Nabi Muhammad (SAW) merupakan nabi terakhir dan seorang yang mempunyai pengaruh besar di dunia sehingga sekarang. Dengan sebab itu, kita dapati Michael Hart menempatkan Nabi Muhammad saw sebagai tokoh nombor 1 yang paling berpengaruh sepanjang sejarah dalam bukunya ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’. Ini kerana Nabi Muhammad sendiri yang memainkan peranan yang besar dalam menyebarkan ajaran Islam berbanding dengan tokoh-tokoh lain dalam buku tersebut. Baginda juga bertanggungjawab dalam meletakkan asas-asas pendidikan agama dan akhlak kepada para pengikut. Baginda juga merupakan pemimpin agama dan politik.

Dalam menyebarkan Islam, Nabi Muhammad meneruskan dan menyempurnakan kandungan dakwah tauhid Nabi Ibrahim. Ajaran Islam berbeza berbanding dengan ajaran kaum Yahudi yang sudah menyeleweng jauh dari asas tauhid dan syariah. Begitu juga Islam berbeza dengan ajaran kaum musyrikin Arab yang menduakan Tuhan, sehingga bertuhankan berhala dan lebih mengikut hawa nafsu dari beragama. Ini menjadikan mereka menyimpang dari tujuan asal penciptaan manusia, iaitu untuk mengenal dan beribadah kepada Tuhan yang esa.

Artikel ini mengariskan metod dakwah Nabi Muhammad (SAW) yang dianggap sebagai metod dakwah terbaik. Perbincangan tertumpu kepada metod hikmah dalam berdakwah dengan mengemukakan beberapa kisah dari sirah Nabi dan kisah-kisah dalam al-Qur’an. Kesemuanya contoh teladan untuk menghuraikan metod dakwah tersebut.

Metod Dakwah Terbaik

Dalam berdakwah kepada tauhid dan cabaran kuat yang diterima, Allah masih menyuruh nabi terus berdakwah supaya masyarakat mengikut akidah yang benar. Allah (SWT) mengajar nabi tentang metod dakwah terbaik dalam membawa masyarakat kepada Islam. Perintah Allah ini terkandung dalam firmanNya dalam Surah al-Nahl, ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mendapat hidayah pertunjuk.” (Surah al-Nahl, 125)

Tafsir al-Jalalayn (2003: 281) menghubungkan metod dakwah terbaik dengan al-Qur’an.  Menurut Tafsir ini, perkataan “al-hikmah” atau hikmat kebijaksanaan bermaksud “al-Qur’an” itu sendiri. Dengan kata yang lain, perintah Allah kepada Nabi Muhammad untuk menyeru kepada agama Islam ialah melalui al-Qur’an. Begitu juga nasihat pengajaran yang baik adalah merupakan nasihat-nasihat (mawa’iz) dari al-Quran atau berupa “kata-kata yang lembut” (al-qawl al-raqiq). Manakala “berbahas dengan mereka dengan cara yang lebih baik” merupakan cara berbahas yang paling baik ialah seperti seruan kepada Allah dengan ayat-ayat al-Qur’an atau hujah-hujah al-Qur’an.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an (2010: 668) menghuraikan lagi maksud ayat dengan menerangkan cara dan tatatertib berdakwah yang terbaik. Pembahagiannya kepada tiga metod utama, iaitu (1) Dakwah secara hikmah kebijaksanaan, iaitu dengan penjelasan yang tepat dan betul, berdasarkan dalil dan bukti yang menerangkan kebenaran, dan menghapuskan kekeliruan, (2) Dakwah dengan nasihat pengajaran yang baik, iaitu dengan pengajaran yang menarik dan menyebut peristiwa-peristiwa yang mendatangkan i’tibar, supaya mereka mematuhi perintah-perintah Allah dan menjauhi laranganNya, dan (3) Dakwah hendaklah berbahas dengan golongan yang menentang dengan cara yang sebaik-baiknya, iaitu dengan lemah-lembut dan kata-kata yang baik, kerana cara yang demikian melembutkan tentangan mereka.

Manakala Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Qur’an menjelaskan dakwah itu mesti dilakukan dengan penuh kebijaksanaan atau berhikmah. Pendakwah yang membawa perutusan dari Allah ini mesti mengambil kira situasi dan keadaan orang yang didakwahkan, menentukan batasan apa yang ia jelaskan kepada mereka di setiap kesempatan. Sehingga tidak boleh memberatkan dan menyulitkan mereka sebelum mereka bersedia terlebih dahulu. Juga harus mempertimbangkan bagaimana dia harus mengemukakan dakwahnya dengan mengguna pelbagai cara dan kaedah mengikut suasana yang berbeza. Jangan sampai berlebih-lebihan dengan semangat semata-mata sehingga mengabaikan aspek kebijaksanaan dalam berdakwah.

Seterusnya Sayyid Qutb berpandangan kebijaksanaan perlu berjalan seiring dengan nasihat pengajaran yang baik, dengan pendakwah menembusi hati manusia dengan lembut, menyerap dalam hati nurani dengan halus sehingga tampak tindak balas mereka dengan baik. Bukan dengan cercaan atau kata-kata kesat dan yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada mereka tanpa ada maksud yang jelas. Begitu juga tidak mendedahkan kesilapan yang tidak disedari walaupun berniat baik. Ini kerana nasihat pengajaran yang baik dapat menarik orang untuk mengikuti hidayah Allah, sehinggakan hasil yang baik akan tercapai bukan melalui teguran, bentakan, celaan dan kritikan sahaja.

Metod ketiga dalam pendekatan yang tepat untuk berdakwah untuk berdebat dengan cara yang paling baik. Ini bermakna tidak ada kritikan peribadi atau penghinaan terhadap lawan. Adalah penting dalam hujah sedemikian untuk membuat pihak lain menyedari bahawa, sebagai penyokong kebenaran, kita tidak mempunyai keinginan lain, iaitu ingin memenangi hujah atau berbangga dengan kemenangan dalam berhujah. Matlamat kita mestilah jelas, iaitu untuk mencapai kebenaran. Manusia mempunyai ego sendiri, dan mereka tidak akan mengakui apa-apa pun melainkan hujah itu dilakukan dengan cara yang baik. Tiada siapa yang suka dikalahkan dalam hujah. Manusia kadang-kadang keliru dengan kehebatan sendiri, mempunyai pendapat sendiri sehingga mereka ini merasa dihina apabila mereka harus mengakui bahawa pandangan mereka adalah keliru atau salah. Hanya apabila hujah dilakukan dengan baik, sensitiviti mereka terjaga dan mereda kemarahan apabila mereka menyedari bahawa maruah mereka terpelihara. Mereka kemudian mengakui bahawa seorang pendakwah hanya mencari kebenaran dan tidak mempunyai keinginan peribadi lain. Seorang pendakwah hanya perlu mengungkapkan kebenaran dan memberi petunjuk ke jalan Allah (agama Islam). Mereka bukannya diarah untuk membela diri atau mengalahkan hujah orang lain. Allah mengingatkan pendakwah bahawa yang memberi petunjuk adalah Allah dan bukannya pendakwah sendiri. Sekiranya natijah tidak terhasil, pendakwah tidak akan merasa kecewa.

Aplikasi Metod Dakwah Terbaik dalam Dakwah Nabi Muhammad: Hikmah Kebijaksanaan Sebagai Metod Berdakwah

Semua ulama’ bersetuju al-Qur’an dan Sunnah merupakan sumber kepada kebijaksanaan. Allah ialah al-Hakim (yang Maha Bijaksana). Mengikut sejarah, Nabi Muhammad ketika kecil didatangi Malaikat membelah dada dan mengeluarkan semua perkara kotor dan mengisinya dengan iman dan kebijaksanaan. Sepanjang hidupnya, segala kata-kata, perbuatan dan taqrir Nabi Muhammad penuh kesempurnaan dan kebijaksanaan. Segala perkhabaran Nabi Muhammad tentang ajaran Islam adalah berdasarkan kebijaksanaan dan petunjuk Allah.

Menurut Sa‘id Ramadan al-Buti (68) dakwah Nabi ada empat peringkat, iaitu (1) peringkat dakwah secara rahsia (al-da’wah sirran) dan ia berkekalan sehingga tiga tahun, (2) peringkat dakwah terbuka (al-da’wah jahran), secara lisan dan kekal sehingga hijrah (3) peringkat dakwah terbuka beriringan dengan perjuangan bersenjata melawan penentang dakwah dan kekal sehingga Hudaybiyyah, dan terakhir (4) peringkat terbuka berserta dengan perjuangan secara jihad menentang mereka yang menyekat dakwah Islam. Peringkat-peringkat ini menggambarkan kebijaksanaan baginda dalam berdakwah.

Wahyu pertama turun pada 17 Ramadan  bersamaan dengan 6 Ogos 610, dan wahyu terputus selama 6 bulan menurut pendapat yang rajih. Nabi Muhammad menjadi resah sehingga turun wahyu menjelaskan tugas Nabi seterusnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berikanlah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dam ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah  engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!”(Surah al-Muddaththir: 1-7). Dengan ayat ini bermula dakwah secara rahsia dan tertutup kepada keluarga dan teman terdekat.

Selepas tiga tahun, wahyu seterusnya menyuruh Nabi berdakwah secara terbuka, iaitu: “oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Surah al-Hijr: 94). Di samping Allah juga menyuruh Nabi untuk memperingatkan kepada keluarga terdekat dan tidak mengesampingkan mereka: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang terdekat” (Surah al-Shu’ara ‘: 214). Ia tentu mempunyai hikmat kebijaksanaan tersendiri, sedang seruan dakwah secara umum sudah mencukupi.

Pada awal tiga tahun pertama di Makkah ini, fokus Nabi Muhammad hanya kepad mengajar secara peribadi, bertemu secara individu dengan sahabat rapat dan keluarganya. Kepada isterinya Khadijah dan rakan-rakannya, dia menggunakan sentuhan peribadi untuk bercakap dan menyampaikan mesej itu, sementara kepada saudara-saudaranya, dia menyampaikan mesej dakwah selepas menjemput mereka untuk makan dan berdakwah selepas mereka sudah menikmati juadah yang disediakan. Dari usaha tersebut beberapa orang telah menerima Islam termasuk isteri sendiri, Khadijah binti Khuwailid, sepupu ‘Ali ibn Abu Talib, anak angkat, Zaid ibn Harithah, sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq,’ Uthman ibn ‘Affan, al-Zubair ibn al-‘Awwam, ‘Abd al-Rahman ibn ‘Awf , Sa‘ad bin Abi  Waqqas dan lain-lain.

Selepas tiga tahun berdakwah secara rahsia bilangan umat Islam sudah mencapai tiga puluh orang terdiri lelaki dan perempuan, Nabi Muhammad memilih rumah al-Arqam ibn Abi Arqam untuk mengajarkan Islam kepada mereka. Berdakwah secara peribadi merupakan kebijaksanaan terutama apabila suasana masyarakat Jahilliyyah tidak mengizinkan Nabi berdakwah secara terbuka. Dengan itu tiada bantahan dan penganiayaan terhadap umat Islam dalam tempoh tiga tahun pertama. Da’wah pula lebih berkesan melalui cara individu dan bersemuka secara peribadi. Nabi Muhammad dapat menggerakkan hati para mad’u. Mad’u juga boleh bertanya secara bebas tanpa rasa malu atau takut. Selepas itu bilangan umat Islam bertambah menjadi 40 orang dengan golongan fakir dan hamba turut menganut Islam. Menurut al-Buti (1999: 69-70), kebanyakan fuqaha’ bersetuju apabila bilangan orang Islam kecil dan lemah, dan ada risiko untuk dimusnah, dakwah secara terbuka hendaklah ditinggalkan melihat kepada keselamatan nyawa umat Islam.

Undangan Makan Sebagai Dakwah bi-l-hikmah

Selepas menerima wahyu dari Surah al-Shu’ara’, ayat 214 supaya memberi amaran kepada saudara-mara beliau, Nabi Muhammad memilih untuk menjemput keluarga’ Abd al-Muttalib untuk menjamun selera di rumahnya seramai 40 orang termasuk Abu Lahab. Setelah para tetamu telah habis makan mereka, Nabi hendak memulakan bicara, tiba-tiba Abu Lahab mencelah dan berkata, “Mereka (yang hadir) ini adalah saudara-saudara bapakmu dan anak-anak keturunan dari saudara-saudara bapakmu. Maka (sekarang) berbicaralah! Dan hentikan penyelewenganmu (dari agamamu) itu. Jangan engkau menyerang agama kaummu. Jangan kau serahkan mereka  kepada kemarahan bangsa Arab keseluruhannya. Mereka (kaummu) tidak sanggup berperang dengan mereka. Kummu sudah tahu maksudmu, hendak merubah agama mereka. Tidak tersembunyi bagi mereka, apa urusanmu (yang sebenarnya), dan bahwa engkau mengajak mereka penyelewangan, (mengajak mereka) supaya keluar dari tradisi nenek moyang kita. Awaslah, jaga keselamatan dirimu dan keselamatan bapakmu. Ketahuilah bahwa bangsa Arab tidak akan membiarkanmu, (begitu saja). Tidak sukar bagi mereka untuk menyerangmu, dan membunuhmu. Kembalilah kepada agama bapakmu dan nenek moyangmu. Itulah lebih baik bagimu. Kalau tidak, kami akan penjarakan engkau sampai engkau sehat kembali dari penyakitmu itu, sehingga kami dapat melindungimu dari (kemurkaan) bangsa Arab. Kami lebih patut dan pantas mendidikmu dan sampai pikiranmu sehat kembali, sehingga engkau bebas dari penyakitmu. Keluarga lebih wajar untuk mendidikmu dan berhak untuk menangkapmu dan memenjarakanmu, bila engkau terus bertahan pada pendirianmu itu; dan itu lebih memudahkan bagimu dan bagi mereka, daripada apabila kaum Quraisy menerkammu dengan bantuan bangsa Aran (lainnya). Aku tidak pernah melihat seseorang mendatangkan malapetaka kepada keluarga bapaknya, seperti yang kau lakukan ini …” (M. Natsir, 2008: 184-86).

Nabi Muhammad hanya diam dan membiarkan sanak saudaranya pulang. Kemudian beliau menjemput kumpulan yang sama sekali lagi termasuk Abu Lahab untuk kali kedua. Kemudian dia berdiri dan berkata: “Kepada Allah pulang segala puji; aku puji Dia; aku mohon pertolongan kepadaNya; dan beriman kepadaNya; aku berserah diri kepadaNya. Aku naik saksi, bahwa tidak ada Tuhan yang patut disembah melainkan Dia, satu-satuNya; tidak ada sesuatu yang menyekutuiNya. Ada pun kemudian daripada itu, maka sesungguhnya seorang perintis (pawing), tidak akan menipu ahlinya. Andaikata aku (ini) menipu semua manusia, aku tidak akan menipu (keluargaku). Demi Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia; sesungguhnya aku ini adalah Utusan Allah kepadamu khususnya, dan kepada ummat manusia umumnya. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepadaku, supaya aku memanggil kamu kepadaNya, demi firmanNya: “Berilah peringtan kepada kaum keluragamu yang terdekat!” Aku panggil kamu kepada dua kalimat yang ringgan di lidah, berat ditimbangan, yakni: penyaksian bahwa tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan bahwa sesungguhnya aku adalah Utusan Allah! Dan demi Allah, kamu pasti akan mati; sebagaimana kamu tertidur, dan aku bangkit kembali, sebagaimana kamu terbangun; dan pasti kamu akan dipinta tanggung jawabmu atas apa yang kamu perbuat; dan kamu akan diberi ganjaran yang baik atas amalmu yang baik, dan yang buruk atas perbuatanmu yang buruk; dan sesungguhnya (disana) adalah surge yang kekal dan neraka yang kekal. Wahai keturunan Abdil Muttalib! Demi Allah aku tidak pernah melihat seorang pemuda membawa sesuatu yang lebih tinggi nilainya daripada apa yang kubawakan kepadamu (sekarang ini). Sesungguhnya kubawakan kepadamu kebaikan dunia dan kebaikan akhirat!” (Natsir, 2008: 189-92).

Peristiwa ini banyak pengajarannya. Antaranya, jemputan untuk makan dan kemudian menyampaikan mesej adalah salah satu cara yang paling bijak dalam berdakwah. Menurut Natsir (2008), peristiwa ini menunjukkan kemampuan Nabi memilih saat yang tepat, bila harus berdiam diri dan berbicara sehingga tercapai hasilnya. Nabi tidak bercakap apabila timbul kekecohan apabila Abu Lahab berbicara sehingga suasana terjejas. Nabi juga berusaha menyusun bicara secara ringkas, padat dengan hikmat dan rapi sehingga perbicaraan menjadi kuat, efektif dan indah.

Dakwah Terbuka (al-da’wah jahran) Secara Lisan dan Kekal Sehingga Hijrah

Selepas tahun ketiga, Nabi Muhammad memulakan secara terbuka ketika turunnya ayat 94 dari Surah al-Hijr yang disebutkan di atas.  Dalam ketaatan pada perintah ini, Nabi berkumpul di Quraysh sebelah bukit al-Safa. Baginda berdiri di atas bukit, dia bertanya kepada orang ramai, “Hai manusia! Sekiranya aku katakan di belakang bukit ini ada tentera yang siap menyerang kamu, adakah mempercayaiku? Mereka berkata,  “Kami percaya kerana tidak pernah kami mendengar anda bercakap sesuatu yang tidak benar.” Nabi meneruskan, “sesungguhnya aku adalah orang yang memberi pengingatan kepada daripada azab Allah yang maha pedih. Kemudian Abu Lahab bangun dan berkata, “ Celaka kamu, wahai Muhammad. Adakah kerana ini engkau kumpulkan kami. Kerana ini kami tinggalkan kerja-kerja kami dan kami dating ke sini?” Beliau kemudian menyuruh orang ramai beredar.

Beberapa pengajaran daripada kisah ini, iaitu sebagai nabi terakhir, Nabi Muhammad mempunyai kewajiban untuk menyampaikan pesanan secara terbuka setelah pengikut Islam mencapai jumlah tertentu. Dakwah pertamanya dalam terbuka penuh dengan kebijaksanaan kerana dia tidak menyampaikan mesej secara langsung, tetapi pertama kali menceritakan kepercayaan orangramai kepadanya sebelum menyampaikan isi kandung dakwah Islam.

Sepanjang 10 tahun dakwah terbuka, pelbagai penganiayaan & penderitaan telah melatih para sahabat untuk menjadi orang terbaik, dan mereka bersedia mengorbankan hidup, keluarga, harta benda dan segala sesuatu demi Islam. Melalui penderitaan yang tidak berdaya ini, asas “khayra ummah” telah diasaskan di Makkah. Malah Tuhan telah memilih Nabi untuk memberi amaran kepada Penghakiman yang terakhir di akhirat.

Setiap orang mesti menerima kebesaran Allah Tuhan atas mereka dan memperbaiki kehidupan mereka. Ini bermakna bahawa setiap orang perlu menunaikan ibadah kepada Tuhan, kerana menunaikan hak Allah, mengikuti segala bentuk ibadat yang ditentukan, memastikan akhlak mengikut akhlak yang baik dalam kehidupan individu dan sosial mereka.

Kesimpulan

Berdakwah merupakan kewajipan setiap Muslim. Ia ada metod-metod tertentu yang dinyatakan dalam al-Qur’an dan kita mendapati aplikasi dalam Sunnah Nabi. Selepas menyampaikan dakwah sebaiknya, setiap Muslim menyerahkan kepada Allah untuk memberi hidayah. Ini kerana Allah maha mengetahui dan hak memberi hidayah di tangan Allah. Dalam berdakwah, Muslim sepatut tidak merasa berputus asa apabila berlaku penolakan. Ini apabila penutup ayat ialah “Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mendapat hidayah pertunjuk.”

Rujukan

Al-Buti, Sa‘id Ramadan. (1999). Fiqh al-sirah al-nabawiyyah. Kaherah: Dar al-Salam

Lings, Martin. (1991). Muhammad: His Life based on the Earliest Sources. Cambridge: The Islamic Text Society

Natsir, M. (2008). Fiqhud Da’wah. Jakarta: Yayasan Capita Selecta dan Media Da’wah

Siddiqui, Abdul Hameed. (1999). The Life of Muhammad. Petaling Jaya: Islamic Book Trust

Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2012). Biografi Muhammad bin Abdullah. Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd

Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri, UIAM

Translate »