Sesungguhnya telefon adalah salah satu nikmat di antara nikmat-nikmat Allah s.w.t. kepada manusia.  Dengan telefon tersebut manusia dapat menjimatkan banyak tenaga, waktu dan harta, serta dapat mendekatkan jarak. Hasilnya, seseorang dengan mudah dapat mengangkat gagang telefon dan berbual dengan kaum keluarga di serata dunia. Semua ini dapat dilakukan dalam beberapa minit sahaja. Ia dapat mengetahui khabar kaum keluarga, menanyakan tentang keadaan mereka, menyampaikan takziah atas kematian seseorang, mengucapkan selamat atas suatu khabar gembira, berbakti kepada orang tua dengan menanyakan khabarnya, menyelesaikan urusan-urusan penting melalui telefon, dan melakukan transaksi jual beli dan yang lainnya.

Manfaat telefon banyak sekali. Oleh kerana itu, telefon adalah salah satu nikmat Allah s.w.t. yang harus disyukuri.  Tidaklah sempurna bersyukur melainkan dengan menggunakan nikmat ini dan bermuamalah dengannya menurut adab-adab Islam, agama yang sangat agung yang meliputi seluruh umat Muslim.  Barangsiapa yang beradab dengan adab-adab ini, maka ia telah bersyukur terhadap nikmat Allah s.w.t. Sedang barangsiapa yang meninggalkannya dan tidak beradab dengannya, maka ia telah menggunakan nikmat ini dengan tidak bersyukur sehingga ia menjadi orang yang kufur terhadap nikmat Allah s.w.t.

Berikut ini saya akan menghuraikan beberapa adab yang berkaitan dengan telefon, di antaranya adab yang berkaitan dengan orang yang menghubungi, orang yang menjawab telefon, dan yang berkaitan dengan keduanya.  Saya menghuraikan adab tersebut dengan meminta pertolongan Allah s.w.t.

BAHAGIAN PERTAMA

ADAB YANG BERKAITAN DENGAN ORANG YANG MENGHUBUNGI

  1. Niat Yang Benar

Hendaklah orang yang menghubungi melalui telefon menghadirkan niat yang betul ketika menelefon.  Seharusnya ia meniatkannya untuk mencari pahala dan balasan ketika menghubungi kedua orang tuanya untuk berbakti kepada mereka, menghubungi kaum keluarga untuk menyambung tali silaturrahim, atau menghubungi temannya kerana cinta kepada Allah s.w.t., dan seumpamanya.  Sesungguhnya ia akan mendapatkan pahala atas biaya dan waktu yang digunakan untuk hal tersebut dan yang seumpamanya.

  1. Jangan Menghubungi Pada Waktu-Waktu Yang Tidak Sepatutnya

Menghubungi melalui telefon hampir sama dengan berkunjung walaupun agak sedikit berbeza.  Oleh kerana itu, hendaklah tidak menghubungi seseorang melalui telefon pada larut malam, pada awal pagi, atau pada saat tidur siang kecuali dalam keadaan darurat.  Itulah waktu-waktu yang tidak disukai untuk berkunjung kecuali kerana darurat, demikian juga melakukan perbualan telefon pada waktu-waktu tersebut.  Tidaklah patut melakukannya kecuali dalam keadaan darurat.  Sebab, biasanya orang akan terganggu jika mendengar deringan telefon pada awal pagi, tengah malam, atau pada saat istirahat kerana hal itu dapat mengejutkan tidur mereka. Kadang-kadang pula salah seorang dari mereka akan mengangkat telefon dengan marah-marah, terlihat serak suaranya, atau isterinya yang menjawab telefon dengan suara orang yang baru bangun tidur. Semua itu adalah perilaku yang tidak sepatutnya.  Oleh sebab itu, yang paling baik adalah tidak menghubungi seseorang kecuali pada waktu-waktu yang sepatutnya, yang sudah dimaklumi bahawa mereka  tidak merasa terganggu jika dihubungi melalui telefon pada waktu-waktu tersebut.

  1. Jangan Melakukan Panggilan Lebih Dari Tiga Kali

Hendaklah tidak melakukan panggilan lebih dari tiga kali bagi orang yang menghubungi.  Sebab, bunyi dering telefon sama seperti bunyi ketukan pintu.  Menurut sunnah, tidak boleh mengetuk pintu lebih dari tiga kali, maka orang yang menghubungi melalui telefon juga tidak boleh melakukannya lebih dari tiga kali. Sesungguhnya penghuni rumah merasa terganggu dengan bunyi deringan telefon yang berterusan.  Mungkin saja mereka tidak berkeinginan untuk mengangkat telefon tersebut, sementara yang menghubungi terus menekan nombornya.  Kadangkala bunyi deringan telefon dalam waktu yang lama akan membangunkan salah seorang yang tidur di rumah tersebut, membangunkan orang sakit yang perlu istirahat, anak kecil, atau orang tua.  Telah dimaklumi bahawasanya menyakiti seorang Muslim tidak diperbolehkan.

Oleh kerana itu, tidak boleh menghubungi melalui telefon lebih dari tiga kali, kecuali dalam keadaan darurat. Misalnya, seorang menghubungi keluarga atau teman untuk meminta bantuan mereka.  Demikian pula apabila ia mengetahui bahawa suara deringan telefon lemah pada orang yang menerima, mengetahui bahawa yang menerima tidak menyedari kecuali dengan menghubunginya beberapa kali deringan, atau yang seumpamanya.

  1. Orang Yang Menghubungi Hendaklah Mengucapkan Salam

Orang yang menghubungi sama kedudukannya dengan orang yang mengetuk pintu. Oleh sebab itu, hendaklah ia memulainya dengan mengucapkan salam, sama seperti orang yang mengetuk pintu.  Sebahagian orang yang baik ketika mendapati telefon berdering di rumah atau di pejabatnya akan mengangkat gagang telefon dan mengucapkan “Assalaamu’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh,” padahal perbuatan ini menyelisihi hukum asal.  Sebab, orang yang menghubungilah yang seharusnya memulai mengucapkan salam, sebagaimana sunnahnya orang yang mengetuk pintu mengucapkan salam dan bukan pemilik rumah.

  1. Orang Yang Menghubungi Hendaklah Memperkenalkan Diri

Sesungguhnya orang yang menghubungi sama dengan orang yang berkunjung atau sama seperti orang yang mengetuk pintu.  Telah disebutkan pula dalam sunnah bahawa orang yang mengetuk pintu hendaklah memperkenalkan diri, sebagaimana hal itu disebutkan dalam adab meminta izin.  Demikian pula orang yang menghubungi, hendaklah ia memperkenalkan dirinya degan mengucapkan : “Assalaamu’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh, saya Fulan bin Fulan.” Atau juga dengan perkataan: “Fulan menghubungimu.” Maka dari itu, selayaknya ia memperkenalkan diri agar orang yang menerima panggilan mengenalinya.

  1. Tidak Memanjangkan Perbualan Tanpa Kepentingan

Adab ini kebanyakan ditujukan bagi kaum wanita. Seorang wanita biasanya memegang gagang telefon, lalu bersenda gurau dengan temannya, kemudian berbicara tentang makanan, minuman, pakaian, harga, perhiasan, dan yang lainnya.  Mungkin ia berbual melalui telefon selama satu jam atau dua jam, bahkan mungkin juga lebih.  Semua itu adalah perbuatan sia-sia, tidak bermanfaat, dan tidak semestinya dilakukan.  Di samping tiu, hal ini akan menjadi beban bagi pemiliknya ketika datang bil telefon.  Perbuatan ini juga merupakan bentuk pembaziran harta dan sikap pemborosan yang tidak diredhai Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya :

“….dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.  Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan…”

(QS. Al-Isra’ : 26-27)

Berlaku demikian merupakan bukti bahawa wanita itu tidak takut kepada Allah s.w.t., bahkan ia tidak menjaga dengan baik harta benda suaminya.  Sesungguhnya perbuatan tersebut tidak termasuk sikap wanita Muslimah yang solehah.

Catatan :

Kadang-kadang sebahagian wanita mengatakan : “Sesungguhnya saya bukanlah orang yang menghubungi, tetapi teman sayalah yang menghubungi.  Demikian pula bahawasanya beban perbualan telefon tersebut atas tanggungan temannya dan suaminya sehingga suami saya tidak terbebani sedikit pun.”

Sanggahan pendapat tersebut adalah sebagai berikut: “Seorang wanita membiarkan saudaranya berbual melalui telefon tentang urusan-uruasn yang tidak ada manfaatnya, maka sesungguhnya dengan itu ia telah membantu saudaranya untuk memazirkan harta suaminya.  Perbuatan demikian termasuk saling bekerjasama dalam dosa dan pelanggaran.”

Allah berfirman yang bermaksud :

“…Dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran….”  (QS. Al-Maidah : 2)

Sebagaimana juga perbuatan seperti itu akan membuat telefon selalu sibuk dan mengambil waktu yang sangat banyak.  Boleh jadi ada panggilan penting yang ingin masuk, seseorang menunggu suatu panggilan tertentu , atau suami ingin menghubungi keluarganya dari luar, namun ia mendapati telefonnya sibuk sepanjang waktu, dengan alasan isterinya sedang menggunakannya.  Oleh sebab itu, terlupuslah maslahat yang sangat banyak.  Mungkin saja hal itu akan menyebabkan masalah, yang boleh berkembang kepada hal-hal yang tidak terpuji.

  1. Tidak Menggunakan Telefon Umum Terlalu Lama Tanpa Kepentingan

Sebahagian orang ada yang menghubungi melalui telefon umum atau wartel.  Terkadang ia menghubungi pada waktu yang sibuk, yakni ia mendapati jalur telefon padat atau sejenisnya sehingga ia mencuba menghubungi berkali-kali, namun tidak tersambung juga.  Sementara itu, di belakangnya ada banyak orang yang sedang menunggu giliran untuk menelefon. Perbuatan tersebut dapat menyebabkan mereka terluput dari banyak maslahat dan akan menyebabkan kerosakan yang besar. Bahkan, mungkin terjadi pertengkaran dengan sebahagian orang disebabkan sikapnya tadi.  Yang terbaik adalah ia berusaha menghubungi beberapa kali dan jika tidak tersambung juga, maka biarkan orang lain untuk menelefon. Setelah itu, ia menghubunginya kembali untuk kedua kalinya.

Demikian juga orang yang berbual terlalu lama tentang urusan-urusan yang tidak ringan dan tidak ada manfaatnya sementara di belakangnya banyak orang menunggu untuk memulai panggilan yang penting.  Akibatnya, terluputlah banyak manfaat atau malah boleh terjadi kekacauan. Oleh kerana itu, dianjurkan untuk tidak menggunakan telefon umum dalam perkara yang tidak perlu.  Terkecuali jika ia boleh memastikan bahawasanya tidak ada orang lain yang menunggu di belakangnya.  Namun, apabila melihat ada orang lain yang ingin menggunakannya, maka hendaklah ia menyegerakan panggilan lalu memberikan kesempatan kepada orang lain untuk menggunakan telefon.  Inilah sesungguhnya akhlak seorang Muslim tidak egois, tidak merugikan orang lain, dan tidak menyakiti mereka bagaimanapun bentuknya.

  1. Hendaklah Orang Yang Menghubungi Adalah Orang Yang Mengakhiri Panggilan

Jika telah tercapai maksud dan tujuan panggilan, hendaklah orang yang menghubungi dialah orang yang mengakhirinya, iaitu dengan cara yang baik, seperti mengucapkan salam dan seumpamanya.  Sebab, kedudukan orang yang menghubungi sama seperti orang yang berkunjung atau orang yang mengetuk pintu.  Sesungguhnya orang yang berkunjung itulah yang meminta izin untuk pergi, sebagaimana yang telah disebutkan dalam adab-adab ziarah.  Tidaklah layak pemilik rumah yang memintanya untuk pergi kerana hal itu sama dengan mengusir tamu dari rumahnya. Begitu pula ketika mengadakan perbualan telefon, hendaklah orang yang menghubungi yang mengakhiri panggilan. Yang demikian itu sama seperti ia meminta izin kepadanya untuk kembali sehingga ia tidak mendapati sesuatu pada dirinya jika orang lainlah yang menutup perbualan tersebut.

  1. Meletakkan Gagang Telefon Dengan Lembut Ketika Menyudahi Perbualan

Jika seseorang telah selesai membuat panggilan melalui telefon dan ingin menutupnya, setelah mengucapkan salam sebagai isyarat akhir dari perbualan, maka hendaklah ia meletakkan gagang telefon dengan lembut.  Janganlah ia meletakkannya dengan keras sehingga memberi kesan kepada pihak lain bahawa telah terjadi sesuatu atau marah kerana suatu sebab.  Sesungguhnya setiap Muslim dituntut untuk menjauhi semua perkataan dan perbuatan yang dapat menyebabkan bisikan-bisikan syaitan sehingga memecah belah antara ia dan saudaranya sesama Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku : ‘Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar).  Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka…’” (QS. Al-Israa’ : 53)

Hal ini menunjukkan wajibnya memilih perkataan dan perbuatan yang tidak memberikan ruang bagi syaitan untuk merosak hubungan sesama Muslim.

BAHAGIAN KEDUA

ADAB YANG BERKAITAN DENGAN ORANG YANG MENERIMA PANGGILAN TELEFON

  1. Tidak Membiarkan Telefon Berdering Tanpa Dijawab

Hendaklah pihak yang menerima telefon tidak membiarkan telefon berdering dalam waktu yang lama, kecuali ia mengetahui secara yakin orang yang menghubunginya sehingga tidak ingin menjawabnya kerana sebab-sebab tertentu.  Adapun seseorang membiarkan telefon berdering berkali-kali, tidak dijawab dalam waktu yang lama tanpa alasan, maka ini bukanlah akhlak seorang Muslim.  Sebab, barangkali ada orang lain yang ingin meminta tolong kepadanya, seseorang yang memerlukan bantuannya, atau kaum keluarga yang ingin mengunjunginya, dan seumpamanya. Tidak menjawab telefon sama seperti mendapati orang mengetuk pintu rumahnya, namun ia tidak membalas dan menjawabnya.  Boleh jadi di depan pintu tersebut ada orang kesusahan yang mengharapkan pertolongannya, demikian juga orang yang menghubunginya melalui telefon.

  1. Wanita Jangan Menjawab Telefon Kecuali Dalam Keadaan Darurat

Cara yang baik dan betul adalah seorang laki-laki dewasa yang menjawab telefon atau salah seorang laki-laki yang ada di rumah. Adapun jika ada laki-laki atau anak laki-laki, kemudian yang bangkit adalah ibu atau anak perempuan untuk menjawab telefon, maka ini tidak dibenarkan. Alasannya bukan kerana suara wanita itu aurat, tetapi kerana tersebar di zaman sekarang orang-orang yang tidak dikenali menghubungi rumah seseorang. Kemudian, apabila mereka mendengar yang menjawab adalah perempuan, maka mereka berseloroh dengannya atau mengucapkan kata-kata yang keji sehingga terkadang wanita tersebut terpengaruh dan terganggu.  Oleh kerana itu, yang paling afdhal adalah wanita tidak menjawab telefon kecuali jika tidak ada laki-laki dan suami sedang tidur, di bilik mandi atau sedang makan.

  1. Seorang Wanita Jangan Menjawab Telefon Ketika Baru Bangun Tidur

Sebahagian besar wanita suaranya sangat lembut ketika baru bangun tidur, yang menunjukkan dia masih malas dan ngantuk.  Jika ia mengangkat telefon, maka suaranya dapat membangkitkan syahwat orang yang menghubunginya jika ia lelaki yang di dalam hatinya terdapat penyakit.  Maka dalam keadaan seperti ini hendaklah wanita tidak menjawab panggilan telefon kerana itu lebih baik dan selaras dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“…Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya….” (QS. Al-ahzab : 32)

Adapun jika wanita tersebut tegas suaranya sehingga tidak terdengar bunyi suara bangun tidur, maka tidak mengapa ia menjawab telefon.

  1. Tidak Membiarkan Anak Kecil Menjawab Telefon

Sebahagian orang membiarkan anak kecil yang belum baligh menjawab telefon.  Anak kecil tidak memahami orang yang membuat panggilan dan tidak mengerti tentang perbualannya.  Ia  pun tidak mampu memahami orang yang diajak berbual atau tidak mengetahui orang yang diajaknya berbual.  Barangkali orang itu menghubungi untuk perkara yang penting dan segera, namun ia tidak mendapati kecuali anak kecil yang berbual dengannya dan tidak memahami kata-katanya. Seorang anak tidak terfikir untuk memanggilkan orang dewasa yang boleh memahami perkataan orang tersebut. Bahkan, kadangkala anak kecil itu bermain-main dengannya sehingga terluput maslahat yang penting padanya dan menimbullkan kerosakan.

Adakalanya pula anak kecil menjawab telefon sedang yang menghubunginya adalah orang yang tidak serius menelefon. Ia bertanya mengenai nama ibunya, nama kakak perempuannya dan tentang orang-orang yang ada di rumah.  Mungkin pertanyaan itu digunakan untuk suatu tujuan yang buruk sehingga boleh menimbulkan bahaya yang besar dan akibat buruk yang hanya Allah s.w.t. yang mengetahui seberapa besarnya.

  1. Menjawab Telefon Dengan Kata “Siapa?”

Apabila telefon berdering, maka yang paling baik dilakukan oleh orang yang menerimanya adalah mengangkat dan menanyakan “Siapa?”, dengan demikian, bererti ia menanyakan identiti orang yang menghubungi.  Sesungguhnya orang yang menghubungi sama dengan orang yang mengetuk pintu.  Termasuk sunnah mendekati pintu rumah jika diketuk seseorang, kemudian bertanya “Siapa?”, yakni bertanya mengenai identiti orang yang mengetuk pintu.  Pembahasan hal ini telah disebutkan dalam Bab “Adab Meminta Izin.”

Maka dari itu, seharusnya orang yang menerima panggilan telefon mengatakan :  “Siapa?” atau “Ya.”  Sebahagian orang ketika mengangkat telefon ia mengucapkan salam kepada orang yang menghubunginya.  Demikianlah sehingga berubah peranan keduanya.  Sebab, orang yang menghubungi kedudukannya sama seperti orang yang mengetuk pintu, maka ia yang seharusnya memulai salam.  Oleh kerana itu, yang benar adalah sebagaimana disebutkan di atas.

BAHAGIAN KETIGA

ADAB YANG BERKAITAN DENGAN TEELFON SECARA UMUM

  1. Tidak Menggunakan Nada Dering Muzik Pada Telefon

Sebahagian telefon atau HP dilengkapi dengan nada dering muzik.  Sayugianya seorang Muslim tidak menggunakan HP atau telefon selular seperti ini. Namun, hendaklah ia memilih nada dering yang biasa, bukan nada dering muzik. Demikian pula menghindari telefon yang memiliki nada muzik ketika menunggu panggilan yang masuk, tetapi hendaklah ia menggunakan nada berupa ayat-ayat al-Quran atau perkara-perkara yang bermanfaat, misalnya HP yang dihubungkan dengan alunan al-Quran al-Karim atau sejenisnya.

  1. Menggunakan Telefon Dalam Ketaatan Kepada Allah

Gunakanlah telefon untuk menghubungi kaum keluarga, saudara seagama, teman-teman dan tetangga guna menanyakan keadaan dan memastikan kesihatan mereka.  Demikian itu merupakan pengganti dari ziarah (kunjungan), bahkan dapat menjimat waktu berkunjung. Sebagai ganti keterbatasan waktu seorang manusia untuk berkunjung dan bersilaturrahim kepada kaum keluarga, teman, dan tetanggannya, maka hendaklah mengganti hal itu dengan menghubungi mereka melalui telefon.  Berkomunikasi dengan telefon termasuk salah satu bentuk silaturrahim dan kebaikan yang tidak sulit dilakukan, bahkan merupakan salah satu bentuk penggunaan telefon yang paling utama.

  1. Tidak Menggunakan Telefon Untuk Bermaksiat Kepada Allah

Seorang Muslim wajib menjauhi perbuatan maksiat kepada Allah, sedangkan tidak termasuk mensyukuri nikmat Allah menggunakan telefon untuk bermaksiat kepada Allah. Di antara bentuk penggunaan telefon dalam rangka kemaksiatan :

  • Mencaci dan memaki orang lain

Sebahagian orang sengaja memilih nombor-nombor secara rawak atau tanpa rawak (untuk menghubungi), kemudian apabila ada yang menjawab dari pihak lain, maka ia mencaci makinya tanpa sebab dan tanpa membezakan.  Demikian ini adalah perbuatan yang sangat haram.

  • Berpacaran yang sudah jelas diharamkan

Menggunakan telefon untuk berpacaran telah tersebar luas sehingga menarik minat, terutama antara pemuda dan pemudi.  Anda mendapati seorang pemuda menghubungi nombor tertentu atau menghubungi secara rawak. Apabila pemuda itu mendengarkan jawapan suara seorang pemudi, maka ia mulai berbicara dengan merayu atau mengucapkan kata-kata memujuk dan sanjungan yang bertujuan menyeretnya kepada perkara haram atau membuka hubungan khusus dengannya.  Kadangkala pemudi tersebut melayaninya dengan alasan bahawa hal itu hanyalah sekadar perbualan dan hiburan untuk mengisi waktu.  Perbuatan ini selalu menimbulkan akibat yang buruk. Hal yang sama juga dilakukan oleh sebahagian wanita atau pemudi.  Innalillahi wa inna ilaihi raa’jiuun.

Didapati juga sebahagian orang yang menghubungi nombor-nombor tertentu melalui promosi atau iklan dengan tujuan semata-mata untuk bertegur sapa atau berbincang-bincang yang diharamkan dan dilarang dengan pemudi-pemudi yang tidak baik. Mereka mengeluarkan wang cukup banyak untuk perkara itu. Wa laa haula walaa quwwata illa billah.

  1. Tidak Melakukan Cara-Cara Curang Dan Penipuan Ketika Menggunakan Telefon

Sebahagian orang menggunakan cara-cara yang curang dan penipuan ketika menggunakan telefon umum, terutama telefon yang menggunakan duit syiling.  Ada sebahagian orang yang menggunakan cara-cara yang sangat aneh dalam menggunakan telefon, yakni tanpa menjatuhkan duit syiling ke tempat yang semestinya.  Sebahagian yang lain menggunakan tutup botol yang diikat setelah diratakan dengan palu sebagai ganti duit syiling. Demikian pula sebahagian orang meminta izin kepada pemilik tempat tertentu atau rumah temannya untuk menggunakan telefon, lalu pemilik telefon mengizinkannya dengan persangkaan bahawasanya itu adalah panggilan tempatan. Akan tetapi, ternyata ia menggunakan telefon untuk menghubungi luar bandar, luar daerah, bahkan melakukan perbualan antarabangsa tanpa pengetahuan dan seizin pemilik telefon hingga ia membebankan biaya percakapannya tanpa izin pemiliknya. Yang demikian itu tidaklah dibolehkan. Perbuatan ini termasuk memakan harta manusia dengan cara yang batil, termasuk pula perbuatan curang dan penipuan yang sudah jelas diharamkan.

  1. Tidak Membiarkan Telefon Di Tangan Anak-Anak

Sebahagian orang membiarkan telefon dipegang oleh anak-anak sehingga mereka memainkannya.  Adakalanya pula anak-anak mengangkat gagang telefon dalam waktu yang lama sehingga talian telefon sibuk dalam waktu yang lama.  Mungkin juga ada orang lain yang hendak membincangkan perkara penting tidak dapat menghubunginya mendapati nada sibuk sepanjang waktu, padahal sebenarnya tidak ada yang menggunakan telefon tersebut.  Hal ini tidak seharusnya terjadi sebab dapat merugikan seseorang dari kemaslahatan yang sangat banyak, selain juga menimbulkan kerosakan dan seumpamanya.

  1. Janganlah Seorang Wanita Sengaja Melembutkan Suaranya Ketika Berbicara Melalui Telefon

Sebahagian besar wanita sengaja melembutkan suara ketika berbual melalui telefon, baik yang menghubungi mahupun yang menerima.  Mereka sengaja melembutkan suara sehingga menjadi merdu dan sedap didengar.  Seharusnya perkara ini tidak boleh terjadi selamanya.

Allah berfirman yang bermaksud :

“…Jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik.”  (QS. Al-Ahzab : 32)

Hendaklah seorang wanita menegaskan suara ketika berbual melalui telefon, janganlah dia melembutkan suaranya.  Jangan sampai kaum wanita terjatuh dalam masalah itu kerana dapat membangkitkan syahwat dari pihak lain sehingga berakibat buruk.

  1. Jangan Membicarakan Perkara-Perkara Yang Sangat Peribadi Melalui Telefon

Sebahagian orang berbual dengan pihak lain melalui telefon dalam masalah-masalah yang sifatnya sangat peribadi, seperti yang mungkin terjadi antara sepasang suami isteri atau yang lainnya.  Terkadang saluran telefon bercampur baur sehingga seseorang dikejutkan dengan perbualan yang sifatnya sangat periadi, perbualan yang sangat terbuka antara suami isteri, perbualan antara dua orang laki-laki atau dua perempuan, atau yang seumpamanya.  Akibatnya, seseorang akan mendengar perbualan mereka atau bahkan masuk ke dalam salurannya agar dapat mendengarkan percakapan mereka, sementara mereka tentu tidak menyukainya. Yang terbaik adalah tidak menggunakan telefon untuk perbualan yang sangat peribadi kerana mungkin terjadi hal-hal yang tidak baik.

  1. Tidak Menggunakan Telefon Untuk Mengganggu Orang Lain

Janganlah menggunakan telefon dengan cara yang boleh membahayakan orang lain.  Biasanya perbuatan ini sering dilakukan oleh orang-orang yang menggunakan telefon bimbit tanpa ada keperluan darurat ketika memandu kenderaan.  Hal ini dapat menghilangkan tumpuan atau konsentrasi seseorang ketika memandu kereta sehingga dapat menyebabkan terjadinya kecelakaan yang akan merugikan dirinya dan orang lain, bahkan akan membahayakan nyawanya dan juga nyawa orang lain. Begitu pun orang-orang yang berusaha menggunakan telefon bimbit ketika menaiki kapal terbang akan mengganggu alat-alat komunikasi pesawat tersebut. Hal ini  akan menyebabkan impak yang sangat bahaya sehingga perbuatan tersebut tidak dibenarkan. Islam melarang seseorang membahayakan dirinya atau orang lain kerana membahayakan kaum muslimin merupakan perbuatan yang sangat diharamkan.

  1. Tidak Mengangkat Suara Kuat Ketika Berbual Melalui Telefon

Sebahagian orang mengangkat suaranya kuat ketika berbual di telefon umum sehingga orang yang berada berhampirannya atau di luar ruang telefon dapat mengetahui apa yang diucapkannya, kepada siapa dia berbual atau yang lainnya. Terkadang pula mereka mendengarkan perbualan yang sifatnya khusus, yang tidak selayaknya diketahui oleh orang lain, dan boleh jadi yang berbual dengan suara kuat itu adalah seorang wanita.  Mungkin juga wanita itu memiliki suara yang merdu ataupun lembut atau sejenisnya sehingga hal itu menimbulkan kerosakan yang hanya Allah sajalah yang mengetahui akibatnya. Oleh kerana itu, seharusnya seseorang merendahkan suara ketika berbual melalui telefon, dengan suara yang boleh didengar oleh pihak yang dihubungi.  Demikian juga telefon-telefon peribadi di rumah, di pejabat, atau tempat lainnya, maka tidak sepatutnya mengangkat suara kuat ketika berbual kerana perkara itu boleh menyakiti pihak yang dihubungi, iaitu dengan bersuara kuat sekali pada telinganya.

Sebagaimana hal itu pun bertentangan dengan firman Allah yang bermaksud :

“…Dan rendahkanlah suaramu…” (QS. Luqman : 19)

  1. Mematikan Telefon Bimbit Ketika Masuk Masjid

Usahakan agar telefon bimbit tidak berdering ketika seseorang berada dalam masjid atau sedang solat, hingga melalaikan pemiliknya dari zikrullah dan solat. Deringan tersebut boleh menghilangkan kekhusyukan orang lain yang solat dan berzikir atau nada deringnya dapat menimbulkan kebisingan dalam masjid.  Hal ini tidaklah dibenarkan secara syar’i.  Maka dari itu, wajib bagi seseorang ketika hendak masuk ke dalam masjid untuk memeriksa telefon bimbit apabila ia membawanya, kemudian mematikannya sebelum masuk ke dalam masjid.  Demikian juga mematikan pager kerana alasan yang sama.

  1. Tidak Menggunakan Telefon Peribadi Untuk Berbangga-Bangga

Sesungguhnya sebahagian orang sengaja menggunakan telefon bimbit di hadapan orang ramai, di pejabat mahupun di kedai, di jalan-jalan mahupun di tempat-tempat lainnya, dengan tujuan untuk mempamerkan kepada orang lain, bahawasanya ia memiliki telefon bimbit, atau untuk mengalihkan pandangan orang kepadanya, terlebih lagi bagi kaum wanita.  Perbuatan ini tidak semestinya dan tidak layak dilakukan oleh seorang Muslim.  Ini termasuk berbangga-bangga dan menyombongkan diri yang dilarang.  Pelakunya adalah orang yang takabbur, mirip seperti orang yang disebutkan Rasulullah sla.w. dalam hadis yang bermaksud :

“Ketika seorang laki-laki berjalan dengan mengenakan sepasang pakaiannya, tiba-tiba dia merasa ujub dan takjub kepada dirinya.  Maka Allah menenggelamkannya ke dasar bumi sementara ia terus terbenam ke dalamnya sampai hari kiamat.”

  1. Tidak Menggunakan Kata “Hallo”

Kata hallo bukanlah lafaz bahasa Arab, melainkan berasal dari bahasa asing  Tidak sepatutnya seorang Muslim menggunakan kata-kata non-Arab dalam perbualannya, kecuali untuk darurat kepada orang yang tidak faham bahasa Arab.  Namun, apabila orang itu dapat memahami bahasa Arab, maka tidak selayaknya  berpaling dari bahasa kita yang sangat agung ini, bahasa al-Quran, kepada bahasa lainnya.  Dengan demikian, hendaklah orang yang menghubungi mengucapkan salam dan hendaklah salam itu dibalas oleh pihak yang dihubungi, iaitu yang mengangkat gagang telefon, maka ia menjawabnya dengan ucapan : “Man (siapa)?” Sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

Tidak ada gunanya menggunakan ucapan-ucapan selamat dengan selain bahasa Arab. Sungguh sangat menghairankan bahawa sebahagian kaum muslimin – yang berbangsa Arab – menggunakan banyak kata-kata asing dalam pergaulan mereka sehari-hari, sementara kita tidak pernah melihat seorang pun dari orang-orang Amerika, orang-orang Eropah, atau yang lainnya memegang gagang telefon lalu mengucapkan : “Na’am” atau mengucapkan: “Man?” atau mengucapkan “assalamualaikum.”  Tidaklah mereka melakukan hal itu, melainkan kerana kebanggaan terhadap bahasa yang mereka anggap sebagai bukti komitmen kepada budaya mereka sendiri.  Padahal, kita kaum Muslimin, khususnya bangsa Arab, lebih layak dan lebih dituntut terhadap hal itu kerana keagungan bahasa kita dan juga kerana haramnya menyerupai orang kafir di dalam agama kita.  Fa innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.

  1. Mengikuti Ketentuan Syari’at Apabila Perlu Untuk Meninggalkan Pesan Suara

Apabila sebahagian orang perlu meninggalkan pesan suara di telefon, maka hendaklah ia melakukannya menurut ketentuan-ketentuan syari’at, misalnya seseorang memulai pesannya dengan salam kemudian mengingatkan orang yang menghubungi agar meninggalkan nama, alamat dan waktu menghubunginya, sebab, dan lain-lainnya.  Setelah itu, hendaklah ia menyudahinya dengan salam. Tidak ada lagi kepentingannya untuk meninggalkan pesan suara dengan selain bahasa Arab, meninggalkan pesan dengan suara wanita yang merdu atau lembut, dan pesan yang penuh dengan nada-nada muzik, atau yang seumpamanya.

  1. Mengajari Anak-Anak Untuk Menggunakan Telefon Apabila Diperlukan

Selayaknya seorang mengajar anak-anak yang sudah mumayyiz (dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk) bagaimana menggunakan telefon untuk keperluan-keperluan mendesak, seperti menghubungi polis, bomba dan sebagainya, lebih-lebih lagi apabila ada kepentingan untuk itu.  Kadangkala telefon perlu digunakan oleh seorang anak ketika ada keperluan mendesak..  Apabila anak itu tidak dapat menggunakannya sehingga terjadi perkara-perkara yang buruk, maka seharusnyalah diajar anak-anak bagaimana menggunakan telefon, disertai dengan peringatan kepada mereka agar tidak menggunakannya selain untuk kepentingan darurat.

  1. Tidak Mencuri Perbualan Orang Lain

Apabila terjadi salah sambung atau saluran yang masuk tanpa sengaja sehingga seseorang dapat mendengar perbualan orang lain, maka wajib atasnya untuk menutup telefon dan tidak mengambil kesempatan mendengar perbualan orang tersebut tanpa izin mereka, kerana hal itu tidaklah dibolehkan secara sya’ri. Tidak diragukan lagi bahawa siapa saja pasti tidak menyukai orang lain mencuri perbualannya tanpa izin.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

‘Barangsiapa yang mencuri perbualan orang lain sementara mereka tidak menyukainya, maka akan dituangkan cairan timah panas pada kedua telinganya…’

Al-anuk adalah timah yang dicairkan. Jangan sampai seorang Muslim jatuh pada pelanggaran seperti ini.

Inilah yang Allah mudahkan bagiku tentang adab-adab yang berkaitan dengan telefon, yang jumlah seluruhnya ada 29 adab. Walhamdulillaahi Rabbil ‘Aalamiin.

Susunan : Mahani Sulaiman

           

 

Translate »