Kehidupan masyarakat di Jepun dan Korea Selatan , kini ikut berkembang ke China, iaitu fenomena sunyi (kesepian) ketika di usia emas. Salah satu sebab ialah berlaku penceraian dalam kalangan pasangan warga emas, dan akibat daripada situasi ini, berlaku pula apa yang dikatakan sebagai ‘mati kesepian’.

Penceraian kebanyakannya berlaku ketika pasangan memasuki ‘masa bersara’. Ketika itu, masing-masing berusaha memfailkan penceraian untuk mendapatkan hak masing-masing, hak-hak yang dijamin sebagai ‘perkongsian’ sepanjang hidup bersama. Walhal, pada masa pasangan mereka masih bekerja, budaya kehidupan masyarakat Jepun sangat menghormati nilai kesetiaan dan kepatuhan kepada organisasi sehingga alami kejutan besar bila pulang lebih awal daripada sepatutnya.

Seorang isteri akan menganggap suaminya tidak cukup amanah dan menjadi pekerja yang baik apabila pulang ke rumah lebih awal, sebab itulah lelaki Jepun kadangkala merasakan ‘tertekan’ dan kadangkala ‘hilang ghairah’ dalam budaya mereka sendiri walaupun dikatakan sangat kuat semangat samurai dan bushido, geisha dan sebagainya.

Ia menjadi salah satu sebab kenapa rakyat Jepun sukakan ‘kesepian’ sehingga apabila mempunyai peluang lebih banyak bersama, ia dilihat semakin mengarahkan kepada krisis kekeluargaan di usia emas. Mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan berbanding dengan pasangan masing-masing. Sangat menghormati ‘privasi kendiri’ tetapi akhirnya terjerat dengan situasi ‘kesepian’ bila bersara.

Hal ini semakin dirasai oleh lelaki yang bersara di Malaysia. Hal ini menjadi salah satu pendorong berlakunya perkahwinan kedua atau ketiga secara sembunyi-sembunyi dalam kalangan pesara. Ada yang sanggup ‘membeli cinta’ dengan rakyat asing.

Ada yang berkahwin di Selatan Thailand dan juga di negara jiran seperti Indonesia. Biarpun perkahwinan itu tidak menyebabkan mereka ‘hidup di Malaysia’, ia tetap membangkitkan satu suasana yang cukup menyindir nilai diri dan masyarakat yang sangat melihat agama sebagai ‘pertaruhan’ terbesar untuk menuju ‘kebahagiaan’. Makna poligami sudah tidak lagi dianggap sakral, kerana poligami boleh dicabar di mahkamah.

Poligami dilihat sebagai ‘malapetaka’ yang hadir dalam psikologi kebanyakan perempuan, bukan motivasi. Ia dilihat lelaki lebih mempersendakan ‘amalan Rasulullah SAW’ yang berpoligami selepas wafatnya Khadijah, bahkan kadangkala dianggap ‘pemuas nafsu’ menyamai apa yang dilihat oleh segelintir pejuang fenimisme.

Fenimisme mahu mengubah perspektif, kalau perkahwinan itu kekal sebagai suatu wadah kebahagiaan, ia mestilah bersifat monogami, bukan poligami. Apa pun alasannya, ada segelinti wanita melihat membenarkan suami berpoligami atas memahami kekurangan kendiri, dan mengharapkan akan muncul keadilan bersama, ia sesuatu yang cukup mendorong kepada psikologi kebahagiaan. Itulah yang patut dipelajari dengan baik dan meneladani dengan jujur, poligami bukan malapetaka, tetapi poligami juga ladang mengumpul pahala. (Muhammad bin Ali, Amarah dan Cinta Rasulullah, Tangerang, Banten, Indonesia: Pustaka Pundi Aksara, 2008; Abu Hafifah, Cerita Cinta dan Kasih Rasulullah SAW, Batu Caves, Selangor: Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd.; dan Dr Nizar, Bilik-Bilik Cinta Nabi Muhammad SAW, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, cetakan ke-5, 2020).

Di Malaysia, cukup besar halangan untuk berpoligami walaupun dibenarkan oleh agama. Bagi seorang wanita, lebih baik hidup ‘sendiri’ daripada hidup bermadu, Tidak ramai yang melihat bermadu itu sebagai ‘payung’, kerana dengan berpoligami sebahagian kehendak naluri seorang lelaki akan dipenuhi, bukan bermakna ‘gila seks’, kecualilah memang ia  sesuatu yang menjadi asas untuk berpoligami.

Allah SWT menjadikan lelaki sedemikian, berbeza dengan naluri seks seorang wanita. Wanita akan mengalami penuruan hormon, juga berlaku pada lelaki. Sebab itulah ada istilah ‘mati pucuk’ dan ‘padam’. Mati pucuk untuk lelaki, manakala ‘padam’ untuk wanita. Setelah berumur 40 tahun, lelaki dilihat kembali aktif keperluan seks, maka itulah sebabnya ada panggilan yang dikatakan, seks lelaki akan mula menguat pada usia 40 tahun.

Ketika itu, lelaki sudah pun mempunyai pengalaman ‘memujuk perempuan’, lebih matang untuk melayani perempuan yang lebih muda, dan mempunyai sumber kewangan yang stabil, kalaupun tidak melimpah. Lelaki, lebih matang mengawal emosi. Ia berbeza dengan tabiee wanita secara semula jadi dan juga psikologi. (John Medina, Brain Rules, 12 Principles for Surviving and Thriving at Work, Home and School, Edmonds, Washington: Pears Press, 2008; dan Kim Parker, Juliana Menasce Horowitz anda Rene Stepler, “On Gender Differences, No Consensus on Nature vs. Nurture, http://www.pewresearch.org/social- trends/2017/12/05/on-gender-differences-n-consensus-on-nature-vs-nurture/)

Dalam Islam hak itu dikenali sebagai ‘harta sepencarian’. Hal ini ada petunjuk sedang berkembang dalam masyarakat Malaysia, pasangan yang asalnya pernah berkahwin, ada keluarga dan mempunyai anak, akhirnya mati keseorangan di rumah sehingga beberapa hari baharu dapat dikesan.

Di Jepun, Korea Selatan dan China, ia menunjukkan trend yang semakin menaik. Dalam istilah bahasa Jepun, hidu sepi, mati sendiri dikenali sebagai ‘kodokushi’ manakala penceraian di usia emas dipanggil jukunen rikon.

Menurut kajian, fenomena tersebut menjadi semakin meningkat antara period 1964-2006, perceraian pada lanjut usia semakin meningkat secara drastik, di mana generasi yang dikategorikan sebagai ‘baby boomers’ adalah yang mendominasi ketimpangan sosial tersebut. (Budi Prayogo, Perubahan nilai pada perceraian lanjut usia di Jepang: Suatu kritik terhadap perspektif Fumie Kumagai, tesis Sekolah Kajian Strategik dan Global, Universitas Indonesia, 2018)

Sama seperti di negara maju lainnya. Kumagai mengemukakan dari beberapa alasan berupa demografi, ekonomi, kebudayaan, maupun gender, yang paling dominan mempengaruhi meningkatnya Jukunen Rikon adalah baby boomer (mereka yang dilahirkan antara tahun 1946-1964.

Generasi ini sekarang dilihat sebagai generasi yang masih kental dengan warisan tradisi, tetapi semakin tercabar dengan kepesatan fenomena digital. Ada yang melihatnya sebagai ‘penghijrah digital’, digital immigrants (Marc Prensky, “Digital Natives, Digital Immigrants”, On the Horizon, Vol.9 No.5, October 2001) namun yang lebih menarik, generasi ini masih kekal sebagai penilai dan pembentuk dasar budaya, politik dan sebagainya dalam koridor ‘kuasa negara’ dan ‘kuasa sosial’).

Saya turut menulis beberapa rencana mengenai fenomena sedemikian, antaranya, “Virus Pemikiran”, https://omiw.com.my/Web/2023/01/07/virus-pemikiran/, 7 Januari 2023; “ Semakin Lama Semakin Pelek”, https://omiw.com.my/Web/2020/11/18/semakin-lama- semakin-pelik/, 18 November 2020; dan beberapa lagi rencana yang tersiar dalam majalah Dakwah antara tahun 2015-2017.

Saya tidak berniat untuk menyenaraikan kesemuanya, tetapi berusaha mengingatkan bahawa fenomena seumpama itu semakin menunjukkan trend peningkatan, disebabkan oleh                 perubahan gaya hidup, perspektif pemikiran dan kecamuk peranan yang semakin menggugat persepsi dan menyanggah fantasi tradisi terhadap dunia perkahwinan, walaupun pada usia emas, masalah ‘kewangan’ bukan masalah yang dilihat sangat ketara dan mengancam.

Masalah terbesarnya ialah perubahan ‘kendiri’ yang dipengaruhi oleh perkembangan pemikiran dan secara tidak sedarnya telah bermain di fikiran bawah sedar (unconcisnous mind), akibat kecanduan media (televisyen dan media sosial). Masih mengekalkan kecanduan media televisyen dengan pelbagai ‘drama sangat’ yang berbentuk fiksyen dan penuh muslihat  atau godaan sehingga nilai-nilai sakral semakin bergeser dan melangkau kebenaran (post- truth).

Bahkan isteri seorang ustaz, yang taat dan setia pada zahirnya pada suami dalam mengekalkan hubungan rumah tangga, adakalinya menyanggah kebenaran yang cuba diperkatakan, kerana terpengaruh dengan bakal menantu yang tidak jadi. Ia semakin ketara dan menjadi-jadi apabila anak sendiri berlengah-lengah memberitahu kedudukan sebenar walaupun sudah berkahwin dengan ‘anak angkat’ yang ditukarkan semasa dilahirkan di sebuah hospital.

Drama sangat itu cukup berkonflik (Bismillah Cinta, di saluran Astro) cukup dikesalkan ditayangkan sepanjang Ramadan, walaupun adaptasi asalnya adalah daripada drama rantaian Nur, yang cukup mengangkat populari Amyra Rosli sebagai watak utama yang ‘menanggung pelbagai tabularasa dalam keluarga yang sangat berpegang kepada agama, keluarga yang menghabiskan masa dengan pendidikan dan tarbiyah, menguruskan pendidikan Islam persendirian.

Ada kes kerana ‘muncul harapan baharu’ selepas bertemu semula menerusi interaksi sosial dengan ‘kekasih lama, kekasih zaman remaja’; terpengaruh dengan ‘ayat-ayat cinta yang penuh khayalan’; kepura-puraan penampilan (antara orang lain dan orang dalam atau di rumah dan di luar rumah); dan perubahan sosiopsikologi selepas hidup dalam ekosistem persaraan.

Pada warga emas, kebanyakan mereka berhadapan dengan faktor kesihatan. Lumrahnya, lebi 80 peratus mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada penyakit tiga serangkai – darah tinggi, kencing manis dan kardiovaskular- selain perubahan psikologi.

Kenapa ‘dalam umur persaraan’ semakin berhadapan dengan perubahan psikologi dan psikososial?

Pertama, masa untuk bersama pasangan hampir sepenuhnya setiap hari berbanding ketika sebelum bersara. Akibatnya, ia semakin membangkitkan ‘rasa muak’ dan bosan seperti berlaku pada masa PKP.

Seorang suri rumah tangga rasa terbeban, kerana sepanjang masa perlu ‘melayan’ pasangan mereka, termasuk kebosanan memasak, memikirkan menu harian dan sebagainya, selain mengemas rumah yang bersepah.

Kedua, situasi ‘bulan madu persaraan’ bersama pasangan hanya berlangsung dalam period yang cukup singkat, kerana selepasnya disibukkan dengan kerinduan dan kesepian, menyebabkan berlakunya ulang-alik bertemu anak-anak dan cucu-cucu.

Apatah lagi dalam situasi yang cukup membingungkan antara ‘pilihan yang tepat’ dan ‘aktiviti sampingan’ yang kadangkala lebih dominan daripada keperluan.

Misalnya, apakah memberikan hadiah atau cenderahati kepada seseorang, setiap ahli keluarga itu satu keperluan atau pilihan yang bersifat sunat?

Jawabnya, pilihan yang bersifat sunat lebih mendominasi sehingga sebahagian perbelanjaan ‘melancong’ perlu diambil kira pembelian cenderamata atau buah tangan sekembalinya nanti.

Ia turut memungkinkan meningkatnya kos membawa pulang, bagasi ‘beranak’ dan timbangan juga melebihi tahap maksimum yang dibenarkan (secara tidak langsung dicajkan dalam tiket penerbangan, walaupun dikatakan ‘percuma 20/30 kilogram).

Ketiga, dalam period ‘sunyi daripada anak-anak dan cucu-cucu’, muncul pula situasi fasa krisis yang lebih berat, bukan lagi berkisar persoalan tanggungjawab, ia berkisar pada pemahaman tentang falsafah perkahwinan dan pembudayaan baharu, selepas saling faham memahami ‘perilaku dan peribadi’.

Ya! Emosi menjadi semakin tidak stabil kesan daripada perubahan hormone – estrogen bagi wanita dan testoron bagi lelaki – sehingga kata pakar psikologi dan perundingan perkahwinan dalam konteks kaunseling Islam, walau apa pun, seorang isteri perlu memahami keinginan seorang lelaki.

Ada rumusan, meskipun seseorang lelaki ‘hilang semua gigi’nya, ia masih memerlukan ‘layanan seks’ daripada seorang isteri. Tetapi, layanan itu bukanlah bermakna melakukan hubungan intim sebagaimana difahami ketika period bulan madu atau kasih sayang.

Layanan seks bermaksud, walaupun sudah berusia, setiap pasangan sangat saling memerlukan maka tidak wajar jika berlaku pemisahan, tidak lagi tidur sebantal dan sekatil, masing-masing tidur di dua lokasi yang berbeza seumpama ketika dilakukan ‘hukuman’ bila bertengkar atau nusyuz, sebagai proses memikir ulang dan memperbetulkan kesilapan.

Beberapa orang pendakwah wanita pernah menasihatkan, setua manakah seseorang isteri, ia tetap isteri kepada seorang suami yang sah. Selagi dirinya adalah sebagai seorang isteri, syurganya tetapi di kaki seorang suami.

Suami merupakan ‘ladang syurga’ bagi seorang isteri, maka apa yang dikatakan sebagai tanggungjawab seorang isteri mesti dipenuhi, sebagaimana seorang isteri mengharapkan suaminya bertanggungjawab dan melaksanakan peranannya sebagai seorang ketua keluarga, bukan ketua ‘berleter’, ‘berceramah’, dan mendominasi ekosistem dalam rumah tangga (mengawal dan merebut kuasa).

Inilah perubahan psikososial dan psikologi yang sedang berkembang dalam masyarakat. Ia menjadi sebab keempat, di mana berlakunya fasa krisis dalam rumah tangga. Krisis ini mungkin bermula daripada perubahan sikap dan kognitif.

Perkahwinan menjadi semakin ‘hilang nilai’ apabila salah seorang merasakan mereka tidak perlukan lagi kepada seseorang, sebab anak-anak sudah besar dan masing-masing berkeluarga.

Tidak ada lagi keperluan perbelanjaan membesarkan anak-anak, semua anak-anak sudah mempunyai pekerjaan dan keluarga masing-masing. Namun, disinilah kadangkala berlaku persepsi, seorang isteri merasakan dirinya tidak lagi mengharapkan suami sebagai sumber kewangan.

Anak-anak, kebiasaanya setiap bulan (atau setiap kali pulang ke kampung) akan menghulurkan sedikit sebanyak ‘sedekah’ kepada ibu, tanpa ada rasa untuk ‘bersedekah’ kepada si ayah. Ini kerana anak-anak lebih melihat ibu lebih memerlukan berbanding dengan ayah.

Kenapa?

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »