Manusia dijadikan sebagai makhluk yang berbeza-beza meskipun dilahirkan daripada ibu bapa yang sama. Dua orang anak kembar sekalipun mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang hampir sama, tidak memiliki persamaan dari segi emosi, akal fikiran dan tabiat. Inilah kebesaran Allah SWT, sedangkan hasil ciptaan menurut piawaian tertentu, jika mempunyai sifat yang berbeza akan dianggap sebagai cacat (defect) atau rosak (reject).

Bagi Allah SWT, hakikat perbezaan itulah menjadi tanggungjawab kecerdikan akal untuk membolehkan nilai-nilai yang berbeza menjadi kekuatan apabila berada dalam satu ikatan kefahaman. Hakikat keyakinan antara manusia juga berbeza-beza. Allah SWT sengaja menjadikan sedemikian rupa bagi menguji keintelektualan dan kekuatan iltizam manusia.

Perbezaan yang terjadi di antara manusia, baik dalam urusan ukhrawi mahupun urusan duniawi sudah berlaku semenjak dahulu lagi dan akan tetap berlangsung hingga Hari Kiamat kelak. Banyak ayat al-Quran yang menerangkan hakikat ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan bukanlah tanggungjawabmu untuk menjadikan seluruh manusia itu beriman. Jika Tuhanmu kehendaki nescaya berimanlah sekalian penduduk bumi. Apakah patut kamu hendak memaksa manusia semua supaya mereka menjadi orang beriman.” (Maksud al-Quran Surah Yunus, ayat 99)

Demikian juga dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Ia menjadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka.” (Maksud al-Quran Surah Hud,  ayat 118-119)

Perbezaan itu juga telah memberikan kekuatan kepada Malaysia dalam membentuk struktur masyarakat, di mana setiap komponen bersedia menerima tolak ansur; tolak ansur yang dibina semenjak pemimpin tiga kumpulan kaum terbesar membentuk sebuah kesepakatan.

Kesepakatan itu telah menyerlahkan struktur dan institusi yang mendokongnya, dihormati. Setiap nasihat dan keputusan yang diambil menjadi suatu yang konsensus. Setiap ahli mematuhinya sebagai panduan arah sehinggalah Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang pesat membangun.

Sebagaimana sifat manusia yang merasakan ada kekuatan sendiri, maka perjuangannya menjadi semakin eksklusif sehingga memandang nilai-nilai primordial sebagai kerangka bertindak pada masa selanjutnya. Bagi memperkuatkan nilai primordial ini mereka mencipta pula pelbagai sifat khusus dengan memaksa orang lain memahaminya, sedangkan dirinya sendiri kurang berusaha untuk memahami orang lain. Hubungan yang terjalin tidak lagi dalam bentuk timbal balik tetapi lebih menjurus kepada memenuhi kehendak, sama ada dipaparkan secara langsung ataupun tersembunyi.

Nasihat para peminpin agar kita tidak mengecam agama, bangsa dan keturunan orang lain, kerana ia bakal membawa kepada perbalahan kaum yang lebih luas. Sengketa agama turut terbangkit, walhal secara jelasnya masing-masing agama mempunyai nilai universal, mengajak manusia melakukan kebaikan sepanjang hayat di samping taat kepada prinsip-prinsip kehidupan harmoni.

Antara rakyat boleh berkongsi falsafah, cita-cita dan tindakan berdasarkan keupayaan masing-masing. Yang ingin dikawal oleh elit pemerintah ialah untuk  memastikan hak orang lain tidak dirampas, milik setiap kaum kekal dan tidak beralih haluan melalui tekanan, ugutan dan terjahan keinginan mendominasi kelompok yang lain.

Al-Quran telah mengisyaratkan bahawa perbezaan yang terjadi demi mempertahankan kebenaran dan mewujudkan keadilan adalah sesuatu yang menjadi keharusan dalam menangani kemaslahatan umat manusia.

Jika Allah tidak mencipta orang yang selalu menyebarkan kebenaran untuk menandingi orang yang berbuat kebatilan, maka hancurlah bumi ini dan kerosakan akan bermaharajalela. Justeru, mereka dalam kalangan ahlul batil (para pelaku kebatilan), jika dibiarkan melakukan apa yang mereka kehendaki, akan berlakulah kekejian di muka bumi ini.

Namun, Allah amat besar kurnia-Nya ke atas manusia. Dia memberikan kekuatan dan hujah kepada orang yang selalu melakukan kebaikan untuk melawan dan mengalahkan perbuatan kaum yang selalu membuat kerosakan di muka bumi.

Seandainya Allah SWT tidak mengizinkan untuk memerangi ahlul batil, pasti mereka telah membuat kerosakan di muka bumi ini. Tempat-tempat ibadah pada masa Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s., masjid-masjid tempat solat kaum Muslimin pada zaman Nabi Muhammad SAW, tentu sudah mereka hancurkan.

Justeru, perbezaan-perbezaan yang berlaku dalam kalanagn manusia adalah kerana mereka tidak mampu memahami setiap permasalahan secara menyeluruh, melakukan taklid tanpa dasar dan dalil, fanatik terhadap sesuatu pendapat atau pemikiran, sikap dengki kepada orang lain, tamak kepada kepentingan diri dan mengikut hawa nafsu.

Apa yang menyedihkan, ada di kalangan umat Islam yang memulau dan menghukum umat Islam lain dengan syirik dan bidaah kerana orang lain itu tidak sama adat resam budayanya dengan mereka. Malah mereka cuba memaparkan budaya hidup mereka untuk diserap kepada masyarakat lain.

Dunia ini tidak akan menjadi aman selagi penghuninya tidak memiliki sifat berlapang dada dan terbuka fikirannya. Situasi sebegini sering pula ditambah dengan hilangnya sifat hormat menghormati antara satu sama lain, serta rasa tidak puas hati yang tersemat dalam sanubari terhadap apa yang ditentukan Allah SWT.

Sesungguhnya, perselisihan yang terjadi di antara manusia adalah sunatullah (hukum Allah yang berlaku kepada makhluk-Nya) yang akan sering berlaku dari semasa ke semasa. Cuma, kita sebagai manusia yang dianugerahi akal dan fikiran yang sempurna perlu memaknakan segala yang berlegar di sekeliling kita ke arah jalan atau cara yang diredhai-Nya.

Kita selalu membaca sejarah Rasulullah SAW yang begitu mengambil berat tentang hak-hak kejiranan, terhadap pembesar satu-satu kaum, dan terhadap orang tua serta orang kafir yang berhajat.

Kita pernah mendengar bagaimana hubungan Rasulullah SAW dengan orang Yahudi, bagaimana penghormatan yang diberikan kepada seorang ketua satu kabilah, bagaimana layanan diberikan kepada orang tua dan mereka yang memusuhi baginda, serta bagaimana sanjungan yang diberikan kepada jenazah seorang Yahudi yang sudah meninggal dunia, yang dibawa di hadapan baginda, sehingga sahabat merasa iri hati dengan penghormatan itu.

Kata mereka, “Tidakkah jenazah itu seorang Yahudi?” Jawab baginda, “Bukankah dia juga satu jiwa yang dicipta oleh Allah.” Ini menggambarkan hubungan kebaikan atau penghormatan sesama manusia tidak dilarang.

Perbezaan agama tidak sepatutnya menyebabkan adanya perakuan diskriminatif terhadap agama lain. Tidak ada pertentangan antara konsep Islam mengenai ahl-al-dzimmah dengan konsep kewarganegaraan. Bahkan konsep ahl-al-dzimmah sejalan dengan konsep kewarganegaraan, yang mana setiap penganut agama dan aliran kepercayaan mesti mendapat perlindungan sebagaimana sepatutnya, sesuai dengan undang-undang dan konsensus bersama tanpa melihat apa agamanya. Apatah lagi dalam sebuah negara yang mengamal sistem demokrasi yang merupakan fenomena terkini yang tidak boleh dihindarkan.

Oleh hal yang demikian, umat Islam dari semasa ke semasa perlu mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW yang bergaul dengan umat-umat lain khususnya yang bukan Muslim tetapi tergolong dalam ahlul milal wan nihal dengan penuh kejujuran. Dalam sejarah Islam, banyak contoh toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang harus diikuti oleh semua umat manusia.

Islam pada intinya adalah seruan kepada semua umat manusia supaya menuju ke arah cita-cita bersama-sama, iaitu kesatuan manusia tanpa membezakan ras, warna kulit, etnik, kebudayaan dan agama.

Oleh : Ali Muhammad

Translate »