan pola hidup masyarakat. Kita perlu menyemai benih-benih budaya dan nilai kehidupan yang harmoni, ia tetap bermula dengan niat. Niat bermula daripada kesanggupan hati dan iltizam kita. Secara berlawanan, jika hati resah atau kacau bilau, maka akan lumpuh dan hancurlah masyarakat.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 24 hingga 27 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman sahut dan sambutlah (seruan) Allah (dan seruan) Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna (maju dan kuat) dan ketahuilah bahawa Allah (berkuasa) mengubah atau menyekat antara seorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya pada-Nya kamu akan dihimpunkan kembali dan jagalah diri kamu dari berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim dalam kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu semua secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah amat hebat azab seksa-Nya.

‘‘Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya (lemah) serta tertindas di bumi sendiri kamu takut orang-orang (musuh-musuh) menangkap dan menculik kamu, maka Allah memberi tempat untuk kamu bermastautin dan diperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya serta dikurniakan kamu daripada rezeki yang baik-baik supaya kamu bersyukur. Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanat kamu sedangkan kamu mengetahui salah dan bahayanya.”

Peringatan daripada Allah SWT itu amatlah wajar dijadikan renungan setiap umat Islam, termasuk dalam kalangan yang berkepentingan dan berasa angkuh dengan kekuatan sendiri. Ini kerana, kehidupan kita di Malaysia adalah kehidupan yang diasaskan secara bermasyarakat. Tidak ada satu kumpulan pun yang boleh mendabik dada mengaku bahawa kekuatan diri dan kumpulannya sahajalah yang mampu bertahan, tanpa memerlukan bantuan orang lain.

Amat malang sekali kerana perbezaan fahaman politik peluang keemasan yang terbuka untuk mengukuhkan perpaduan dan kekuatan ummah ditolak begitu sahaja.

Ikutilah jejak langkah orang tua-tua kita yang berjaya meletakkan batu asas perpaduan, bukan saja antara satu bangsa dan agama, malah antara semua kaum di negara ini.

Bertawakal dan berserahlah kepada Allah SWT dalam melaksanakan arahan-Nya dengan menerima cadangan dan seruan secara tenang dan lapang dada. Menyerahkan diri kepada Allah SWT untuk menentukannya, kerana Dialah yang akan menentukan keputusannya. Inilah apa yang diakukan oleh Saidina Ali semasa menghadapi tentangan daripada Muawiyah. Suasana sebegini juga turut dialami oleh banyak pemimpin dan pejuang Islam terdahulu. Berkat kesabaran dan tawakal mereka, Islam memacu kecemerlangan dan kejayaan yang besar dalam sejarah peradaban manusia.

Di dalam ayat seterusnya, Allah berfirman yang bermaksud: Dan sekiranya mereka bermaksud mengkhianatimu, maka Allah akan mencukupimu. Dia sahaja yang dapat menolongmu dengan pertolongan-Nya dan orang mukmin sekalian (yang berada di belakangmu). (Maksud surah al- Anfal: 62)

Hakikat ini merupakan amanat Allah SWT dan Rasul-Nya kepada kita untuk dipraktikkan sepanjang kehidupan bermasyarakat. Kita juga ditegah daripada mengabaikan kesungguhan dalam memperjuangkan langkah mempertahankan agama, tanah air dan negara.

Menerusi ayat tersebut juga Allah menyebut pengkhianatan terhadap amanat itu adalah sebagai fitnah atau musibah. Malapetaka akan menimpa semua pihak yang ingkar dan tidak mengambil peluang memperbetulkan kesilapan.

Oleh itu, sama-samalah kita renung dan fikir sedalam-dalamnya, semoga Allah selamatkan kita dan memberikan rahmat sepanjang kehidupan ini.

Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

 

Translate »