Himpunan ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’
TIDAK MUDAH MENGGANTI PEMIMPIN
Pada hakikatnya, pertelingkahan dan perselisihan faham dalam isu politik ialah perkara yang biasa dan kadangkala ia meningkat menjadi ‘menu’ wajib sebagai ‘rencah’ dalam panggung politik yang sentiasa ‘hidup’ dan dinamik. Sebab sekiranya persaingan dan perjuangan politik bertukar kepada keadaan statik, ia tidak hanya menjadikan sebagai ‘hidangan politik’ yang membosankan, akan tetapi situasi itu boleh menjadi membahayakan kepentingan rakyat am kerana keadaan ini menjadikan pemimpin terlena dan pada akhirnya mengakibatkan perancangan untuk mensejahterakan rakyat akan terabai dan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Walau bagaimanapun, sudah tentu bagi ‘menghidupkan’ gelanggang politik jangan lah sampai terlajak kepada hanya semata-mata memfokuskan kepada pergantian pemimpin sebagai tujuan utamanya. Tiada jaminan bila seorang pemimpin diganti, akan merubah dan membaiki segala persoalan dan isu-isu yang dibangkitkan. Pergantian pemimpin secara tiba-tiba, tidak berdasarkan konsensus dan boleh diterima oleh semua pihak, hanya akan mencetuskan situasi hura-hara (chaos) yang hanya mendatangkan kemudaratan lebih besar dengan rakyat jelatalah yang paling besar terkena tempiasnya.
Dalam hal ini, menarik kiranya kita mengambil pandangan al Ghazali mengenai cara menangani kepimpinan ‘bermasalah’. Menurut tokoh yang digelari sebagai ‘hujjatul Islam’ itu, pemimpin bermasalah dan bahkan pemimpin zalim pun tidak boleh ditukar secara sewenang-wenangnya tanpa mempertimbangkan kerosakan dan kekacauan yang bakal timbul. Menurut al Ghazali pendekatan revolusi dan radikal bagi mengganti pemimpin perlu dielakkan. Sebaliknya, al Ghazali menekankan prinsip nasihat dan rundingan sebagai kaedah untuk meluruskan pemimpin ke landasan yang benar dan diridai.
Keutamaan untuk memilih mengekalkan suasana kondusif dan mengelakkan kekacauan sebagaimana yang dianjurkan al Ghazali bukannya tanpa asas. Perkara ini turut disentuh oleh pendapat popular Ibn Taimiyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar’iyyah yang menyatakan “enam puluh tahun di bawah pemerintahan zalim lebih baik dari satu malam tanpa pemerintahan”. Negara tanpa ada kerajaan dan pemimpin, akan menyebabkan kekacauan. Ini bermakna, menciptakan keadaan sosio-politik yang stabil, damai, harmoni, meletakkan nilai maslahah ‘ammah (kepentingan am) sebagai segala-galanya, lebih diutamakan berbanding merombak dan menukar kepimpinan yang zalim sekalipun, akan tetapi natijahnya menciptakan keadaan ketidakstabilan negara, huru-hara, kekacauan dan krisis yang berpanjangan.
Rasulullah SAW pernah ditanya, apakah kita harus memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi Muhammad SAW menjawab menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang pemerintah dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah itu tetapi tetap tidak melepaskan ketaatan kepada pemerintah tersebut” (Riwayat Muslim).
Apa yang berlaku di Timur Tengah menjadi contoh konkrit kepada situasi yang diakibatkan oleh pergaduhan politik, perebutan kuasa dan nafsu untuk menumbangkan pemimpin yang dianggap menyeleweng. Bukan dilakukan dengan cara nasihat dan rundingan dengan cara santun yang diistilahkan dalam Al Quran wa jaadilhum billati hiya ahsan (berdiskusi dengan cara yang bijaksana). Hakikatnya, kemunculan gerakan militan IS bukan sepenuhnya dilatari oleh keinginan menubuhkan negara Islam menurut versi mereka. Sebaliknya, kemunculan IS berpunca kepada berlakunya kekacauan dan ketiadaan pemimpin negara yang stabil, kuat dan berupaya dalam mengatasi krisis yang berlaku. Kewujudan IS merupakan cerminan daripada kekosongan ‘kuasa negara’ yang diakibatkan oleh perebutan kekuasaan sehingga dengan mudah negara dibolosi oleh elemen lain yang pada masa sama mempunyai kekuatan menubuhkan ‘negara dalam negara’.
Perkara ini lah yang harus dibayar mahal oleh negara yang kacau, tidak stabil, lemah dan tidak berupaya mengatasi krisis yang berlaku disebabkan lebih mengutamakan idealisme kepimpinan negara. Perebutan dan pertelingkahan kuasa yang tidak diimbangi dengan kebijaksanaan dan meletakkan kepentingan maslahah umat sebagai asas, pada gilirannya hanya akan menyengsarakan rakyat jelata. Dalam hal ini, Nabi memberi petunjuk bahawa dalam memilih pemimpin bukan hanya berdasarkan idealisme atau memimpikan pemimpin yang terbaik, akan tetapi atas pertimbangan fi ba’d al syarri khiyar (dalam yang buruk pun ada pilihan).
Ramai terpedaya dengan impian mencari pemimpin ideal kononnya merupakan perkara prinsip yang tidak boleh dikompromikan lagi. Walhal, isu ini sebenarnya mereka tenggelam kepada lamunan keutamaan dalam mencari pilihan. Hal ini akan mencetuskan situasi yang membahayakan umat apabila diheret kepada terbentuknya pemikiran furu’ (cabang) dijadikan isu usul (pokok).
Apa yang berlaku dalam konteks hari ini, boleh jadi tidak hanya melibatkan pemimpin tertentu, tetapi merupakan isu sistemik yang melibatkan banyak pihak terutama dalam konteks bagaimana kita memperbetulkan ‘nawaitu’ seseorang ketika terjun ke kancah politik sama ada berdasarkan semata-mata kepada meraih status, jawatan menteri, sebagai YB, habuan politik dan projek, liputan bagaikan selebriti dan sebagainya. Oleh sebab itu, ramai yang terperangkap dengan permainan politik sehingga sanggup bertindak ala Machiavellian yang menghalalkan segala cara bagi memenuhi kehendak dan nafsu politiknya.
Tidak ramai ahli politik yang memutuskan untuk terjun ke dunia politik diinsafi oleh kesedaran bahawa sesungguhnya politik amat mulia dan merupakan salah satu tuntutan agama. Politik, dalam bahasa Al Quran diterjemahkan sebagai manifestasi tugas manusia dalam kapasitinya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. Dengan politik dan kuasa yang ada di genggamannya, seorang khalifah atau pemimpin tidak hanya melaksanakan perintah agamanya, akan tetapi dengan politik ia dapat memakmurkan negara, mensejahterakan rakyat, membanteras kemungkaran, memerangi rasuah, menghukum pengkhianat kerajaan, menyekat sebarang bentuk penyelewengan. Dengan politik, kerajaan boleh menciptakan tadbir urus yang baik, menerapkan ketelusan dalam pentadbiran dan yang paling penting menjadi delegasi utama dalam memartabatkan Islam dalam segala aspek kehidupan manusia.
Tidak semudah itu untuk menjadi pemimpin politik, malah ada di kalangan kita yang suka meminta minta jawatan walhal ia tidak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut. Nabi saw pernah menegur sahabatnya Abdul Rahman bin Samurah agar jangan meminta jawatan saperti mana dalam sabdanya yang bermaksud:”Wahai Abdul Rahman Bin Samurah ,janganlah kamu meminta kedudukan dalam pemerentahan. Sungguh, jika kau diserahi satu jawatan tanpa meminta, maka kamu akan ditolong oleh Allah. Tetapi jika kau diserahi jawatan itu kerana permintaanmu, maka semua risiko akan terpikul oleh kamu sendiri” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Al Ghazali mengatakan punca kejatuhan pemimpin disebabkan kecuaiannya dalam mengelola kerajaan yang dipimpinnya. Dalam salah satu karyanya, Al Ghazali pernah berdialog dengan bekas pemimpin yang jatuh dan ditanya, “Apa punca kekuasaanmu musnah dan berpindah ke orang lain”? Bekas pemimpin itu menjawab, “aku tertipu oleh kekuasaan dan kekuatan yang aku miliki. Aku melupakan mesyuarat, mengalihkan tugasan kepada pegawai yang tiada pengalaman dan menafikan pegawai kanan. Aku mensia-siakan peluang dan kesempatan yang diberikan dan tidak pula melaksanakan pada saat yang diperlukan. Al Ghazali bertanya lagi, “apakah perkara yang paling menimbulkan keburukan?” bekas penguasa berkata “iaitu pegawai yang tidak jujur, berkhianat dalam menyampaikan risalah kerana kepentingan perut mereka sendiri, betapa banyak kerajaan hancur kerana ulah mereka”.
Iktibar daripada kisah itu menjelaskan kepada kita bahawa perpaduan antara kelemahan ketara seorang pemimpin dan kurangnya penghayatan yang mendalam di kalangan ahli politik mengenai tujuan asas berpolitik akan membawa kepada kehancuran negara. Pemimpin yang tidak kukuh asas imannya menurut al Ghazali akan membawa pemimpin itu menjadi sombong (takabbur). Sombong merupakan penyakit hati yang paling bahaya kerana akan mendorong pemimpin itu sanggup merebut kekuasaan sekalipun dengan pertumpahan darah.
Hakikatnya, politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat Islam ke dalam konflik yang memecah belahkan persatuan dan kesatuan umat. Situasi ini lah yang menjadi keprihatinan ikon dakwah terkemuka Hasan al Banna dalam karyanya Majmu’ah Rasail yang menyatakan bahawa perpecahan umat merupakan bentuk kekalahan ukhuwah imaniah yang disebabkan oleh kerakusan mengejar jawatan dan materi dunia yang fana.
Dalam konteks ini Allah memerintahkan Rasulullah untuk menyampaikan pernyataan tegas berikut melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan daripada siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki, dalam tangan-Mu segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu,” (Surah Ali-Imran ayat 26).
Oleh: Dr Alies Anor Abdul
Recent Comments