Sudah seminggu kita meninggalkan tarikh keramat, walaupun ada pertikaian mengenai perihal kemerdekaan negara. Ada pendapat mengatakan Tanah Melayu bukanlah sebuah negara yang dijajah, tetapi sebuah negara yang berada di bawah naungan British. British tidak pernah merampas Tanah Melayu sebagaimana Sepanyol merampas Filipina atau ditakluk oleh mana-mana kuasa asing kecuali sejarah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, menerusi serangan dan pembunuhan.

Tanah Melayu dikuasai oleh British menerusi perjanjian kerjasama antara Belanda dan Inggeris. Sebelumnya, British memajak Pulau Pinang dan Seberang Perai (Province Wellesley). British dan Belanda membuat pembahagian kawasan bagi mengelakkan antara kuasa-kuasa penjajahan berperang sesama sendiri. Itu kata pendapat seseorang yang cuba menolak sejarah arus perdana yang diyakini bahawa Tanah Melayu adalah tanah jajahan British selama 171 tahun (1786-1957).

Alasan yang lainnya, jika Tanah Melayu dijajah, tentunya British akan menghapuskan sistem politik lokal dan digantikan dengan sistem pemerintahan British sepenuhnya. Ini tidak berlaku di Tanah Melayu, sistem bekerajaan yang sudah lama menjadi teras dunia Melayu dikekalkan, cuma kuasanya dihadkan dalam hal ehwal agama dan adat resam orang Melayu.

Hukum-hakam perkahwinan orang Melayu diletak di bawah undang-undang syariah (undang-undang keluarga Islam), manakala undang-undang yang lain menggunapakai sistem perundangan British, yang telah diubahsuai pelaksanaannya di India.

Walau apapun alasannya, setiap tahun kita meraikan ulang tahun kemerdekaan dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Selain mengulangi acara menaikan Jalur Gemilang sebagai gantu Union Jack. Selain perarakan pada hari sambutan, sekurang-kurangnya telah dibina semangat patriotik itu sebaik sahaja memasuki bulan Ogos, yakni selepas kita menyambut Hari Pahlawan (31 Julai).

Pada Hari Pahlawan, selain perarakan anggota keselamatan – tentera dan polis, juga rela – diletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara, yang melambangkan jasa dan pengorbanan dalam memperjuangkan tanah air. Sesuatu yang wajar kita ingat dan jadikan ia sebagai pengekalan semangat patriotik, selain daripada mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda nasionalis (sayang dan bersedia pertahankan negara).

Kini, sudah 66 tahun Tanah Melayu merdeka, dan pada 16 September 2023 bermakna suatu gabungan yang lebih besar, yakni Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-60. Jika seseorang itu lahir pada hari pembentukan Malaysia (16 September 1963), bererti kita sambutan itu dirinya sudah memasuki kelompok warga emas, atau yang bersara. Bagaimanapun, kategori umur warga emas telah dinaikkan daripada 60 ke 65 tahun.

Saya yang lahir pada tahun Tanah Melayu merdeka, memasuki umur 66 tahun pada tahun ini. Ertinya, saya sudah melewati umur minimum ‘warga emas’, dan ketika Malaysia berada pada tahap negara tua, jika dipanjangkan umur, saya akan berusia 73 tahun.

Purata jangka hayat rakyat Malaysia masa kini bagi lelaki ialah 70.8 tahun (2020), yakni turun sembilan bulan daripada tahun 2019 (71.7 tahun). Wanita ialah 75.6 tahun (2020), turun lapan bulan daripada 76.8 tahun (2019). Ada banyak sebab kenapa jangka hayat rakyat Malaysia menurun, antaranya, wabak penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

Wabak berjangkit yang paling meresahkan ialah COVID-19 yang mula dikesan pada awal 2020 di Malaysia, yang dikatakan bermula daripada Wuhan, China. Wabak itu mula dikesan kes pertamanya pada bulan Oktober 2019, yang kemudiannya menjadi kebimbangan antarabangsa sehingga berlaku penutupan pintu sempadan di beberapa buah negara.

Setakat ini (sehingga 30 Disember 2022), dianggarkan lebih 6.7 juta kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia (Berita Harian, 30 Disember 2022) manakala di Malaysia membabitkan lebih 37,000 kes kematian. Kematian keseluruhan akibat COVID-19 sehingga 26 April 2023 dianggarkan berjumlah 6.9 juta kes, dan kadar kematiannya semakin menurun. (Sinar Harian, 27 April 2023).

Selain itu, Malaysia turut berhadapan dengan kematian akibat Denggi. Bagi Minggu Epidemionlogi ke-31 (3 Julai hingga 5 Ogos 2023) terdapat 2,542 kes berbanding 2,427 kes pada minggu sebelumnya. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, kumulatif kes demam denggi dicatatkan setakat ini 71,193 kes berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan 118.9 peratus atau 38,672 kes. (Astro Awani, 16 Ogos 2023).

Denggi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh gigitan nyamuk aedes, yang membiak dalam persekitaran kawasan perumahan, yakni dalam takungan air bersih tanpa kita sedar. Apa yang perlu dilakukan ialah menjaga kebersihan persekitaran, dalam rumah dan juga longkang yang ada di sekitar kawasan rumah selain memerhatikan bekas-bekas plastik, kaca dan pokok-pokok yang boleh menjadi tempat air bertakung.

Penyakit yang tidak berjangkit menyebabkan kematian yang tinggi di Malaysia ialah diabetes, darah tinggi, jantung dan kanser. Diabetes secara purata menyebabkan kematian 100 kes sehari, atau hampir 35,000 kematian setiap tahun.

Dianggarkan sejumlah hampir 7 juta penduduk Malaysia menghidap penyakit darah tinggi, dan merupakan tertinggi di ASEAN. Tiga daripada lima orang yang berumur 60-an menghidap darah tinggi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, hipertensi (darah tinggi) adalah satu-satunya faktor risiko menyebabkan kematian di Malaysia, khususnya kematian pramatang), diikuti risiko merokok bagi lelaki.(Harian Metro, 3 Julai 2020).

Jantung, menyebabkan purata kematian sejumlah 50 kes sehari. Hampir 80 peratus kematian disebabkan oleh perubahan gaya hidup, seperti kurang bersenam secara berterusan, mengambil makanan berlemak, merokok, minum alkohol, tekanan darah tinggi, diabetes dan kolestrol tinggi.

Serangan jantung kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia, di mana pada tahun 2018 melibatkan kematian 117,031 kes.

Faktor kematian kedua tertinggi (2018) ialah pneumonia (11.8 peratus), diikuti serebrovaskular (7.8 peratus), kemalangan kenderaan (3.7 peratus) dan cronis lower respiratory diseases (2.6 peratus). Kanser semakin menjadi punca kematian rakyat Malaysia yang semakin meningkat di mana satu daripada empat penduduk berisiko menghidapnya pada usia 75 tahun (Berita Harian, 20 Ogos 2019).

Obesiti menjadi punca menyebabkan 13 jenis kanser manakala merokok menyebabkan kanser paru-paru, yang menjadi punca kematian 30 peratus kematian akibat kanser. Antara kanser yang paling banyak menyebabkan kematian ialah kanser usus, kanser darah (leukimia dan limfoma), kanser payu dara, kanser rahim, kanser tulang, kanser tulang dan sebagainya.

Berdasarkan perangkaan, Malaysia sedang menuju ke negara tua. Maksudnya, negara tua ialah negara yang mempunyai jumlah penduduk ‘warga emas’ mencecah 15 peratus daripada keseluruhan penduduk. Ia dijangka akan sampai ke tahap itu pada tahun 2030, iaitu tujuh tahun lagi.

Ketika itu penduduk Malaysia diramalkan berjumlah 36 juta. Ini bermakna ada 5.4 juga ‘warga emas’ pada tahun 2030. Ketika ini, jumlah warga emas ialah 2.5 juta (7.3 peratus, suku kedua 2023). Ini bermakna, Malaysia perlu bersedia untuk menyediakan kemudahan untuk menampung keperluan warga tua yang semakin meningkat sebelum benar-benar menuju Negara Tua.

Apa yang diramalkan akan berlaku pada tahun 2030? PAda tahun itu, China diramalkan sebagai negara kuasa ekonomi dunia menggantikan hegemoni Amerika Syarikat dengan penghasilan (KDNK) berjumlah USD 38.008 trilion. Amerika Syarikat jatuh ke tangga kedua dengan USD $23.475 trilion, yang diikuti oleh India (USD 19.511 trilion), Jepun (USD $5.606 trilion), Indonesia (USD 5.424 trilion), Rusia (USD 4.736 trilion), Jerman (USD 4.707 trilion), Brazil (USD 4.439 trilion), Mexico (USD 3.661 trilion), United Kingdom (USD 3.638 trtilion), Perancis (USD 3.377 trilion), Turkiye (USD 2.996 trilion), Arab Saudi (USD 2.755 trilion, Korea Selatan (USD 2.651 trilion), Itali (USD 2.541 trilion), Iran (USD 2.354 trilion), Sepanyol (USD 2.159 trilion), Kanada (USD 2.141 trilion), Mesir (USD 2.049 trilion), Pakistan (USD 1.868 trtilion), dan Nigeria (USD 1.794 trilion).

Ini bermakna, pada tahun 2030, Malaysia tidak termasuk dalam kalangan 21 buah negara yang terkuat ekonominya, bahkan lebih rendah daripada Thailand, Vietnam dan Filipina. Indonesia merupakan negara yang sangat terkedepan di Asia Tenggara, malah berjaya mengalahkan Singapura yang sebelum ini dianggap sebagai sebuah negara yang paling pesat pertumbuhan ekonomi, kaya dan berpendapatan tinggi. Pada masa sekarang telah muncul beberapa berita menyindir kedudukan ekonomi Malaysia, termasuk keangkuhan beberapa laporan media yang tular di media sosial bahawa suatu hari, Malaysia terpaksa menerima kenyataan pedih itu.

Kenapa Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina mampu menyaingi Malaysia? Pertama ialah kestabilan politik yang mereka nikmati membolehkan pelaburan asing cepat meningkat. Kedua, kerajaan masing-masing memperhebatkan pelaburan infrastruktur asas, selain menawarkan insentif pelaburan yang menarik.

Ketiga, mempunyai sumber kepakaran dan tenaga manusia yang ramai, tidak perlu bergantung kepada buruh asing. Keempat, digerakkan oleh rakyatnya sendiri untuk mencari kekayaan secara gigih dan berani mencuba. Kelima, meneroka potensi bidang-bidang baharu dengan penciptaan dan inovasi tempatan. Keenam, tegas dalam pembasmian rasuah, salah guna kuasa dan kuatkuasa undang-undang untuk melahirkan persaingan perniagaan yang sihat.

Ia berbeza dengan Malaysia. Iklim politiknya semakin sehari semakin menyebabkan para pelabur hilang keyakinan melabur sejak kekalahan BN pada PRU ke-14 (2018). Sebaik sahaja BN kalah, berlaku penurunan mata wang yang ketara sehingga kini belum pulih, malah kehilangan nilai sehingga 80 sen bagi setiap dolar. Begitu juga dengan pengaliran keluar modal asing dan juga wang ke luar negara.

Dianggarkan ratusan juta ringgit sebulan wang keluar negara melalui kiriman wang oleh pekerja asing, yang mana wang tersebut ikut menjana ekuatan ekonomi domestik negara-negara terbabit, seperti Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Vietnam, Thailand dan Nepal.

Pada masa ini, kita mendapati ramai pendatang asing membuka ruang perniagaan di Malaysia, walaupun mereka sebenarnya tidak dibenarkan berbuat demikian. Mereka sanggup menggunakan lesen perniagaan milik rakyat tempatan, sama ada dengan berkahwin dengan rakyat tempata, menyewa atau memajaknya. Kita mungkin ingat dengan kes ada warga asing sanggup berkahwin dengan wanita tempatan hanya kerana ingin mendapat kemudahan menyewa premis dan mendapatkan lesen perniagaan, termasuk dalam kalangan pengusaha restoran, peruncitan dan sebagainya.

Kalau dahulu, kita mungkin ingat bagaimana warga Pakistan atau India keliling kampung menjaja karpet, pakaian dan sebagainya dengan menggunakan basikal dan motosikal. Mereka memberikan rakyat tempatan untuk membayar secara ansuran. Kini, sebahagian mereka sudah memiliki perniagaan yang lebih baik, termasuk premis perniagaan di pekan atau bandar, sehingga menjadi kaya raya dengan kecekapan tersebut.

Saya mempunyai kisah seorang warga Bangladesh yang telah masuk ke Malaysia sejak berumur 14 tahun. Ketika memasuki ke negara ini, warga Bangladesh itu menjadi seorang pekerja di sebuah kedai runcit, dan kemudian dijadikan anak angkat kepada sebuah keluarga di Kelantan. Setelah berumur 20 tahun, pemuda Bangladesh itu bekerja di Terengganu, dan mula berjinak-jinak dengan perniagaan membekalkan barangan dan perkhidmatan dengan seorang peniaga tempatan. Ketika berumur 24 tahun, pemuda Bangladesh itu berkahwin dengan seorang wanita kelahiran Dungun Terengganu.

Hasil usaha gigihnya, dia menggunakan isterinya untuk mendapatkan lesen perniagaan. Semasa berumur 27 tahun, dia dan isterinya pindah ke Johor Bahru dan membuka sebuah kedai runcit. Tahun lalu (2022), premis perniagaan runcitnya telah berkembang menjadi lima buah, yang kebanyakannya menjadi tumpuan pekerja Bangladesh.

Tahun itu juga dia telah membeli sebuah banglo berharga RM 1.4 juta di Johor Bahru. Beliau juga mempunyai beberapa unit rumah di Johor Bahru, dan kesemuanya dibeli atas nama syarikat dan mana isterinya. Setiap dua tahun, dia akan menukar kereta.

Awal tahun ini, saya pernah berkunjung ke rumahnya di Johor Bahru. Itu hanyalah secara kebetulan kerana saya diminta untuk menjadi wakil dirinya untuk ‘meminang seorang janda’, yang menjadi kekasih gelapnya sejak dua tahun lalu. Salah seorang ahli keluarga “janda” tersebut ada hubungan dengan salah seorang menantu saya, di mana jika lelaki Bangladesh itu datang ke Kuala Lumpur, dia pasti akan bertandang ke rumah saya walaupun sebentar. Lelaki Bangladesh itu berhasrat untuk berpoligami, namun, isteri pertamanya seperti tidak membenarkan.

Dilema itu sangat besar, jika menceraikan isteri pertama, bererti dia akan kehilangan aset-aset yang dikumpulkan bertahun lamanya. Semua aset dibeli atas nama syarikat dan isteri pertama. Dengan isteri pertama, mereka memiliki lima orang anak, yang berumur antara 1 hingga 17 tahun. Kini, umur lelaki Bangladesh itu sekitar 47 tahun. Ini bererti beliau sudah berada di negara ini selama 33 tahun.

Setiap tahun dia akan pulang beberapa hari ke Bangladesh (dipinggir bandar Daka) untuk membolehkan kebenaran tinggal di Malaysia untuk tempoh setahun lagi. Selain itu, syarikatnya juga mengambil buruh dari Bangladesh untuk bekerja di kedai runcit dan beberapa bidang perniagaannya, yang khabarnya turut mempunyai sebuah pejabat di Seri Kembangan, Selangor.

Dia berhasrat berkahwin dengan ‘janda’ berkenaan atas kepentingan perniagaan. Mereka mempunyai sebuah syarikat dalam projek-projek kecil membekal dan menyediakan perkhidmatan kepada sektor awam. Syarikat tersebut dikendalikan oleh ‘janda’ itu, yang mana modal dan pengurusan harian dilakukan bersama. Hingga kini, perkahwinan mereka masih terhalang, bahkan ada cadangan untuk berkahwin di Thailand. Saya menasihati ‘janda’ itu agar tidak berbuat demikian, kerana risikonya cukup besar.

Saya mengambil kisah itu untuk menyedarkan masyarakat tempatan bahawa warga asing akan melakukan apa sahaja demi mencari kekayaan di bumi bertuah ini. Ia berbeza dengan sikap dan budaya masyarakat tempatan, selain kurang cekap berusaha mencari kekayaan, juga mudah ‘jatuh cinta’ dengan warga asing. Ini kerana, kerajinan pekerja asing bekerja membolehkan mereka memiliki wang.

Setelah merasakan peluang lebih terbuka di Malaysia, mereka memasang angan-angan untuk berkahwin dengan rakyat tempatan. Dengan perkahwinan itu mereka jadikan alasan untuk terus kekal berniaga atau meraih rezeki di Malaysia, walaupun terpaksa menggunakan pelbagai helah dan ada yang sanggup ‘membeli MyKad’ dan juga menyogok pihak berkuasa untuk tidak menyita perniagaannya. Secara sah, dia memiliki lesen perniagaan atas nama rakyat tempatan, namun ada juga yang tidak memilikinya, tetapi terus berniaga secara haram.

Umumnya, setelah merdeka 66 tahun, semakin hampir menuju ke negara tua, Malaysia berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga sedikit sebanyak telah menyebabkan penguncupan pertumbuhan ekonomi, manakala negara-negara yang pernah dikategorikan sebagai ‘miskin’ kini semakin berjaya mengatasi keupayaan Malaysia.

Persoalannya, kenapa ini berlaku? Asasnya kerana keadaan politik di Malaysia semakin tidak menentu kerana setiap hari ada sahaja perbalahan politik berlaku. Ironinya, perbalahan ini dilihat cukup tajam dalam kalangan orang Melayu, atas nama agama, bangsa dan negara. Atas nama bangsa Melayu, dua parti utama cukup lama bersengketa sehingga menimbulkan krisis moral dan juga berkembang kepada persoalan akidah, hanya kerana berbeza fahaman kepartian.

Satu pihak dilihat tidak Islamik kerana tidak menggunakan Islam sebagai jenama politik. Atas sifat itu, maka mereka yang meyokong dan mendokong parti yang tidak ada istilah Islam sebagai jenama dikategorikan sebagai kafir. Lebih mendukacitakan apabila mereka yang menjadi penyokong parti yang tidak berjenamakan Islam itu dilabelkan pula sebagai ‘musuh- musuh Allah’ dan ‘menentang perjuangan Islam’.

Persoalan tersebut kini memasuki ruang mahkamah apabila yang kena tuduh mendesak agar yang menuduh memohon maaf. Pihak yang menuduh enggan memohon maaf, maka tindakan selanjutnya ialah memfailkan saman. Orang yang menuduh kemudian memfailkan saman apabila hal itu ditafsirkan sebagai sesuatu yang salah, sebabnya dirinya tidak pernah terbabit dengan persoalan takfiri (mengkafirkan) seseorang.

Walaupun dua saman itu dalam maksud yang berbeza, ia tetapi akan memberikan gambaran bahawa dalam persekitaran politik, semakin cenderung kepada perbalahan, sengketa dan tuduh menuduh. Semuanya itu akan menjurus kepada persoalan politik yang semakin hilang nilai moral dan etika. Hasrat murni politik sudah semakin hilang, ia cenderung kepada tragedi dan permusuhan.

Ertinya, semakin menua negara ini, samakin terbelit perspektif politik rakyatnya. Sepatutnya, semakin berusia seseorang, semakin matang berfikir dan semakin hampir kepada jalan persaudaraan antara muslim, dan semakin cenderung melaksanakan kebaikan, menghampiri makna rahmatalil alamin. Rahmatalil alamin bukan hanya teori agama, ia adalah praktis yang sepatutnya menjadi budaya hidup setiap orang Islam, bukannya setiap hari menghasilkan pelbagai tipu daya dan muslihat, fitnah dan fatwa yang hanya berdasarkan pendapat sendiri.

Dalam kitab ke-30, Ihya Ulumuddin, al-Ghazali membincangkan satu tajuk Dhamm al-Ghurur (Condemnation of Error – oleh Maulana Fazlur Karim- atau dalam bahasa Melayu diterjemahkan sebagai Kecelaan Tipu Daya– oleh Md Asham Ahmad), bahawa hawa nafsu telah menyebabkan mereka yang berilmu, turut melakukan ‘kejahatan’, bertindak bertentangan dengan apa yang dipercayainya.

Misalnya, setiap orang Islam yakin bahawa Islam adalah agama perpaduan, kesejahteraan dan menghilang sifat-sifat sombong dan angkuh. Oleh kerana hawa nafsu menguasainya, setiap tindakan dan kata-kata yang dikeluarkan sangat cenderung memasungkan pandangan yang berbeza, kerana apa yang diperkatakan itu adalah tipu daya. Beberapa hari lalu, ada kenyataan bahawa pengundi di PRK Pulai disarakan tidak mengundi calon yang bukan daripada parti tertentu, dan ianya disifatkan sebagai ‘haram’. Perkataan ‘haram’ digunakan tanp memberikan makna yang tepat kerana yang ‘haram’ itu adalah calon yang berlawanan.

Persoalan ‘haram’ dan ‘halal’ cukup dekat dengan nurani umat Islam. Ia turut dikaitkan dengan dua hal yang sangat dituntut dalam kehidupan masyarakat muslim, iaitu amar makruf dan nahi mungkar. Amar makruf bermaksud melaksanakan kebaikan, bukan sahaja digalakkan malah diwajibkan kepada setiap muslim. Nahi mungkar ialah sesuatu yang buruk, dilarang oleh agama antaranya fitnah memfitnah, bercakap bohong, manipulasi dan apa sahaja percakapan dan perlakuan yang boleh mempersendakan kemuliaan ajaran agama.

Dalam kempen politik, kemungkaran sangat banyak berlegar sebagai satu bentuk bahan kempen untuk meraih undi. Label melabel seseorang menjadi suatu kebiasaan politik sehingga politik itu sendiri menjadi semakin kotor dan tidak lagi bernuansakan etika yang baik. Kini, politik semakin ditafsirkan dalam kerangka akidah, walhal politik itu adalah alat untuk manusia meraih kuasa. Akibat kuasa yang menjadi kemuncak perjuangan, maka akidah dibawa masuk bersama sehingga makna agama itu sendiri menjadi sesuatu yang keruh dan hitam.

Apa tidaknya, bila fitnah memfitnah mengambil ruang yang cukup besar sebagai jalan meraih kemenangan. Kita mungkin merasakan sudah sampai masanya digubal satu undang-undang yang lebih tegas dan keras untuk membendungnya. Bagi yang menyebarkan fitnah, juga yang mencetuskan fitnah, kesalahannya yang dalam Islam dikatakan lebih berat daripada membunuh, wajar dihukum dengan hukuman yang sangat berat, termasuk hukum mati atau penjara seumur hidup, tanpa mengambil kira kedudukan politiknya.

Jika pengedar dadah boleh dikenakan hukuman mati, begitu juga dengan mereka yang membunuh, maka tidak ada sebab pemfitnah tidak boleh dikenakan hukuman yang sama. Ia bukan sekadar dihukum denda dan penjara beberapa hari. Ini kerana, hukuman denda tidak memberikan pengajaran dan pendidikan memadai untuk seseorang tidak melakukan fitnah kali kedua atau seterusnya.

Itulah harapan kita ketika negara sedang menuju ke negara tua. Kita tidak mahu semakin berusia seseorang itu semakin tidak beretika percakapan dan tindakannya, kerana yang diperjuangkan ialah mendapatkan kuasa, walaupun dengan cara yang tidak dibenarkan oleh agama, menjadikan mungkar sebagai makruf manakala yang makruf disamakan mungkar.

MONOSIN SOBRI

Translate »