Sama ada sedar mahupun tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika sehingga menyebabkan perebutan dan pengekalan kuasa menjadi medan persaingan yang telah mencipta jurang persaudaraan dan kemanusiaan yang semakin lebar dan dalam. Sebagaimana dilihat oleh ramai pihak, mereka yang berada dalam dua kelompok berbeza saling menyalahkan antara satu sama lain dengan harapan apa yang ditimbulkan itu dapat mempengaruhi sokongan ramai.

Atas alasan itulah ada pihak yang menganggap politik itu sebagai seni pelbagai kemungkinan. Dari politik seseorang itu bukan lagi bertindak seperti apa yang diperjuangkan pada peringkat awal kemasukannya, tetapi lebih mencerminkan hakikat untuk mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun, termasuk berbelanja besar dan menggunakan kekerasan.

Insiden yang berlaku dalam negara kita sejak akhir-akhir ini membuktikan bahawa medan dan nilai politik sudah menjadi terlalu kotor, sehingga persahabatan menjadi musuh, manakala musuh bertukar menjadi sahabat yang saling memerlukan. Kedudukan politik menjadi semakin melupuskan jati diri malah menyebabkan seseorang itu sanggup pula mengorbankan diri bagi mempertahankan sesuatu secara mutlak.

Sebagaimana dirumuskan oleh pemikir falsafah politik Barat, politik hendaklah diukur dari aspek kekesanan pengaruh. Semakin berpengaruh seseorang itu, maka ia menjadi semakin kuat dan amat sukar untuk digugat. Bagaimanapun,  kenyataan adalah bersifat sementara, kerana dalam persekitaran sebenar tidak ada pemimpin politik yang mampu berkuasa sepanjang hayat dalam persekitaran politik moden.

Kelangsungan politik hanya boleh dilihat berkesan bagi sesuatu tempoh tertentu. Ia bagaikan situasi di mana kita melarutkan gula atau garam di dalam air. Setelah mencapai tahap tepu, gula tidak lagi akan larut, maka ia akhirnya dilihat sebagai laibiliti kepada negara.

Pada tahap yang dianggap laibiliti itulah rakyat mula menjadi bosan dan bencikan seseorang, walaupun pada pada peringkat awal kemunculannya ia dianggap sebagai seorang wira atau penyelamat. Setelah seseorang itu mencapai kekuasaan di peringkat puncak, ia akan mengheret kepada penyimpangan, sebagaimana diistilahkan berada di tahap mendaki turun. Maka ketika inilah seseorang pemimpin yang tidak membaca isyarat “perlu berundur” akan menghadapi pertembungan yang bakal mengheret rakyat ke kancah konflik,   permusuhan sesama sendiri.

Atas hakikat untuk mempertahankan kuasa, walaupun keadaan kuasa itu sudah menunjukkan kelemahan, persekitaran politik telah diadaptasikan sebagai medan perjuangan yang penuh tipu muslihat. Tentunya, perjuangan yang penuh muslihat itu akan mewarnakan imej politik sendiri sehingga menampakkan nilai-nilai yang kotor dan tidak bermoral. Dalam keadaan itulah adakalanya seseorang akan bertindak sejajar dengan falsafah “matlamat menghalalkan cara.”

Sesuatu yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila ada segelintir pemimpin politik menempelkan perjuangan peribadinya menggunakan selimut agama. Asap yang mengepul dalam gelanggang politik dimanifestasikan dengan petikan ajaran agama sehingga meyakinkan sesetengah orang bahawa apa yang sebut itu dilihat sebagai betul dan benar, sedangkan prosesnya adalah salah.

Sepanjang pilihan raya kecil baru-baru ini, kita ditaburkan dengan “selimut agama” bahawa tidak menyokong parti tertentu bermakna orang Islam berada dalam kancah jahiliyah. Apakah benar maksudnya? Kalau diselidiki fakta sejarah, kejahiliyahan seseorang itu ialah tingkah lakunya yang bertentangan dengan Islam, mengagung-agungkan peribadi seseorang malah tidak boleh menerima kebaikan orang lain. Dalam hal ini, jika seseorang itu mengambil keputusan tidak menyokong, bukan bererti mereka boleh dikategorikan sebagai jahiliyah.

Sifat masyarakat jahiliyah yang dikenali dalam sejarah Islam ialah suka membunuh, bergaduh, bertengkar, membuat tuduhan membuta-tuli, menyebarkan fitnah, maka bagi mereka yang menghindari tatakelakuan tersebut dan menjauhkan diri dari politik tersebut, ia masih tetap merupakan seorang Islam yang baik. Dia sebenarnya seorang yang benar-benar mendaulatkan Islam, ia memahami Islam itu bukan hanya sekadar kata-kata yang diucapkan, ia termasuk perbuatan dan menjaga tingkah laku.

Apabila agama dijadikan alat, maka nilai-nilai agama menjadi semakin rosak dan kekudusannya tidak dapat dipertahankan. Persoalannya sekarang mengapa politik begitu besar untuk diraih dalam persekitaran agama, sedangkan keuntungannya adalah hanya berbentuk sementara dan dalam jangka pendek. Pertanyaan yang kita pecahkan secara jujur ialah apakah mereka memasuki medan politik itu sebenarnya  untuk mengubah keadaan hidup seseorang secara material dari keadaan sederhana kepada keadaan yang istimewa, atau hanya sekadar menyelimutkan agenda yang lain?.

Dan mungkin juga mereka merasa terpanggil untuk merubah keadaan masyarakat ke arah yang lebih baik. Namun ini semuanya tidak berlaku, niat ikhlas ini berputar haluan tatkala berhadapan dengan kepelbagaian nikmat pencapaian material dan kebesaran kuasa politik. Malah dalam sesetengah keadaan, melupakan niat sebenar kerana sudah begitu seronok dengan kedudukan.

Niat merupakan sesuatu yang amat penting dalam mengawal aktiviti seseorang.Jika seseorang itu pada peringkat awalnya mempunyai niat yang mulia memasuki bidang politik, maka ia akan mendapat kemuliaan itu. Sebaliknya, jika niat yang diikrarkan itu bertukar pusingan arah mata angin,  maka ia akan memperoleh sesuatu yang buruk. Apa yang penting, sesuatu yang menentukan diri seseorang itu adalah hati.

Secara teori hati disebut al-qalb, mempunyai dua makna yang saling bertentangan, saling cabar mencabar dan berbolak-balik. Seperti halnya dengan al-qalb, seseorang yang terjun ke dunia politik mungkin saja boleh berdolak-dalih, bergerak ke arah yang sering bertentangan. Untuk ini, Rasulullah s.a.w pernah memberikan ingatan secara sinikal,   “Jika kelak Byzantium dan Parsi dalam genggaman tangan kamu, apa nanti yang akan kamu lakukan?” Sahabat menjawab, “Ya Rasulullah, kami akan bertawakkal kepada Allah dan menjaga kepentingan rakyat.” Rasulullah s.a.w meneruskan, “Ketahuilah, jika kelak dua kerajaan besar itu sudah kamu tundukkan, maka kamu akan mementingkan diri dan kelompok sendiri. Kamu akan berlumba-lumba mengejar kesenangan dunia. Setelah itu kamu akan berperang dengan saudara kamu. Kamu juga akan menjangka berperang dengan saudara kamu merupakan jihad di jalan Allah sehingga kamu akan binasa kecuali jika kamu bertawakal kepada Allah.”

Dialog Rasulullah s.a.w dengan para sahabat itu menunjukkan bahawa hati seseorang itu akan mudah berubah, berdolak-dalih setelah berhadapan dengan kesenangan dunia. Kesenangan dunia laksana arus sungai yang boleh menghanyutkan apa sahaja yang melintasinya. Seperti juga arus, sesuatu yang tidak dapat dihanyutkan ialah benda-benda yang mempunyai ikatan dasar yang kuat, maka mereka yang teguh pendirian dan kuat dengan perjuangan asal tidak akan mudah goyah meskipun ditawarkan dengan pelbagai kelebihan dan kesenangan.

Bahkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah menolah kesenangan yang ditawarkan kepada baginda, hatta dipertaruhkan dengan bulan dan bintang. Baginda meneruskan perjuangannya untuk melaksanakan dakwah Islam tanpa rasa takut dan gentar, kerana Rasullullah s.a.w bahawa itulah agama yang benar-benar diredhai oleh Allah s.w.t. Tawaran kesenangan harta benda tidak menjejaskan matlamat kenabian, tekal dengan perjuangan dan mantap dalam tindakan. Itulah pelana dakwah Islam yang telah menunjukkan kekuatan, sehingga mudah dan cepat berkembang.

Secara fakta kita melihat banyak orang yang mampu menjaga kedudukan niatnya dalam berpolitik dari awal sampai akhir. Melalui sentuhan lembut tangan-tangan mereka rakyat meneguk sedikit kebahgiaan hidup. Bagaimanapun, tidak sedikit di antaranya yang gagal mengawalnya. Bahkan merekalah salah satu sebab hancurnya sendi-sendi kehidupan masyarakat. Rakyat yang semula berada di buritan kesenangan duniawi bertambah merana kerana tingkah laku mereka.

Dunia para politik kita amat cenderung tunduk kepada kegemerlapan material. Dunia budaya politik kita semakin berjauhan daripada nilai-nilai kesederhanaan.  Tatkala rakyat membanting tulang dan berusaha gigih mencari sesuap nasi, tidak sedikit pun ahli politik datang memberikan semangat, bertanyakan khabar apakah hasil pada hari ini dapat menampung keperluan makanan sekeluarga untuk esok atau lusa? Kalau ada wakil rakyat yang datang pun hanyalah ketika musim pemilihan akan tiba, maka ketika itulah masing-masing mencari jalan menunjukkan keprihatinan yang mendalam.

Selepas musimnya, keadaan seperti asal kembali berulang, maka itulah ada yang meihat wakil rakyat hanya ketika menjelangnya pilihan raya.  Oleh sebab itu, meluruskan niat untuk terjun ke dunia politik mutlak diharuskan. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amal itu bergantung niatnya. Seseorang akan mendapatkan sesuatu berdasarkan niatnya itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh: Dr Subhi Zakaria

Translate »