Himpunan ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’
JANGAN MENYERUPAI SIFAT KHAWARIJ
Sayidina Ali Bin Abi Talib khalifah Islam keempat ditikam dengan pedang beracun ketika solat subuh di Masjid. Yang menikamnya bukan orang kafir melainkan seorang muslim yang hafal Al-Quran. Namanya Abdul Rahman ibn Muljam salah seorang dari golongan Khawarij. Tidak pernah terbayang ada kumpulan yang atas nama Islam sanggup menikam khalifah umat Islam dalam keadaan sujud. Bayangkan yang dibunuh bukan manusia biasa tetapi khalifah Islam dan dijamin masuk syurga dan juga merupakan generasi muda pertama yang masuk Islam.
Inilah akibat ketaksuban yang menganggap dirinya lebih Islam dan orang lain kafir serta tidak sehaluan dari segi politik.
Kelompok Khawarij ini memiliki beberapa ciri yang perlu kita waspadai. Ciri pertama kelompok ini menempatkan politik atas kemanusiaan. Sifat mereka sangat keras dan sukar untuk diajak berdamai. Mereka rela menumpahkan darah demi mencapai cita-cita politik mereka. Pada hal Islam mengajarkan meletakan kemanusiaan diatas segala-galanya. ”Siapa yang bukan saudaramu dalam agama adalah saudaramu dalam kemanusiaan” kata Sayidina Ali. Allah sangat mengagungkan nyawa satu manusia yang disetarakan dengan seluruh manusia. Namun orang-orang Khawarij sanggup mengadaikan kemanusiaan demi nafsu politiknya.
Ciri kedua kumpulan khawarij ini adalah mereka gemar mengkafirkan orang lain. Mereka berparadigma takfiri.
Ciri ketiga kelompok khawarij adalah mereka sangat fanatik terhadap apa yang mereka anggap benar. Dan siapa saja yang salah sudah pasti kafir. Dan siapa yang kafir maka halal darahnya. Kita dilarang bersikap fanatik terhadap apa yang menurut kita benar kerana kebenaran yang sejati hanya milik Allah dan Rasulnya.
Ciri keempat adalah mereka meletakkan kekerasan sebagai jalan menyelesaikan suatu masalah. Ini juga menyerupai sifat Khawarij.
Kita harus mengetahui dan menpelajari sifat Khawarij ini untuk memastikan paradigm serta ciri-cirinya tidak ada dalam diri kita. Pada hal Islam dengan nyata membezakan antara tegas dan keras. Islam agama yang tegas tetapi tidak keras. Nabi adalah peribadi yang tegas tapi tidak keras. Nabi bahkan dikenal sangat lemah lembut. Jadi islam itu lemah lembut, damai bukan keras.
Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang mendorong serta menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut. Yang anehnya situasi begini kadang-kadang mendorong sesetengah pergerakan Islam hari ini cuba menampilkan keperibadian seorang insan daripada kalangan orang yang warak. Tetapi hakikatnya mereka melampau daripada batas keadilan dan kasih sayang.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada seseorang, tetapi Dia akan mencabut ilmu dengan cara mematikan para ulama, apabila tidak ada lagi ulama, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang jahil. Ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, lalu mereka memberi fatwa tanpa ilmu. Akhirnya mereka menjadi sesat lagi menyesatkan.
Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ekstrem. Rasulullah s.a.w berjaya meletakkan prinsip-prinsip yang bijaksana dalam menunjukkan sikap kesederhanaannya. Demikian juga para ulama salaf yang mengamalkan dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat.
Golongan pelampau agama saperti Khawarij ini merupakan orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Ia merupakan satu tindakan yang terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam.
Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. (Riwayat Ahmad, Nasai, Ibn Majah dan Al-Hakim).
Biasanya golongan pelampau agama dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama. Namun golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya.
Maka inilah taksub yang dibenci di mana ia merasakan dirinya sahaja yang betul, menolak pendapat yang selain daripadanya. Golongan pelampau agama lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Allah s.w.t memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekasaran. Al-Quran tidak pernah menyebut perihal perlakuan yang kasar dan keras kecuali dalam dua keadaan iaitu ketika di medan perang dan berhadapan dengan musuh, dan sewaktu melaksanakan hukuman yang disyariatkan ke atas orang yang berhak menerima hukuman dan tidak boleh merasa belas kasihan dalam menjalankan hukuman hudud. Umpamanya berzina, apabila cukup empat orang saksi yang beriman yang dapat membuktikan secara sahih, barulah pelaksanaan hukuman hudud harus dilaksanakan.
Sudah menjadi tabiat golongan pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap orang lain serta memandang mereka dengan pandangan yang negatif. Berburuk sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama membesar-besarkan keburukan orang.
Kemuncak kepada ciri-ciri melampau dalam agama ialah mereka menggugurkan hak Muslim yang lain sehingga ke tahap menghalalkan darah sepertimana golongan Khawarij yang mengkafirkan semua orang yang tidak sependapat dengannya pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib. Mereka ini adalah golongan yang paling taat menyembah Allah, berpuasa, mendirikan sembahyang dan membaca al-Quran. Tetapi mereka telah rosak dari segi ideologi dan bukannya jasmani.
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments