Kehidupan yang aman dan damai menjadi cita-cita setiap orang. Oleh itu usaha mewujudkan perdamaian harus dilakukan oleh semua. Pertelingkahan dikalangan tokoh-tokoh politk berterusan tiada penghujung. Masyarakat akan menjadi haru-biru sekiranya pemimpin tidak mempunyai hati yang sejahtera, beremosi dan masih menaruh dendam kesumat terhadap saudara sesame Islam.
Perdamaian atau damai dalam bahasa al-Quran, biasanya ditunjuk dengan kata salam. Ia terulang dalam al-Quran sebanyak 42 kali, dalam pelbagai konteks. Di luar al-Quran, kata ini sangat popular, bukan sahaja di kalangan agamawan tetapi juga di kalangan ahli politik. Namun entah kenapa kata tersebut hanya mudah ditemui dalam ucapan dan tulisan tetapi amat sukar untuk dilihat dalam kenyataan.
Kita lupa doa yang sering kita baca setiap selesai solat yang bermaksud: Ya Allah Engkaulah yang Maha Damai, daripada Mu bersumber kedamaian dan kepada Mu kembali kedamaian. Hidupkanlah kami dalam kedamaian dan masukkanlah kami ke syurga negeri yang penuh kedamaian.
Namun itu semua belum cukup kuat untuk mendorong terciptanya perdamaian dan kesejahteraan dikalngan peminpin-peminpin politik hari ini.
Konsep mengenai ‘salam’ atau ‘damai’ memang sangat penting dan utama dalam Islam. Perkataan Islam sendiri bermakna “orang yang berdamai dengan Tuhan”. Dan Tuhan pun berdamai dengan orang tersebut. Maka orang tersebut akan memperolehi jalan selamat iaitu keadaan yang sejahtera bahawa kita mencapai qalb-un salim (hati yang sejahtera). Ada suatu gambaran nanti di akhirat bahawa tidak ada orang yang merasa tenteram kecuali mereka yang mempunyai hati yang utuh dan sejahtera.
Damai menjadi tujuan hidup setiap Muslim kerana Allah mengajak ke Dar Al-Salam (lihat Al-Quran Surah Yunus ayat 10). Tanpa Al-Salam, iaitu Allah SWT atau tanpa salam yang bererti “damai” dalam jiwa manusia serta dalam interaksinya maka segalanya akan rosak, bahkan tiada lagi kehidupan itu.
Kedamaian tidak mungkin tercipta dalam masyarakat sebelum ia disemai dalam diri individu itu sendiri. Bagaimana kita dapat memberi damai kalau kita sendiri tidak memilikinya?
Damai yang dikehendaki Islam bukan hanya yang bersifat lahiriah, tetapi juga batiniah, termasuk menghindarkan hati daripada segala aib dan kekurangan, dengki atau hasad, menghasut serta segala macam kehendak negatif terhadap pihak lain.
Demikian juga menurut Al-Ghazali: “Siapa yang selamat hatinya daripada hal-hal tersebut, maka akan selamat pula anggota badannya daripada segala kejahatan dan selamat pula hatinya daripada kesesatan dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang selamat”.
Membaca, menghayati dan mengamalkan petunjuk-petunjuk al-Quran adalah jalan memperolehi kedamaian. Ini kerana al-Quran adalah petunjuk yang diturunkan oleh Allah SWT yang menyatakan diri-Nya sebagai: Mengajak ke negeri yang damai (lihat al-Quran Surah Yunus ayat 10).
Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan perkara-perkara yang menjadikan umat ini bersatu dan saling mencintai. Antara sifat yang dilarang oleh Allah adalah prasangka buruk kepada mukmin.
Pada hakikat perbezaan aliran dalam politik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah Allah SWT menambahkan kepada seorang hamba dengan sebab maaf (yang dia berikan kepada orang yang menzalimi) kecuali kemuliaan.”
Sebagai panduan kita pada hari ini, Allah SWT mengajar hamba-Nya yang beriman apabila berhadapan dengan golongan kuffar dalam suasana peperangan. Antaranya firman-Nya yang bermaksud: Kiranya mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya (terima) cadangan itu. (Surah al-Anfal ayat 81).
Apatah lagi dalam keadaan perpecahan orang Melayu yang semakin kritikal, pelawaan untuk bersatu di antara sesama mereka seharusnya tidak menimbulkan pelbagai masalah malah menerimanya secara rasional.
Sehubungan itu, Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Sifat yang baik tidak sama dengan sifat yang buruk. Balaslah perlakuan yang tidak baik yang datang dari pihak lawan dengan perlakuan yang lebih baik. Perlakuan seperti itu akan membuat orang yang bermusuhan denganmu seolah-olah menjadi seorang teman yang setia. Perlakuan seperti itu (membalas kejahatan dengan kebaikan) hanya diberikan kepada orang yang mempunyai sifat sabar dan orang yang mempunyai banyak kebaikan dan kesempurnaan jiwa. (Surah Fusilat ayat 3)
Oleh: Aminah Mohd Shauki
Recent Comments