Sebaik sahaja nama Datuk Nassuruddin Daud diumumkan sebagai ‘agamawan’ yang mengangkat sumpah sebagai MB Kelantan menggantikan Datuk Ahmad Yaakob, timbul persoalan mengenai kelayakan akademiknya yang hingga kini belum dijelaskan pengesahannya.

Menurut biodata calon semasa nama-nama calon diperkenalkan, ADUN Meranti sejak 1995 itu mendapat gelaran Panglima Perang PAS di Kelantan, dan juga dianugerahkan gelaran khas oleh Sultan Kelantan, Dato’ Panglima Perang (2019).  Nassuruddin merupakan satu-satunya pemimpin politik yang diberikan Darjah Kebesaran Negeri Dato’ Bergelar Dato’ Panglima Perang (2019) walaupun sebelumnya SJMK (Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia, 2018 dan DJMK (Darjah Dato’ PAduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia, 2010), seingat saya.

Saya hanya terasa gelaran Panglima Perang pada awalnya merupakan anugerah khas yang diberikan oleh negeri atau negara kepada mereka yang bergelar pahlawan, yakni orang awam atau tentera yang ‘berkorban’ untuk mempertahankan negara, rupa-rupanya tidak sepenuhnya benar. Ini kerana, Nassuruddin bukanlah seorang tentera sehebat Kanang Anak Langkau, Leftenan Adnan mahupun Rosli Dhobi.

Nassuruddin hanyalah seorang ‘tukang kempen’ PAS yang dalam hati dan mindanya adalah menentang sesiapa sahaja yang ‘menentang PAS’, yang dua tiga hari lalu, mereka yang menentang PAS disamaertikan sebagai ‘menentang perjuangan Islam’. Nassuruddin mengulangi apa yang menjadi doktrin politik sebuah parti yang berideologikan Islam yang tidak pernah memadamkan lamunan doktrinasi politik PAS adalah Parti Islam; Menentang PAS bererti Menentang Islam; dan Menentang PAS sama dengan Kafir, bila mati masuk neraka.

Ketika membicarakan persoalan kemenangan PAS yang cukup bergaya dalam PRN yang membolehkannya dipertimbangkan sebagai calon menggantikan Ahmad Yaakob yang menolak pelantikan semula untuk penggal ketiga (dilantik sebagai MB 2013) atas alasan kesihatan, seperti diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, PAS Kelantan akan menawarkan gandingan antara ‘agamawan dan teknokrat’ setelah dipersetujui oleh kepimpinan parti.

Setelah gandingan PAS dan Bersatu atas nama PN menang 43 daripada 45 kerusi, Nassuruddin diumumkan sebagai MB manakala ADUN Temangan (sejak 2008), Dato’ Dr Fadzli Dato Hassan sebagai TMB. Dr Fadzli menggantikan Mohd Amar atau Nik Amar Nik Abdullah yang dilihat bukan sahaja ‘poyo’ bahkan ‘sangat celupar’ dan suka memperbodoh-bodohkan rakyat dalam usaha menutupi kelemahan pentadbiran dan gagal memenuhi kemaslahatan rakyat oleh kerajaan PAS Kelantan yang telah memerintah sejak 1990.

Dr Fadzli, bila disemak daripada latar belakang professional, beliau bukanlah dalam kalangan teknorat sebagaimana maksud istilah tersebut, yakni pakar teknologi (sains) yang ada kuasa politik. Mungkin kerana Dr Fadzli pernah dilantik sebagai Pengerusi Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat (2018-2023), maka layak dipanggil ‘teknokrat’. Fadzli adalah pakar dalam bidang Undang-Undang Islam berdasarkan kelulusan dan pengalaman sebagai pensyarah di UIAM dalam bidang akademik, serta penasihat syariah Standard Chartered Bank. Itu sahaja.

Secara teknikalnya, Dr Fadzli bukanlah pakar teknologi walaupun pernah memulakan tugas selepas dilantik sebagai EXCO dalam salah satu bidang teknologi, yakni teknologi maklumat sejak zaman pentadbiran Datuk Bentara, Nik Abdul Aziz Nik Mat (2008-2013). Ini bererti, Fadzli bukanlah seseorang yang benar-benar boleh diberikan gelaran sebagai teknokrat, kerana seseorang yang bergelar teknokrat itu mempunyai kemahiran dalam persoalan teknikal yang pada umumnya dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi, yang dalam pendidikan moden dipanggil STEM.

Semasa bertugas sebagai EXCO, tidak ada sebuah pun institusi pendidikan yang berorientasikan STEM ditubuhkan di Kelantan, yang dibiayai oleh PAS sama ada oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) mahupun syarikat-syarikat yang bernaung di bawah MB Diperbadankan (MB Inc.). Itu bermakna secara jelasnya PAS telah gagal memanfaatk teknologi dalam membina modal insan di Kelantan, sebaliknya berbangga kerana puluhan ribu anak muda Kelantan terpaksa mencari pekerjaan di negeri-negeri yang bukan diperintah oleh PAS setiap tahun.

Apa yang kontroversinya Nassuruddin? Kontroversi awalnya ialah mengenai kelulusan akademik, kerana yang disebut hanya pernah belajar di Universiti al-Azhar, yang tidak dijelaskan apakah benar-benar belajar di peringkat tertiary? Sebagaimana kita ketahui, susunan pendidikan yang berafiliasi dengan Universiti al-Azhar cukup pelbagai, dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti. Apakah Nassuruddin memasuki pendidikan menengah di mana-mana institusi yang berafiliasi dengan universiti yang awalnya dikaitkan dengan Dinasti Fatimiyyah yang berfahaman syiah itu?

Tidak dinyatakan apakah Nassuruddin lulus dengan jayanya pada peringkat diploma atau ijazah daripada Universiti al-Azhar, serta bidang pengkhususannya. Ada yang memberikan makluman kelulusan sebenar Nassuruddin setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi kerana beliau boleh berbahasa Arab, maka beliau dikatakan seorang ‘agamawan’, yang pada umumnya, Dr Fadzli sangat layak diberikan jolokan ‘agamawan’ dan bukannya ‘teknokrat’.

Nassurudin, sebaik sahaja mengangkat sumpah menegaskan bersedia menjalin hubungan yang lebih baik dengan kerajaan persekutuan, setelah tersedar bahawa yang mentadbir kerajaan persekutuan ialah Anwar Ibrahim, yang pernah dikecamnya. Dan, tentunya, hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan yang berbeza gandingan parti politik bukanlah mudah jika negeri Kelantan diperintah oleh gabungan parti politik yang sama.

Anwar pernah memberikan pandangan dan pendirian, tidak ada diskriminasi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam kemaslahatan rakyat, tetapi dengan syarat, mereka yang memimpin sesebuah negeri itu tidak sombong, angkuh dan bebal. Anwar boleh menerima jika mereka datang dengan semangat berbincang maknanya bukan dengan cara ‘memberontak’ dan ‘menekan’, kerana itulah sebenarnya makna diplomasi, atau perundingan (negotiation).

Minggu lalu, tular satu klip video mengenai Nassurudin apabila beliau berceramah: Terima kasih banyak kepada rakyat Kelate (Kelantan). Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah. Orang muda bersemangat, orang tua hok sokmo (sepanjang masa, kekal) sokong perjuangan Islam.

“Alhamdulillah, sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah (tak apalah) kena ada jugak (juga), takut (kalau) orang nak tengok (nak tahu atau lihat) lagu mano hok lawan perjuangan Islam ini (bagaimana yang melawan perjuangan Islam ini). Jadi, rakyat boleh tunjuk (rujuk atau beritahu) hok dua tu (dua kerusi yang dimenangi BN dan Amanah, DUN Galas dan DUN Kota Lama).”

Sebelumnya, calon Amanah yang bertanding di DUN Kota Lama pernah dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) kerana parti yang diwakilinya bekerjasama dengan DAP. DAP pernah didakyahkan oleh pemimpin PAS sebagai saki baki perjuangan komunis walaupun kepimpinan parti itu menafikannya.

Persoalan sama ada DAP itu memperjuangkan ideologi kpmunis tidak timbul ketika PAS berada dalam Pakatan Rakyat, dan hanya dimunculkan selepas berakhirnya tahaluf siyasi. Mungkin juga ada percubaan untuk mengaitkan Jamaliah Jamaludin, seorang wakil rakyat DAP (DUN Bandar Utama, Selangor) sejak memenangi PRU ke-14 (2018) adalah cucu kepada Samsiah Fakeh, pemimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS), salah satu sayap PKM.

PKM bukan lagi merupakan ancaman kepada negara. Parti itu telah diharamkan dan telah berkubur secara zahirnya, kecuali ideologi yang tidak dapar dihapuskan sepenuhnya. PAS turut mengaitkan DAP dengan dakwaan ‘mengancam Islam’ kerana menyebut gelombang sokongan kepada parti itu dalam PRU ke-15 sebagai ‘Gelombang Hijau’, yang turut dikatakan sebagai percubaan membangkitkan Islamofobia.

Sebaik sahaja gagal membentuk kerajaan, PAS menyelar penggunaan istilah tersebut (Gelombang Hijau) dengan mengeluarkan kenyataan, penghalang kepada ‘pemerintahan Islam kembali berkuasa’.

Tentunya, ramai yang memberikan tafsiran, menyoal dan mengkritik pandangan Presiden PAS itu, kerana sejak membentuk sebagai sebuah negara merdeka, belum tertegak sepenuhnya pemerintahan Islam di Malaysia, yang pada pandangan beliau sendiri, Malaysia adalah negara yang mewarisi sistem pemerintahan penjajah, yang bukan sahaja sekular tetapi menolak konsep Negara Islam. Sistem pemerintahan yang diwarisi daripada penjajah digelar taghut.

Ramai rakyat Malaysia ingat dan faham mengenai ‘political game’ yang diperkatakan oleh Haji Hadi Awang sejak beliau menyertai PAS selepas pada akhir 1970-an dan menjadi semakin lantang apabila terkilan apabila Anwar Ibrahim memilih untuk menyertai UMNO.

PAS sangat mengharapkan Anwar menyertai parti itu, kerana semasa memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mereka sama-sama memperjuangkan mengenai ideologi politik Islam, sedangkan UMNO kekal dengan ‘nasionalisme Melayu’ yang diistilahkan sebagai asabiyyah.

Atas sebab itulah memungkinkan Haji Hadi meninggalkan ABIM dan aktif totok dalam PAS. Pada tahun 1981, mengeluarkan satu fatwa yang cukup menyebabkan PAS dilihat ‘radikal’ dan ‘melampau’ apabila menegaskan bahawa mereka menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO, tetapi kerana UMNO bekerjasama dengan kafir (bukan Islam). Islam melarang bekerjasama dengan orang kafir, dan dengan bekerjasama dengan orang kafir, bererti ‘sudah kafir’ dan tidak perlu ‘masuk kafir’.

Oleh kerana itu, menentang UMNO merupakan ‘jihad’ dan jika ‘kita mati’ dalam perjuangan tersebut maka mati itu adalah ‘syahid’: Darah orang UMNO halal dibunuh. Itulah kenyataan yang cukup radikal dikeluarkan sehingga mempengaruhi psikososial dan psikik sebahagian orang Melayu yang tidak memahami Islam secara mendalam, menyebabkan berlakunya boikot memboikot, krisis sosial (dalam masyarakat), terputusnya silaturrahim dan penceraian dalam kalangan masyarakat Melayu pada tahun 1980-an, terutama di Kelantan dan Terengganu.

Kesannya, masih menjadi dan membentuk psikik politik orang Melayu hingga sekarang. Dalam kempen PRU ke-15, persoalan sedemikian dibangkitkan berkali-kali, dan pada kempen PRN yang lalu, ia terus menjadi hal yang cukup membingungkan. Ia tambah membingungkan apabila kegagalan PN membentuk kerajaan kerana salah DAP, maka Undi UMNO dapat DAP; Undi PH-BN dapat DAP.

Seolah-olah segala masalah yang berlaku dalam Islam itu berpunca daripada DAP yang pernah PAS sifatkan sebagai ‘abang besar’ yang mahu mengawal semuanya. Ini mungkin reaksi PAS di atas kegagalan regunya Gerakan dalam memberikan sumbangan bermakna pada PRU ke-15, di mana tidak ada satu pun kerusi yang berjaya dimenanginya. Ramai orang mengandaikan itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh PAS, kerana parti itu sebenarnya gagal memperoleh sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Pengundi bukan Melayu cenderung memilih PH sejak beberapa kali PRU diadakan (sejak PRU ke-12, 2008). Gerakan menjadi mangsa kepada perubahan sokongan tersebut sehingga hilang kubu kuat dan negeri yang menjadi leluhur penubuhan Gerakan (1968), Pulau Pinang.

Gerakan menjadi terkontang-kanting sejak 2008 dan kemudiannya mengambil keputusan keluar daripada BN selepas UMNO/BN hilang kuasa (2018). Apabila terbentuknya Perikatan Nasional (2020), Gerakan menyertai PN sebagai usaha untuk mendapat kembali keyakinan daripada pengundi bukan Melayu.

Namun, sehingga kini, Gerakan terus gagal dan pada PRN yang lalu, hanya menang satu kerusi DUN (Kulim, Kedah). Presiden Gerakan sendiri tewas, dan jika dilihat daripada peratus kekalahan, ia merupakan kedudukan kedua tertinggi selepas MUDA. Bertanding di 37 kerusi DUN, meraih kemenangan sekitar 2.7 peratus, lebih teruk daripada UMNO (17.6 peratus). Gerakan hanya menjadi jaguh berbanding MUDA, PSM dan calon Bebas yang mencetak ‘zero winner’.

Gerakan kalah mutlak di Pulau Pinang (19 kerusi). Ertinya, dalam pemetaan politik sekarang, Gerakan bukan lagi ‘bergerak cari makan’ sebaliknya, bergerak macam mana sekali pun parti itu ‘tidak boleh cari makan’.

Kenapa ucapan Nassuruddin itu dianggap ‘bahaya’ dan boleh menyebabkan dirinya mungkin dibenci? Dua wakil rakyat yang disebut oleh Nassurudin sebagai “takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam’ menuntut agar beliau memohon maaf atau menarik balik dakwaan tersebut. Jika Nassuruddin gagal, beliau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana jelas MB Kelantan sangat tegar dengan ‘politik kebencian’ dan menyalahkan makna politik Islam.

Politik Islam adalah mengajak manusia kepada penghayatan dan peneguhan prinsip Tauhid, bukannya melahirkan politik dalam bentuk sekterian. Tetapi, jika kata-kata Nassurudin itu diambil sebagai asas perbincangan, ia cukup jelas kepada satu bentuk percubaan dakyah yang sangat bertentangan dengan Islam. Tetapi, setelah menerima ‘tekanan’, Nassuruddin menasihatkan dalam berpolitik, ‘jangan mudah koyak’.

Apakah yang dimaksudkan ‘koyak’ oleh Nassurudin? Secara umumnya, koya bermaksud “carik, rabak, sobek” yang merujuk kepada ‘perihal yang buruk, tidak selesa’ dan juga ‘mudah terasa’ termasuk ‘rasa hina’ dan diperbodohkan. Kalau dirujuk kepada ‘luka’ maka ‘koyak’ boleh dimaksudkan keadaan luka menjadi semakin ‘terbuka’ atau ‘besar’.

Sakitnya cukup terasa, dan dalam maksud politik ia mungkin bermakna keadaan yang sangat pedih. Ia pedih kerana buat pertama kalinya kerusi-kerusi yang menjadi kubu UMNO/BN tewas hampir mutlak, termasuk kemenangan tunggal di Gua Musang (DUN Galas). UMNO juga telah ‘koyak’ apabila Tengku Razaleigh yang dianggap cukup kebal tewas di Gua Musang pada PRU ke-15 lalu.

Barangkali Nassuruddin mempunyai maksud lain apabila menasihatkan agar tidak mudah ‘koyak’ jika berpolitik. Ada kemungkinan Nassurudin sedang mengajar ahli politik agar tidak mudah melenting bila diberikan teguran, kecaman dan juga apa sahaja yang difikirkan ‘tidak manis’ kepada lawannya. Ia mungkin menjadi amalan budaya yang cukup sempurna dalam benar-budaya politik sebagai ‘seni pelbagai kemungkinan’ dan kerana itulah menjadi politikus, mestilah mempunyai jiwa yang kental, tebal muka dan tidak mudah terasa, walaupun apa yang diperkatakan itu adalah fitnah, dakyah dan kebohongan.

Semuanya adalah asam garam yang mewarnakan benar-budaya dalam benar politik yang tidak pernah berhenti daripada persaingan dan sailang-menyailang. Tetapi, persoalannya apakah politik Islam membenarkan ‘pembohongan’ dan dakyah yang sedemikian sehingga boleh menuju kepada berleluasanya fitnah? Tentunya, kalau kita mengkaji sejarah, kita akan menemui cebisan sejarah yang cukup merosakkan politik Islam itu sendiri apabila fitnah menjadi suatu pertarungan politik yang cukup tajam.

Kita mungkin ingat bagaimana Uthman bin Affan RA, sahabat Rasulullah SAW yang cukup beriman, berpengetahuan agama, rendah diri dan dijamin sebagai salah seorang yang akan dimasukkan ke syurga boleh terjerumus dalam kancah fitnah? Ia berlaku kerana munculnya segolongan dari dalam umat Islam sendiri yang tidak mengitiraf Uthman sebagai pemimpin, yang dikatakan ada kaitannya dengan kelompok Khawarij, yang kemudiannya memunculkan sekte Syiah, melancarkan fitnah. Zaman itu dikenali sebagai zaman fitnah besar, fitna al-kubra.  Ia berlaku dalam enam tahun kedua daripada dua belas tahun pemerintahan Uthman bin Affan sebagai khalifah ar-Rasyidin ketiga.

Sifat-sifat Khawarij ada dalam budaya politik PAS. Dan, jika dakwaan tersebut diambil tindakan oleh PAS, bererti PAS juga ‘koyak’, koyak dengan tindakan dan perilaku yang dipertontonkan kepada umum sejak parti itu muncul (1951). Pada tahun 1964, salah seorang ADUNnya (Pasir Mas) pernah mengutarakan perasaan yang sama terhadap UMNO, apabila persoalan ‘takfiri’ menjadi siulan dan kempen dalam PRU ke-2 (1964).

Ketika itu, UMNO dibawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman berusaha ‘menawan Kelantan’ dan telah mengharamkan sebuah risalah tulisan salah seorang penyokong PAS yang bermastautin di Mekah mengenai haramnya bekerjasama dengan bukan Islam. Risalah itu ditulis dalam bahasa Arab, yang kemudiannya diterjemah dan dicetak dalam bahasa Melayu untuk diedarkan dalam negara bagi mendapat sokongan pengundi Melayu.

Setelah Nassuruddin mengatakan” orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam’ adalah ‘hok dua tu’, maka jelaslah sasarannya ialah dua DUN yang PAS telah kalah. Kita tahu, dua orang wakil rakyat tersebut (Galas dan Kota Lama) adalah Melayu, sama sebangsa dengan Nassuruddin, dan tidak pernah mengatakan dirinya ‘bukan Islam’. Jadi, mereka sebenarnya bukan menentang ‘perjuangan Islam’ tetapi dalam PRN lalu mereka berlawan secara terbuka dan bukannya ‘berperang’ dengan senjata sebagaimana berlaku dalam peperangan fizikal, hanya bersaing berteraskan ideologi politik.

Mereka memenanginya dan bila Nassuruddin mengkategorikan kemenangan dua ADUN itu sebagai melawan ‘perjuangan Islam’ bererti PAS sendiri telah kalah dalam ‘perjuangan Islam’, kerana pengundi di dua DUN berkenaan menolak gandingan PN. Lebih mengejutkan ialah apabila kedua-dua DUN tersebut PAS yang kalah, bukan Bersatu atau Gerakan. Ia membawa maksud, di dua DUN berkenaan, ada penolakan yang jelas terhadap PAS, kerana PAS tidak membawa makna ‘perjuangan Islam’ yang benar-benar Islamik.

Sebaliknya, Bersatu yang bertanding di enam DUN, semuanya menghasilkan kemenangan sulong yang bersejarah dalam politik Kelantan. Di enam DUN berkenaan, pengundi boleh menerima Bersatu yang merupaan hibrid UMNO, kerana perlembagaan dan ideologi politiknya adalah jelmaan DNA UMNO.

Bersatu, bukannya membawa doktrin ‘perjuangan Islam’ sebagaimana PAS mengkerangkakannya sebagai ideologi politik sejak lebih tujuh dekad, walaupun kadangkala berlaku pelenturannya (misalnya, Negara Islam versus Negara Berkebajikan;  dan, haram bekerjasama dengan bukan Islam dan kemudian dibolehkan –Barisan Nasional, Barisan Alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah, Pakatan Rakyat dan Perikatan Nasional).

PAS mengecam UMNO kerana mengambil ideologi politik ‘nasional Melayu’ tetapi PAS juga menjadi cukup munafik apabila bergabung dengan Dr Mahathir untu menjayakan keinginan bekas PM ke-7 yang gagal dan dihumban ke laut oleh pengundi Langkawi (PRU ke-15).

Untuk mendapat semula kepercayaan orang Melayu, Dr Mahathir mencetuskan Proklamasi Orang Melayu. Dr Mahathir sebenarnya merupakan tokoh yang merosakkan kesinambungan perjuangan politik Melayu selepas sepuluh tahun berkuasa sebagai PM ke-4.

Ertinya, beliau perlu memohon maaf kepada orang Melayu di atas keceluparannya menyindir Orang Melayu Malas; Orang Melayu Mudah Lupa; dan paling menyedihkan ‘menghina raja-raja Melayu’ tatkala meminda Perlembagaan Malaysia atas alasan mengurangkan ‘imuniti’ serta kelancaran hasrat politiknya/

Dr Mahathir bukan sahaja gagal merealisasikan sasaran DEB yang dimulakan oleh Tun Razak (1970) untuk meletakkan penguasaan ekonomi Melayu (Bumiputera) pada 30 peratus kek ekonomi negara. Ketika tempoh DEB berakhir (1990), ia berada pada tahap 18 peratus tetapi Dr Mahathir cuba menimbuskannya dengan melancarkan Wawasan 2020. Wawasan 2020 juga menjadi titik perubahan falsafah negara yang digagaskan sebagai Rukunegara.

Kritikan terhadap pentadbiran Mahathir yang paradok dalam pembinaan negara dapat dibaca dalam Cheah Boon Kheng, Malaysia: The Making of a Nation (2003); Khoo Boon Teik, Paradoxes of Mahathirism (1995);  R S Milne dan Diane K Mauzy, Malaysian Politics Under Mahathir (1999); John Hilley, Malaysia: Mahathir Hegemony dan the New Oppostion (2001); dan In –Wong Hwang, Personalized The Politics: Malaysian State Under Mahathir (2003).

Segalanya berlaku kerana hasrat terpendam untuk merosakkan UMNO dari dalam dan menghapuskan legasi pemimpin terdahulu (Tunku “Bapa Kemerdekaan”; Tun Razak “Bapa Pembangunan” dan Hussein Onn “Bapa Perpaduan”) seperti diulas oleh bekas Pengurus Besar BERNAMA, yang juga anak saudara Mahathir sendiri, Datuk Ahmad Mustapha Hassan, Membina dan Meruntuhkan Malaysia (2008) atau Unmaking Malaysia (2007).

Wawasan 2020 diisiytiharkan gagal oleh Dr Mahathir sendiri, dan semasa berundur sebagai PM ke -4 (2003), kedudukan ekonomi Bumiputera kekal sebanyak 18 peratus. Menariknya, pengakuan gagal itu dibuat oleh Dr Mahathir ketika memasuki tempoh setahun setengah pentadbirannya sebagai PM ke-7. Kegagalan itu turut disambut dengan kegagalannya untuk menghabiskan tempoh sepenggal sebagai PM ke-7, yang membawa makna ‘dendam’ menjadi ‘karma’.

Ia merupakan kegagalan Mahathir yang cukup menyerlah dalam kepimpinannya terhadap orang Melayu, yang merupakan liabiliti terpaksa ditanggung sampai sekarang. Jadi, Dr Mahathir sebenarnya tidak layak untuk memerihalkan nasib orang Melayu. Ini kerana beliau sendiri telah mengkhianatinya sejak ghairah dengan dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia, yang dibangunkan selepas berjaya mematikan perjuangan UMNO asal (1946) pada tahun 1988.

Beliau cuba bangkit dengan semangat UMNO (baru) yang semakin jauh dengan kuat menghakis legasi pemimpin sebelumnya (Tunku, Razak dan Hussein Onn). Semangat projek maruah yang bersifat mega dan mencabar tradisi, termasu memperlekehkan sumbangan sektor pertanian.

Sebaliknya lebih gah dengan dasar perindustrian yang akhirnya rakyat Malaysia terpaksa membeli barangan dan makanan daripada luar negara (beras, daging lembu, buah-buahan dan sayur-sayuran), yang sebelumnya diberikan penekanan oleh tiga pemimpin sebelumnya.

Dr Mahathir berjaya melahirkan crony-capitalism yang kemudiannya cuba dipecahkan oleh Najib, yang kemudiannya diterjah oleh Dr Mahathir apabila berjaya menumbangkan UMNO/BN pada PRU ke-14. Dr Mahathir kemudiannya hilang sentuhan kerana kepimpinannya berkecamuk dengan pergeseran hegemoni dan autokrasi, bila mana timbul pelbagai tentangan dari dalam parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan.

Ia akhirnya menyebabkan berlakunya fenomena kerajaan tebuk atap dan kini, PN pula ingin meneruskan apabila menggunakan PRN sebagai kaedah untuk membolehkan Langah Sheraton dilakukan sekali lagi. Ia adalah satu bentuk penipuan politik yang tidak boleh diterima dan strategi propaganda, yang kini dipersoalkan rasionalnya oleh rakyat secara menyeluruh dan terbuka.

Ia sama dengan dakyah Nassuruddin ‘lawan PAS’ bermakna ‘lawan perjuangan Islam’ yang cuba dibina imej oleh MB Kelantan bagi menutupi kematangan berfikir. Inilah yang menyebabkan pemikiran politik Nassuruddin disamakan dengan ‘politik kepartian dengan akidah’ oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, yang dipetik oleh Arif Atan, bekas watrawan Harakah sebagai ‘sifir mudah’.

Bagi saya, itulah budaya politik PAS yang sentiasa menari dalam populariti politik kebencian. Itulah sifat dan benar-budaya panglima perang PAS, yang kembali ditabuhkan oleh Nassuruddin setelah Sanusi dilihat lebih tenang buat masa ini, tetapi cukup berbeza dengan budaya politik MB Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Nassuruddin yang enggan memohon maaf akan ‘menari’ untuk mempertahankan irama politik kebencian dalam gelanggang perundangan apabila tempoh selama tujuh hari yang ditetapkan berakhir dan dua ADUN itu, Dr Hafidzah Mustakim (Amanah- DUN Kota Lama) dan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-DUN Galas) memfailkan saman.

MAHANOR SALEHA

Translate »