Sudah sampai masanya kita kembali kepada metodologi peradaban Islam lampau yang menjadikan `dialog antara peradaban’ dan `dialog antara agama’ khususnya antara Islam dan kristian sebagai jalan penyelamat umat manusia dan dunia yang semakin kucar-kacir, seolah-olah tidak tentu hala tujunya.

Dialog ini bertujuan untuk cuba memahami beberapa persamaan kedua-dua agama ini kerana dengan cara itu hubungan antara kedua-dua belah pihak akan menjadi lebih akrab. Perbincangan dengan pandangan yang berbeza adalah ruang kedua-dua belah pihak untuk saling belajar antara satu sama lain sehingga pihak masing-masing dapat mengubah pandangannya dan meningkatkan kefahaman agamanya.

Baitul Hikmah, pusat ilmu pengetahuan yang didirikan ketika pemerintahan al-Makmun pernah dipimpin oleh sarjana Kristian, Hunain bin Ishak. Sikap toleransi juga ditunjukkan oleh penguasa Islam di seluruh Afrika Utara, Mesir dan Turki di mana umat Yahudi menikmati kebebasan beragama dan ekonomi yang hampir sempurna selama beberapa abad.

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama. Islam tidak pernah memaksa penganut lain untuk menganuti Islam. Bahkan, Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain dengan prinsip dan etika tertentu.

Islam menganjurkan prinsip toleransi, mementingkan nilai moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam tidak menganjurkan perilaku negatif dan tindakan ganas seperti membakar pusat-pusat ibadah agama lain. Islam menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian. Inti dasar Islam sebenarnya membentuk perilaku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk.

Quraish Shihab dalam buku Wawasan al-Quran (Mizan, Bandung 1966) menyatakan, “Para pendeta ketika itu relatif berhasil menanamkan ajaran moral yang bersumber dari ajaran Nabi Isa a.s. sedang para rahib yang mencerminkan sikap zuhud (menjauhkan diri dari nikmat duniawi dengan menumpukan kepada ibadah), berhasil menunjukkan contoh kehidupan yang baik. Keberhasilan itu didukung pula oleh tidak adanya kekuatan sosial politik dari kalangan mereka di Mekah dan Madinah, sehingga tidak ada faktor yang membawa kepada pergeseran antara kaum Muslim dengan mereka.”

Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud, “Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan”, memperingatkan umat Islam supaya menahan diri daripada menekan apa lagi menindas umat agama lain.

Peranan Islam sebagai agama adalah seiring dengan peranan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang diutus oleh Allah kepada segenap manusia tanpa mengira bangsa, sempadan geografi mahupun batas waktu. Bahkan, Islam dan Nabi Muhammad SAW dikurniakan oleh Allah Taala kepada segenap alam dan manusia, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam?” (surah dan ayat?)

Islam tidak membezakan suku bangsa dan warna kulit manusia bahkan, perbezaan bangsa dan warna kulit itu merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hamba-Nya, agar mereka dapat saling mengenal dan membantu dalam menempuh kehidupan.

Selain menghormati manusia yang berbeza keturunan, bangsa dan budaya, Islam juga menganjurkan umatnya memelihara hubungan dengan penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya, menerusi surah Muntahanah, ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Firman Allah ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam dikehendaki berlaku baik dan bersikap adil terhadap penganut agama lain. Ayat ini juga tidak melarang umat Islam untuk bergaul secara baik serta bersikap jujur dengan penganut agama lain, sama ada mereka penganut agama samawi (Yahudi, Nasrani), agama wadi mahupun agama yang dicipta oleh manusia, selama mereka tidak memerangi Islam dan tidak mengusir umat Islam dari kampung halamannya.

Islam adalah agama yang menghormati prinsip orang lain dan kemajmukan yang wujud dalam sesuatu kelompok masyarakat atau bangsa. Kerana tiada suatu bangsa pun di dunia ini yang benar-benar tunggal tanpa wujudnya suatu perbezaan, baik perbezaan daripada sudut budaya mahupun kepercayaan.

Al-Quran sebagai kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah untuk umat manusia mengandungi beberapa petunjuk yang tegas mengenai kemajmukan dan menyatakan bahawa kemajmukan itu ialah suatu ketentuan Ilahi (takdir). Oleh yang demikian, umat Islam wajib menerima kemajmukan itu dan berusaha mewujudkan sikap kebersamaan bagi memperkukuhnya. Secara amnya, dapat dikatakan bahawa kemajmukan itu adalah sunnatullah yang tiada seorang manusia pun sanggup mengubahnya, kecuali Allah Taala, sebagaimana firman-Nya dalam surah Hud, ayat 118 yang bermaksud,

“Sekiranya Tuhanmu menghendaki, sudah tentu Dia akan menjadikan manusia ini umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.”

Dalam nada yang lebih tegas lagi, Allah berfirman lagi dalam surah Yunus, ayat 99 yang bermaksud, “Dan jika Tuhanmu menghendaki, nescaya akan beriman seluruh penduduk bumi.”

Firman Alalh SWT ini menegaskan bahawa sekiranya Dia menghendaki, nescaya tidak akan wujud perbezaan kepercayaan dalam kalangan masyarakat sesuatu bangsa. Demikian juga dengan perbezaan suku, bangsa, bahasa, warna kulit, kebudayaan dan sebagainya. Tetapi Allah tidak melakukannya demikian malahan, Dia memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih jalan yang mereka lalui, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Kahfi, ayat 29 yang bermaksud, “Katakan bahawa kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin beriman, hendaklah dia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir biarlah dia kafir. Sesungguhnya telah kami sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka yang mengepung mereka dengan gejolaknya.”

Petikan firman Allah ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak memaksa penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur Baginda, “Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka menjadi orang yang beriman…” Ini kerana tugas Baginda hanyalah menyampaikan (rasul), sedangkan yang memberi hidayah kepada manusia adalah Allah Taala. Ini menunjukkan bahawa Islam menerima wujudnya kemajmukan ini, baik dalam bentuk sikap, budaya, warna kulit, bangsa, mahupun agama. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa kemajmukan dan keanekaragaman manusia itu adalah sebagai suatu sunnah-Nya terhadap makhluk-Nya, yang kesemuanya itu mengandungi hikmah tertentu.

Kemajmukan agama dalam Islam membawa pengertian bahawa semua agama diberi kebebasan untuk diamalkan, dan akibatnya akan ditanggung oleh penganutnya sendiri. Kemajmukan ini bukan hanya wujud pada peringkat global tetapi juga wujud dalam kelompok masyarakat yang lebih kecil seperti di peringkat nasional, wilayah, daerah, mukim dan kampung.

Kemajmukan dalam Islam telah wujud semenjak wujudnya Islam, tepatnya semenjak Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah hinggalah pemerintahan Islam bertapak di Andalus yang menjadikan Andalus sebagai pusat kebudayaan, ilmu dan peradaban dunia selama lebih kurang tujuh abad.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »