(BAHAGIAN 2)

Cara yang paling mudah untuk memperoleh “malakah” ini ialah dengan jalan melalui latihan lidah guna mengungkapkan fikiran-fikiran dengan jelas dalam diskusi dan perdebatan dalam masalah-masalah ilmiah. Inilah cara yang mampu menjernihkan persoalan …

Kemudian beliau membezakan mereka yang mendengar sahaja pengajian dan mengamalkan hafalan tanpa menggunakan kecekapan berfikir dalamunazarah dan juga tanpa menggunakan kemahiran dalam bahasa.

  • Kesabaran dan ketekunan merupakan sifat yang menguatkan da menjayakan umat dan tamadun, dan ini dihuraikan oleh Ibn Khaldun tentang bagaimana pada tahap-tahap awal dalam perkembangan bangsa-bangsa sifat-sifat sabar dan tekun dalam perjuangan itu kuat, dan itu menjadikan bangsa atau daulah itu kuat. Tetapi bila perkembangan berlaku dalam tahap-tahap yang kemudian selepas kejayaan yang awal itu timbul cara hidup mewah yan melalaikan dan sifat sabar dan tekun dalam perjuangan itu beranmsur-ansur hilang dan manusia kebanyakannya menjadi manja.  Sebab itu maka sesuatu daulah atau dinasti itu kalah kemudiannya kerana sifat perjuangan itu luntur dengan adanya cara hidup yag manja dan senang. Ulasan Ibn Khaldun yang demikian memberi pengajaran yang penting kepada kita supaya kita berjaga-jaga dalam hidup supaya tidak menjadi lemah dan tidak bermaya dalam perjuangan kerana perkembangan tamaddun yang berlaku sedemikian itu. Sifat berjaga-jaga sedemikian ini sangat dianjur dalam Islam; sebab itu dalam huraian tentang kesabaran kita berhadapan dengan hakikat bagaimana kesabaran itu diperlukan oleh manusia dalam masa senang, susah, masa taat, masa derhaka (untuk kembali kepada taat), demikian seterusnya.
  • Ibn Khaldun menyebut dalam hubungan dengan perkembangan tamadun pada peringkat kemudian bila ianya akan musnah maka ditandai dengan beberapa perkara: banyaknya kemewahan, kehidupan penuh dengan hiburan dan perhiasan, kehidupan cara homoseks di kota-kota, politik wang, kerana mereka yan memimpin tidak mampu lagi mendapat kesetiaan dengan sifat-sifat utama yang dibuktikan dan mengajak orang lain kepada perjuanganh, maka berlakulah politik wang. Dengan itu moral masyarakat merosot. Inilah antara pengajaran yang patut diambil ingat dari penerangan ibn Khaldun.
  • Antaranya beliau juga menyebut bagaimana pentingnya adat-adat kebiasaan yang baik dan kuat yang perlu diterapkan dalam masyarakat dan kehidupan untuk menjadi bahan penguat masyarakat dan tamadun supaya tidak runtuh, bi izni’
  • Dalam hubungan dengan adat kebiasaan hidup dan kemahiran-kemahiran yang menguatkan tamadun beliau menyatakan.

Orang-Orang Timur secara umumnya jauh lebih mantap dan teguh berbanding dengan masyarakat Maghribi dalam keahlian memberi pengajaran ilmudan dalam keahlian-keahlian lainnya. Bahkan ramai orang-orang Maghribi yang pergi ke Timur dalam mencari ilmu pengetahuan mempunyai anggapan bahawa secara umumnya akal fikiran orang-orang Timur adalah lebih sempurna daripada orang-orang Maghribi. Mereka beranggapan bahawa nafsu natikah (atau bahagian jiwa yang berfikir dan menerima ilmu) (orang-orang Timur) adalah lebih sempurna pada tabiat kejadiannya daripada apa yang ada pada orang-orang Maghribi.  Mereka mendakwa ada terdapat perbezaan pada hakikat kemanusiaan antara kami (orang-orang Maghribi) dan mereka itu, kerana kemahiran mereka dalam ilmu-ilmu dan kemahiran dan pertukangan kelihatan luar biasa kepada mereka. Tetapi hal yang sebenar bukanlah demikian. Tidak ada perbezaan antara Timur dan  Barat yang sedemikian besar (sehingga dianggapkan) ianya perbezaan dalam hakikat (tabiat kejadian manusia) yang memang (hakikat kemanusiaan itu) adalah satu (dan sama di mana-mana juga).

(Kelainan yang sedemikian itu) sebenarnya ada dalam kawasan-kawasan yang beriklim tidak sederhana seperti iklim yang pertama dan ketujuh. Sikap jiwa di sana tidak sederhana, dan jiwa juga tidak sederhana sesuai dengan keadaan yang ada, sebagaimana yang telah disebutkan.(Sebenarnya) kelebihan para penduduk Timur dengan penduduk Barat terletak pada akal tambahan (‘aqlul-mazid’) yang ada pada jiwa yan datang hasil daripada pengaruh-pengaruh kebudayaan (hadharah) sebagaimana yang telah disebutkan dalam hubungan dengan keahlian-keahlian.

Selanjutnya sekarang kami akan membicarakannya secara lebih lanjut dan, mengesahkannya; ianya seperti berikut:

Orang-orang yang hidup dalam berbudaya secara menetap memiliki peraturan-peraturan dalam segala perkara yang mereka lakukan dan yang akan mereka kerjakan ataun yang mereka tidak akan kerjakan,  dan dengan demikian  merekapun mendapati cara-cara tertentu dalam mengusahakan penghidupan, mencari tempat-tempat tinggal, mendirikan bangunan-bangunan, menangani masalah-masalah keagamaan dan keduniaan mereka, termasuk masalah-maalah adat-adat kebiasaan pada adat istiadat mereka, serta kira bicara mereka dengan orang lain, dan kegiatan-kegiatan lain mereka. Cara-cara bertindak yang menjadi kebiasaan tetap ini merupakan batasan yang tidak dilanggar oleh mereka, dan pada masa yang sama (di dalamnya ada terdapat kebiasaan-kebiasaan yang bersifat sebagai-p) kepandaian-kepandaian (atau cara-cara pertukangan) yang diterima oleh generasi kemudian daripada generasi yang awalnya. Tidak syak lagi setiap kemahiran itu  ada kedudukan yang baik dalam susunan tertib kemahiran-kemahiran yang ada,  dan ianya mempengaruhi jiwa manusia dan menjadikannya mendapat akal tambahan (‘aql al-mazid) (additional intelligence) yang menyiapsediakan jiwa itu untuk menerima kemahiran-kemahiran lainh selanjutnya pula (dengan itu ia menjadi semakin lama semakin bijak dan cekap-p). Dengan itu maka akal manusia itu disediakan untuk mencapai ilmu secara cepat dan segera.

Kebiasaan-kebiasaan yang baik dalam pengajaran ilmu (“scientific instruction”), dalam kemahiran-kemahiran pertukangan, dan dalam semua kegiatan-kegiatan yang dilakukan manusia, itu menambahkan lagi pencerahan dalaman pada akalnya  dan juga memberi pencahayaan (enlightenment) pula pada pemikirannya, kerana dengan itu jiwanya itu mencapai banyak kebiasaan-kebiasaan padanya. Kita telah nyatakan dahulu bahawa jiwa manusia itu berkembang di bawah pengaruh pengesanan pancaindera yang diterimanya dan kemahiran-kemahiran (“malakah”) yang timbul daripadanya. Dengan itu maka orang-orang Timur menjadi lebih pandan kerana jiwa-jiwa mereka terpengaruh dengan kegiatan ilmiah. Orang awam menyangka bahawa itu adalah kelainan dalam hakikat kemanusiaan. Ini bukan yang sebenarnya.

Apabila seseorang membandingkan orang-orang dalam masyarakat berbudaya dengan orang-orang Badui, maka boleh diperhatikan bagaimana lebih banyaknya kecerahan pemikiran dan kepandaian yang ada pada orang yang berbudaya tetap itu. Dengan itu maka seseorang itu mungkin terfikir bahawa mereka itu berbeza daripada orang-orang Badui itu dalam hakikat kemanusiaan dan akalnya. Ini bukan demikian. Sebabnya hanyalah kelainan ada kerana orang yang berbudaya menetap itu mempunyai kebiasan-kebiasaan dalam bidang teknikal dan juga adat kebiasaan budi pekerti yang halus dalam hubungan  dengan kegiatan-kegiatan yang sudah menjadi kebiasaan hidup dan juga suasana-suasana hidup budaya menetap, yang semua itu tidak diketahui oleh orang-orang Badui itu. Orang-orang yang hidup berbudaya menetap memiliki banyak kemahiran-kemahiran dan juga kebiasaan-kebiasaan yang berjalan bersekali dengan semua itu, juga mereka mempunyai (cara) yang baik untuk mengajar kemahiran-kemahiran itu. Oleh itu mereka yang tidak mempunyai kebiasaan-kebiasaan itu berfikir bahawa itu semua menunjukkan kesempurnaan akal yang dimiliki oleh mereka yang hidup dalam budaya menetap itu, dan bahawa kecekapan tabi’I orang-orang Badui itu adalah lebih rendah daripada yang ada pada orang-orang yang berbudaya menetap itu. Ini bukan demikian. Kita boleh dapati ada sebahagian daripada orang-orang Badui yang memiliki  kefahaman, dan kesempurnaan akal serta kecekaan semula jadi yang paling tinggi sekali.

Nampaknya apa yang kelihatan secara lahir (sebagai kelebihan) orang-orang berbudaya menetap adalah hanya hasil daripada penghalusan dan penggilapan kemahiran-kemahiran serta pengajaran ilmu-ilmu yang diterima oleh mereka. Itu semua mempengaruhi jiwa sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Sekarang, para penduduk Timur lebih teguh dan lebih terkedepan kedudukan mereka dalam pengajaran ilmu dan kemahiran-kemahiran (daripada orang-orang Maghribi) dan orang-orang Maghribi pula adalah lebih dekat kepada kehidupan padang pasir, sebagaimanan yang kami nyatakan dalam bahagian yang terdahulu. Ini menyebabkan orang-orang yang dangkal akalnya memikirkan bahawa para penduduk Timur mengatasi kelebihannya daripada orang-orang Maghribi dengan sebab kesempurnaan (yang tertentu) yang ada pada mereka yang menyangkut hakikat kemanusiaan.Ini tidak benar, sebagaimana yang sepatutnya difahami. (Terjemahan penulis dengan mengambil kira terjemahan Rosenthal).

Dalam hubungan dengan kebiasaan yang baik yang menguatkan peradaban juga, kita lihat ibn Khaldun menyebut tentang budaya ilmu dan pengetahuan berkembang dalam kebudayaan dan peradaban yang berkembang pesat. Kata beliau:

(Ilmu pengetahuan menjadi banyak cabangnya bilamana tamadun itu besar dan budaya hidup menetap dikota menjadi terbentuk dengan tingginya). Ini kerana pengajaran ilmu, sebagaimana yang kami nyatakan berupa satu daripada kemahiran-kemahiran. Kami telah nyatakan bahawa kemahiran-kemahiran banyak terdapa hanya di kota-kota. Kualiti dan bilangan kemahiran-kemahiran atau pertukangan-pertukangan itu terletak pada lebih besar atau kecilnya peradaban (‘umran) (‘civilization’) dalam kota-kota itu dan pada budaya menetap dan hidup mewah yang dinikmati di kota-kota itu, kerana (kemahiran-kemahiran dan pertukangan-pertukangan yang terbentuk dengan baik itu) adalah sesuatu yang berupa tambahan kepada mencari penghidupan semata-mata. Bila orang-orang yang berperadaban ada mempunyai tenaga buruh yang lebih daripada apa yang mereka perlukan setakat untuk mencari penghidupan sahaja, maka (tenaga buruh) demikian yang berlebih itu digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang lebih lagi dan mengatasi apa yang digunakan hanya untuk mencari penghidupan sahaja. Kegiatan-kegiatan sedemikian ini adalah hak istimewa manusia. Ianya terdiri daripada ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran serta pertukangan-pertukangan ….

Ini diikuti dengan kenyataan beliau berkenaan dengan kebiasan-kebiasan bertaraf tinggi yang melibatkan perkembangan budaya ilmu di pusat-pussat tamadun Islam yang terkenal. Kata beliau:

Ini boleh ditunjukkan contohnya dengan kenyataan-kenyataan kami yang terdahulu berkenaan dengan Baghdad,  Qurtubah, Qairawan, Basrah dan Kufah.Pada masa permulaan Islam, peradaban-peradaban (para penduduk kota) adalah ramai, dan budayan hidup menetap wujud di kalangan mereka. Maka ilmu-ilmu  melimpah di sana dan penduduk-penduduknya tampail sebagai ahli dalam pelbagai jenis peristilahan teknikal dalam pengajaran ilmu-ilmu dalam pelbagai cawangan ilmu pengetahuan, dan ahli dalam menimbulkan persoalan-persoalan dan (menciptakan) disiplin-disiplin ilmu (yang baharu). Mereka itu (semua) mengatasi  para ahli ilmu yang datang sebelum mereka dan mengatasi semua yang datang kemudian daripada mereka. Tetapi bila tamadun merusut dan penduduknya berkurang, gambarannya menjadi terbalik pula daripada apa yang terdahulunya. Ilmu pengetahuan dan pengajarannya tidak ada lagi dalam kota-kota tersebut tetapi dipindah dan ditanam di kota-kota Islam lainnya.

Kita pada masa ini melihat bahawa ilmu pengetahuan dan pengajaran ilmu ada di Kahirah pula iaitu di Mesir, kerana tamadun di sana (Mesir) terbentuk dengan tingginya dan budaya menetapnya telah menjadi tetap teguh beribu-ribu tahun lamanya. Oleh itu maka kemahiran-kemahiran terdiri tetap teguh di sana dalam banyak jenisnya. Satu daripadanya ialah pengajaran ilmu di sana. (Keadaan yang sedemikian) ini diperteguhkan lagi dan dijaga di Mesir oleh beberapa peristiwa  dalam dua ratusan tahun lalu di bawah dinasti Turki, semenjak masa pemerintahan Salahud-Din al-Ayyubi dan seterusnya….

Ini diikuti dengan beberapa perkembangan tentang kemunculan ilmu-ilmu dalam Islam samaada ilmu-ilmu Syariah atau juga ilmu-ilmu akliah.

Perkara-Perkara Yang Perlu dielakkan Untuk Menguatkan Bangsa dan Tamadun:

Nampaknya ada beberapa perkara yang kita boleh renungkan sebagai  perkara-perkara yang melemahkan tamaddun yang perlu dielakkan.Antaranya adalah seperti berikut:

  • perpecahan yang melemahkan umat samaada kerana ideologi siasah atau kerana lain-lain kecenderungan budaya dan kelainan pendapat perlu tanhgani dengan mengamalkan budaya beradab dalam berbeza pendapat
  • kerusakan pegangan dan nilai-nilai melalui unsur-unsur fahaman yang salah dan menyeleweng dalam agama dan penafsiran yang tidak sebenar serta penhgaruh budaya hiburan yang berlebihan (entertainment culture) yang boleh mengatasi budaya ilmu dan intelektuil yang akan melemahkan bangsa da umat dari segi jangka panjang walaupun ada faedah-faedah komersial jangka pendek.
  • kemerusutan budaya intelektuil yang didominasi oleh budaya komersial – tanpa mengecil-ngecilkan bidang komersial yang sedemikian penting dalam Islam – yang kalau dibiarkan akan membawa padah kepada umat dalam perkembangan ilmu dan kepakaran yang diperlukan untuk kepentingan pembentukan peribadi yang sepadu dan juga msyarakat madani yang dikehendaki.(gambaran masyarakat Ibn Khaldun dalam”al-Muqaddimah” adalah masyarakat madani. Dan yang dikehendaki oleh OIC dalam sidangnya baru-baru ini ialah masyarakat madani Islam seluruh dunia).
  • kerusakan nilai yang disebabkan oleh pendedahan kepada nilai-nilai yang negatif melalui media dan lainnya yang menghakis nilai-nilai Islam dan nilai-nilai Asia dalam hubungan dengan mereka yang selain daripada Muslimin, akibat negatif dari globalisasi yang disalah terima.
  • kerosakan nilai peribadi contoh yang didominasi dalam anggapan popular oleh budaya pemujaan “celebrity” (“celebrity cult”) yang sepatutnya diambil alih oleh budaya mengikut contoh yang baik dan sempurna (“uswatun hasanah”) – terdiri daripada para nabi dan rasul a.s.s. dan mereka yang utama dalam sejarah Islam dan juga sejarah dunia.
  • pengaruh budaya politik yang mungkin berlaku melebihi kewajarannya dilihat dari segi perkembangan budaya dan hidup intelektuil umat yang perlu ditangani dengan segera.
  • pengaruh yang tidak seimbang yang berlaku kerana tidak tunduk kepada epistemologi Sunni yang seimbang, sebagaimana yanhg ditunjukkan dalam “al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun.

Ibn Khaldun menyatakan bahawa peranan agama ialah menyatupadukan Bangsa Arab dan membawa kemajuan kepada mereka dan masyarakat mereka.Ia menunjukkan bahawa ketidakadilan, sifat kuasa raja bermahrajalela, dan penindasan adalah tanda-tanda yang menunjukkan kejatuhan dalam sesebuah negara. Beliau menunjukkan bahawa falsafah yang berbentuk metafisika mendatangkan faedah mempertajamkan akal fikiran seseorang. Beliau menyatakan juga bahawa pengetahuan tentang perkara-perkara metafiska  terutama dalam hubungan dengan keimanan boleh didapati hanya daripada wahyu.

Beliau juga seorang yang terkemuka dalam pendidikan.  Beliau menyatakan bahawa paksaan adalah seteru kepada pendidikan, membawa kepada timbulnya sifat malas, berbohong  dan sifat bermuka dua. Beliau juga menunjukkan kepada pentingnya contoh tauladan yang baik untuk ditiru.serta juga penguasaan yang baik dalam penggunaan bahasa. Beliau menyanjung ilmu yang sampai menjadi “malakah” dalam seseorang.

Oleh kerana beliau hidup dalam zaman permulaan menurunnya peradaban Islam maka apa yang dialami itu menyebabkan beliau mengumpulkan dan membuat ringkasan serta menghafal himpunan ilmu yang ditinggal oleh nenek moyangnya.Beliau menyerang amalan-amalan yang tidak sihat yang menimbulkan kebekuan dalam kalangan Muslimin dan mengurangkan kreativiti di kalangan para ahli ilmu.

Kesimpulan Tentang Usaha Menguatkan Budaya Dan Tamadun Bangsa:

Dalam hubungan dengan berfikir tentang menguatkan budaya dan umat, maka ada beberapa pengajarann yang kita boleh ambil dari ibn Khaldun dengan “al-Muqaddimah”nya. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Antaranya perrpaduan Muslim Melayu yang kuat di negara ini sebagai nukleus untuk perpaduan yang lebih luas dengan Melayu Muslim sebagai contoh tauladannya. Perpaduan Melayu sebagai teras ini adalah selari dengan penonjolan kepada prinsip ‘asabiyah yang positif yang diberikan pembelaannya oleh Ibn Khaldun dalam huraiannya tentang ‘asabiyah yang disebutkan olehnya sebagai prinsip kekuatan yang menjayakan agama dan peradaban yang besar dan teguh. Asabiyah yang ditentang oleh Nabi saw katanya ialah asabiyah yang membawa kepada kejahatan, bukannya yang ditentang zat asabiyah itu sendiri. Beliau menyamakan larangan itu dengan larangan terhadap sifat marah. Yang ditentang bukan sifat marah itu sendiri tetapi sifat marah yang mambawa kepada kejahatan. Kemarahan yang berlaku dalam jihad, itu marah yang terpuji. Perpaduan Melayu mesti diperjuangkan sampai berjaya dengan dimanafaatkan prinsip asabiyah dalam huraian Ibn Khaldun in.
  • Seperkara lagi asabiyah yang disebut oleh Ibn Khaldun adalah secara kebetulannya menyamai konsep “Melayu” di kalangan kita sebagai orang yang beragama Islam dan berbahasa Melayu serta yang mengamalkan adat istiadat Melayu. Dan adat istiadat itu pula adalah tatatertib yang berkebetulan dan diterima oleh Syara’. Ini sesuai dengan kata-kata dalam bidalan: “Hidup bersendikan adat dan adat bersendikan hukum dan hukum bersendikan Kitab”. Ertinya kasih kepada bangsa ini hendaklah diperkasakan dengan apa cara yang boleh yang akan digunakan demi untuk mengekalkan kuasa Muslimin dalam negeri ini untuk kebaikan semua pihak dan demi untuk menjayakan agama Islam beralirah Ahlis-Sunnah wal-jamaah yang kita yakini.
  • Seperkara lagi ialah sudahn tentu pengawalan ke atasn ajaran dan amalan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yanhg dihuraikan sistem ilmunya dalam “al-Muqaddimah”nya dalam semua bidangnya.Beliau memberi pembelaan terhadap usuluddinnya, fiqhnya, tasawwufnya, sejarahnya, nahu sarafnya, sains, fisik, hisabnya, demikian seterusnya; semua ilmu-ilmu itu beliau lihat dalam perspektif faham ilmu Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.
  • Pemerkasaan budaya ilmu, perkembangan pengetahuan, dan kemahiran hendaklah dijadikan bidang tumpuan dalam polisi mereka yang memerintah supaya dengan itu maka umat islam akan menjadi umat yang mengutamakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna dalam hidup supaya dengan itu hidup umat selamat dalam dunia yang penuh dengan perlumbaan ini, sudah tentu dengan menyempurnakan tugas-tugas kita kepada Allah dan pengabdian kepadaNya. Ini sudah tentu berkaitan dengan polisi pendidikan yang ada dalam negara. Selain daripada penekanan yang diberikan kepada sains dan teknologi hendaklah diberikan penekanan yang memadai terhjadap kefahaman dan keyakinan serta amalan ilmu-ilmu Islam mengikut tahap masing-masing, dengan tidak mengurangkan fardhu ainnya dalam menyempurnakan fardhu kifayahnya supaya dengan itu berlakulah keseimbangan yang memberi kebaikan untuk individu dan negara serta umat.
  • Bertalian dengan itu ialah pemerkasaan budaya berfikir dengan baik dan objektif supaya ianhya membantu dalam perkembangan hidup individu dan juga hidu negara dan umat sebab berfikir adalah perkara khusus istimewa untuk umat manusia yang menentukan darjahnya yang sebenarnya. Kecekapan berfikir secara logika yang baik dan mengarah kepada kebaikan serta yang bersifat “purposive” dan teratur perlu disemarakkan dalam pendidikan formal dan tidak formal. Cara-cara berfikir mengikut kaedah Islam antaranya sebagaimana yang ada dalam ibn Khaldun dan juga dalam ajaran Imam al-Ghazali hendaklah diberi perhatian sewajarnya, selain daripada mengambil tahu tentang cara-cara berfikir masakini untuk perbandingan bagi mereka yang sewajarnya.
  • Sejarah sebagai ilmu pengetahuan akademik hendaklah digandingkan dengan pengajian ilmu itu sebagai sumber pengajaran dan pengenalan hakikat tentang kajian tamadun manusia yang lebih luas. Dengan itu timbullah kesedaran intelektuil yang baik dan luas dalam negara. Ertinya yang diambil kira bukan sahaja peristiwa politik dan para pemimpin serta masalah ekonomi dan ketenteraan tetapi masalah-masalah lain yang menyangkut pemikiran dan nilai-nilai kemanusiaan dalam hidup.
  • Dalam huraian Ibn Khaldun diambil berat tentang perkembangan ekonomi yang baik dan makmur yang memberi kesenangan hidup kepada umat dengan polisi pemerintah yang baik dengan para ahli perniagaan yang berniaga dengan berjaya.Beliau juga memberi panduan dalam bidang pencukaian sehingga komen-komennya tentang pencukaian mempengaruhi Presiden Reagan masa pemerintahannya. Sebanyak dua kali Reagan menyebut ibn Khaldun dalam hubungan dengan pencukaian di Amerika Syarikat.

Oleh: Muhammad Uthman El-Muhammady

Translate »